Rate

Bab 15: Bunga Api Di Zhuravlinaya Ulitsa, St. Petersburg

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh berdiri di hadapan villa putih yang tersergam indah di Zhuravlinaya Ulitsa, St. Petersburg. Villa yang berhadapan dengan pantai ini nampak begitu eksklusif dan sedikit terasing dari villa-villa di jalan yang sama. Memang sesuai sekali kalau digunakan sebagai sarang persembunyian untuk ‘tokoh’ penjenayah seperti Vladimir Kumarin.

Kumarin bukan seorang penjenayah yang biasa-biasa. Dia merupakan pengasas kumpulan mafia yang terkenal di St. Peterburg, Tambovskaya. Bermula dengan aktiviti-aktiviti haram dan kemudiannya masuk dalam dunia perniagaan ‘halal’ melalui kontrak-kontrak kerajaan sehingga memonopoli pembekalan petrol untuk kegunaan kenderaan kerajaan di bandar St. Peterburg. Perjalanan perniagaannya meliputi segala-gala yang boleh diniagakan- sama ada senjata api, kokain, pelacuran, penggubahan wang haram atau aktiviti-aktiviti yang sah dan legal sekalipun- tanpa batas hukum.

Sebagai seorang yang sangat faham selok belok perniagaan dan mempunyai hubungan yang baik dengan ahli-ahli politik, Kumarin hampir tidak ‘tersentuh’. Justeru, pelbagai insiden berdarah terhadap rival perniagaan Kumarin sering berlaku pada zaman kegemilangannya merajai dunia perniagaan di St. Petersburg. Dia adalah contoh paling klasik yang pernah wujud dalam dunia mafia Russia.

Ting! Butang loceng pintu pagar villa itu ditekan.

“Ya, apa anda mahu?” Terdengar suatu suara di talian interkom yang terdapat pada tiang pintu pagar tersebut.

“Saya Fateh dari Malaysia. Saya mencari Kum (Kum dalam bahasa Russia bermaksud Godfather-antara gelaran Kumarin di St. Petersburg).” Balas Fateh, ringkas.

“Berambus, kalau kau tak mahu mampus!” Teriak suara di interkom tersebut.

“Bawa saya jumpa Kum, atau saya masuk sendiri?” Fateh mengusik, menambahkan amarah orang yang mengherdiknya tadi.

“Sial!”

“Saya beri anda semua 5 saat dari sekarang atau saya akan masuk sendiri.” Pendek saja kata-kata Fateh.

Suasana di hadapan pintu pagar tersebur menjadi hening namun, di dalam villa tersebut pengawal-pengawal di dalamnya sedang siap siaga terhadap tetamu yang tidak diundang ini. Pistol Tokarev dan Makarov berkaliber 25mm dan 18mm segera disisipkan, penembak hendap dengan kelengkapan rifle Dragunov setia menanti arahan untuk menembak. Mereka semua telah bersedia untuk menghadapi apa jua situasi yang bakal berlaku.

“Yuri, apa semua ini?” Tanya Kumarin pada pengawal peribadinya apabila menyaksikan terdapat perubahan secara tiba-tiba begini.

“Ada orang mencari Tuan.” Jawab Yuri ringkas.

Kumarin. Dia berasa hairan kerana selama ini tidak lagi ada orang yang mencarinya secara terus begini. Apatah lagi tanpa ada ‘temujanji’.

“Siapa?”

“Tak tahu, Tuan. Katanya dari Malaysia.”

“Dari Malaysia? Pelik.” Kumarin berfikir sendirian. Dia sendiri tidak mengenali sesiapa pun dari Malaysia.

“Apa dia mahu?”

“Dia mahu berjumpa, Tuan.”

“Hmmm... bereskan, Yuri. Saya tak mahu menerima tetamu hari ini.” Kata Kumarin malas. Dia segera menuju ke ruang koleksi simpanan minuman kerasnya yang mahal. Alangkah sernoknya menikmati sedikit ‘kepanasan’ vodka pada pagi ini.

Mendengarkan kata-kata Kumarin, Yuri segera mengarahkan pengawal-pengawal untuk menembak ‘penceroboh’ yang ingin bertemu dengan Kumarin. Tanpa kompromi. Shoot on sight.

Boomm!! Terkuak pintu pagar villa, roboh menyembah tanah. Pintu pagar besi diperbuat dari besi yang tebal dan anggaran beratnya kira-kira hampir 1 tan boleh terpelanting bagai kayu buruk sahaja. Mereka yang melihat menjadi kaget. Ada bom ke?

Penembak hendap mula membidik lokasi penceroboh yang mula melangkah masuk ke villa tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat penceroboh itu (melalui lensa bidikan) memandang tepat ke wajahnya sambil tersenyum dan menjentik sesuatu ke arahnya- tup!

Arghhhh!!! Ada sesuatu menerobosi lensa itu dan tembus ke mata dan terus ke kepalanya. Penembak hendap itu tewas, tidak bernyawa. Pengawal-pengawal yang lain tersentak. Mereka keliru tentang apa yang berlaku. Bagaimana penembak hendap mereka boleh tewas sedangkan penceroboh yang datang itu berjarak kira-kira 300 meter dari lokasi hendapan penembak mereka? Nyata lelaki itu hanya datang berseorangan dan ini adalah mustahil!

Tup! Tup! Tup! Tiga lagi batu kerikil dijentik oleh penceroboh itu- tiga lagi pengawal yang belum sempat menarik picu pistol mereka tewas dengan jantung mereka ditembusi oleh batu-batu kerikil tadi.

Pang! Pang! Pang! Beberapa das tembakan dilakukan oleh mereka apabila melihat kelibat penceroboh itu tetapi, tembakan itu seolah-olah hanya mengenai bayang-bayang saja. Mereka pantas mengawasi sekeliling. Tiada. Tiba-tiba mereka merasai desiran angin menghampiri- mereka hanya sempat menoleh dan-

Argh! Argh! Argh! Tiga lagi tewas, terkulai jatuh di atas tanah tidak bernyawa. 7 orang pengawal elit Kumarin tidak berbunyi lagi.

“Alexei, Victor- cepat bawa Tuan Kumarin ke tempat yang selamat!” Yuri mulai panik apabila melihat situasi yang berlaku.

Dua orang lain pengawal bernama Alexei dan Victor segera mendapatkan Kumarin yang sedang duduk santai di atas sofa dengan tangannya masih memegang segelas vodka. Kumarin masih lagi tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.

Yuri mengawasi persekitaran di hadapan pintu masuk di villa itu. Tangannya kemas memegang pistol berjenama Tokarev itu dengan erat. Dia seorang penembak tepat, belum pernah ada lagi orang yang gagal ditembaknya. Nahas penceroboh itu kalau muncul di hadapannya.

Tak lama selepas itu, Yuri melihat kelibat Fateh yang santai berjalan menuju ke arahnya. Dia segera membidik dan terus melepaskan tembakan. Yuri yakin, pasti kena tembakannya itu.

“Apa yang kau tembak tu?” Terdengar satu suara betul-betul ditelinganya. Yuri terkejut besar. Dia menoleh- tiada sesiapa!

Yuri segera memandang ke arah bidikan tadi- pun tiada. Keringat jantan mula membasahi dahi Yuri. Matanya melilau mengawasi persekitaran. Ini benar-benar membingungkan Yuri. Apakah penceroboh itu manusia atau hantu?

Ting! Pistol Tokarevnya terpelanting dari tangan bagai terkena sesuatu. Yuri kaget. Dia cuba mengutip semula pistolnya yang jatuh itu dan tak semena-mena, kolar bajunya ditarik dari belakang dengan kuat. Yuri jatuh terlentang.

Tup! Tup! Titik-titik akupunturnya ditusuk oleh telunjuk Fateh dengan pantas. Yuri tidak dapat bergerak kerana saraf utamanya telah dikunci. Dia cuba mengerak-gerakkan tubuhnya tetapi hampa belaka. Lumpuh. Yuri lumpuh tidak berdaya.

“Mengapa bersusah payah begini? Aku cuma mahu berjumpa Kumarin.” Fateh memandang Yuri sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mana Kumarin?” Fateh tersenyum melihat Yuri yang masih cuba meronta-ronta untuk bergerak. Yuri masih enggan berkata apa-apa kepada Fateh.

“Budak bodoh. Aku bertanya ni kerana adab saja. Kalau aku boleh ke mari ke sini jauh-jauh mencari Kumarin, apakah kau fikir aku tak boleh menjumpai Kumarin di rumahnya?”

“Jangan kau-” Fateh menjentik dahi Yuri dengan gerakan yang tampak lembut tetapi, Yuri pengsan sejurus jentikan itu.

“Dasar orang gasar. Menjemput bukan dengan kompang, dijemputnya kita dengan ‘bunga api’.” Fateh mengomel sendirian.

Fateh menjejaki Kumarin dengan ilmu firasatnya. Langkah-langkah Kumarin segera terbayang di ruangan matanya bagai melihat playback video sahaja.. Fateh hanya tersenyum sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience