Rate

Bab 34: Ancaman The Jesuits

Mystery & Detective Completed 26471

“Kenapa kita turun ke basement ni, sayang?”

“Kan kita nak ke tempat kerja bersama?”

“Selalu kan naik LRT?”

“Ini lebih cepat, tadaaa!” Fateh ‘mempersembahkan’ kenderaan terbarunya kepada Catherine. Bulat mata Catherine melihat motorsikal Fateh. Tak semena-mena dia ketawa mengekek.

“Apa yang tak kena?” Tanya Fateh kehairanan.

“Eh, motor yang rupa macam katak ni, boleh naik ke?” Tawa Catherine masih tidak reda.

“Katak? Ni Vespa GTS 300 Supertech, cik adik ooi!” Jelas Fateh, tak puas hati. Puas dia pilih motosikal ini dari sebilangan koleksi Tan Sri Azman yang berlambak tu. Ambil superbike kang, baru la Catherine tahu seksa menonggek atas motosikal sebegitu. Tentu lebih ‘seksa’ lagi pandangan pengguna jalan raya yang lain melihat tonggekan Catherine. Ni kira decentlah untuk naik berdua dalam bandar.

“Nak naik atau tidak?” Fateh memberi sepatah dua kata.

“Saya tak pernah naik motor. Takut.” Kata Catherine teragak-agak.

“Rugi tau kalau tak naik motor ni.”

“Apa yang ruginya?”

“Kalau awak nak tahu, kenalah naik dulu.”

“Betul ni?” Catherine segera menghampiri Fateh. Fateh hanya tersenyum melihat ‘ketundukan’ Catherine kepada ‘umpanannya’.

Fateh segera mengikat rambut Catherine supaya tidak ‘berselerakan’ dan mengerbang ditampar angin sebelum menyarungkan helmet sekerat gaya retro dan membetulkan visor helmet yang seperti gogel juruterbang zaman perang dunia pertama. Semuanya dilakukan oleh Fateh dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Catherine pula hanya tersengih-sengih sahaja menerima layanan penuh cinta daripada Fateh. Berbunga-bunga hatinya diperlakukan sebegitu. Hasilnya, Catherine tampak stylish dengan gaya modern-retro walau pun, berbaju korporat dengan seluar panjangnya.

“Mari sini beg awak, saya simpan dalam luggage motor ni,” pinta Fateh dengan lembut. Catherine segera menghulurkan begnya kepada Fateh dan Fateh segera memasukkan ke dalam luggage motosikal tersebut yang terletak di bawah pelana.

Catherine hanya melihat seperti jakun, almaklumlah, ini pertama kali dia menaiki motosikal seperti ini. Bapanya, Stephen hanya punya kereta sahaja. Dari kecil sehingga besar dia hanya pernah menaiki kereta- nasib juga tinggal di KL ada LRT. Merasa juga dia naik kenderaan selain kereta. Kalau yang lain, mungkin kapal terbang sewaktu melancong ke Australia dahulu.

“Jom naik,” ajak Fateh ketika melihat Catherine masih tercegat, tidak tahu hendak memulakan langkah.

“Begini, pegang bahu saya, pijak dulu kaki kiri awak ke atas pemijak tu kemudian, angkat kaki kanan dan duduk,” tersengih sahaja Fateh melihat Catherine begitu kekok untuk ‘memanjat’ ke pelana motosikalnya.

Catherine hanya mengangguk-angguk kepalanya dan berusaha mengikuti setiap arahan Fateh dengan cermat. Akhirnya, dia berjaya juga duduk di belakang Fateh.

“Awak dah sedia? Nak tahu kenapa kalau tak naik motor ni awak rugi?” Fateh segera menghidupkan enjin motosikalnya.

“Yup, I’m ready!” Tegas Catherine.

Tak semena-mena motosikal itu bergerak secara mengejut, Catherine panik- badannya hampir ‘tercicir’ ke belakang dan secara refleks, tangannya segera merangkul tubuh Fateh yang berada di hadapannya. Berderau darah Catherine dan dipeluknya Fateh erat-erat, takut keciciran di atas jalan.

“Untung awak dapat peluk saya sepanjang perjalanan ni.” Fateh hanya ketawa kecil.

“Awak memang jahat!” Muncung mulut Catherine, bagai sampai ke batang leher Fateh. Dada Catherine masih lagi berdebar-debar kerana ‘sabotaj’ Fateh tadi. Masih belum hilang gemuruhnya lagi.

Lama kelamaan, Catherine berasa tenteram pula. Semakin lama dia semakin selesa. Semakin seronok pula dia melewati perjalanan ke tempat kerja dengan tamparan angin manja ke wajahnya. Pelukan Catherine makin erat.

******************

Tan Sri Azman berangkat awal ke pejabat kerana hari ini Fateh akan masuk kerja dan ‘melaporkan’ diri kepadanya. Ini perkara penting kepadanya. Dia perlu aturkan sendiri segala keperluan yang bakal Fateh kehendaki nanti. Dia tak boleh biarkan pengurus sumber manusia saja yang mengendalikannya. Kalau ada sedikit kesilapan, Tan Sri Azman tak mampu nak menanggung amarah Tun Besar.

“Eh, Harun- itu kan macam Catherine?” Tanya Tan Sri Azman apabila melihat kelibat Vespanya melewati sisi kereta yang dinaiki olehnya.

“Betul, Tan Sri. Itu kan Vespa Tan Sri- betul nombor pletnya,” balas Harun. Sememangnya Harun kenal motosikal itu. Selain daripada tugasannya sebagai pemandu Tan Sri Azman, Harun juga ditugaskan untuk menyelenggara kenderaan-kenderaan Tan Sri Azman yang lain terutamanya koleksi motosikalnya.

Tan Sri Azman hanya terdiam. Pelbagai soalan mula bermain dibenaknya. Apa pula halnya Catherine naik motosikal dengan Fateh? Mesra pula nampaknya. Kalau mereka ada hubungan, tentu lain pula ceritanya nanti. Macam mana Tan Sri Azman hendak mengarahkan Catherine kalau gadis itu menjadi ‘Ma’am Besar’ kelak? Aduh!

*******************

Fateh dan Tan Sri Azman hanya berdua di dalam bilik. Fateh membelakangi Tan Sri Azman dan pandangannya dilontarkan ke luar jendela. Dari jendela itu, Fateh dapat melihat latar pemandangan ke bangunan KLCC dan kawasan sekitarnya. Memang bukan calang lokasi pejabat Tan Sri Azman ini. Tentu mahal sewanya.

“Man, kau tahu kenapa aku memilih tempat kau ni?” Tanya Fateh seperti bermonolog sendiri. Tan Sri Azman hanya menggelengkan kepalanya- walau pun dia tahu, Fateh tidak melihatnya.

“Sudah ada ancaman dari pertubuhan Jesuits kebelakangan ini, mula meminta bukan-bukan di tanah kita, orang-orang Melayu.”

“Jesuits? Bukankah mereka tidak mendatangkan apa-apa mudarat selama ini, ayahanda?”

“Agenda mereka masih berjalan dan sedang berjalan. Aku sudah perhatikan mereka dalam 20-30 tahun ini, dulu tidak sebegini tetapi, sekarang mereka semakin galak menghendap peluang dan ini telah dilakukan secara halus. Sudah ada pengkhianat di kalangan orang-orang Melayu sendiri.” Fateh menoleh dan memandang wajah Tan Sri Azman. Menggeletar Tan Sri Azman melihat renungan Fateh, seperti dia pula yang bersalah.

“Sekarang ini, mereka aktif di kawasan ini. Banyak siri-siri pertemuan mereka diatur di sini.”

“Jadi, apa yang saya boleh bantu?”

“Ada beberapa hal yang nantinya aku aturkan.”

“Hmmm... satu lagi.” Sambung Fateh.

“Kenapa kau bagi bilik aku ni macam bilik orang perempuan?” Fateh menjegilkan biji matanya kepada Tan Sri Azman.

“Er, er... ini..er, ayahanda kalau tak suka-”

“Tukar. Aku ambil bilik kau.” Pendek saja kata-kata Fateh kepada Tan Sri Azman yang sedang tergagap menyusun kata.

Mendengar arahan Fateh yang wajib diikuti itu, Tan Sri Azman menangis dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience