Rate

Bab 67: Sebekas Dallah, Secawan Qahwa

Mystery & Detective Completed 26471

“Awak nampak penat sangat?”

“Hmmm..” Catherine membalas manja.

“Macam mana? Lega?” Fateh yang duduk membelakangi Catherine mula mengurut-urut bahu dan belakang isterinya itu dengan cermat. Saraf-saraf yang keletihan dialirkan dengan aura bagai menyirami seluruh tubuh Catherine.

“Sedapnya, sayang. Rasa lancar saja peredaran darah saya.” Catherine hanya memejam mata rapat-rapat, menikmati sentuhan Fateh yang penuh magis itu.

Fateh hanya tersenyum tanpa bersuara. Disisipnya juga aura penenang untuk merehatkan otot-otot dan minda Catherine kerana kembara mereka hari ini memang ‘intensif’. Fateh tidak mahu berlama-lama di Jerusalem ini bukan kerana dia enggan berbuat sedemikian tetapi, dia tidak mahu kehadirannya di sini bersama isteri diekori dan diintip oleh Mossad. Ya, semenjak melepasi border di Jordan, sudah ada mata-mata Mossad mengekori jejak mereka berdua.

Oleh sebab itu, Fateh perlu melakukan sesuatu agar pergerakannya tidak terganggu dan menyebabkan rencana asal Fateh untuk pulang semula ke Jordan dan kembali ke Malaysia berhadapan dengan aral. Seringkali pelancong-pelancong dari luar ditahan tanpa sebab atas dasar curiga semata-mata. Ini yang Fateh tidak mahu terutamanya ketika bersama Catherine. Jadi, dia ada ‘urusan’ yang perlu diselesaikannya terlebih dahulu sebelum pulang esok.

“Sayang.. I’m feel so sleepy tonight. Can’t help it.” Catherine mula menguap berkali-kali. Kelopak matanya menjadi semakin berat.

“Tak apa. Baring elok-elok.” Catherine segera merebahkan diri ke atas katil. Fateh membantu dengan menyelimuti tubuh Catherine dan menghadiah ciuman pada dahi isterinya dengan lembut. Bagai yang telah dijangkakan oleh Fateh, Catherine terus nyenyak walau pun di wajahnya masih lagi terukir dengan senyuman.

Fateh kemudian menutup lampu bilik dan segera keluar dengan *rida’ yang dililit di lehernya.

Nota *: Sejenis kain selendang yang sering dipakai oleh lelaki Arab.

*******************

Fateh menyusuri jalan di sekitar Hashimi Hotel yang terdapat deretan kedai-kedai orang Arab dengan pelbagai barang dagangan terutamanya barang keperluan, pasar basah, kedai makan, kedai menjual barangan cenderahati dan lain-lainnya. Kebanyakannya telah ditutup melainkan beberapa kedai seperti kedai kopi dan kedai menjual barangan cenderamata masih dibuka pada malam ini.

Fateh kemudian memasuki sebuah kedai kopi yang agak lengang dan duduk di hadapan seorang lelaki yang kelihatan seperti seorang lelaki Arab moden, bertubuh tegap dan kacak persis aktor Timothy Dalton dalam filem James Bond. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan kehadiran Fateh yang tidak tersangka olehnya.

“Buatkan saya **qahwa,” pinta Fateh kepada pelayan yang datang untuk mengambil pesanan. Pelayan itu mengangguk-angguk dan kemudian beredar untuk menghantar pesanan.

Nota **: Sejenis kopi resepi orang Arab yang mengandungi campuran biji kopi hijau dan buah pelaga.

Tak berapa lama selepas itu, pelayan itu kemudian membawa sebuah pot kopi (seperti teko kecil) yang dipanggil dallah dan membawa bersama 2 biji cawan kecil tidak bertangkai. Fateh menuangkan cairan kopi tersebut ke dalam 2 biji cawan kecil tersebut. Kopi yang jernih dan kehijau-hijauan warnanya ini kelihatan seperti air teh hijau saja. Gabungan haruman aroma kopi dan bauan herba dari buah pelaga memberikan suatu bauan yang unik dan tersendiri.

Lelaki di hadapan Fateh hanya memerhatikan tingkah laku Fateh dengan rasa waspada. Dia benar-benar tidak pasti sama ada Fateh telah mengetahui identitinya sebagai agent Mossad telah terbongkar atau tingkah laku Fateh kini hanyalah spontaneous gesture terhadap dirinya. Tidak mungkin Fateh yang diintipnya ini hanya sekadar hendak berbasa-basi kerana banyak lagi tempat kosong di dalam kedai itu. Jelas, Fateh memang sengaja duduk di hadapannya!

“Minumlah.” Kata Fateh dalam bahasa Ibrani dengan perlahan, seperti berbisik- tidak mahu perkataannya ini mencuri tumpuan orang lain yang berada di dalam kedai kopi milik orang Arab ini. Sekali lagi lelaki yang persis Timothy Dalton ini terkejut- Fateh tahu berbahasa ibundanya!

Lelaki Yahudi tersebut teragak-agak untuk menerima pelawaan Fateh. Dia tak boleh alpa kerana silap sedikit saja lagi, penyamarannya pasti terbongkar.

“Er, Tuan terlalu baik kerana mempelawa saya. Adakah Tuan mengenali saya?” Lelaki Yahudi itu sengaja menggunakan bahasa Arab untuk mempertahankan penyamarannya.

“Aku dengar Danny sudah pencen.” Fateh acuh tak acuh dengan pertanyaan lelaki Yahudi itu sebaliknya membicarakan soal lain.

“Danny?” Lelaki Yahudi itu seperti terpinga-pinga. Fateh hanya tersenyum melihat lelaki itu seperti mencari jawapan.


“Apakah kau lupa pada nama bapa saudara kau sendiri?” Lelaki Yahudi itu berubah wajahnya. Kejutan demi kejutan diberikan oleh Fateh membuatkan dia sendiri kehilangan punca.

“Er, saya tidak faham?” Lelaki Yahudi itu cuba berdalih.

“Isaac Yatom, kalau kau rasa aku tidak kenal bapa saudara kau Danny Yatom mantan ketua Mossad, aku akan ingatkan kau dengan tangan aku ini!” Suara Fateh menjadi keras dengan diaduni aura penggerun kepada Isaac sambil mengacungkan telapak tangan, menunjukkan penampar. Getaran suara ini cukup membuatkan Isaac hampir terkencing mendengarkannya. Anehnya, suara keras Fateh itu seperti tidak didengari oleh pelanggan-pelanggan lain seperti mana apa yang telah dialami oleh Ah Meng, samseng dari Ipoh dahulu.


"Kau dengar kata-kata aku ini baik-baik, kau beritahu budak-budak kau di dalam hotel supaya batalkan misi. Kau pula, balik ke rumah Danny dan tidur. Esok kau cuti dan lusa baru kau bekerja semula. Faham?!” Isaac yang telah terkena Penyeru Semangat hanya akur dengan arahan Fateh. Tanpa bertangguh, Isaac segera beredar meninggalkan kedai kopi tersebut seperti orang mengejar waktu. Tergopoh gapah.

Fateh hanya memerhati kelibat Isaac yang kemudian hilang dicelah-celah orang ramai yang masih lalu lalang di jalan tersebut. Sambil menghirup qahwa yang masih panas secara perlahan-lahan, Fateh kemudiannya menghembuskan nafasnya panjang-panjang, bagai mengeluarkan haba yang bersarang di dalam dadanya.

Selepas itu, Fateh mengesat pula dahinya yang mula timbul manik-manik halus peluh dengan kain rida’ selepas menghirup beberapa teguk qahwa. Ternyata air qahwa ini bagai mengembalikan ingatannya terhadap peristiwa-peristiwa yang pernah dialami oleh Fateh di bumi yang penuh berkah tetapi, sarat dengan fitnah dan ujian ini. Fateh tahu, malam ini pasti panjang kalau hidup hanya sekadar untuk merenung kenangan.

...dan pastinya dia bukan orang yang hidup untuk sebuah kenangan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience