Bab 19: Antara Ketakutan Dan Kerinduan

Mystery & Detective Completed 26830

Kumarin mundar-mandir di ruang tamu villanya. Sesekali dia berhenti dan diteguknya vodka bagai menghilangkan keresahannya namun, semakin banyak diteguknya, semakin bingung fikirannya ketika ini. Yuri hanya memandang bossnya itu dengan tenang, hanya mengawasi keadaan.

“Yuri, mana Sergey?” Kumarin tidak sabar lagi.

“Dia dalam perjalanan Tuan.”

“Si celaka itu, tak tahu ke aku ada hal penting!” Bentak Kumarin.

Kira-kira 10 minit kemudian, sebuah kereta mewah menjalar masuk ke ruang halaman villa itu. Tanpa berlengah, seorang lelaki dalam lingkungan 40an, lengkap dengan suit hitam, segara menemui Kumarin.

Pang! Lelaki itu memegang pipinya. Dia terpinga-pinga mengapa Kumarin begitu marah padanya tetapi, dia tidak berani untuk bersuara. Nahas kalau dia bersuara nanti. Jadi, dia hanya memilih untuk menanti, apakah yang sebenarnya terjadi.

“Celaka kau Sergey, apa yang kau dah buat!” Jerkah Kumarin.

“Er... saya tak mengerti, Tuan.” Perlahan sahaja suara Sergey bertanya, dengan santun dan patuh sebagaimana layaknya dia sebagai orang suruhan Kumarin.

“Syarikat mana dari Malaysia yang kau peras komisyennya?” Merah mata Kumarin, menjegil pada Sergey.

“Er, syarikat carigali Malaysia? Oh, itu fi ‘kerjasama’ di kawasan Timano-Pechora, saya jalankan seperti biasa, 50% daripada hasil penemuan mereka nanti.” Kata Sergey penuh yakin.

Pang! Satu lagi tamparan hinggap di pipi Sergey. Sergey semakin keliru dengan perlakuan Kumarin ke atasnya. Apakah ‘kebiasaan’ itu salah? Dia cuba mengingati, apakah yang dilakukannya itu melanggar norma biasa yang mereka lakukan. Tidak. Dia yakin tidak tapi, mengapa?

“Batalkan ‘kerjasama’ dengan mereka. Segera!”

“Er, mengapa-”

Pang! Kumarin tidak memberi peluang.

“Baik, Tuan.” Sergey segera mengerti. Kumarin mahu Global Phoenix mengundurkan diri dari urus niaga ini. Dia kena akur. Tanpa berlengah, dia segera menelefon sekretarinya untuk menghubungi syarikat carigali Malaysia tersebut dan memaklumkan penarikan diri Global Phoenix dalam ‘kerjasama’ sebelum ini. Dia tahu, buruk padahnya kalau Kumarin mengamuk nanti.

*******************

“Begitu?” Fateh meminta kepastian.

“Betul, Tuan.” Yuri meyakinkan perkhabaran berkenaan penarikan Global Phoenix dari terlibat dengan syarikat dari Malaysia tersebut.

“Hmmm... nampaknya boss kau masih berakal.” Fateh hanya tersenyum sinis.

“Pakcik, sayang... rancak nampaknya kamu berdua berbual,” Banit muncul tiba-tiba dari arah dapur, membawa minuman petang itu.

“Tidak ada apa-apa, Banit. Aku katakan pada Yuri, aku akan pulang esok.”

“Eh, begitu cepat?!” Banit tersentak. Hampir sahaja cawan yang dipegang terlepas dari tangannya. Yuri segera memegang tubuh isterinya yang dirasakan, kurang ‘stabil’ ketika itu. Diusapnya belakang Banit, bagi mententeramkan perasaan isterinya yang begitu emosi.

“Kerja aku dah selesai. Kau pun ada ‘penjaga’ yang baik. Jadi, aku rasa tak elok aku berlama-lama lagi di sini.”

Selesai sahaja Fateh berkata-kata, Banit segera meluru ke arah Fateh dan memeluk lelaki itu dengan penuh sebak dan tangisan. Dia tahu, mungkin ini adalah pertemuan terakhir mereka. Dia pernah berharap untuk bertemu dengan juruselamatnya ini selama hampir 30 tahun. Hajatnya dimakbulkan Tuhan. Apakah dia punya masa andai dia ingin lagi berjumpa dengan Fateh? Dia tahu, Fateh tak bisa dicari dan tak mahu dicari. Dia hanya boleh mengharap dan menanti, itu pun kalau Fateh yang ingin menemuinya. Oleh sebab itu, perpisahan seperti ini seumpama berpisah mati malah, lebih teruk lagi. Mati akan terus memutuskan harapan tetapi, berpisah hidup melahirkan banyak harapan yang membebankan.

“Ah, tak usah kau menangis begini. Kalau kau senang, nanti datang ke Malaysia dengan Yuri,” Fateh cuba menghiburkan Banit.

“Benar?” Banit berasa bebanan harapannya kian ringan, dia tersenyum manis walau pun masih lagi tidak kurang sendunya.

“Ya, Yuri ada nomborku.” Fateh mengenyitkan mata pada Yuri. Yuri hanya membenarkan apa saja kata-kata Fateh kepada isterinya.

“Oh, ya... sebelum aku pulang, aku mahu kau menemaniku Banit.”

“Boleh, tentu saja boleh, pakcik. Pakcik nak ke mana?”

“Beli cenderamata!” Banit hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mukanya kini tidak lagi dirundung duka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience