Rate

Bab 13: Bertamu di Kazakhstan

Mystery & Detective Completed 26471

Kazakhstan merupakan negara terbesar di Asia Tengah atau negara ke-9 terbesar di dunia. Negara ini bersempadan dengan beberapa negara lain seperti China, Russia, Uzbekistan dan beberapa negara lain, merupakan bekas anggota negara Soviet Union. Negara ini dihuni oleh pelbagai bangsa seperti bangsa Russia, Uzbek, Ukrainian dan lain-lain lagi tetapi hampir 70% didominasi oleh bangsa Kazakh yang beragama Islam.

Berik Umarov berbangsa Kazakh ini merupakan kenalan Fateh. Mereka berjumpa di Turki pada tahun 1990 sewaktu tempoh pembebasan atau kemerdekaan Kazakhstan daripada Soviet Union (kemerdekaan Kazakh dicapai sepenuhnya pada tahun 1991). Pada waktu itu, umur Berik baru sekitar 30an, seorang elit yang dihantar oleh pemimpin kemerdekaan mereka, Nursultan Nazarbayev (kemudian menjadi Presiden Kazakhstan dari tahun 1990 hingga 2019) untuk merangka strategi dan mengatur gerak gempur (sekiranya perlu) dalam usaha-usaha awal kemerdekaan negara mereka.

Pada masa itu, Fateh dijemput oleh Karakol Cemiyeti (pertubuhan rahsia atau secret intelligence organization dari Turki, yang dikatakan telah terkubur semasa pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1926) sebagai commitee member untuk memantau situasi pergerakan kemerdekaan negara tersebut. Ini merupakan salah satu khidmat bakti Fateh dalam jaringan pertubuhan-pertubuhan rahsia umat Islam yang berasal dari pelbagai negara dan Turki merupakan pusat pertemuan pertubuhan-pertubuhan ini. Gelaran Fateh di kalangan mereka adalah The Conqueror bersempena nama Khalifah Uthmaniyyah yang paling terkenal, Khalifah Muhammad Al-Fateh yang membebaskan Constantinople (kini Islambul atau Istanbul) dari cengkaman kuffar Empayar Byzantine. Sebab itu, Berik menggunakan panggilan Sang Penakluk kepada Fateh dalam talian telefon tempoh hari.

Pada tahun 1992, Berik menyertai Arystan Commando Unit, yang ditubuhkan oleh di bawah National Security Kazakhstan, merupakan sebahagian daripada Presidential Security Service negara tersebut. Antara tugasan Berik ini adalah mengawalselia keselamatan kawasan pengeluaran petroleum di bandar Aktau. Memandangkan hubungan dagang yang rapat negara Kazakhtan dengan Russia, termasuk juga pengalaman Berik dalam ‘dunia petroleum’ Kazakhstan dan Russia, tentu saja Berik merupakan calon yang sesesuai untuk Fateh ‘merisik’ berkenaan kumpulan-kumpulan tertentu yang terlibat dalam negosiasi dagangan petroleum.

Ketibaan Fateh di Nursultan Nazarbayev International Airport segera dijemput oleh Berik. Rupa paras Fateh yang tidak pernah berubah sejak puluhan tahun lalu- walau pun, sedikit sebanyak memeranjatkan Berik tetapi turut memudahkannya untuk mengecam Fateh. Segera dipeluknya Fateh dengan erat dengan linangan air mata kerana Berik telah menganggap Fateh ini sebagai guru dan juruselamatnya.

“Apa khabar kau, Berik?” Fateh hanya tersenyum melihat Berik yang masih mengesat air atanya.

“Alhamdulillah. Aku tak sangka dapat melihat lagi Sang Penakluk yang masih muda sedangkan aku sendiri dah berumur tua begini.” Berik ketawa membalas pertanyaan Fateh.

“Ah, semuanya kalau Allah berkehendakkan begitu. Jom, ke mana kau nak bawa aku ni, Berik?”

“Jom, ke rumah aku. Kau boleh makan dan rehat dahulu.”

“Bagus.”

********************

Amina isteri kepada Berik sibuk menghidangkan makanan tradisi Kazakh, dibantu oleh anak perempuannya Adiya. Segala kelengkapan dan presentation makanan dihidangkan dengan penuh teliti dan santun kerana diberitakan oleh Berik, ada tetamu kehormat akan melawat. Tentu sahaja segala-galanya perlu disediakan dengan sempurna.

“Sayang, makanan telah tersedia.” Amina segera memanggil Berik yang sedang asyik bersembang dengan Fateh.

“Baik. Ayuh, Fateh. Kau pasti kelaparan.”

Mereka berempat kemudiannya duduk di sebuah meja makan yang sederhana besar. Di atas meja itu terdapat beberapa jenis hidangan seperti beshbarmark (hidangan campuran daging kuda dan kambing), tohax (roti bulat berbijan), shalgam (seperti hidangan sayuran daripada hirisan lobak merah dan putih yang dilenyek, cili benggala, bawang, dan pelbagai bahan lain) dan pelbagai hidangan hasil tenusu.

“Makanlah, Fateh.” Jemput Berik. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepala dan tanpa berlengah lagi dia segera menikmati makanan yang disediakan.

Adiya, anak perempuan Berik sesekali akan menjeling pandang kepada Fateh. Sungguh dia ada banyak pertanyaan hendak dilontarkan kepada pemuda itu. Dia berasa hairan bagaimana bapanya yang berusia pertengahan 60an itu mempunyai kawan seperti Fateh yang masih muda. Lagak gaya bapanya, seperti kawan lama tetapi mustahil sebegitu.

“Tuan Fateh berasal dari mana?” Tanya Adiya. Gadis Kazakh ini mirip rupanya dengan gadis Cina atau Mongol. Begitulah rupa umum orang-orang Kazakh walau pun ada sedikit perbezaan yang tidak ketara.

“Malaysia.”

“Kuala Lumpur?” Tanya Adiya lagi.

“Ya, awak pernah ke sana?”

“Belum pernah tetapi, saya ingin ke sana. Mungkin untuk menyambung Master.” Kata Adiya penuh teruja.

Berik hanya tersenyum melihat tingkah laku Adiya. Amina pula sibuk melayan Fateh dan Berik di meja hidangan.

“Tuan-”

“Tak usah berTuan-tuan dengan saya, panggil saja Fateh.”

“Er, bagaimana Fateh mengenali bapa saya?” Tanya Adiya curiga. Tentu saja gadis yang bijak itu tak dapat lari dari rasa ingin tahu.

Fateh hanya memandang Adiya dengan tersenyum dan mengalihkan pandangannya pada Berik. Berik hanya ketawa kerana dia sendiri sukar untuk menjelaskan persoalan ini. Kalau diberitahu mereka berjumpa lebih 30 tahun lalu di Turki, pasti mengundang lagi pelbagai soalan kepada Adiya. Adiya dan Amina sendiri tidak tahu dia pernah ke Turki dan pernah bekerja sebagai komando Arystan. Mereka hanya tahu dia pesara syarikat petroleum. Itu saja.

Apa yang lebih sukar untuk dijawab adalah rupa paras Fateh sendiri yang kelihatan muda daripada dirinya sendiri. Tentu saja orang yang digelar The Conqueror ini tidak muda usianya. Dia sangat pasti akan hal ini kerana commitee member gabungan pertubuhan rahsia ini kebanyakannya berusia sekitar 40an sehingga 60an- seperti mana sebilangan mereka yang pernah ditemui oleh Berik pada tahun 90an.

“Oh, saya ini bekerja dengan syarikat petroleum Malaysia. Ini sebabnya saya kenal dengan ayah awak.” Jawab Fateh, berdalih. Berik hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Tapi Fateh macam begitu kenal rapat dengan bapa saya, macam kawan lama-”

“Ish, sudahlah Adiya, Tuan Fateh ni kan tetamu kehormat kita. Tak manis anak gadis bersoal jawab seperti itu.” Celah Amina mengingatkan anaknya, setelah melihat aksi kurang senang Berik terhadap Adiya yang seperti melakukan soal siasat terhadap Fateh.

Fateh hanya tersenyum sahaja mendengar kata-kata Amina. Dia tidak keberatan untuk menjawab soalan-soalan Adiya selagi tidak melibatkan perihal sebenar kehadirannya di Kazakhstan. Selain daripada itu, tentunya selagi tidak melibatkan rahsia Berik sebagai bekas komando elit Arystan dan penglibatan Berik dalam pertubuhan rahsia dunia Islam di sebelah negaranya ini. Ini tentu akan mengejutkan keluarga Berik sendiri.

Suasana menjadi hening seketika tetapi kemudian kembali meriah dengan perbualan Fateh dan Berik. Kadang-kadang mereka ketawa dan ada kalanya, mereka berdua kelihatan begitu serius sekali.

********************

Rumah Berik yang terletak di Degeleng Street ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Nursultan Nazarbayev International Airport dan kurang 10 kilometer dari pusat bandar Nur-Sultan. Rumah ini sederhana besar, mempunyai 5 bilik tidur dan kelihatan sederhana mewah berbanding dengan rumah-rumah lain di kawasan persekitaran.

Selain daripada bilik-bilik untuk mereka 3 beranak, satu bilik dikhaskan oleh Berik sebagai ruang pejabatnya. Bilik pejabat ini lengkap dengan segala peralatan pejabat, ruang untuk mesyuarat kecil dan ruang rehat tetamu.

“Bagaimana, Berik? Dah jumpa lokasi Kumarin?” Fateh duduk santai di ruang rehat di dalam ‘rumah pejabat’ Berik.

“Sudah, dia bersembunyi di rumah agamnya di Zhuravlinaya Ulitsa, daerah Primorsky kira-kira 20km dari pusat bandar St Petersburg.” Berik kemudian mengambil sekeping fail dari celah-celah rak dokumen dan menyerahkannya kepada Fateh.

Fateh segera mengambil fail tersebut dari tangan Berik dan menyelak lembaran demi lembaran yang terkandung di dalamnya. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepala dan Berik hanya memerhatikan Fateh, penuh minat.

“Bagaimana dengan kawalan keselamatan?”

“Oh, di sebabkan Kumarin kini dalam tempoh persembunyian, hanya ada sekitar 10 orang sahaja yang berkawal di rumah itu. Dia tak mahu menimbulkan kecurigaan orang di kawasan berkenaan sekiranya kalau jumlah pengawal terlalu besar.”

“Bagaimana dengan pemilikan Global Phoenix?”

“CEO Global Phoenix tu hanya proksi sahaja. Apa saja keputusan adalah di bawah telunjuk Kumarin.”

“Tambov?”

“Sama seperti Global Phoenix.”

Fateh termenung seketika, seperti memikirkan sesuatu. Berik masih setia menanti reaksi Fateh.

“Bagaimana?” tanya Berik, kemudian menuangkan secawan kopi kepada Fateh.

“OK. Aku cuma ingin berjumpa Kumarin untuk berbincang.”

“Tambov pula bagaimana?”

“Itu masalah Russia, biar Russia yang selesaikan. Aku nak selesaikan masalah dengan Global Phoenix saja.”

“Apa yang mereka buat?”

“Biasalah, masalah budak-budak yang kurang ajar.” Berik hanya ketawa mendengar kata-kata Fateh.

“Mahu aku bantu?”

“Tak perlu, aku seorang cukuplah. Lagi pun, ‘gaji’ kau besar, aku tak mampu!” Pecah lagi ketawa Berik. Fateh hanya tersengih-sengih saja melihat tingkah laku Berik.

“Bila kau nak berangkat?”

“Hmmm... tengoklah sehari dua lagi. Kenapa? Kau tak mahu layan aku lagi?”

“Mana ada? Kalau kau mahu tinggal sini terus pun aku suka!” Tegas Berik bersungguh-sungguh.

Mereka ketawa besar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience