Rate

Bab 14: Rajawali Yang Bebas

Mystery & Detective Completed 26471

“Nampaknya, awak ni ada banyak teman wanita?” Tegur Adiya yang menemani Fateh membeli souvenir unik dari Kazakhstan, pavlin- sejenis skaf yang penuh corak-corak yang menarik dan pelbagai warna.

“Kenapa? Awak nak masuk dalam senarai?” Fateh bergurau dengan Adiya. Benar, walau pun baru dua hari Fateh berada di rumah Berik, anak gadis Berik ini mudah mesra dengan orang. Telatah dan tingkah lakunya yang aktif dan ceria, membuatkan orang lain senang mendampinginya.

“Lelaki memang begitu, kan? Tak cukup dengan satu?” Perli Adiya. Fateh hanya tersengih. Nyata, isu lelaki memiliki ramai isteri atau teman wanita adalah isu global wanita sejagat, bukan khusus untuk wanita-wanita Melayu sahaja.

“Kalau boleh ada empat rumah, kenapa hanya beli satu?” Fateh hanya ketawa membalas. Adiya menarik mukanya, menyampah. Ini menyebabkan Fateh bertambah geli hati.

Fateh kembali fokus kepada skaf-skaf yang terpamer. Harga-harga skaf ini sekitar 9-15 ribu Tenge (KZT9,000-KZT15,000) iaitu dalam lingkungan RM90 hingga RM150. Setelah puas dibelek-belek oleh Fateh, dia berpuas hati dan membeli 3 skaf yang dirasakannya terbaik dan paling cantik. Adiya juga turut berpuas hati dan ada di antaranya dipilih sendiri oleh Adiya.

“Nah, untuk awak.” Fateh menghulurkan salah satu skaf yang dibelinya kepada Adiya. Adiya sedikit kaget kerana tidak menyangka, skaf yang paling diminati corak dan warnanya itu dihadiahkan oleh Fateh.

“Kenapa?” Adiya bertanya keliru.

“Saya rasa, awak betul-betul mahukan yang ini, kan?” Adiya mengangguk-angguk kepalanya.

“Esok saya akan berangkat ke Russia- jadi, ini hadiah saya kerana awak sudi temankan saya pada hari ini.”

“Cepatnya?” Adiya kaget.

“Ada urusan kerja. Begitulah, tidak boleh berlama-lama.”

“Bila awak akan ke Kazakhstan semula?”

“Entah.”

Adiya hanya terdiam mendengarkan jawapan Fateh. Tiba-tiba hatinya berasa sayu. Entah, baru saja dia nak bermesra dengan Fateh. Baru merasakan keseronokan berkawan dengan lelaki itu tetapi- tup! Hilang.

“Kalau saya tak kembali, awak datanglah ke Malaysia. Kan awak kata nak sambung Master di sana?” Adiya mengangguk-angguk mendengarkan kata-kata Fateh, senyuman mulai terukir di bibirnya.

“Ah, di negara saya pun awak membuli saya, entah apa pula kalau saya di negeri awak?” Adiya menjuihkan bibirnya.

“Siapa yang berani nak membuli awak tu? Wanita Kazakh bukan senang untuk dibuli.” Adiya hanya ketawa mendengar kata-kata Fateh itu. Ya, wanita Kazakh secara turun temurun bukan jenis wanita yang lemah. Mereka kuat bekerja membantu keluarga.

Mereka kemudian bersantai di mall tersebut, makan dan minum sebelum pulang ke Degeleng Street.

********************

“Sayang,” kata Amina seperti berbisik kepada Berik. Di halaman rumah kedengaran sedikit riuh dengan tawa Adiya, yang sedang berbual-bual dengan Fateh.

“Hmmm.” Berik yang sedang membaca buku seperti acuh tak acuh dengan Amina.

“Nampaknya anak gadis awak begitu mesra dengan tetamu kita?” Amina masih tak mengalah untuk mengajak Berik berlawan bicara.

“Kenapa?” Berik menghentikan bacaannya dan kemudian memandang Amina. Aminah memuncungkan mulutnya, seperti menunjuk ke arah halaman luar rumah mereka. Ketawa Adiya masih kedengaran.

“Tidaklah. Anak gadis awak kan serius sahaja kalau dengan budak lelaki yang lain. Ini dengan Fateh, mesra sekali.”

“Jadi?” Berik seperti malas untuk melayan spekulasi Amina.

“Nampaknya, mereka seperti secocok!” Kata Amina sambil tersenyum. Aminah mula memasang niat. Anaknya kini sudah berusia 25 tahun. Rata-rata anak gadis moden di Kazakhstan sudah bernikah dalam usia sebegitu.

Berik hanya terdiam. Diletakkannya buku yang dibacanya tadi ke samping. Dia bangun perlahan-lahan dari kerusi dan kemudian meninjau ke halaman rumahnya. Kelihatan Adiya sedang duduk bersantai di suatu ruangan khas bersama dengan Fateh. Mereka sedang berbual-bual mesra.

“Hmmm... kita tak ‘mampu’ Amina.” Berik berkata-kata perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Lemah saja suara Berik.

“Apa maksud sayang?” Amina tak mengerti. Kemampuan apa yang Berik maksudkan. Mereka ada segala-galanya. Mereka sekeluarga walau pun bukan yang paling kaya di Kazakhstan tetapi, mereka boleh dikategorikan sebagai orang senang.

Berik termenung panjang sebelum memberikan jawapan yang paling bernas untuk Amina fahami. Ya, orang Kazakhstan secara umumnya bukan orang-orang susah yang hidup berpindah randah seperti zaman nenek moyang mereka. Secara purata, rakyat Kazakhtan hidup dengan gaji KZT387,000 sebulan atau kira-kira RM3,800 sedangkan di Malaysia purata gaji rakyat Malaysia adalah sekitar RM2,067 (statistik pada tahun 2020). Ini menunjukkan, rakyat Kazakhstan lebih kaya daripada rakyat Malaysia sendiri. Kalau itu ukurannya, tentu mereka lebih layak kerana pencen Berik yang diterima amat lumayan. Itu belum lagi pendapatan Berik sebagai penasihat bebas untuk syarikat petroleum di bandar Aktau.

Tetapi ini soalnya status Fateh itu sendiri. Kalau Fateh hendak berjumpa dengan Presiden Kazakhstan sekali pun, tiada siapa yang boleh menghalang. Fateh lelaki yang ‘tidak mampu’ untuk ‘dikurung’ oleh orang-orang biasa seperti Berik di dalam ‘rumahnya’. Lelaki itu seperti rajawali merajai angkasa dan Berik hanya ‘subjek-subjek’ di bawah penglihatannya sahaja.

“Kalau awak suka, saya seribu kali lebih suka dengan Fateh. Tetapi, Fateh ini bukan seperti yang awak anggapkan. Dia tidak semudah yang awak fikirkan.” Berik menyusun kata-kata, bagai memberi amaran kepada hasrat Amina.

“Semakin pelik kata-kata awak ni.” Amina mulai bosan melayan Berik. Bukankah tetamu mereka itu, kelihatan biasa-biasa saja? Tentu saja ini semua dolak dalih Berik semata-mata.

“Sudahlah. Esok dia akan berangkat ke St. Petersburg kerana urusan kerja sebelum kembali ke negaranya. Layanlah dia dengan sebaik-baiknya sebab, mungkin ini kali terakhir dia dapat bertamu di rumah kita.”

Berik segera meninggalkan Amina yang masih tercengang-cengang di ruang tamu. Dia malas nak bersoal jawab dengan isterinya itu. Kalau tidak, tentu ianya akan bertukar menjadi syarahan panjang pula. Amina takkan faham. Adiya pun takkan faham. Mereka berdua takkan faham dunia Fateh dan juga dunia sebenar Berik sendiri- suami dan bapa mereka ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience