Rate

Bab 16: Malakatul Maut

Mystery & Detective Completed 26471

Bilik bawah di villa milik Kumarin ini merupakan suatu bilik rahsia yang dilengkapi dengan bekalan makanan, ruang pengudaraan, telekomunikasi, senjata dan apa-apa saja yang dirasakan perlu, sekiranya keadaan terdesak dan memerlukan. Bilik ini ditutupi oleh pintu besi yang padu dan dikatakan boleh menyelamatkan orang yang berkubu di dalamnya walau pun villa ini hancur dibom. Selain daripada itu, bilik rahsia ini turut mempunyai laluan rahsia keluar dari villa tersebut dan seterusnya ke jeti peribadi yang telah pun tersedia bot mewah di pantai yang berhampiran..

“Alexi, Victor- ada tak Yuri maklumkan status terkini?” Cemas sedikit suara Kumarin sambil memandang dua orang pengawal peribadinya itu.

“Er, tidak Tuan. Panggilan kami tidak dijawab...” Victor menjawab dan dia masih dalam keadaan waspada.

“Berapa orang penceroboh yang menyerang?” Tanya Kumarin, gusar.

“Itu... er, seorang saja Tuan.” Balas Victor pendek. Alexi hanya diam, mengangguk-anggukan kepalanya.

“Seorang?!” Kumarin benar-benar terperanjat. Pengawal-pengawal peribadinya ini bukan calang-calang orang. Majoriti daripada mereka merupakan elit dan mantan tentera Russia dan KGB. Orang-orang ini dipilih sendiri oleh Kumarin untuk menjaga keselamatannya. Tentu dia amat percaya dan yakin akan keselamatannya di tangan elit-elit ini.

Nota: KGB- Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti, merupakan intelligence agency dari Russia seperti CIA dari Amerika.

“Benar, Tuan.” Balas Victor.

“Bodoh, takkan seorang saja kamu semua tak boleh bereskan!” Bentak Kumarin. Marah benar Kumarin dengan skuad elitnya ini. Apakah mereka yang lengkap bersenjata tak boleh menghabiskan seorang penceroboh? Ini sangat memalukan!

“Kalau boss pun bodoh, mana mungkin anak buah pandai...” tiba-tiba satu suara berbunyi perlahan. Ini jelas didengari oleh Kumarin, Victor dan Alexi. Mereka bertiga terkejut. Sepantas itu, pandangan mereka melilau di segenap ruangan bilik bawah tanah itu terutamanya Victor dan Alexi. Senjata api di tangan, digenggam erat.

Suasana dan pencahayaan di dalam bilik rahsia itu berbalam-balam dan sedikit menyukarkan pandangan Alexi dan Victor untuk segera mengenalpasti lokasi penceroboh. Mereka hairan bagaimana penceroboh ini dapat memasuki ruang bilik rahsia yang ditutupi oleh pintu besi yang tebal. Adakah penceroboh ini memasuki melalui laluan rahsia dari arah pantai? Ini mustahil kerana pintu laluan tersebut adalah tersembunyi di dalam laut.

Tap! Terdengar sesuatu yang jatuh dari belah hujung laluan rahsia tersebut. Alexi dan Victor segera memalingkan pandang mereka ke arah bunyi tersebut. Tanpa mereka sedar, ada satu bayang manusia yang berdiri di tengah-tengah mereka dan- tup! Ada sesuatu menekan saraf mereka berdua. Alexi dan Victor tak sempat melihat apa-apa dan mereka tumbang, tidak sedarkan diri.

Kumarin yang menyaksikan kejadian ini mulai panik. Kini hanya tinggal dia seorang di situ tanpa kawalan keselamatan lagi. Bayang penceroboh itu mulai menghampirinya. Dia bergegas untuk mencapai senjata api yang tergantung di dinding bilik rahsia itu- tup! Ada sesuatu mengenai sendi lututnya. Kumarin melutut di lantai dan mengerang kesakitan. Dia cuba bangun tetapi hampa. Badannya sendiri seperti degil untuk menuruti kemahuannya kini. Dia mula diserang ketakutan.

“Mana almari pakaian?” Fateh bertanya kepada Kumarin yang kelihatan cemas dan ketakutan itu. Segera Kumarin menunjukkan ke arah di mana almari pakaian berada.

Fateh tanpa banyak bicara mula memilih pakaian yang terdapat di dalam almari tersebut. Semuanya berjenis kemeja dan seluar slack dari jenama yang mahal. Mujur terdapat pelbagai saiz pakaian tersebut- ini menunjukkan Kumarin amat bersedia pada segala kemungkinan dan keperluan yang bakal diinginkan sekiranya berlaku apa-apa. Apa yang Kumarin tidak menjangkakan, keperluan ini bukan untuk dirinya tetapi, untuk orang asing ini!

Setelah selesai menukar pakaian, Fateh duduk santai di atas sofa yang terdapat di dalam bilik rahsia itu, menghadapkan pandangan kepada Kumarin yang kini berteleku di lantai. Kumarin hanya memerhatikan segala gerak geri Fateh dengan penuh kepasrahan. Pelbagai persoalan mula bermain di benak Kumarin. Siapakah lelaki muda ini? Apakah dia bakal dijemput malakatul maut pada hari ini? Persisnya, lelaki ini seperti malaikat maut untuknya kini. Dia amat gementar sekali.

“Sungguh bagus adab tuan rumah. Aku datang dari pintu depan, dia jemput melalui pintu belakang. Disuruh pula menyelam di laut. Adakah orang Russia memang tak tahu menjemput tetamu?” Perli Fateh. Merah padam muka Kumarin kerana ‘dibahasakan’ sebegitu.

“Apa yang kau mahu? Aku boleh bayar lebih banyak lagi kalau kamu diupah orang!” Teriak Kumarin, cuba untuk menutupi keaibannya pada situasi ini. Tak pernah lagi dia diperlakukan sedemikian. Dia Kum. Godfather di St. Petersburg. Siapa yang tidak gentar kepadanya sebelum ini?

Pang! Suatu tamparan hinggap di pipi Kumarin. Bibirnya pecah dan mulutnya berdarah. Berbintang-bintang pandangannya dan kosong fikirannya tatkala itu. Keegoannya sebagai Kum hilang begitu saja. Aura penggerun mulai menyelimuti Kumarin. Badannya mula mengigil ketakutan.

“Pantang aku kalau orang mencelah sebelum aku habis bercakap.” Pendek saja amaran Fateh tanpa berbasa basi. Kumarin hanya mengaduh kesakitan.

“Vladimir Kumarin. Kau dengar sini baik-baik. Aku Fateh. Kalau kau tak mahu keselesaan yang kau nikmati ini berakhir, tak mahu Tambov berkubur dan tak mahu lenyap dari muka bumi ini- Global Phoenix jangan cuba nak ganggu syarikat carigali dari Malaysia. Lain kali kalau aku terpaksa datang ke sini, aku takkan banyak bicara seperti ini lagi.” Fateh memberi amaran yang tegas. Kumarin hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, patuh seperti budak suruhan yang paling setia.

Selesai saja kata-kata itu diucapkan, Fateh bangun perlahan-lahan dan mula meninggalkan bilik rahsia itu. Kumarin hanya terkebil-kebil kebingungan.

“Er... tuan,” Fateh menoleh ke arah Kumarin. Nada suara Kumarin begitu mengharap, pohon belas ihsan. Mungkin takut ditampar lagi.

“Apa?”

“Er... sa, saya tak boleh bergerak-”

“Selepas 8 jam nanti, kau dan kawan-kawan kau akan pulih.”

Fateh segera berlalu dan hilang dari pandangan Kumarin. Kumarin hanya pasrah di lantai, tidak dapat bergerak. Alexis dan Victor masih lagi pengsan. Kumarin tidak tahu yang Yuri juga masih bernyawa tetapi ‘lena tidurnya!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience