Rate

Bab 9: Debaran Hati Seorang Gadis

Mystery & Detective Completed 26472

“Jom.” Ajak Fateh setelah melihat Catherine telah bersedia di hadapan pintu rumahnya pada pagi ini. Catherine tersenyum membalas ajakan Fateh.

Mereka berdua beriringan menuju ke pintu lif dan kebiasaannya, ramai penghuni yang akan menggunakan lif pada setiap pagi. Tak terkecuali pada pagi ini. Disebabkan oleh unit kediaman mereka berdua berada di tingkat yang hampir atas, lif yang naik ke atas akan kurang sedikit jumlah pengguna berbanding yang berada di tingkat di tengah-tengah atau hampir ke bawah.

Ting! Pintu lif terkuak. Catherine segara masuk ke dalam lif dan diikuti oleh Fateh. Ruang di dalam lif masih selesa untuk mereka berdua dan beberapa penghuni yang lain. Namun, semakin lama lif tersebut turun ke bawah, semakin padat pengguna yang memasukinya. Akhirnya, tubuh mereka berdua semakin rapat dan ‘melekat’ bersama seperti Catherine sedang memeluk tubuh Fateh dari belakang.

Catherine berasa malu dan tersipu-sipu seorang diri. Jelas aroma jantan tubuh dapat dihidu dan kehangatan badan lelaki itu bagai menyelimuti jiwa raganya. Catherine terasa begitu damai dan menyenangkan. Aroma Fateh begitu menyenangkan fikirannya, walau pun Fateh tidak mengenakan sebarang haruman pewangi. Mungkin ini haruman semulajadi seorang lelaki, fikir Catherine. Dia seperti khayal dan terpana walau pun, debaran dadanya makin berdegup kencang.

Ting! Bunyi pintu lif yang terbuka itu bagai menyedarkan Catherine dari lamunannya. Orang ramai mulai berpusu-pusu keluar dari dalam pintu lif termasuk Catherine dan Fateh. Apabila Fateh yang berada di hadapan mulai bergerak untuk keluar, Catherine segera memaut lengan Fateh supaya tidak ketinggalan jejak langkah lelaki itu.

Fateh menoleh Catherine yang memegang lengannya itu. Catherine hanya tunduk malu. Tanpa banyak soal, Fateh hanya membiarkan saja perlakuan Catherine seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Mereka berdua kemudiannya berjalan beriringan dalam keadaan begitu, menuju ke stesen LRT yang berhampiran dengan kediaman mereka.

Keadaan di dalam koc LRT pun begitu juga, padat dengan manusia. Kali ini, tubuh mereka ‘terpaksa melekat’ lagi, kali ini berhadapan pula. Berhadapan dengan Fateh, dan melihat wajah Fateh yang hanya tersenyum pada Catherine membuatkan mukanya dia merah padam menahan malu. Dadanya berdebar-debar kerana selama ini, dia tidak pernah sebegitu rapat dengan lelaki selain ahli keluarganya. Perkara ini amat janggal pada Catherine tetapi, ada terselit perasaan bahagia dalam keadaannya sebegini. Dia merasakan ingin berada seperti ini untuk selama-lamanya.

“Terima kasih, Fateh kerana sudi terima request saya.” Kata Catherine ketika mereka sedang berjalan keluar dari stesen LRT KLCC. Lengan Fateh masih lagi dirangkul oleh Catherine.

“Oh, perkara kecil sahaja.” Fateh membalas pendek.

“Er, bolehkah awak temankan saya selalu begini?”

“Kalau awak yang minta, tentu saya akan cuba luangkan masa.” Fateh hanya tersenyum kecil. Catherine tersenyum manja.

“Baik, awak dah berjanji tempohari di rumah saya. Balik nanti saya akan call dulu. Please standby.”

“Baiklah. Eh, saya dah sampai kat tempat kerja saya. Kita berpisah di sini saja.” Kata Fateh ketika mereka berada hampir dengan taman di KLCC.

“Are you really a gardener?” Walau pun Catherine telah tahu dari mulut Fateh sendiri, dia masih lagi kurang percaya.

“Kan dah cakap?”

“Oh, sorry. Gardener pun gardener lah- you’re still my hero!” Balas Catherine dan sepantas itu juga dia menoleh daripada Fateh untuk segera ke tempat kerjanya pula. Catherine yang membelakangi Fateh, mengangkat tangan dan melambai-lambai seperti mengucap selamat pada Fateh dan sesekali dia menoleh ke belakang dan tersenyum manis kepada lelaki itu.

********************

“Ini kad undangan. Abang perlu lagi kad ini?” Khaleeda menghulurkan sekeping kad berwarna hitam dan bercorak emas kepada Fateh.

“Eh, kenapa perlu banyak? Kan abang seorang sudah memadai.”

“Manalah tahu...” tersengih saja Khaleeda menyimpan seribu makna di sebalik kata-katanya itu.

“Apanya?” Fateh musykil.

“Manalah tahu, kalau-kalau abang perlukan teman?” Khaleeda masih tersenyum mengusik.

“Ha ha ha..nampaknya kau nak mempermainkan abang lagi!” Ketawa besar Fateh lalu cuba mencekak leher Khaleeda dan sepantas itu dengan lembut Khaleeda menguis tangan Fateh dan cuba melancarkan serangan yang serupa pada Fateh. Mereka berbalas-balas serangan dan bertahan dalam keadaan begitu bersahaja. Tanpa tekanan. Setiap pergerakan itu walau pun nampak lembut tetapi pantas dan jitu. Setelah beberapa ketika, mereka berdua berhenti dan tersenyum memandang antara satu dengan yang lain.

“Nampaknya, Tun Telani, Tun Telani lah jua. Tak hilang gerak srikandi walau pun berseluar blouse begini.” Puji Fateh.

“Apa nak dikirakan dengan seluar, bang. Abang yang asyik berbaju Iron Maiden ni pun masih tajam lagi gerakan Bendaharanya. Kalau tidak sebab abang memberi peluang, manakan ada ruang untuk saya membalas. Oh, ya... abang ni tak ada baju lain ke selain Iron Maiden?”

“Eh, ini baju lainlah... kelmarin dulu Fear Of The Dark, semalam The Trooper, ini Number Of The Beast?” Fateh menjelaskan dengan beria-ia.

Khaleeda hanya tersenyum menggeleng-gelengkan kepalanya seperti melihat telatah anak-anak kecil yang nakal. Begitulah, Fateh- sentiasa saja ada perangai yang ‘accentric’ dan selamba. Pemikiran Fateh pun tidak melalui jalan pemikiran rutin orang-orang biasa. Mungkin kerana sebab itu, Khaleeda pun kadang-kadang pening dengan sikap Fateh. Tapi, Khaleeda tahu- dia akan tetap setia kepada lelaki ini- dan itu telah dilakukannya selama berpuluh-puluh tahun!

“Oh, ya... saya beransur diri dulu. Rasanya seperti ada tetamu yang hendak datang berjumpa abang. Takut pula kehadiran saya, menimbulkan cemburu dan mengecewakan perasaan orang lain.” Khaleeda berkata-kata dengan lembut dan tersenyum manis pada Fateh.

Fateh hanya tersengih. Ya mereka berdua tahu siapa yang dimaksudkan. Firasat Khaleeda bukan sekadar meneka-neka sembarangan. Fateh pun ada mempunyai gerak rasa yang sama. Mereka berdua sangat mahir dengan gerakan dan bahasa alam. Merenung dan melihat tanda-tanda di alam persekitaran, mereka seperti dapat ‘menjejaki’ sesuatu kejadian. Tetapi pantangnya ilmu ini tidaklah dapat diguna untuk menilik nasib seseorang. Jika berbuat sedemikian maka, geruh pasti akan datang bertandang.

********************

Catherine mencari-cari kelibat Fateh. Puas ditanya pekerja-pekeja di taman itu dan masing-masing hanya dapat memberi tunjuk arah keberadaan Fateh tetapi Catherine sendiri tidak familiar dengan laluan dan keadaan taman ini secara terperinci walau pun dia sering melewatinya setiap kali pergi dan pulang kerja. Tentu lebih mudah jika Catherine menghubungi telefon bimbit Fateh tapi- itu bukan surprise namanya!

“Catherine!” Catherine segera mencari arah teriakan suara itu. Kelihatan Fateh yang sedang berdiri di atas bukit kecil melambai-lambaikan tangannya. Catherine segera mendapatkan Fateh dengan menjinjing sebuah bungkusan.

Fateh segera membantu Catherine dengan mengambil bungkusan itu dan memegang tangan gadis itu yang kelihatan agak payah mendaki bukit kecil itu. Terdapat manik-manik halus mengalir di dahi Catherine namun, mukanya manis mengukir senyuman.

“Duduklah,” pelawa Fateh kepada Catherine untuk duduk di atas tikar yang diperbuat daripada ‘jerami’ plastik yang bersulam. Inilah port ‘peribadi’ Fateh. Di bawah pepohon rendang yang nyaman dan di situ, keseluruhan pemandangan taman itu dapat dilihat dengan jelas tetapi, agak terlindung dari pandangan orang ramai. Memang betul-betul privasi.

Catherine bersimpuh kemas di sebelah Fateh dan mula membuka bungkusan yang dibawanya tadi, Aroma makanan mulai menerjah ke rongga hidung mereka. Masih panas dan berasap.

“Kenapa bersusah payah begini, Catherine.”

“I just want to surprise you.” Balas Catherine pendek.

“Oh by the way, just call me Cat. Janganlah panggil panjang-panjang.” Sambung Catherine lagi.

“Cat? Kucing?” Fateh mengusik.

“Yes, kalau awak nakal, saya cakar awak!” Catherine menunjukkan cakarnya ke muka Fateh.

“Saya rasa awak yang nakal.”

“Nope. Saya jenis kucing yang manja!” Mereka ketawa serentak.

Mereka kemudian sama-sama menikmati makan tengah hari di bawah pokok yang rendang ini. Sesekali mereka berbual pendek tentang topik-topik yang terlintas di fikiran mereka pada masa itu.

“Rupanya di sini tempat awak melepak, ya? Not bad pemandangannya.”

“Ya, di sinilah ofis saya- seluas mata memandang dan beratapkan langit yang tinggi. Luas kan?”

“Ya, beribu kali lebih luas dari bilik CEO saya.” Catherine hanya tersenyum. Tak lepas pandangan dia dari memandang wajah Fateh. Dia berasa sangat senang melihat lelaki itu di hadapannya. Tadi semasa di pejabatnya, seperti terpandang-pandang kelibat Fateh. Terbit pula rasa kerinduan dan ingin berjumpa.

“Fateh...”

“Hmmm.”

“Boleh tak, er, kalau saya selalu ke sini? To have lunch together?”

“Kalau awak nak belanja selalu, apa salahnya.” Catherine ketawa mendengar jawapan Fateh.

“Tapi, tak janggalkah awak berkawan dengan tukang kebun macam saya? Jatuh saham awak nanti.”

“No, no... of course not. If not because of you, saya pun tak tahu jadi apa.”

“Itu bukan sebab saya. Itu semua sebab Tuhan sayangkan awak.”

Catherine hanya membisu mendengar kata-kata Fateh. Bagai ada kuasa magnet yang menarik hatinya untuk berada di situ bersama Fateh. Kata-katanya, senyumannya, semuanya membuatkan Catherine tenang dan gembira. Dia tidak peduli tentang status Fateh sebagai tukang kebun. Itu hanya pekerjaannya tetapi peribadi, keberanian lelaki itu mana mungkin tidak menjadi dambaan gadis-gadis sepertinya.

Entahlah. Catherine sendiri tidak pasti bagaimana hendak menjelaskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience