Rate

Bab 21: Sehelai Pavlin, Seutas Malachite

Mystery & Detective Completed 26471

“Baginda Tuanku amatlah berbesar hati dengan keberhasilan abang menjunjung perintah. Jadi, Tuanku menitahkan pada adik untuk menyampaikan amanat baginda seterusnya.” Kata Khaleeda, tenang. Pandangannya jauh ke arah pemandangan taman KLCC yang mendamaikan.

“Ah, apa lagi Tuanku mahukan?” Berkerit-kerut dahi Fateh mendengarkan kata-kata Khaleeda. Tentu saja amanat baginda Tuanku wajib dijunjung oleh Tun Besar tetapi sebagai ‘orang biasa’, Fateh gemar dengan kehidupannya yang santai sebegini. Tak perlu mengejar kuasa, mengejar kehormatan orang, harta dan segala-gala yang duniawi. Dia pernah mengecapinya dan dia tahu, lebih indah kehidupan berbanding itu semua.

“Tuanku ingin benar bersua dengan abang. Sepanjang baginda menjadi Agong, belum pernah Tun Besar bertanya khabar Tuanku.” Khaleeda hanya tersenyum memandang Fateh. Makin berkerut dahi lelaki itu mendengarkan permintaan Tuanku. Khaleeda tahu, Fateh memang tidak gemar dengan protokol istana dan segala ketertiban yang perlu dipatuhi tetapi, Fateh juga tak mahu terlancang perbuatannya kepada baginda Tuanku.

“Bukankah dari dulu lagi aku katakan, kalau tidak menyangkut soal agama, bangsa dan negara- mengapa perlu Tuanku memandang wajah ini di hadapan baginda? Mengapa kau tak jelaskan?” Fateh memandang wajah Khaleeda, sedikit geram.

“Adik sudah jelaskan tetapi, apa daya adik hendak menolak titah Tuanku.” Khaleeda masih tenang dan senyumannya bagai menyiram bara di hati Fateh. Fateh mendengus perlahan.

“Tetapi, abang jangan khuatir- adik telah aturkan dengan cara yang paling abang gemar. Tidak perlu abang hendak hadir ke istana, tak perlu merafak sembah dan menyusun adat.” Sambung Khaleeda. Mata mereka bertentang. Fateh mula mengorak sebuah senyuman kepada Khaleeda. Mereka berbalas senyuman.

“Jadi, abang tak marahkan adik?” Khaleeda mengusik.

“Aku ini orang kasar, kalau bukan kerana Tun Telani- entah berapa banyak murka Tuanku dah tertimpa ke atas batang tubuh Tun Besar. Jadi, mana layak untuk aku marah pada Tun telani.” Kata Fateh perlahan.

“Kalau tidak marah, tentunya sayang?” Tambah lagi usikan Khaleeda dengan senyuman manis yang tidak terlekang dari bibirnya- cuba melihat reaksi Fateh. Fateh terkumat-kamit untuk menjawab. Benar, selancang dan setegas mana Fateh berbicara, dengan Khaleeda, dia tak punya banyak modal untuk berbalah.

“Memang adat Tun Besar- lisannya pasti tak terungkap kata sayang. Mungkin dalam hati?” Khaleeda menambahkan lagi ‘asam dan garam’ dalam usikannya. Fateh makin terperangkap dalam permainan bicara seperti ini.

“Tapi kan...” Khaleeda makin seronok mempermainkan Fateh.

“Tapi, apa?” Fateh mula mendapat modal untuk membalas kata-kata.

“Agaknya, di hati Tun Besar itu- berapa banyak perempuan yang dia sayang?” Khaleeda ketawa kecil. Muka Fateh makin ‘suram’.

Fateh tahu, tidak guna dia bersahut dan bertingkah dengan kata-kata Khaleeda. Khaleeda adalah satu-satunya manusia yang boleh menundukkan Fateh dengan kata-kata dan kebijaksanannya. Tidak ada manusia kedua yang dapat menandingi kehebatan Khaleeda ‘menundukkan’ Fateh. Tun Besar, Fateh The Conqueror, Syaitan Kematian- boleh membuatkan sebilangan orang bermimpi ngeri tetapi, gelaran-gelaran tersebut terkadang hanya menjadi penambah ‘bahan’ untuk Khaleeda ‘menumiskan rencah’ usikannya saja kepada Fateh.

“Hmm.. abang,” kata Khaleeda dengan lembut seperti memujuk Fateh.

“Hmmm.”

“Berapa lama abang nak bekerja sebagai tukang kebun ni? Bukankah lebih baik abang kembali mengetuai Sidang Raja-Raja?”

Pertanyaan Khaleeda tidak berjawab. Fateh hanya mendiamkan diri. Sidang Raja-Raja merupakan entiti elit yang telah lama wujud gagasan leluhur Fateh dan Khaleeda sendiri, Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pada masa ini, Khaleeda yang menjadi Ketua Sidang menggantikan Fateh.

“Ada baiknya, kau mengetuai mereka buat masa ini.” Balas Fateh selepas menimbangkan sesuatu dalam fikirannya.

“Sepertinya abang ada agenda lain?”

Fateh hanya tersenyum. Khaleeda dapat mengagak tetapi dia tak mahu meneka. Khaleeda tahu, lambat laun dia akan tahu juga nanti.

Setelah beberapa ketika, Khaleeda memohon diri untuk berundur dari situ. Di hujung parkir di taman KLCC, telah tersedia kereta mewah Rolls Royce menanti ketibaan Khaleeda. Khaleeda dengan pantas masuk ke dalam kereta tersebut dan tanpa berlengah, ianya menjalar melalui Jalan Ampang ke suatu destinasi yang tidak diketahui.

Di dalam kereta, Khaleeda segera melihat isi beg kertas yang disisipkan ke tangannya oleh Fateh sebelum beredar tadi. Dia melihat ada skaf pavlin dari Kazakhstan mengikut warna kegemarannya di samping seutas gelang rantai dari Russia. Khaleeda tersenyum manis.

‘Dia memang sayangkan aku,’ bisik hati Khaleeda dan sepanjang perjalanan itu, senyumnya tak kunjung habis.

*******************

“Eh, Cat... ke sini kejap.” Panggil Alis apabila melihat Catherine yang baru pulang itu kelihatan ada ‘sesuatu’ yang baru.

“Hey, what’s wrong?” Catherine merasa hairan melihat Alis seperti ‘menyiasat’ tubuh badannya itu. Tertinjau-tinjau.

“Eh, mana kau dapat skaf ni?” Tanya Alis teruja.

“Cantik kan?” Catherine memperagakan skaf tersebut, termasuk juga gelang rantainya.

“Cantik but, where you get this?” Tanya Alis curiga kerana sebagai seorang designer, dia tahu corak-corak pada skaf itu adalah begitu asing di Malaysia. Corak-corak ini unik, ciri khasnya negara luar.

“Alah, Fateh yang hadiahkan. Tentu dari kampung dia.”

“Kampung dia kat mana? Central Asia?” Alis ketawa kecil.

“What a nonsense. Kuala Kangsarlah!” Sangkal Catherine.

“Seriously? Kat Kuala Kangsar ada jual pavlin dari Kazakhstan atau gelang rantai design dari Russia? Macam tu aku pun nak kirim next time.”

“Eh, iya ke, babe?” Catherine tidak percaya.

“Confirmlah... few years back, aku pernah design interior restoran Kazakh di Seri Petaling dan owner dia pakai pavlin macam ni. Ni gelang malachite ni, tengok dia punya frame pun dah tahu ciri khas Russian design.” Panjang lebar Alis berbicara sambil tangannya memegang pergelangan tangan Catherine.

“Hero kau kata dia balik Kuala Kangsar?” Tanya Alis. Catherine mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Er, before that dia memang ada kata nak ke Kazakhstan dan kemudian ke Russia.” Catherine segera teringat sesuatu.

“So, kau percaya dia ke Kazakhstan dan Russia?”

“Tak, aku ketawakan dia...” Berderai tawa Alis mendengarkan kata-kata Catherine. Catherine makin serba salah.

“Ye,lah. Babe, dia kan a gardener. Takkan banyak duit nak melancong luar negara, I mean not that far, kan? Berpuluh jam kot kalau ke sana? Tiket tentu mahal.” Catherine berfikir sesuatu. Alis turut sama dalam teka teki ini.

“Then, you should ask him. Rumah dia sebelah aje. Kalau kau takut, aku temankan.” Alis turut musykil. Ada benarnya kata Catherine. Bukan sekadar jauh tetapi, pergi ke dua negara pula. Adakah Fateh orang yang boleh mereka percayai? Adakah kemungkinan Fateh mempermainkan Catherine? Pantang Alis kalau ada orang cuba mempermainkan perasaan sahabat baiknya ini.

“Should I?”

“Yes, you must!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience