Rate

Bab 83: Menjinakkan Raja Rimba

Mystery & Detective Completed 26471

“Hey, budak mentah!” Fateh tiba-tiba seperti mendengar ada suatu suara garau yang menjerkah kepadanya. Dia segera merenung ke mata Garang yang sedang memandang tepat kepadanya. Ada sedikit rasa pelik di dalam hati Fateh. Benar, komunikasi ini seperti telepati yang biasa dilakukan olehnya bersama Khaleeda. Apakah sang harimau bernama Garang ini turut memiliki keupayaan sebegitu?

“Nampaknya kepalang ajar juga ‘orang tua’ bila berbicara.” Fateh menyindir si Garang dengan bersahaja. Garang menyeringai menampakkan taring yang tajam seperti mahu menunjukkan ‘kekuasaannya’ kepada Fateh. Fateh hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap yang ditunjukkan oleh harimau jantan yang sangat dominan itu.

“Angkuh sekali sikapmu, budak. Apakah kau kira aku akan bagi muka sebab kau suami kepada waris Bendahara Inderapura?” Garang masih tebal dengan egonya. Dijajahan banjaran Titiwangsa ini, siapa yang layak menjadi seterunya? Sama ada rasaksa, binatang buas, berbisa dan liar- semua perlu tunduk kepadanya. Di sini, dialah sang raja rimba yang berkuasa.

Fateh hanya tersenyum kecil, dia sedar Garang ini bukan sebarangan haiwan ganas yang hanya berbekalkan naluri tetapi sebagai haiwan tapa yang telah hidup beratus-ratus tahun, harimau ‘gergasi’ ini punya kecerdikan atas pengalamannya merajai dunia rimba. Apatah lagi jika tuannya dahulu telah menyisipkan sedikit sebanyak ilmu pertarungan dan kebatinan sebagai latihan kepada si Garang ini semasa dia masih kecil lagi. Tidak hairan sekiranya Garang boleh berkomunikasi dengan Fateh melalui teknik telepati. Semestinya pada manusia biasa seperti suku orang asli akan menganggap harimau seperti si Garang ini merupakan jelmaan penunggu atau penguasa hutan yang perlu dihormatkan.

“Apakah kau kira aku akan ‘bersembunyi’ di belakang perempuan?” Sambil berkata, Fateh menghamburkan aura penggerunnya kepada Garang, memberikan tekanan sebagai tanda ‘pengenalan’ kepada harimau itu. Disisipkan juga aura maharaja kerana Fateh ingin memberitahu kepada Garang- kalau setakat raja di rimba, apakah cukup ‘kailnya’ harimau itu untuk menduga ‘lautan’ yang penuh ‘rasaksa’?

Garang dapat merasakan tekanan aura yang maha dahsyat yang melanda ke batang tubuhnya. Pertarungan aura ini jelas menyebabkan nafas Garang tercungap-cungap dan lidahnya mula terjelir kerana ianya cukup membuatkan tenaga Garang seperti disedut habis. Harimau-harimau lain yang melihatkan hal ini menjadi gelisah dan mula mengundurkan diri. Jelas ketakutan berbayang di riak wajah mereka.

“Bang...” Faridah mencelah, lembut- seperti memohon ihsan kepada Fateh.

Fateh faham akan maksud teguran Faridah itu dan dengan perlahan-lahan, Fateh melepaskan tekanan auranya kepada Garang. Kesempatan itu diambil oleh Garang dengan berundur dari ‘jerangkap’ aura Fateh dengan serta-merta. Ada kelegaan pada wajah Garang walau pun dia masih tidak berpuas hati dengan Fateh. Begitulah sifatnya harimau sejati dan raja rimba yang ulung. Mana mungkin dia mengaku kalah dengan mudah.

Faridah menghampiri Garang yang kelihatan amat keletihan dan hampir tidak dapat berdiri dengan tegap seperti sebentar tadi. Faridah mengusap-usap kepala Garang dan menyisipkan aura penyembuhnya bagi memulihkan tenaga dan semangat harimau tapa itu kerana ‘serangan’ ghaib daripada Fateh. Tentu si Garang ini amat terkejut dengan apa yang berlaku.

“Nampaknya sikap kau masih semberono wahai Garang, seperti mana yang diceritakan. Aku sebagai waris Bendahara Inderapura amat kagum dengan keperwiraanmu dan layaklah kau digelar raja rimba tetapi, hari ini tentu kau faham- mengapa aku bersuamikan lelaki itu.” Kata Faridah, seperti berbisik di telinga Garang. Garang mengerak-gerakkan kepalanya, faham apa apa yang apa disampaikan oleh Faridah.

Fateh acuh tak acuh dengan Faridah, si Garang dan empat lagi harimau warisan keluarga Bendahara Inderapura sebaliknya, dia hanya duduk di suatu akar banir dan mengeluarkan botol air untuk melepaskan dahaganya. Dia tak peduli akan hal mereka kerana baginya, hal yang berlaku sebentar tadi hanya membuang masanya saja. Kalau harimau-harimau ini masih tidak puas hati
(terutama si Garang), Fateh sentiasa ‘bermurah hati’ untuk menjamu mereka dengan penamparnya.


“Nampak Tuan Puteri tidak memerlukan kami ketika ini.” Garang memandang muka Faridah dengan lembut, layaknya seperti kucing peliharaan memandang tuannya.

“Benar, Garang. Apakah kau tidak setuju?” Faridah cuba menduga perasaan si Garang.

“Bukan begitu, tetapi aku hendak ingatkan Tuan Puteri tentang ada bahaya di gua di lereng curam itu. Aku dapat rasakan ada aura maut yang yang terkadang ‘bernafas’ keluar dari gua itu. Aku sendiri tidak pasti apa yang ada situ. Sebab itu kami berlima ingin mengiringi Tuan Puteri, mengawasi bahaya yang mungkin tidak diundang.” Panjang lebar si Garang menjelaskan kepada Faridah.

“Tak usahlah kau khuatirkan hal itu Garang. Kamu semua beredarlah, aku selamat bersama suamiku.” Faridah hanya tersenyum memandang harimau-harimau ‘peliharaannya’. Mereka semua kelihatan akur dengan ‘arahan’ Faridah, perlahan-lahan berundur dan kemudian lenyap ditelan ketebalan hutan.

Faridah kemudian menoleh pandangannya kepada Fateh. Ketika ini Fateh masih asyik meneguk minuman yang dibawanya seperti tidak perasan Faridah sedang menghampirinya sambil tersenyum.

“Apa?” Tanya Fateh pelik dengan tingkah laku Faridah. Faridah menggeleng-gelengkan kepalanya, melihat Fateh mengesat-ngesat air yang meleleh di bucu bibir lelaki itu. Gelojoh. Ini adalah sisi baru Fateh yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Sebelum ini, dia hanya dapat melihat Fateh yang serius tetapi seperti budak-budak minum air botol saja.

“Dahagalah.” Fateh cuba menjelaskan sesuatu kerana dia tersedar apa yang sedang berlaku. Faridah hanya tersenyum, mengeluarkan sapu tangan dari kocek bajunya dan mengesat bibir Fateh dengan perlahan-perlahan.

“Nampaknya, abang ni dahaga betul? Penat lawan harimau, ya?” Kata Faridah seperti mengajuk cara ibu-ibu berbicara.


Fateh hanya tersengih kesipuan. Mungkin Faridah tidak tahu, aura si Garang tadi cukup panas sehingga membuatkan Fateh menjadi terlalu dahaga. Memang bukan calang-calangnya raja rimba itu walau pun bukanlah lawan Fateh. Fateh yakin, sepuluh lagi si Garang- dia masih boleh mengalahkan mereka semua. Tetapi kalau banyak lagi macam si Garang, Fateh rasa, semua air jeram yang ada di Lata Bekoh pun belum tentu boleh melampiaskan dahaganya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience