Khaleeda memandang ke arah Fateh yang sedang merenung jauh ke luar jendela, seperti mengamati lanskap villanya yang dikelilingi bunga-bungaan dan pohon-pohon rendang. Dia masih menantikan jawapan Fateh dengan tenang dan sabar. Dia amat faham akan kerenah lelaki itu. Kalau lambat balasannya, tentu saja perkara tersebut sedang direncanakan dalam benak fikiran lelaki itu secara mendalam.
“Betul kau pasti, Khaleeda?”
“Ada catatan berkenaan itu tetapi, belum lagi lengkap huraiannya. Tempoh hari abang ke Gunung Tahan, apakah tidak ketemui apa-apa?”
“Tidak, hanya boleh berfirasat tetapi bagai ‘dipagar’ lokasinya.”
“Kalau begitu, adik akan meminta Suryadi supaya dapat meneliti lagi manuskrip yang ada di universiti tempat dia bekerja.” Cadang Khaleeda.
Fateh terdiam seketika. Ya, Dr. Suryadi dari Universiti Leiden, Belanda itu merupakan anak jati Padang Pariaman, Sumatera Barat adalah pakar terhadap naskhah-naskhah lama Nusantara. Lebih sepuluh tahun lalu, Fateh telah meminta supaya Dr. Suryadi mengkaji naskhah-naskhah lama (manuskrip Melayu kuno) untuk dijadikan projek kajiannya, kerana universiti dari Belanda itu ada menyimpan sebanyak hampir 20 ribu manuskrip-manuskrip lama Melayu yang dibawa oleh penjajah Belanda ke sana. Tentu sedikit sebanyak, ada klu-klu yang boleh digunakan.
Antara manuskrip-manuskrip ini termasuklah hikayat-hikayat lama, ilmu perubatan, sains dan teknologi, agama, persenjataan dan pelbagai lagi. Banyak di antaranya telah lama hilang di bumi Melayu. Ini tentu saja merugikan bangsa Melayu itu sendiri.
“Kau pun tahu, betapa banyaknya manuskrip untuk dilihat,” Fateh mengeluh kecil.
“Saya faham, bang. Tentu sukar kalau Suryadi seorang. Saya telah aturkan satu pasukan untuk membantu dia, mengendalikan soal pendigitalan manuskrip terlebih dahulu. Soal kajian tentu saja lebih memakan masa.”
“Oh, ya... Selepas salinan digital itu selesai, saya akan menghantarkannya kepada Banit. Tentu dia dapat membantu juga.” Tambah Khaleeda. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Banit mahir dengan kesusasteraan Melayu klasik dan juga yang moden.
“Itu hari, berapa kos yang telah kita laburkan untuk pendigitalan manuskrip di London?” Tanya Fateh.
“Kita peruntukkan lebih kurang 120 ribu pound sterling untuk 155 naskhah.”
“Berapa kos untuk satu naskhah?”
“Suryadi kata, satu naskhah dalam 500 halaman, sekitar 500 Euro. Anggarannya 10 juta Euro untuk 20 ribu naskhah.”
“Hmmm.. baiklah, tetapi beri keutamaan kepada perkara yang berkaitan Inderapura.”
“Semestinya, bang. Hmm... adik nak bertanya sedikit.”
“Aku tahu, kau nak bertanya soal kejadian di Tahan?” Khaleeda hanya mengangguk.
“Sudah ada kelibat payung berwarna emas dan talam berukir muncul di puncak Gunung Tahan.”
“Apakah petanda Walinong Sari akan muncul pada abad ini, bang?”
“Abang tidak gusar kalau Walinong Sari yang bakal muncul tetapi, abang risaukan kalau Raja Laksamana Petir ayahandanya Raja Mambang Segara yang berkerajaan di Gunung Tahan yang menjengah. Orang tua tu bukan boleh berkompromi. Sedangkan semenjak zaman *moyangmu Sultan Mansur tidak diendahkan kehendak baginda untuk dijodohkan anak Dato’ Temenggung, Tun Putih Cahaya Pualam dengan Walinong Sari. Apakah kau fikir dia akan peduli hal kita?”
Nota *: Puteri Tun Perak, Tun Telani (generasi pertama) merupakan permaisuri kepada Sultan Alauddin Riayat Syah yakni anakanda Sultan Mansur Syah.
“Tapi, ini sudah amanat kita untuk mencari Walinong Sari dan rahsia Pintu Dunia.” Tegas Khaleeda.
“Ini memang sukar, Khaleeda. Sudah beratus tahun keturunan kita menjejak Walinong Sari, melihat tanda-tanda di Tasik Inderapura di Pekan, Gunung Tahan- semuanya hampa.”
“Kita berusaha sajalah, bang.”
“Insya Allah, kalau sudah memang di zaman kita ini rahsia Pintu Dunia dapat kita jumpa maka, segala apa yang dikatakan ‘dunia kayangan’ itu dapat kita ketahui asal usulnya. Kuncinya sekarang ada pada Walinong Sari.”
Khaleeda hanya mengangguk-angguk kecil. Jelas amanat yang dipikul olehnya dan Tun Besar untuk bangsa Melayu itu amatlah besar. Seringkali perancangan Raja-raja Melayu berkenaan menguatkan kerajaan itu dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
Asalnya, Walinong Sari dipinang oleh Sultan Melaka untuk anak Dato’ Temenggung adalah bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan empayar Kesultanan Melayu Melaka kerana Walinong Sari ini merupakan seorang srikandi (pada zamannya), tidak terkalah hatta, kepada pahlawan-pahlawan lelaki sekali pun. Ini kerana, anakanda Dato’ Temenggung, Tun Putih tidaklah handal seni persilatannya tetapi seorang yang bijaksana yang tinggi pemikiran dan ilmu agamanya, . Oleh yang demikian, hanya bersandar kepada kebijaksanaan semata-mata tanpa kekuatan, tentulah menjadi kesukaran untuk Tun Putih menyambung tugasan ayahandanya kelak.
Justeru, pada hemat Sultan Mansur, sekiranya dijodohkan Walinong Sari dan Tun Putih pastinya kombinasi mereka berdua dalam keluarga Dato’ Temenggung akan lebih mantap lagi. Kalau tidak kerana Raja Mambang Segara muncul mendekati Walinong Sari, tentu hasrat baginda akan tercapai. Raja Mambang Segara sudah ‘potong jalan’. Jatuh pula hati Walinong Sari pada Raja Mambang Segara sehingga menjejaki Raja Mambang Segara (yang dikatakan anak raja kayangan) ke Gunung Tahan. Ini cinta punya pasal.
Sebab itu, Fateh amat pantang kalau ada di kalangan orang-orang Melayu ini bersifat ‘kayangan’ seperti Raja Mambang Segara. Habis semua dia akan tampar. Sebab sifat kayangan seperti inilah menyebabkan amanat ini terpaksa dipikul oleh Fateh dalam misi seumur hidupnya- menjejak Walinong Sari dan rahsia Pintu Dunia. Apa yang seronoknya? Seronok lagi bersantai di bawah pohon rendang dan disuap makan oleh Catherine.
Paling Fateh tidak tahan, ‘peringatan demi peringatan’ tentang amanatnya ini dijadikan pula lagu rakyat dari zaman berzaman sehingga abad ini dinyanyikan pula Dato' Seri Siti Nurhaliza- lagu Walinong Sari!
Sebab itulah... ya mungkin sebab itu, Fateh lebih gemar lagu Iron Maiden. Semestinya dia takkan ‘terserempak’ dengan lagu Walinong Sari dari mana-mana album kumpulan itu. Orang putih apa yang mereka tahu?
Nak lebih feel, kena dengar lagu Walinong Sari. Semua keperibadian puteri Datuk Bendahara Paduka Raja Inderapura ini ada diceritakan dalam lagu ini. Inderapura tu bukan negeri kayangan ya.. itu nama dulu2 untuk negeri Pahang. Dalam hikayat Puteri Wanang Sari (Walinong Sari) terjumpa dgn Raja Mambang Segara yg dok skodeng puteri dgn menyamarkan diri jd burung merpati di tepi tasik. Author andaikan Walinong Sari lepak kat tepi Tasik Inderapura (kat Taman Tasik Sultan Abu Bakar sekarang ni). Yelah, masa tu puteri on the way, pi town Pekan, Pahang ikut dayang2 soping beli kain cindai kulit manggis utk persiapan pertunangan, jadi lokasi tasik ini mmg ngam dgn cerita hikayat. Bab raja mambang jadi burung tu jgn korang tanya author sbb apa dia x menyamar jadi binatang lain. Pd hemat author, dia lelaki- mesti dia nk menggambarkan 'kelelakian' dia dengan jadi burung. kekeke
Share this novel