Tidak lama setelah perjanjian perkongsian dimeterai, kerajaan China menerusi Kementerian Luarnya telah memberi publisiti yang meluas mengenai kerjasama ini pada media-media antarabangsa. China juga turut memberi amaran keras kepada sebarang usaha untuk mengagalkan usahasama strategik antara kerajaan China dan Eastar dari Malaysia dan secara spesifiknya, merujuk kepada penahanan carrier yang membawa sejumlah helikopter untuk tujuan perkhidmatan aviation kepada Tullow Oils.
Dunia perniagaan antarabangsa menjadi gempar dengan penahanan ini dan ramai tokoh-tokoh korporat antarabangsa turut menyelar tindakan tentera Amerika tersebut yang disifatkan tidak berasas dan memerli sikap Amerika yang memperjuangkan perdagangan bebas tetapi, bertindak sebaliknya.
Tekanan demi tekanan termasuk negara sekutu Amerika seperti United Kingdom terhadap isu sabotaj perniagaan ini begitu jelas kerana turut melibatkan syarikat yang berpangkalan di London, iaitu Tullow sendiri.
Akhirnya, dalam keterpaksaan dan tekanan politik dalaman Amerika sendiri, carrier yang dicharter oleh Eastar dibebaskan tanpa syarat. Ini kerana tekanan dari China sendiri adalah begitu keras dan bersedia untuk menggerakkan angkatan tenteranya ke Seychelles sekiranya tentera Amerika masih enggan melepaskan carrier yang ditahan. Sudah sifat Amerika yang tidak berani berdepan untuk berkonflik secara langsung dengan negara-negara G7 melainkan melalui proksi. Tambahan pula, negara China turut mempengaruhi perdagangan antarabangsa secara langsung termasuk Amerika sendiri melalui pelaburan konglomeratnya di China. Bukan sedikit Amerika akan rugi sekiranya China ‘naik angin’.
Berita mengenai pembebasan carrier Eastar disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan oleh Tan Sri Azman. Sungguh, kalau sabotaj itu berjalan lancar, banyak pelaburan yang telah dibuat untuk projek bersama Tullow akan hangus begitu sahaja. Banyak yang telah Eastar laburkan untuk projek terbarunya ini.
“Cat, can you arrange an event for us to celebrate tonight? I nak buat kenduri doa selamat. Just arrange the venue. Ustaz-ustaz, Harun akan jemput.”
“OK, Tan Sri.. I’ll get you informed once it’s ready.” Balas Catherine, akur. Tanpa berlengah, Catherine segera menghubungi sejumlah hotel untuk mendapatkan persetujuan mereka kerana tempahan ruang dewan untuk sesebuah majlis kebiasaannya tidak dibuat secara last minutes. Banyak perkara berkaitan dengan aturcara majlis, menu makanan dan sebagainya melibatkan persediaan yang bukan sedikit.
Fateh yang melihat Catherine yang begitu tekun untuk menyelesaikan tugasannya, hanya tersenyum. Dia tak mahu menganggu Catherine buat sementara. Nanti mencebik pula gadis itu kepadanya.
Kring! Telefon bimbit Fateh berdering.
“Hmmm, malam ini rasanya OK. Nanti aku maklumkan di mana lokasinya.”
“Baik, bang. Jangan lupa mesej saya, ya?”
“Kalau aku lupa, kau hubungi aku semula?”
“Baiklah. Saya pun akan turut serta nanti.”
“Baik. Jumpa nanti.”
Talian dimatikan. Fateh termenung sejenak, seperti memikirkan sesuatu. Nampaknya, permintaan Khaleeda ini, dia kena turutkan jua kerana pada firasat Fateh, ada keberuntungan yang bakal dia perolehi pada malam ini.
*******************
Fateh melihat Catherine begitu anggun berbusana Melayu, berkebaya labuh dan berselendang menutupi kepalanya. Sopan dan ayu sekali. Catherine hanya tersipu malu melihat renungan Fateh yang tak lepas-lepas memandangnya.
“Sayang, what are you looking at?” Kata Catherine memecahkan suasana.
“Awaklah, siapa lagi?” Fateh hanya tersenyum.
“Macam nak makan orang saja,” Catherine menjeling manja.
“Kalau boleh, dah lama saya makan.” Fateh ketawa kecil.
“Sampainya hati,” balas Catherine, memuncungkan mulut.
“Jom, nanti lambat pula. Nampaknya, kena naik kereta hari ini. Kereta awaklah.” Fateh menukar topik perbualan. Kalau dilayannya sifat manja Catherine, ada harapan mereka akan lewat ke majlis kenduri malam ini.
“Kenapa? Naik skuter kan seronok?” Catherine protes seperti tak puas hati. Tak puas hati kerana Fateh tidak melayan ‘rajuknya’ dan memang benar, dia sendiri seronok menaiki skuter. Dia boleh memeluk Fateh dengan erat dan merasa lebih intim dengan lelaki itu. Romantik.
“Ish, pakai kain macam tu... macam mana nak ‘panjat’ atas skuter?” Fateh ketawa kecil. Catherine yang tadi ‘merajuk’ turut ketawa. Betul juga kata Fateh. Habis terselak kainnya nanti. Malu.
“Jom.” Kata Catherine tanpa berlengah. Segera diserahkan kunci keretanya pada Fateh dan merangkul erat lengan lelaki itu menuju ke pintu lif.
“Eh, you all bila nak balik?” Jerit Alis dari muka pintu.
“I’ll call you!” Balas Catherine dan sejurus selepas itu, pintu lif tertutup rapat.
Alis hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dan tersenyum mengenangkan telatah Cathrine sebentar tadi.
*******************
Double Tree Hotel yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu merupakan sebuah hotel yang dimiliki oleh rangkaian Hilton Hotel. Bangunan hotel ini bertempat di sebuah bangunan besar yang dinamakan The Intermark- dahulunya, merupakan sebahagian dari Kampung Datuk Keramat. Pembangunan The Intermark dilakukan secara mixed mode development iaitu dengan menggabungkan pembinaan hotel, ruang pejabat dan mall secara bersepadu di bawah satu bumbung.
Sebagaimana hotel-hotel lain bertaraf 5 bintang, Double Tree mempunyai grand ballroom yang boleh memuatkan kira-kira 650 orang sehingga 1,300 orang bergantung kepada setup dan layout yang dikehendaki oleh pelanggan mereka. Untuk sebuah kenduri seperti majlis kesyukuran Eastar Aviation ini, seramai 650 orang tetamu dapat dipenuhi untuk setup banquet. Susun atur meja-meja banquet untuk majlis Eastar ini adalah secara free seating untuk keselesaan jemputan yang hadir melainkan meja-meja untuk jemputan khas seperti VIP (termasuk ustaz yang memimpin bacaan doa selamat) dan ahli lembaga pengarah.
Fateh hanya meminta satu meja khas untuknya dan tidak berhampiran dengan meja-meja VIP- cukup sekadar reserve saja kerana ada tetamunya yang bakal hadir hari ini tidak inginkan ‘publisiti’. Catherine juga tidak akan duduk di situ tetapi akan menemani Tan Sri Azman di meja VIP sehingga majlis selesai. Aturan ini telah dijelaskan kepada Tan Sri Azman dan seperti biasa, Tan Sri Azman hanya akur dengan kemahuan Fateh.
Setelah berbasa basi dengan Catherine untuk seketika, mereka berdua berpisah ke meja masing-masing. Catherine menuju ke hadapan dewan manakala, Fateh ke arah sudut dewan yang paling belakang, sedikit tersorok daripada pandangan hadirin yang lain.
Kelihatan di meja tersebut, kelibat Khaleeda, tiga orang lelaki dan seorang perempuan telah pun berada di situ. Fateh segera mendapatkan mereka dan duduk di samping Khaleeda yang hanya tersenyum manis memandang Fateh. Suasana di meja itu hening sahaja, seperti mengikuti perjalanan majlis dan sesekali mereka hanya berbual kosong untuk menghilangkan kebosanan.
“Apa hajat Tuanku mencemar duli ke mari?” Tanya Fateh memandang kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang menyamarkan diri sebagai orang tua yang memakai tongkat. Fateh hanya ketawa dalam hati melihatkan kesungguhan Baginda Tuanku mencemar duli hingga terpaksa berbuat sedemikian.
“Ah, kalau bukan sebab Tun Besar, Beta takkan sanggup berambut putih dan berjanggut panjang sebegini,” Baginda Tuanku memerli Fateh tanpa berselindung. Fateh hanya ketawa kecil.
“Ampunkan patik, Tuanku. Tetapi, sesekali berperwatakan begini, bukankah lebih seronok daripada beralaskan adat di istana?” Giliran Baginda Tuanku pula ketawa kecil. Memang benar, Baginda merasa seronok kerana kehadirannya tidak mengundang tumpuan orang ramai. Dia bebas melakukan apa saja tanpa perlu banyak protokol. Namun, sebagai ketua negara, Baginda masih lagi membawa pegawai pengiring di kiri kanannya sebagai langkah waspada.
“Beginilah. Selain untuk bersua muka dengan Tun Besar yang mashyur, Beta hendak kenalkan kamu- ini Faridah.” Fateh hanya tersenyum memandang Faridah tanpa mengerti apa-apa. Ya, apa signifikannya Faridah kepada Tuanku dan apa sebabnya Faridah diperkenalkan, Fateh akan tahu juga nanti.
Faridah hanya membalas senyuman Fateh itu dengan senyuman juga. Perawakannya amat menarik mata memandang dan busananya pada malam ini dengan baju kurung Pahang bercekak musang, menambahkan keanggunannya sebagai perempuan, yang Fateh kira dalam anggaran awal 30an. Namun, ada suatu aura yang menarik terdapat dalam diri Faridah. Bukan Fateh saja yang menyedari akan hal ini tetapi, Khaleeda juga turut dapat merasainya namun, dia buat-buat tidak peduli.
“Aduh, sungguh tinggi sanjungan Tuanku pada patik, pacal yang hina ini.” Balas Fateh, merendah diri tanda hormat kepada Baginda Tuanku. Apa-apa pun, dia sendiri masih dibawah naungan Raja-raja Melayu.
“Tun Besar tak usah merendahkan martabat. Kalau hendak dikira keturunan, apa bezanya kita yang saling berkerabat. Tun Besar juga dari istana, Beta juga dari tempat yang sama. Oh, ya hampir terlupa Beta- Dr. Faridah ini pakar dalam EMF array.” Balas Baginda Tuanku. Fateh dan Khaleeda saling berpandangan apabila mendengarkan kata-kata Baginda Tuanku.
“Satu lagi, Faridah ini keturunannya Panglima Kakap Husin, Penghulu Hulu Tembeling.” Tambah Baginda Tuanku sambil tersenyum. Makin bulat mata Fateh melihat Faridah. Khaleeda juga tidak menyangka. Wajah mereka berdua menjadi begitu teruja dan ceria.
Nampaknya bagai bulan jatuh ke riba, pertemuan dengan Faridah ini bukan sahaja sekadar menambahkan ‘koleksi’ rangkaian kenalan Fateh dan Khaleeda tetapi, Faridah ini dijangkakan bakal menjadi watak penting kepada penyelesaian array yang memagari di kaki lembah Gunung Tahan. Mereka sedar, kalau array ini dapat diselesaikan, misteri Walinong Sari, Pintu Dunia dan Gunung Tahan itu sendiri semakin hampir menemui jawapannya. Apa pun, Fateh dan Khaleeda hanya boleh berharap sedemikian dan harapan itu tidak sekadar angan-angan. Ternyata kehadiran Baginda Tuanku, membawa ‘hadiah’ tidak ternilai. Menjunjung kasih Tuanku!
Share this novel