Rate

Bab 78: Tradisi, Obsesi dan Cinta

Mystery & Detective Completed 26471

Pertama kali Faridah mendengarkan amanat nenek moyangnya berkenaan penyatuan dua buah keluarga ini ketika dia masih muda belia pada tahun 1930an. Ketika itu dia baru saja menjejaki umur balighnya dan seperti anak gadis sunti yang lain, soal jodoh ketika berumur sedemikian tentunya menjadi perkara yang ‘menggelikan’. Sungguh, dia menolak dengan keras dan memberontak kerana dirasakannya adalah mustahil untuk berkahwin dengan orang yang tidak dikenalinya.

Semakin menjejaki alam dewasa, segala momokan mengenai perkahwinannya dengan waris Tun Perak menjadi semakin biasa dan timbul pula rasa di hati Faridah untuk mengenali siapa yang bakal menjadi suaminya kelak. Oleh kerana amanat ini seperti telah menjadi tradisi keluarga, waris-waris perempuan dari keturunan Bendahara Paduka Raja Inderapura (Bendahara Inderapura) akan dipersiapkan dengan pelbagai ilmu kewanitaan, kebatinan termasuk juga mengekalkan keremajaan.

Seperti juga ilmu Khaleeda, mereka yang mengamalkannya akan kelihatan muda mengikut umur di saat mereka telah mahir memanipulasi aura penyembuh dan pelindung dalam sari aura batu shungite. Sebab itu Faridah kelihatan seperti berumur awal 30an, yakni umurnya ketika dia mahir menggunakan aura tersebut.

Banyak persamaan penggunaan ilmu Khaleeda dan Faridah ini disebabkan ianya bersumberkan usul ilmu yang sama tetapi, Khaleeda akan kehilangan semua ilmu kebatinannya sekiranya dia ‘bersama’ dengan lelaki. ‘Jam’ usia Khaleeda akan bergerak seperti manusia biasa namun, keadaannya berbeza kepada Faridah iaitu segala ilmu kebatinannya akan kekal walau pun terdapat persamaan berkenaan penuaan yang akan berlaku seperti fitrah sekiranya Faridah ‘bersama’ dengan lelaki.

Tradisi ‘pemburuan’ jodoh dengan waris Tun Perak oleh waris-waris perempuan Bendahara Inderapura ini walau pun kelihatan mudah tetapi, selama ratusan tahun belum pernah lagi mereka berjaya menemukan lelaki yang dicari, yakni hanya lelaki yang memegang gelaran Tun Besar yang boleh dikahwini sebagaimana termaktub dalam sejarah peminangan Tun Perak kepada anak saudara Bendara Inderapura. Mengikut firasat kedua-dua tokoh ini, akan berlaku beruntungan kepada bangsa Melayu sekiranya penyatuan keluarga ini berlaku melalui perkahwinan Tun Besar dan sebarang gadis dari keturunan keluarga Bendahara Inderapura.

Ramai waris-waris perempuan Bendahara Inderapura yang kandas dalam pencarian ini. Ada yang bertemu jodoh dengan pemuda pilihan mereka sendiri dan hidup seperti orang biasa. Adalah amat sukar untuk kelihatan muda untuk suatu jangka masa yang lama dan bermukim di tempat yang sama dalam tempoh itu. Tentu akan menimbulkan spekulasi negatif masyarakat setempat berkenaan keremajaan mereka. Oleh yang sedemikian, ramai waris-waris perempuan ini terpaksa berpindah randah selama hayat mereka bagi mengelakkan spekulasi sebegini dan akhirnya berkahwin dan mengikut norma biasa masyarakat umum.


Disebabkan oleh kesukaran menjejaki Tun Besar dan cabaran kehidupan sebagai ‘orang muda’, ‘tradisi’ ini semakin lama semakin tidak pedulikan oleh waris-waris perempuan Bendahara Inderapura dan dianggap sebagai cerita dongengan orang-orang tua semata. Kini, hanya Faridah sahaja yang masih tinggal untuk terus menjejaki Tun Besar kerana ianya seperti telah menjadi obsesi Faridah selama puluhan tahun ini.

Melalui klu-klu keberadaan Tun Besar ini yang hanya boleh diketemukan melalui perantaraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Faridah cuba merapati pihak-pihak istana tetapi, alasan-alasan yang diberikan oleh Faridah kepada sebilangan sultan yang pernah ditabalkan menjadi Agong untuk berjumpa Tun Besar- sepertinya tidak memenuhi ‘syarat’ untuk Tun Besar dipanggil mengadap. Faridah terpaksa akur.

Walau pun sedemikian, Faridah tidak berputus asa dan merasakan takdir pertemuannya dengan Tun Besar sudah semakin dekat. Akhirnya dia menyedari, sekiranya dia ingin menemui Tun Besar, dia perlu membuatkan Tun Besar atau Agong sendiri yang berinisiatif menemukan dirinya. Dia perlu menjadi seseorang yang boleh menjadi ‘penyambung’ kepada titik-titik misteri yang cuba dirungkaikan sebagai misi seumur hidup waris Tun Perak itu.

Oleh kerana persamaan antara dua keluarga Tun Perak dan Bendahara Inderapura adalah berkisar tentang Pintu Dunia di Gunung Tahan (atau di lembah sekitarnya), Faridah sendiri telah menjejaki ke lembah itu dan mendapati sejenis gelombang aura yang menjadi array yang memagari kawasan tersebut (array misteri ini juga telah ditemukan oleh Fateh dalam ekspedisinya yang lepas). Faridah segera mengerti berkenaan ‘pagar’ misteri ini sebagaimana terkandung dalam pengetahuan keturunannya berkenaan bagaimana ‘mengharungi pagar-pagar ghaib’. Ilmu inilah yang dikuasai oleh Panglima Kakap Husin yang bertindak sebagai ‘penjaga’ Gunung Tahan daripada dicerobohi oleh pendatang-pendatang yang tidak ingini. Apa yang tidak dapat dipastikan, siapa yang ‘menanam’ pagar tersebut, tidaklah diketahui. Sepertinya pagar itu telah lama di situ sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Memandangkan hal sedemikian tidak hanya boleh dirungkaikan melalui kisah-kisah orang tua, Faridah membuat keputusan untuk mengkhususkan kajian berkaitan gelombang array ini menerusi kajian saintifik sehingga mendapat PhD di universiti. Ini adalah strategi Faridah supaya dirinya menjadi ‘tumpuan’ Tun Besar kelak. Dia tahu Tun Besar akan menggunakan network diraja sekiranya melibatkan permintaan yang sulit dan rahsia. Faridah juga tahu, tidak ada seorang pun yang menjadi Agong akan mengabaikan kehendak Tun Besar dan baginda pasti akan cuba memenuhinya sebaik yang mungkin. Begitulah, eksklusifnya kedudukan Tun Besar dalam institusi diraja.

Setelah sekian lama ‘umpan’ dipasang oleh Faridah, akhirnya dia dipertemukan dengan Fateh dan Khaleeda oleh Yang Dipertuan Agong sendiri dalam suatu majlis kesyukuran syarikat Eastar. Pertemuan pertama itu merupakan satu ‘renjatan’ perasaan yang cukup mengesankan kepada Faridah. Selama ratusan tahun waris-waris perempuan keturunan Bendahara Inderapura telah mencari pemuda waris Tun Perak yang memegang gelaran Tun Besar ini dan gagal. Faridah berasa sangat bertuah dan serta-merta obsesinya bertukar menjadi rasa kasih yang mendalam kepada Fateh yang mempunyai persona yang sangat-sangat berbeza daripada lelaki-lelaki biasa yang ditemuinya sebelum ini.

Namun, persoalan baru mula muncul. Bagaimana dia hendak memiliki lelaki itu sebagai suaminya? Apakah dengan hanya mengajak Fateh kahwin sebegitu saja? Tentu saja tidak. Lelaki seperti Fateh hanya akan berkahwin sama ada dia benar-benar cinta atau atas sebab tertentu sahaja. Tentu saja Faridah sedar, setakat berjumpa beberapa kali- apakah Fateh boleh mencintainya? Ini bertambah sukar lagi apabila Fateh mengahwini Catherine. Faridah berasa amat cemburu dan terlewat.

Dia tahu, sekiranya Fateh tidak dapat berkahwin dengannya kerana cinta- dia akan membuatkan Fateh mengahwininya kerana sebab. Sebab yang tidak boleh lelaki itu menolaknya sama ada suka atau tidak. Faridah berasa tiada sebab untuk dia melengah-lengahkan lagi amanat keluarganya. Mungkin bukan sekadar itu saja sebabnya. Sebabnya dia telah lama menanti dan mencari lelaki itu sebagai jodohnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience