Rate

Bab 51: Sosok Maharaja

Mystery & Detective Completed 26471

Ketika kereta Ah Meng dah rakan-rakannya memasuki perkarangan villa Leong, Donald melihat George dan James telah sedia menanti di halaman. Jelas terpapar di wajah mereka aura bengis seperti hendak membaham seseorang pada malam ini. Kehadiran Ah Meng dan kuncu-kuncunya menyemarakkan lagi semangat George dan James untuk melaksanakan apa yang dihajati oleh mereka pada malam ini. Budak Melayu ini akan diajar cukup-cukup!

Ah Meng keluar dari kereta dengan selamba tanpa ekspresi, begitu juga dengan ahli-ahli kumpulannya yang lain. Sekumpulan pemuda seramai 20 orang termasuk Ah Meng ini segera menuju ke arah George dan James dan mereka kelihatan seperti berbaris bahu ke bahu berhadapan dengan mereka berdua. Manakala, Donald yang berada beberapa meter di belakang George, hanya memerhati dengan penuh minat situasi yang berlaku di hadapannya. Jari jemarinya masih lincah mengira sesuatu. Ekspresi muka tuanya itu kelihatan makin sulit dan rumit.

“Hah, Ah Meng- mana budak tu?” James segera bertanya, tidak sabar. Ah Meng hanya diam dan tidak bereaksi.

“Celaka, kau mahu main-main?!” Bentak James, tak puas hati. Tengkingan James itu seolah-olah tidak memberi kesan kepada Ah Meng. Ah Meng masih membatukan dirinya.

“Kamu semua. Mana budak tu?” Tanya George kepada ahli-ahli kumpulan Ah Meng. Mereka pun seperti Ah Meng, tidak bereaksi. Ini membuatkan George dan James berpandangan sesama sendiri. Apakah yang sedang berlaku? Mengapa mereka semua kelihatan seperti tidak mempunyai roh dan jiwa?

Donald yang melihatkan keadaan ini merasakan sesuatu yang asing telah memasuki elemen pengiraannya. Barisan pemuda-pemuda ini berhadapan dengan George dan James anak beranak telah membentuk suatu diagram feng shui yang memberi petanda Raja Naga Menyeberangi Sungai iaitu perlambangan kepada barisan pemuda-pemuda ini adalah seperti jambatan yang memudahkan Raja Naga menyeberangi sungai. Maksud yang paling mudah adalah, ada seseorang yang bakal ‘mencerobohi’ kawasan miliknya. Tetapi, siapa pula Raja Naga itu?

Sekonyong-konyong, formasi ‘jambatan’ ini berpecah dari melintang menjadi menegak bagai membuka laluan untuk seseorang melalui ruang jalan di tengah-tengahnya. Keringat dahi Donald mulai mengalir deras- segera dia mendongak ke langit dan- bintang Maharaja sudah muncul! Apakah yang sedang berlaku?!

Donald panik. Seumur hidupnya, belum pernah lagi bintang Maharaja muncul tatkala dia membuat perkiraan feng shui. Mungkin pada zaman dinasti-dinasti Cina terdahulu ada munculnya kelahiran bintang-bintang Maharaja ini tetapi, zaman kini ianya adalah sesuatu yang amat-amat langka!

George yang juga ada mewarisi ilmu berkaitan feng shui ini juga berasa pelik. Dia dapat merasakan aura sekeliling villanya kini bagai ‘menunduk’ ke arah hujung formasi sekumpulan pemuda-pemuda di hadapannya. Ada ‘tekanan’ aura yang sangat besar di hujung sana. James juga berasa keanehan ini. Hatinya mulai gementar secara tiba-tiba tetapi, dia tidak tahu apa puncanya.

Perlahan-lahan, pintu kereta Ah Meng terbuka. Sekilas- Donald, George dan James dapat melihat silhouette seorang lelaki berjalan perlahan-lahan menuju ke arah mereka, melalui ruang jalan di tengah-tengah barisan Ah Meng dan ahli-ahli kumpulannya. Gaya jalan yang begitu teratur namun, momentum yang dibawa oleh lelaki itu memberi kesan kegerunan kepada mereka yang melihatnya.

Peluh di dahi Donald dan George mengalir deras. Perkiraan feng shui Donald makin rancak dan sesekali menjadi huru hara kerana keadaan ‘qi’ di villanya makin bercelaru.

Prang! Prang! Patung naga dan harimau yang terdapat di pintu gerbang villa Leong jatuh serentak. Patung naga dan harimau seberat 1 tan setiap satunya, yang melambang kekuatan, kemakmuran, kekayaan dan kekuasaan- yang memberikan ‘perlindungan’ feng shui kepada keluarga Leong- berderai di atas tar. Keluarga Leong terperanjat melihat situasi ini, sementelahan kepada Donald dan George yang dapat merasai ‘qi’ di kawasan villa Leong ini semakin serabut dan huru hara.

“Oh, ini rupanya keluarga Leong yang masyhur dalam feng shui itu.” Fateh berkata dengan ramah dalam bahasa Hakka (dialek Cina yang digunakan oleh keluarga Leong) tetapi, penuh dengan kesinisan. Ketika berbicara, figura Fateh masih lagi kelihatan seperti ‘bayang-bayang’.

Beberapa ketika, barulah figura Fateh dapat dilihat jelas oleh Leong sekeluarga. Fateh kelihatan tenang dan bibirnya mengukir senyuman namun, di dalam hati Donald, George dan James mulai merasakan kegentaran yang amat sangat.

Donald melihat sosok Fateh, jelas sekali pada pandangannya ciri-ciri sosok Maharaja itu sangat jelas. Dalam perkiraan feng shui, ciri-ciri sosok Maharaja akan berlaku pada kelahiran adalah bergantung kepada musim, tarikh dan waktu tertentu dan ciri-ciri ini hanya terjadi pada sebahagian ‘anggota’ yang bercirikan Maharaja. Contohnya, kalau lahir pada musim bunga (4 Februari hingga 5 Mei), pada waktu sekitar 11 malam hingga ke 1 pagi, ciri Maharaja yang akan ‘diraih’ oleh seseorang bayi adalah ciri ‘kepala Maharaja’. Orang Cina percaya, mereka yang mendapat ciri ‘kepala Maharaja’ akan memiliki sifat yang penuh kebijaksanaan, terpelajar, mempunyai kebolehan intelektual yang tinggi dan dipercayai akan memiliki jawatan yang tinggi, mempunyai kuasa dan pengaruh serta tanggungjawab yang besar di kemudian hari.

Selain dari ciri ‘kepala Maharaja’, terdapat ciri-ciri Maharaja yang lain seperti ‘tangan Maharaja’, ‘bahu Maharaja’, ‘dada Maharaja’, ‘perut Maharaja’, ‘lutut Maharaja’ dan ‘kaki Maharaja’. Oleh kerana hanya satu ciri saja yang boleh ‘diraih’ oleh seseorang itu (atas faktor tarikh, musim dan waktu kelahiran) adalah mustahil seseorang itu memiliki kesemua ciri-ciri sosok Maharaja yang sempurna tetapi, lelaki Melayu yang berhadapan dengan keluarga Leong ini memiliki ke semua ciri-ciri Maharaja! Ini membuatkan Donald bingung.

“Er, encik ni.. encik,” Donald segera meluru dengan kerusi rodanya, berhadapan dengan Fateh. Dia tergagap-gagap mengucapkan kata-katanya dalam bahasa Hakka. Belum pernah lagi Donald Leong ‘mengadap’ seorang ‘Maharaja’ seumur hidupnya.

“Aku Fateh. ‘Maharaja’ dalam feng shui kamu. Kau tahu kan, apa akibatnya kalau Maharaja yang bersifat Raja Naga memasuki daerah kamu dengan membawa 20 orang askar?” Donald tersentak. Ada perkiraan yang lalai diperhitungkannya tadi. Ya, Ah Meng dan kuncu-kuncunya memang seramai 20 orang dan kelihatan patuh dengan Fateh ibarat askar yang patuh kepada jeneral. Perlambangan ini bukanlah petanda yang baik kepada keluarga Leong. Peluh di dahi George pula tak henti-henti mengalir kerana menyedari krisis yang sedang berlaku.

“Er.. itu.. itu-” Donald masih tergagap-gagap. Hatinya semakin gementar.

“Ya, ‘qi’ baik dalam keluarga kamu akan musnah dan tanda-tanda kematian akan muncul.” Pintas Fateh. Donald dan George mendadak melutut di hadapan ‘Maharaja’ di hadapan mereka. Sebagai ‘fanatik’ feng shui, mereka akur dan ‘taat’ sekali dengan perkiraan feng shui apatah lagi, pemuda Melayu ini turut memiliki kebolehan ‘melihat’ feng shui melebihi mereka berdua.

“Kau jangan cuba nak takutkan ayah dan datuk aku!” Bentak James walau pun kegentaran masih menyelubungi hatinya. Dia tidak percaya sepenuhnya ‘pegangan’ atau kepercayaan datuk dan bapanya selama ini. Dia hanya menganggap, ianya sekadar adat resam keluarganya semata-mata.

“Begitu?” Fateh memandang James, acuh tak acuh.

“Kurang ajar-”

“Jangan James!”

Pang! Arghhh! Sekilas tamparan hinggap di muka James- belum sempat untuk ditahan oleh bapanya, tatkala melihat anaknya itu meluru semberono dengan penumbuknya ke arah Fateh. Mereka yang hadir hanya dapat melihat tamparan yang berat itu menyebabkan James berpusing di udara dan tersungkur tidak sedarkan diri di atas rumput di halaman villa Leong. Bibirnya berlumuran darah dan rahangnya telah berganjak dari kedudukan asalnya.

Suasana hening seketika. Donald dan George hanya terpacak bagai lembing tergadai. Tiada kata-kata yang dapat disuarakan oleh mereka berdua ketika melihat keadaan ini. Mereka pasrah tidak berdaya.

“Budak-budak memang bodoh dan angkuh. Kamu berdua yang sudah tua, dengarkan kata-kata aku baik-baik,” Fateh masih lagi tenang dan tersenyum, aura penggerunnya segera dihamburkan untuk menambahkan lagi tekanan kepada perasaan Donald dan George. Mereka berdua hanya akur dan mengangguk lemah, bagai menanti ‘titah’ daripada seorang ‘Maharaja’.

“Bagus. Kamu berdua jangan masuk campur urusan keluarga Stephen. Kalau kamu enggan, kamu sedia maklum akibatnnya.” Kata Fateh, tegas dan kemudian, tanpa mempedulikan reaksi Donald dan George- Fateh segera berpaling dari mereka dan melangkah pergi.

“Ah Meng, hantar aku pulang!” Ah Meng segera menuruti. Kereta Ah Meng beredar meninggalkan perkarangan villa Leong sejurus selepas itu.

Suasana villa Leong menjadi hening seheningnya sebelum menjadi kecoh oleh ahli-ahli kumpulan Ah Meng yang seperti baru terlepas dari ikatan ‘pukau’ yang dilakukan oleh Fateh. Mereka terpinga-pinga melihat James yang terbaring tidak sedarkan diri, Donald dan George yang kelihatan sugul sekali. Mereka sendiri tidak sedar apa sebenarnya tragedi yang telah terjadi di villa ini. Semua yang berlaku bagaikan mimpi.

Ya, 'mimpi' ini bakal terus menghantui penghuni-penghuni villa Leong. Sepandai-pandai mereka mengatur hidup mengikut panduan feng shui selama berabad lamanya, percaturan mereka kali ini kandas dan menemui kebuntuan tanpa jalan keluar. Ini adalah check mate!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience