Rate

Bab 82: Pengawal-Pengawal Bendahara

Mystery & Detective Completed 26478

Fateh hanya mengekori Faridah yang bertindak seperti penunjuk jalan. Faridah sepertinya seperti sangat betah dengan laluan itu tanpa kelihatan teragak-agak. Gaya Faridah yang lincah, dengan gerakan langkah kakinya yang kelihatan ringan dan tangkas membuatkan Fateh tersenyum sendirian. Laluan mereka yang menyelusuri Sungai Tahan itu bukanlah semudah itu. Mereka terpaksa melalui denai-denai yang berair dan penuh akar-akar pokok yang menjalar, batu-batu jeram yang besar, jalan sungai yang licin yang basah dan lain-lain lagi. Fateh tahu, apa yang ditunjukkan oleh Faridah itu adalah suatu gerakan hikmat pendekar digelar Langkah Meniti Angin.

Gerakan Langkah Meniti Angin ini juga dikuasai oleh Khaleeda. Gerakan ini adalah berdasarkan diagram kuno alam semesta dan kalau diteliti adalah suatu metodologi memanipulasi daya alam untuk memudahkan gerakan pengamalnya. Mereka yang menguasai gerakan ini bisa mengelirukan musuh dengan gerakan-gerakan pantas untuk mengelak dan amat berguna untuk melarikan diri jika terjumpa musuh yang kuat yang tidak dapat dikalahkan. Biasanya ia dipraktikkan oleh pendekar-pendekar wanita untuk tujuan menyelamatkan diri. Fateh juga mahir dengan gerakan ini tetapi, dia hanya menggunakannya dalam pertarungan semata-mata. Oleh sebab itu, Fateh tersenyum kerana tidak menyangka Faridah menggunakan gerakan ini untuk tujuan ‘jungle trekking’- kerana Fateh sendiri tidak terfikirkan gerakan ini akan digunakan dengan cara sedemikian!

Sesekali Faridah akan menoleh ke belakang, yang pada mulanya sedikit ketinggalan dan kini semakin hampir kepadanya. Faridah hanya tersenyum melihat Fateh yang turut menggunakan gerakan Langkah Meniti Angin sepertinya. Langkah mereka semakin maju dan laju seperti berkejaran antara satu dengan yang lain. Sesekali Fateh melintas melepasi Faridah untuk melihat tahap penguasaan Faridah terhadap gerakan itu dan kemudian diperlahan kerana dia tahu, hanya Faridah yang tahu lokasi gua yang diceritakan sebentar tadi.

Setelah kira-kira 4 km ‘berkejar-kejaran’ di persisiran Sungai Tahan, Faridah memberhentikan langkahnya dan menoleh ke kiri, bagai mengamati sesuatu. Riak mukanya menunjukkan rasa yakin dan puas hati kerana dia tahu point pertama array Pintu Dunia sudah brada berhampiran.

“Bang, kita dah ada di kawasan lembah bukit yang ke-4...” Faridah berkata dengan tenang. Jelas pernafasannya masih sangat stabil tanpa menunjukkan tanda-tanda dia lelah walau pun kelajuan gerakan mereka berdua sebentar tadi seperti atlit marathon sedang berlari. Kaki seluar Faridah dan Fateh juga masih kelihatan bersih walau pun mereka telah 'meranduk' pelbagai halangan sepanjang perjalanan.

“Jadi, kita akan meredah masuk ke dalam lembah?” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai balasan terhadap pertanyaan Fateh.

“Berapa jauh lagi ke gua tersebut, Faridah?”

“Hmm... mungkin sekitar 800-900m saja.” Giliran Fateh pula mengangguk-anggukkan kepalanya.

Di hadapan mereka tersergam hutan dara yang tebal. Lembah yang terbentuk antara gugusan bukit-bukau yang Faridah gelar sebagai Bukit Tulang Ikan mempunyai ‘bukaan’ yang lebar sebagai ‘gerbang’ pintu masuknya lembah tersebut berhampiran Sungai Tahan dan meruncing bertemu dengan bukit-bukit yang lain di hujungnya yang kemudian bersambung dengan banjaran ‘gunung’ kecil sebagai ‘tulang’ belakang. Fateh mengamati persekitaran, walau pun laluan tersebut diselubungi hutan tebal, melihatkan kepelbagaian dan ‘susun atur’ pepohon disitu, dia dapat mengagak laluan sepanjang 800-900m yang bunyinya seperti dekat itu adalah sangat sukar untuk ditempuhi oleh orang-orang biasa kerana laluan ini adalah laluan-laluan mendaki yang belum diterokai dan pastinya terdapat curam-curam yang berbahaya untuk mereka berdua.

Pastinya, adventure ini baru saja bermula!

*******************

Suasana di dalam hutan itu riuh dengan bunyi kicauan unggas bagai meraikan kedatangan mereka berdua. Laluan hutan yang belum diteroka itu menghalang mereka untuk bergerak laju seperti yang mereka tempuhi di persisiran sungai tadi. Banyak akar-akar banir yang berselirat, daun-daunan kering bertaburan, belukar-belukar dipinggir hutan, tanah-tanih yang licin dan jerlus, tumbuhan melata dan yang tinggi mengawan pastinya memerlukan pengamatan yang tajam kerana tempat seperti ini adalah syurga haiwan-haiwan yang berbisa, atau yang mengendap untuk memburu. Tidak seperti berjalan di atas tanah yang lapang dan rata, perjalanan seperti yang mereka berdua tempuhi ketika ini memerlukan semangat dan tenaga yang optimum.

“Faridah, hati-hati...” Kata Fateh, separuh berbisik. Faridah yang ‘terleka’ dan teruja ‘memimpin’ perjalanan mereka berdua, segera merapatkan diri kepada Fateh. Seperti mana ada keanehan yang dapat dirasakan oleh Fateh, Faridah dapat juga dapat merasakannya- itu pun setelah diberi peringatan oleh Fateh sebentar tadi. Kalau tidak, tentu saja Faridah masih alpa.

Mata Faridah liar mengamati sekelilingnya, segera dipaut erat lengan Fateh kerana dia terasa ada suatu aura yang sangat agresif seperti mengawasi mereka. Suasana persekitaran hutan itu yang tadi riuh dengan kicauan unggas kini menjadi senyap dan sunyi secara tiba-tiba. Fateh masih kelihatan tenang kerana aura seperti itu tidak mampu ‘mengancam’ ketabahan hatinya. Dia hanya tersenyum kecil melihat Faridah yang kelihatan cemas walau pun pada riak wajahnya menunjukkan sedemikian- manakan tidak, pautan Faridah pada lengan Fateh itu semakin erat dan kemas.

“Tak ada apa-apa, pak belang saja.” Kata Fateh ‘menenangkan’ Faridah.

“Abang ni, janganlah sebut.” Faridah gelisah mendengarkan kata-kata Fateh. Fateh hanya tersenyum kecil.

“Kau seperti mahir dan tahu selok-belok di sini, apakah kau tidak tahu di sini ada sarangnya pak belang?” Tanya Fateh, perlahan.

“Takkan semua saya tahu?” Faridah mencebik, tak puas hati dengan pertanyaan Fateh yang bersulam sindiran itu

“Ada 5 ekor sedang mengawasi kita.” Bisik Fateh kepada Faridah. Fateh tahu, sekiranya Faridah hanya dapat mengesan aura sahaja dan tidak dapat memastikan gerakan dan bilangan musuh, pastinya Faridah bukannya pengamal ilmu tempur. Ya, Faridah boleh bertempur dengan segala kebolehan yang dia ada tetapi, dia bukanlah pendekar sejati atau ahli tempur walau pun kebolehan Faridah itu lebih dari cukup untuk membela diri dan tiada masalah untuknya menewaskan sebilangan lelaki tanpa bersusah payah.

“5 ekor? Er, ini macam-” Faridah seperti teringatkan sesuatu.

“Macam apa?”

“Belang! Kuntum! Wira! Garang! Merah! Mari sini!” Laung Faridah. Fateh kaget seketika kelakuan Faridah yang tidak disangka-sangkanya itu.

Tak semena-mena, terdapat pergerakan pada pokok-pokok kecil di sekeliling mereka bagai dirempuh oleh sesuatu dengan deras dan keras sehingga ada batang-batang pokok yang kecil patah dirempuh. Bau hamis (seperti bau hamis kambing) mula menjalari hidung mereka berdua. Fateh jelas tentang bau ini- sememangnya bau harimau berada berhampiran mereka. Fateh masih berwaspada dengan keadaan sekeliling kerana dia sendiri tidak jelas tentang apa yang bakal berlaku dengan kehadiran harimau-harimau ini kelak.

Seekor demi seekor harimau belang dari spesis Malayan Tiger itu segera menunjukkan diri. Berbeza dengan spesis Malayan Tiger yang biasanya sebesar 7-8 kaki panjang dan berat sekitar 90 hingga 130kg, harimau-harimau yang dipanggil Belang, Kuntum, Wira, Garang dan Merah ini kelihatan lebih besar daripada biasa. Walau pun Fateh tidak gentar berhadapan dengan haiwan-haiwan buas ini tetapi, dia tetap berasa takjub melihat harimau-harimau ini begitu ‘ramah’ dengan Faridah seperti berjumpa dengan teman lama tetapi, mata mereka tetap menjeling liar memandang Fateh kerana dianggap ‘orang luar’ dan bukan sebahagian daripada ‘komuniti’ mereka.

Harimau-harimau ini mengelilingi Faridah, mencium bau wanita itu dan kemudian berguling-guling ke tanah, layaknya seperti kucing-kucing peliharaan yang ingin bermanja dengan tuannya. Faridah mengekek kegelian apabila salah seekor daripada harimau tersebut menggesel batang tubuhnya. Faridah kemudian mengusap, menggaru-garu dan menepuk-nepuk badan harimau-harimau tersebut sambil mengomel dan bercakap-cakap dengan mereka. Gelagat Faridah ini cukup menggelikan hati Fateh kerana ‘kegilaan’ yang ditunjukkan oleh Faridah itu begitu luar biasa untuk manusia yang 'siuman'. Apakah binatang-binatang ini faham apa yang dibebelkan oleh Faridah? Fateh hanya tersengih-sengih mengenangkan hal yang bermain di fikirannya kini.

“Abang, inilah harimau-harimau penjaga point array pertama kita!” Kata Faridah separuh teruja.

“Mengapa mereka seperti jinak kepadamu, Faridah?” Fateh masih lagi kehairanan dengan ‘layanan’ harimau-harimau tersebut terhadap Faridah.

“Abang rasa mereka ni, harimau biasa?”

“Hmm... bukankah begitu?” Fateh berasa kehairanan dengan soalan Faridah. Tiada apa yang pelik pada pandangan Fateh tehadap harimau-harimau itu melainkan saiz mereka yang lebih besar daripada harimau-harimau yang biasa dilihatnya.

“Abang tak perasan?” Faridah masih berteka-teki. Fateh kemudian cuba mengamati kembali harimau-harimau tersebut. Semakin diamati, semakin berkerut dahi Fateh memikirkannya.

“Aura mereka ini mirip dengan yang kau miliki walau pun ada sedikit perbezaannya.” Faridah tersenyum dan mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan jawapan Fateh.

“Benar bang, aura ini disisipkan kepada harimau-harimau ini semasa mereka masih kecil. Usia harimau-harimau ini lebih tua daripada abang!” Faridah ketawa kecil. Fateh hanya tersenyum kelat. Tentu usianya telah lama diketahui oleh Faridah seperti, tiada apa-apa rahsia diri Fateh yang tidak diketahui oleh Faridah.

“Kalau abang nak tahu, harimau-harimau ini dipelihara oleh Bendahara Inderapura sendiri sebagai pengawal-pengawalnya pada suatu masa dahulu. Mereka dilatih dan boleh berpencak malah, boleh mengenal keturunan Bendahara Inderapura melalui aura-aura unik kami. Sebab itu mereka mengawasi saya tadi. Oleh sebab aura abang sangat dominan, mereka masih berhati-hati untuk ‘menyambut’ kehadiran saya.”

“Hmmm..” Fateh hanya berdehem mendengar penjelasan Faridah. Tidak disangka keturunan Bendahara Inderapura boleh ‘menyampaikan’ aura penyembuh dan keremajaan kepada harimau-harimau peliharaan mereka. Tentu saja harimau yang telah lama hidup seperti harimau-harimau Faridah ini sudah mencapai tahap binatang tapa yang memiliki sedikit sebanyak kecerdikan lantaran pengalaman dan usia mereka yang lanjut itu.

“Bang, mereka hendak menemani kita ke gua tersebut. Boleh kan?”

“Apakah kau boleh bercakap bahasa haiwan pula, Faridah?” Fateh hanya ketawa. Fateh merasakan hal sedemikian bagai diada-adakan saja oleh Faridah.

“Tak percaya, ya? Garang, cuba kau bicara dengan suamiku.” Faridah mengusap-usap kepala harimau yang dipanggilnya Garang itu. Garang seperti memahami apa yang Faridah katakan. Mukanya menyeringai dan mengaum pendek seperti tidak puas hati kepada Fateh yang enggan mempercayai kata-kata tuannya itu.

Fateh acuh tak acuh dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Garang. Apakah si Garang ni kira, Fateh takut dengan taring dan mukanya yang bengis itu? Tentulah tidak!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience