Rate

Bab 77: Cerita Di Sebalik Sejarah

Mystery & Detective Completed 26471

Sejarah pemerintahan negeri Pahang itu melalui beberapa fasa bermula dari asalnya dari Kesultanan Melaka, Kesultanan Johor (turut berasal dari keturunan Kesultanan Melaka), dari keluarga *bendahara, iaitu selepas peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699 dan pemerintahan selepas perjanjian Inggeris- Belanda.

Nota* : Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil adalah Bendahara Kerajaan Johor-Riau dimasyhurkan sebagai Sultan Abdul Jalil Riayat Syah ke-4 sekitar tahun 1700an sebagai pengganti Sultan Mahmud Syah ke-2 kerana baginda tidak memiliki zuriat. Pusat pemerintahan kerajaan ini terletak di Riau (Bentan) manakala, jajahan takluk negeri Johor itu meliputi Riau (diperintah oleh Sultan Abdul Jalil), Pahang (diperintah secara autonomi oleh Bendahara) dan Johor oleh Temenggung. Selepas campurtangan Inggeris dalam Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, kerajaan Johor yang berpusat di Riau telah kehilangan negeri Pahang dan Johor melalui perjanjian ini dan menyebabkan negeri-negeri ini menjadi negeri-negeri berdaulat dan diperintah oleh keluarga bendahara untuk negeri Pahang dan keluarga temenggung untuk Johor yang kemudiannya membentuk dinasti kesultanan masing-masing sehingga kini.

Pada zaman pemerintahan Sultan Melaka ke-6 Sultan Mansur Syah (1459-1477), baginda memiliki sebilangan isteri yang dikahwini berdasarkan beberapa faktor seperti peperangan, dakwah, politik dan lain-lain lagi. Antara isteri-isterinya yang masyhur adalah Puteri Onang Sari (anakanda Maharaja Dewa Sura, Raja Siam yang memerintah Inderapura dan dikalahkan dalam peperangan Melaka untuk menakluk Inderapura atau Pahang), Raden Galoh Cendera Kirana, Puteri Hang Li Po dan Puteri Lela Wangsa. Selain, itu baginda juga pernah berkahwin dengan puteri Raja Siak, bernama Raja Mahadewi, Puteri Batara Majapahit dan lain-lain lagi.

Melalui perkahwinan baginda bersama Puteri Onang Sari inilah lahirnya Raja Muhammad dan Raja Ahmad manakala bersama Raden Galoh Cendera Kirana, diputerakan dengan Raja Hussain (yang kemudian ditabalkan menjadi Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Melaka ke-7).

Oleh sebab suatu peristiwa yang mana Tun Besar, anakanda Bendahara Tun Perak dibunuh oleh Raja Muhammad ketika bermain sepak raga sehingga menjatuhkan destar yang dipakai oleh Raja Muhammad (ketika itu menunggang kuda), perbalahan antara keluarga telah terjadi. Ketika itu, keluarlah ayat yang masyhur oleh Tun Perak bagi merungkai perbalahan ini yakni: “Nyah, nyah kamu semua, nyah kerana istiadat hamba Melayu tidak pernah derhaka tetapi, akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan.” Lantaran itu, tertolaklah Raja Muhammad itu dari bumi Melaka dan dirajakan sebagai Sultan Pahang Pertama dengan gelaran Sultan Muhammad Syah pada tahun 1470.

Namun, sebelum Pahang diperintahkan oleh Sultan Muhammad, Pahang telah ditadbir oleh **Bendahara Paduka Raja yang mempunyai anak gadis bernama Wanang Sari atau Walinong Sari (gelaran selepas Puteri Wanang Sari ‘ghaib’ secara misteri di Gunung Tahan kerana menuruti jejak kekasih hatinya Putera Mambang Segara, anak raja kayangan). Apabila Sultan Muhammad ditabalkan, segala tampuk pemerintahan Bendahara Paduka Raja ini dimansuhkan dan baginda telah melantik orang kepercayaannya sendiri sebagai Bendahara Paduka Raja yang baru kerana bendahara yang sebelum ini adalah begitu taat setia kepada Sultan Alauddin Riayat Syah (adinda Sultan Muhammad daripada ibu yang lain) yang memerintah Melaka. Sultan Muhammad berasakan dia lebih layak untuk memerintah Melaka kerana dia adalah saudara yang tua. Justeru, perseteruan antara Sultan Muhammad di Pahang dan Sultan Alauddin tidak dapat dielakkan disebabkan pewarisan tahta Negeri Melaka.

Nota**: Bendahara Paduka Raja di Inderapura pada masa ini adalah individu dari golongan bangsawan yang berkerabat dengan Sultan Melaka.

Oleh kerana jawatan Bendahara Paduka Diraja ini telah dilucutkan dan seluruh ahli keluarganya dihalau dari istana, beliau memencilkan diri bersama ahli keluarganya dan bermukim di daerah terpencil di Inderapura yang kini dikenali sebagai daerah Jerantut (meliputi kawasan Jengka 24, Damak, Jerantut, Kuala Tahan dan Hulu Tembeling) sehinggakan nama bendahara ini tidak dikenali oleh masyarakat umum melainkan disebutkan gelar jawatannya dalam hikayat berkaitan Walinong Sari semata.

Justeru, apabila Faridah mendedahkan sedikit perihal identitinya kepada Fateh- fahamlah Fateh siapa Faridah yang sebenarnya. Jelas sekali Faridah itu adalah berketurunan dari kerabat Bendahara Paduka Diraja, ayahandanya Walinong Sari itu sendiri. Tidaklah mustahil bagi gadis itu mempunyai pengetahuan berkaitan Penghulu Kakap Husin yang pernah mentadbir Kuala Tembeling suatu masa dahulu kerana ada kemungkinannya keturunan nenek moyang Penghulu Kakap Husin ini juga merupakan orang kepercayaan Bendahara Paduka Raja yang turut sama menuruti pemimpin mereka bermukim di daerah Jerantut dan telah menetap di situ berabad-abad lamanya.

*******************

Pada malam itu, Fateh sedang bersantai di ruang balkoni yang terdapat di banglo resort tersebut- melihat langit malam yang cerah yang dipenuhi bintang-bintang. Fateh meneliti kedudukan bintang-bintang tersebut, bagai mencari-cari petunjuk dan petanda sebagai panduan untuk perjalanan esok pagi. Dia tahu ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekiranya perjalanan itu tidak ‘ditinjau’ terlebih dahulu. Ibaratnya seperti orang-orang kebanyakan yang akan melihat ramalan cuaca dan perkara-perkara berkaitan tempat yang bakal dituju supaya perjalanan mereka itu tidak menerima ‘kejutan’ yang tidak dapat dijangkakan.

“Bang...” Fateh menoleh. Kelihatan Faridah menghampiri dan kemudian berdiri di samping Fateh. Senyuman manis Faridah tidak putus memandang suaminya dan Fateh juga membalasnya dengan senyuman.

“Nampaknya abang lebih tertarik dengan bintang-bintang berbanding isteri sendiri?” Perlahan-lahan, Faridah melentukkan kepalanya di bahu Fateh. Haruman rambut Faridah itu bagai menusuk-nusuk ke hidung Fateh, dibantu pula oleh angin malam, haruman itu semakin semerbak baunya.

“Mengapa, Faridah?” Fateh bertanya lembut meminta kepastian.

“Maksud abang?” Faridah berpura-pura tidak mengerti. Fateh faham yang Faridah masih lagi cuba bermain tarik tali dengannya.

“Rahsia Pintu Dunia itu-” Fateh cuba mengatur kata.

“Abang nak tahu mengapa saya mencari abang untuk mencari Pintu Dunia?” Fateh mengangguk-angguk kepalanya, mengiakan apa yang diteka oleh Faridah.

“Ya, kau sendiri bisa menemuinya tanpa bantuan abang.” Fateh memandang Faridah dengan serius. Dia tahu Faridah itu bukan gadis sebarangan, sebagaimana Khaleeda- gadis itu punya lebih dari mencukupi untuk menempuhi pengembaraan mencari Pintu Dunia.

“Tidak bang. Saya tak ingin pun mencari rahsia itu. Saya lakukan ini semata-mata untuk abang.”

“Abang tak faham.”

“Bendahara Paduka Diraja yang memerintah Inderapura itu berkerabat dengan Sultan Mansur dan Tun Perak juga kerabat diraja sebagai mertua Sultan Alauddin, anakanda Sultan Mansur melalui perkahwinan baginda dengan Tun Telani,” Faridah memulakan bicara. Fateh mendengar dengan tekun.

“Ada pun semasa Tun Perak pada masa pemerintahan Sultan Mansur telah merisik anak saudara Bendahara Inderapura supaya dapat dijodohkan dengan Tun Besar apabila cukup umurnya untuk menguatkan kerabat diraja atas sebab hubungan perkahwinan itu kelak. Malangnya, Tun Besar ditikam semasa bermain sepak raga, rancangan ini terpaksa ditunda.”

“Tunda? Bukankah seharusnya terbatal sahaja?”

“Pada hemat Bendahara Inderapura dan Tun Perak pada mulanya begitulah tetapi, selepas dihalau dari istana, kerana bantuan Tun Perak- Bendahara Inderapura serta sanak saudara dan orang-orang kepercayaannya terselamat dari cubaan bunuh oleh orang-orang Sultan Muhammad. Maka, dapatlah kami bermukim dengan selamat dan jauh dari ancaman istana. Bendahara Inderapura berasa sangat terhutang budi dan memutuskan agar ada keturunannya yang dapat disatukan dengan keturunan Tun Perak. Namun, atas sebab pergolakan di istana dan Sultan Alauddin mangkat pada usia muda kerana diracun, Tun Perak yang sudah berusia dibebani dengan tugas pemerintahan disebabkan Sultan Mahmud yang masih muda untuk memerintah ketika ditabal menjadi sultan. Selepas kematian Tun Perak, keturunannya seperti memencilkan diri dan sukar lagi ditemui sebagaimana keturunan Bendahara Inderapura.” Jelas Faridah panjang lebar.

“Oleh itu, amanat nenek moyang kami, agar antara dua keluarga ini dapat disatukan dan ianya terpakai sehingga ke hari ini. Selain itu, diamanahkan kepada kami agar menjadi pedamping dalam apa jua urusan keturunan Tun Perak itu. Kami juga tahu bahawa keturunan Tun Perak akan datang mencari rahsia Pintu Dunia itu kemudian hari maka, sebab itu kami bermukim berhampiran Gunung Tahan itu selama berabad-abad, menantikan adanya keturunan Tun Perak yang akan memunculkan diri.” Sambung Faridah.

“Bagaimana pula keturunanmu itu tahu akan halnya Pintu Dunia itu, Faridah?”

“Sebenarnya, Tun Perak dan Bendahara Inderapura telah lama mengetahui perihal Pintu Dunia yang dipenuhi misteri itu. Pada firasat mereka, sekiranya dapat diketahui oleh mereka akan manfaat Pintu Dunia itu maka, akan beruntunglah orang-orang Melayu. Oleh kerana Tun Perak begitu sibuk dengan urusan kerajaan, Bendahara Inderapuralah yang menjalankan tugas risikan tersebut. Disebabkan kerana Bendahara Inderapura hanya mempunyai seorang puteri dan tiada anak lelaki maka, puteri itulah yang dipersiapkan untuk merungkaikan misteri tersebut.”

“Bukankah dalam hikayat menyatakan puteri tersebut menuruti jejak kekasihnya ke Gunung Tahan?”

“Itu semua hanya cerita yang bermain di mulut orang sahaja, bang. Hakikatnya, Walinong Sari itu ingin segera menunaikan hasrat ayahandanya, Bendahara Inderapura menyelesaikan misteri tersebut sebelum menjadi isteri kepada anakanda Datuk Temenggung. Entah apa musibahnya, Walinong Sari ghaib di Gunung Tahan.” Fateh termenung mendengarkan cerita Faridah yang mempunyai versi yang berbeza daripada apa yang diketahuinya selama ini.

“Patutlah keturunan abang memberi amanat supaya dijejaki Walinong Sari itu untuk mencari rahsia Pintu Dunia.” Fateh bergumam sendirian.

“Jadi, tiadalah cerita perihal anak raja kayangan, Putera Mambang Segara dan ayahandanya Raja Petir tu?” Tanya Fateh.

“Abang percaya yang itu?” Faridah hanya ketawa kecil, membalas pertanyaan Fateh. Dirangkulnya erat lengan Fateh dengan manja.

“Bagaimana pula-”

“Banyak soalan abang malam ini, takkan semua itu hendak saya jelaskan dalam satu malam?” Faridah tersenyum nakal memandang Fateh.

“Bukankah ianya mudah untuk kau jelaskan saja, Faridah?”

“Ya, bang. Mudah juga sekiranya abang nak tunaikan apa yang saya mahu, kan?” Faridah kembalikan semula paku buah keras kepada Fateh.

“Apa yang kau mahukan?”

“Mudah saja, abangku sayang. Malam ini, abang kena menemani saya. Tidur di sebelah saya. Kalau abang 'baik' dengan saya malam ni, mungkin banyak lagi yang saya akan ceritakan.” Faridah menduga Fateh dengan usikannya.

Fateh mati kata-kata. Sekali lagi, dalam permainan seperti ini, dia tidak punya alasan untuk menolak apa yang dikatakan oleh Faridah. Seperti mana Khaleeda yang bijak ‘memerangkap’ Fateh dalam permainan kata-katanya, Faridah tidak kurang ‘buah caturnya’ untuk melancarkan serang check-mate kepada Fateh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience