Rate

Bab 38: Bonda Srikandi Gagasan Bendera Merah

Mystery & Detective Completed 26471

Apabila melangkah masuk saja ke ballroom, Fateh segera disapa oleh Nizam. Nizam merupakan penaung gagasan Bendera Merah dan semestinya dia merupakan orang yang paling dihormati dalam perjumpaan ini. Fateh hanya mengisyaratkan Nizam supaya berkelakuan seperti biasa saja kepadanya supaya tidak menimbulkan sebarang kecurigaan kepada orang lain. Fateh tidak mahu jadi tumpuan orang.

“Zam, aku nak makan dulu. Kau buat saja kerja kau.” Arah Fateh dan Nizam hanya menganggukkan kepala, tanda faham.

Sudah menjadi kelaziman kepada Fateh apabila menghadiri majlis-majlis keramaian seperti ini untuk menjamu selera terlebih dahulu- ibarat menjadi kesukaannya pula. Dari deretan juadah ke juadah yang lain, Fateh seperti kanak-kanak yang masuk ke gedung barangan permainan. Dia akan menikmati setiap juadah tanpa segan silu. Nizam yang melihat dari kejauhan hanya tersenyum melihat telatah Fateh- siapa yang sangka Tun Besar tidak punya ‘imej’ yang ‘besar’ pada pandangan orang biasa. Sering kali konflik berlaku kerana sangkaan yang salah seperti ini.

“Di sini ada orang?” Tanya Fateh kepada seorang pemuda di sebuah meja makan- menunjukkan sebuah kerusi yang kosong di situ. Di meja itu terdapat lagi beberapa orang pemuda yang seakan-akan sebaya dengan pemuda tadi. Mungkin mereka satu seperguruan atau kenalan pemuda itu.

“Hmmm,” balas pemuda itu, acuh tak acuh kepada Fateh. Fateh segera meletakkan hidangannya dan mula duduk untuk bersantap.

“Eh, kau siapa? Siapa benarkan kau duduk di sini?” Kata seorang lagi pemuda yang duduk di situ. Fateh yang baru hendak menyuap hidangan, terhenti. Diperhatikan pemuda yang menegurnya tadi dengan penuh minat. Jelas, mereka memang berniat untuk mempermainkan Fateh.

“Bang Long Adli, tak usahlah marah pada budak tu... bukan level abang,” sambut seorang lagi.

“Betul kata kau, Kala- apa kata kau aje yang halau budak ni dari sini,” balas Abang Long Adli.

“Apa nak susah, kita syooh aje, tercirit dia blah!” Kala menambah. Mereka berenam ketawa terbahak-bahak.

Fateh tak kuasa nak bertelagah, ‘semut-semut’ seperti mereka ini hanya membuang masanya untuk dilayan. Sambil tersenyum, Fateh segera mengangkat pinggan juadahnya dan beredar dari situ.

“Kan aku kata, mamat tu kalau dengar nama Abang Long Adli, tentu tercirit! Tu nak cari jamban la tu.” Kata Kala sambil ketawa mengekek. Fateh buat-buat tidak dengar. Matanya sibuk melilau mencari tempat kosong untuk bersantap.

Keadaan Fateh yang bergerak dari satu meja ke satu meja, mencari ruang untuk bersantap tidak dilayan. Semua orang menolak. Semuanya seperti sudah penuh. Kalau ada yang kosong pun, telah direserve untuk orang lain. Abang Long Adli, Kala dan rakan-rakan mereka seramai empat orang lagi hanya ketawa terbahak-bahak melihat keadaan Fateh.

Tiba-tiba, suasana dewan menjadi hening seketika. Kehadiran Khaleeda yang berkebaya putih dan cantik jelita segera menjadi tumpuan hadirin yang majoritinya lelaki. Mereka terpegun. Ahli-ahli kehormat dari gagasan Bendera Merah segera bangkit dan diikuti oleh seluruh hadirin yang hadir kerana figura ini merupakan tokoh terpenting dalam perjumpaan ini- dia lah Tun Telani, Bonda Srikandi Bendera Merah. Keperwiraan dan keanggunan Bonda Srikandi memang sudah lama menjadi buah mulut sekelian pertubuhan yang ada pada malam ini. Mahaguru-mahaguru yang hadir turut memberikan salam hormat kepada Khaleeda.

Mengikut ceritanya yang berlegar, tidak ada satu pun Mahaguru-mahaguru seni bela diri di dalam majlis ini pernah menewaskan Khaleeda. Jadi, walau pun, Bonda Srikandi cantik jelita yang tiada kepalang, tiada siapa yang berani mendekati walau pun untuk berbasa basi. Sedangkan penaung gagasan Bendera Merah yang tersohor, Nizam (atau gelarannya Adiguru Putra) pun hanya menunduk hormat apabila berhadapan dengan Bonda Srikandi, inikan orang sembarangan.

“Kau tahu, aku pernah berjumpa Bonda Srikandi tahun lepas pada satu perjumpaan Bendera Merah, Bonda senyum bila tengok aku.” Kata Abang Long Adli kepada rakan-rakannya yang lain, mendabik dada.

“Serius ke Bang Long? Untunglah! Kami ni dapat tengok dari jauh pun dah rasa bangga.” Sambut salah seorang dari mereka dengan rasa takjub.

Ketakjuban ini bukan tiada asasnya, mendekati Bonda Srikandi bukan semudah dengan hanya meluru ke arahnya- ini kerana walau pun pengiring-pengiring Khaleeda seperti tidak berada di sekelilinginya tetapi, mereka ada pada setiap penjuru dewan, mengawasi setiap pergerakan orang-orang yang ‘tidak berkenaan’ untuk menghampiri Khaleeda. Setiap tindakan pengiring-pengiring elit ini adalah begitu ‘halus’ sekali sehingga tiada siapa yang menyedari ada sesuatu yang telah berlaku. Jelas, menghampiri Khaleeda ibarat seperti ingin menghampiri matahari. Boleh binasa diri!

Fateh tidak hiraukan apa yang berlaku tatkala ini, matanya masih meliar mencari tempat kosong untuk segera bersantap. Juadahnya semakin lama makin sejuk- ini membuatkan Fateh berasa sangat gusar. Dia berperang dengan masa.

“Bang, masih lagi mencari tempat duduk?” Suatu suara yang amat Fateh kenali, menegurnya lembut.

“Hmmm, nampaknya susah nak bersantap dalam majlis Bonda Srikandi,” Fateh memerli Khaleeda. Khaleeda hanya tersenyum.

“Apakan daya, Tun Besar tak enak duduknya di tempat yang kami sediakan. Duduknya lebih empuk di tempat orang kebanyakan.” Khaleeda pulang paku buah kerasnya. Fateh hanya terdiam. Memang benar, dia tak perlukan layanan istimewa daripada sesiapa pun tetapi, adakalanya, hal sebegini turut ‘menyusahkan’ dirinya sendiri. Lebih ‘susah’ kalau melibatkan makanan!

“Sudahlah, bang. Nanti makanan sejuk. Ayuh!” Khaleeda segera merangkul lengan Fateh dengan mesra. Khaleeda tahu ragamnya Fateh. Bab menyegerakan makan, memang lelaki itu takkan membantah. Khaleeda segera ‘menuntun’ Fateh ke meja yang dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat gagasan Bendera Merah.

Aksi spontan Bonda Srikandi kepada seorang pemuda yang tidak dikenali ini, membuatkan hadirin terkejut dan terpinga-pinga. Pelbagai persoalan tentang identiti pemuda itu mula berlegar. Siapakah pemuda itu? Mengapa Bonda Srikandi yang begitu ‘reserved’ dan tak ‘tersentuh’ itu begitu mesra sekali dengan pemuda misteri itu?

Datuk Mahaguru Megat Mustofa dan Bakri turut terpegun dengan kejadian ini. Abang Long Adli, Kala dan rakan-rakan mereka yang berjaya ‘menghalau’ Fateh hanya ternganga, tidak percaya.

Untuk kali kedua, peluh dingin mengalir lagi di dahi Datuk Mahaguru Megat Mustofa. Bakri, Abang Long Adli, Kala dan rakan-rakan mereka mula tidak senang duduk. Tubuh mereka mula mengigil seperti kesejukan. Jika pemuda itu insan yang dipandang istimewa kepada Bonda Srikandi, apalah daya dan ‘prestij’ mereka untuk memperolok-olokan pemuda tadi- ini namanya mencari geruh kemurkaan Bonda Srikandi. Hukuman Bonda Srikandi pula, tak pernah ringan- ada yang hilang segala ilmu persilatan, ada yang cacat dikerjakan malah, ada yang terlantar dan lumpuh sampai sekarang!

Tak sampai 5 minit, Bakri dah ulang ke toilet sebanyak 3 kali!

Salam kemerdekaan yang ke-64 buat semua pembaca The Big Boss di mana jua anda berada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience