Rate

Bab 49: Makan Besar

Mystery & Detective Completed 26471

Ipoh merupakan sebuah bandar di negeri Perak yang mendapat namanya dari sebuah pohon bernama pokok epu atau pokok ipoh yang mempunyai getah yang beracun- sering digunakan oleh masyarakat orang asli, menyaluti mata sumpit mereka.

Bandar ini berasal dari perkampungan Melayu di Paloh dan terletak di sepanjang Sungai Kinta- mencapai kegemilangan dan pembangunan yang pesat pada tahun 1880an kerana aktiviti perlombongan bijih timah sehingga menjadikan bandar Ipoh menjadi bandar kedua terbesar dalam Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1895. Pada tahun 1937, Ipoh diangkat sebagai ibu negeri Perak menggantikan Taiping dan seterusnya pada tahun 1988 dinaiktaraf sebagai sebuah bandaraya.

Ipoh adalah bandaraya yang paling hampir dengan Kuala Lumpur di utara Semenanjung Malaysia, kira-kira dalam 180km jarak antara keduanya. Kalau tidak ada apa-apa aral, pemanduan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa kurang atau sekitar 2 jam sahaja.

Kampung Catherine terletak di Jalan Guntong, Kampung Baru Buntong iaitu kira-kira 10km dari tol Ipoh utara dan hanya kurang 5km dari bandar Ipoh. Perkampungan ini majoritinya terdiri dari masyarakat Cina selain daripada orang-orang India dan Melayu di kawasan sekitarnya.

Dalam perjalanan, Catherine nampak begitu ceria sekali, tidak seperti beberapa hari yang lepas. Banyak perkara diceritakan kepada Fateh termasuk juga kenangannya waktu kecil di Ipoh. Hanya sesekali Fateh menyampuk, merancakkan cerita dan mereka saling bergurau senda. Ada masanya juga, Catherine lebih gemar menyandarkan kepalanya ke bahu Fateh, atau mengelus jari jemari lelaki itu ke pangkuan ribanya. Fateh hanya diam dan membiarkan saja perlakuan Catherine itu, tanpa banyak bicara.

“Sayang, awak masih ingat simpang masuknya, kan?”

“Ya. Rumah bakal mertua, takkan boleh lupa?” Catherine hanya tersengih mendengarkan balasan Fateh.

Sesampainya di hadapan rumah Catherine, Carol dan Stephen telah sedia menanti. Rumah yang berwarna kelabu cerah dan setinggi 3 tingkat itu kelihatan tersergam indah dan merupakan antara rumah yang kelihatan gah di Jalan Guntong. Rumah itu juga tidak jauh dari Gereja St. Augustine- tempat Stephen melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan pada hari minggu.

“Hi, Fateh- welcome!” Ceria sahaja Carol menyambut Fateh dan Catherine. Stephen turut mempelawa Fateh masuk ke dalam rumah.

“Terima kasih aunty Carol, uncle Stephen,” balas Fateh dan segera bersalaman bersama mereka berdua ibarat seorang anak. Catherine hanya tersenyum melihat budi bahasa yang Fateh tunjukkan. Hanya kalau dia tahu, umur Fateh sendiri jauh melebihi ibu dan bapanya- dan kalaulah ibu bapanya tahu akan hal itu, tentu mereka berdua yang akan bersalaman dan mencium tangan Fateh.

“How long you will stay in Ipoh, Cat?” Tanya Stephen kepada Catherine, setelah mereka selesai memunggah luggage dan bersantai di ruang tamu.

“Until Sunday. Balik ni pun sebab Fateh nak jumpa papa dan mama.” Ceria saja suara Catherine berbicara. Serentak dengan itu, Stephen dan Carol memandang Fateh yang hanya tersenyum saja.

“Oh, begitu- OK, kamu berdua berehat dahulu. Malam nanti, kita makan di luar bersama-sama.” Ujar Stephen sambil tersenyum. Sungguh dia berasa bahagia melihat anaknya begitu ceria bersama Fateh. Carol turut merasakan hal yang sama.

“Oh, ya- Fateh, selama di Ipoh ni, stay saja bersama kami. Jangan tinggal di hotel pulak.” Sahut Carol. Stephen hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

*******************

Ipoh kaya dengan pelbagai jenis masakan dan makanan yang enak, tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Pulau Pinang malah, lebih hebat lagi untuk penggemar makanan Cina- daripada yang halal atau pun tidak. Tentunya untuk meraikan kehadiran Fateh, Stephen membawa mereka sebuah restoran yang halal.

Di restoran Assam House Greentown merupakan salah satu contoh restoran makanan Cina yang halal dengan pelbagai menu pilihan terutamanya untuk masakan ala baba nyonya.
Hari ini Stephen telah menempah satu meja untuk mereka anak beranak menikmati makan malam bersama Fateh. Meja mereka penuh dengan menu pilihan Stephen seperti kari asam kepala ikan kerapu, pucuk paku masak lemak, udang asam jawa, tofu isi ketam dan lain-lain lagi. Fateh hanya tersenyum melihat kepelbagaian menu yang ada.

“Eh, Fateh... sila, sila. Jangan malu.” Pelawa Stephen. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda akur. Catherine pula mengambil kesempatan menyepit lauk-pauk dan diletakkan ke dalam pinggan nasi Fateh. Bukan setakat itu sahaja, Catherine juga turut menyuapkan beberapa lauk yang dirasakannya lazat ke mulut Fateh. Fateh hanya menurut sahaja. Perlakuan Catherine ini turut menarik perhatian Stephen dan Carol.

“Sayang, tengoklah anak perempuan awak. Sudah ada boyfriend- papanya sendiri dia tak peduli,” usik Stephen. Carol hanya ketawa kecil.

“Ish, papa ni.” Merah muka Catherine kerana diperli oleh bapanya. Tak sedar pula tentang kelakuannya tadi almaklumlah, ianya seperti sudah menjadi ‘tabiat’ Catherine melayani Fateh sejak mereka berdua berpacaran.

“Hmmm... nampaknya anak awak sudah lulus untuk melayan suami,” tambah Carol sambil memandang ke wajah Catherine. Makin merah muka Catherine mendengar kata-kata ibunya itu. Bertambah galak Stephen ketawa.

“Oh, ya Fateh. What’s your planning in the future?” Tanya Stephen setelah ketawanya reda. Carol dan Catherine hanya diam, memasang telinga.

“Saya faham maksud uncle, itulah yang saya nak bincangkan,” balas Fateh.

“Er, both of you dah dewasa. So, uncle dan aunty tak mahu menghalang perhubungan kamu, kalau dah memang kamu berdua suka sama suka but, you know- as parent we need some ‘assurance’. Takkan nak biarkan kamu berdua tanpa ikatan. Lagi pun kami dah tua, teringin nak timang cucu pula.”

“Ish, papa ni.” Tersipu-sipu Catherine mendengarkan kata-kata bapanya. Fateh hanya mengangguk-angguk, tanda faham maksud Stephen.

“Betul kata papa tu, Cat. Mama pun tak sabar nak bercucu ni!” Seloroh Carol. Carol dan Stephen ketawa besar melihat reaksi Catherine yang kelihatan serba salah dan tak senang duduk kerana usikan ibu bapanya itu. Fateh hanya tersenyum sahaja melihat keakraban anak beranak itu.

*******************

“Betul?”

“Betul, boss. Saya nampak Catherine tadi. Cikgu Stephen pun ada.”

“Bagus. Esok aku akan ke rumah mereka.”

“Tapi boss, saya tengok ada lelaki Melayu di situ. Saya ingat boyfriend dia.”

“Boyfriend?! Serius? Kau tak main-main?”

“Confirm boss, Catherine siap suap makanan lagi. Mesra sangat ni, boss.”

“Suap makan? Celaka!”

“Macam mana boss?”

“Kau bawak lelaki itu jumpa aku. Panggil orang-orang kita ‘angkut’ itu budak Melayu!”

“OK, boss.”

James Leong menumbuk meja kopi yang berada di sampingnya. Nasib baik meja itu diperbuat daripada kayu yang keras, kalau tidak mungkin juga boleh terbelah. Penumbuk James merah dan kelihatan melecet dan berdarah. Sakit sekali tetapi, sakit lagi hatinya.

Keluarga Leong amat terkenal di bandar Ipoh, boleh dikatakan tergolong dalam golongan orang-orang kenamaan Cina di sini kerana moyang mereka merupakan salah satu daripada tauke-tauke Cina yang menjadi pioneer dalam pembangunan bandar Ipoh semenjak zaman melombong bijih timah lagi. Oleh itu, tidak hairan sekiranya James Leong turut mewarisi legasi kekayaan dan dipandang tinggi oleh masyarakat Cina di Ipoh.

Keluarga Leong terutamanya James memang sudah lama ingin menjadikan Catherine sebagai ahli keluarga mereka. Mereka yang fanatik dengan feng shui, mengandaikan dengan menjadikan Catherine sebagai isteri James, keluarga mereka akan memperolehi kekayaan dan kemakmuran yang berpanjangan. Semenjak pertemuan pertama ayah James, George Leong melihat Catherine yang masih kanak-kanak ketika itu di Gereja St. Augustine, dia telah bulat tekad untuk menjadikan anak gadis ini sebagai menantunya pada masa hadapan.

“Kau kenapa ni, dah gila?!” Bentak George melihat kelakuan anaknya yang begitu semberono.

“Bukan, ayah. Budak kita nampak Catherine bawa balik boyfriend berjumpa cikgu Stephen.”

“Boyfriend? Mana boleh! Catherine bakal menantu aku!” George bertambah berang. Sudah lama dia ‘mengidamkan’ Catherine sebagai menantu- entah celaka mana yang sudah potong jalan. Ini tak boleh dibiarkan!

“Saya dah suruh budak-budak kita ‘angkut’ budak Melayu tu. Nanti kita akan ajar dia cukup-cukup!”

“Eh, budak Melayu?” Terpinga-pinga George mendengar kata-kata anaknya, James.

“Ya, ayah. Budak Melayu! Kalau budak Cina mungkin saya boleh bersabar lagi.”

“Celaka budak tu. Sudah habis ke perempuan Melayu kat Ipoh ni, berani dia nak rampas menantu aku. Kau uruskan James, bawa budak tu ke mari- biar dia kenal siapa George Leong di Ipoh ni!”

Anak beranak keluarga elit Cina di Ipoh ini sudah mula hangat. Muka mereka merah padam kerana marah. Ini sangat menyakitkan hati mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience