Rate

Bab 22: Hilang

Mystery & Detective Completed 26471

“Eh, Cat... Alis pun ada. Apa hal ni?” Fateh terkejut melihat kedua-dua jirannya datang menjengah. Lain benar muka mereka memandang Fateh- semacam mantan KGB ingin menyiasat saja lagaknya.

Mereka berdua menolak Fateh ke samping. Tanpa dijemput, mereka terus meluru ke ruang tamu rumah Fateh dan pandangan mereka meliar ke segenap sudut seperti mencari-cari sesuatu. Sederhana saja kelengkapannya, layaknya rumah bujang seperti itu.

Fateh terpinga-pinga tidak mengerti, hanya melihat dua gadis itu mundar mandir dan ‘menyiasat’ ruang tamu rumahnya. Tatkala mereka berdua masih sibuk dengan ‘aktiviti’ mereka, Fateh segera ke dapur untuk menyediakan minuman. Fateh tahu, lambat laun pasti mereka akan bertanya sesuatu padanya. Jadi, biarkanlah mereka dengan hal mereka sendiri. Fateh malas nak ambil pusing.

“Nah, minumlah dahulu.” Fateh segera menghidangkan air bujang di atas meja kecil di ruang tamu tersebut.

“OK, now you tell me honestly, who are you?” Catherine mula berkata, selepas ‘berpuas hati’ meninjau segenap ruang di dalam rumah Fateh.

“Apa hal ni? Alis?” Fateh tidak mengerti. Dipandangnya Catherine dan kemudian kepada Alis, meminta penjelasan.

“Bro, you jawab sajalah.” Muka Alis serius.

“Eh, kamu berdua yang menyerbu masuk, lepas tu tanya soalan macam tu- siapa yang nak faham. Cat, kenapa?” Fateh memandang Catherine pula. Mata Catherine mulai berkaca-kaca.

“Kenapa awak tipu saya?” Catherine mulai sendu.

“Tipu?” Fateh keliru.

“Ye lah.. you kata pergi Kuala Kangsar dan ini apanya?” Alis menunjukkan skaf pavlin dan gelang rantai malachite itu pada Fateh.

“Itu.. kan souvenir?”

“From Kuala Kangsar?” Soal Catherine pula.

“Siapa kata dari Kuala Kangsar?”

“Habis tu?” Tambah Alis.

“Itu saya beli dari Kazakhstan dan St. Petersburg. Mengapa?” Mata Alis dan Catherine terbeliak. Jadi, betullah Fateh ke tempat-tempat tersebut.

“Awak kan gardener?” Catherine pula bersuara.

“Jadi, kenapa?”

“Macam mana you mampu nak ke sana, bro? Serius lah!” Alis pula menyoal.

Fateh ketawa berdekah-dekah. Rupa-rupanya hanya kerana skaf dan gelang itu yang menjadi punca kecurigaan mereka berdua. Alis dan Catherine berpandangan sesama sendiri melihat reaksi Fateh.

“Kan saya dah cakap tempoh hari yang saya nak ke Kazakhstan dan St. Petersburg, Cat?” Catherine hanya mengiakan kata-kata Fateh.

“Jadi, bila masa saya tipu awak?” Catherine tersentak dengan pertanyaan Fateh. Memang benar kata-kata Fateh, dia saja yang tidak percaya kepada lelaki itu.

“Cat dan Alis- nampaknya, awak berdua memandang rendah dan hina kepada saya. Tidak layakkah saya berjalan ke sana sebab saya seorang tukang kebun?” Alis terkelu. Catherine mula menitis air matanya. Dia merasa begitu bersalah kerana mencurigai Fateh.

“I’m sorry, bro...” Alis cuba menyusun bicara. Catherine masih kelu. Mulutnya terkumat-kamit hendak mengatakan sesuatu tetapi, tidak terluah apa yang hendak disampaikannya.

“Tak apalah. Saya maafkan awak berdua tetapi, mulai hari ini- anggap saja, kita tidak saling mengenali. Kamu berdua, dengan hidup kamu sendiri dan saya dengan hidup saya.” Lembut saja tutur kata Fateh tetapi cukup tegas.

Mendengar kata-kata Fateh sebegitu, Catherine tidak dapat bertahan lagi. Air matanya menguncur deras dan dia segera meluru mendapatkan Fateh, Dipeluknya Fateh erat-erat bagai tidak mahu lagi dia melepaskannya. Dia tersedu sedan. Nafasnya berombak-ombak menafas kesedihan dan rasa bersalah. Alis tidak terkata apa. Apa yang terjadi, adalah desakan dan dorongan dia juga. Terasa seperti dia menjadi punca keretakan hubungan Catherine dan Fateh.

Fateh segera meregangkan pelukan Catherine pada tubuhnya. Catherine meronta-ronta untuk tidak melepaskan. Alis segera memegang bahu Catherine untuk membawanya pulang.

“Please Fateh... jangan buat saya macam ni,” Rayu Catherine dengan esakan tangisannya.

“Fateh, janganlah begini. I yang bersalah tapi janganlah hukum Cat sekali. I puncanya bukan Cat!” Desak Alis, dia turut sama merasakan kedukaan yang ditanggung Catherine.

Fateh hanya diam membisu dan segera mengisyaratkan Alis supaya mereka berdua beredar. Alis dan Catherine tidak punya pilihan- dengan berat hati mereka melangkah keluar. Pintu rumah Fateh, tertutup rapat.

*******************

Catherine memandang ke arah pintu rumah Fateh. Berkunci. Sudah seminggu selepas kejadian itu, dia tidak lagi dapat melihat kelibat Fateh, apatah lagi batang tubuh lelaki itu. Rumah itu seperti telah dikosongkan.

Setiap kali menaiki LRT, Catherine akan mencari-cari kelibat lelaki itu. Waktu tengah hari, setiap hari dia akan ke bawah pokok yang rendang, mencuba nasib kalau-kalau Fateh ada bersantai di situ, tidak lupa bekalan makanan kegemaran Fateh dibawanya bersama. Setiap kali itu juga, air matanya akan mengalir deras. Fateh tiada di situ.

“Cat, sudahlah,” keluh Alis melihatkan keadaan sahabatnya yang sugul sebegitu. Catherine hanya diam tidak membalas.

“Aku minta maaf banyak-banyak, Cat. It’s all my fault.” Alis segera mendapatkan Catherine dan memeluk Catherine dengan erat. Air mata Alis turut mengalir deras. Catherine hanya diam seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia seperti di dalam dunia yang sunyi dan asing, penuh kedukaan.

Catherine melepaskan pelukan Alis pada tubuhnya. Dia kemudian perlahan-lahan bangkit dan menuju ke bilik tidurnya. Pintu bilik itu ditutup rapat. Alis memandang ke arah bilik Catherine dengan hati yang berat. Sayup-sayup terdengar esakan tangis Catherine- menambahkan lagi rasa kesedihan di hati Alis. Dunia mereka suram dan gelap.

*******************

“Er, cik..” Pak Amran menegur seorang gadis Cina yang jelita tetapi sugul saja wajahnya. Gadis itu memandang Pak Amran dan hanya tersenyum kecil.

“Hampir setiap hari pakcik tengok cik akan ke sini. Tempat ini walau pun permandangannya cantik tetapi tidak selamat kalau cik di sini seorang. Ada apa-apa yang pakcik boleh tolong?”

“Pakcik ni siapa?”

“Nama pakcik, Amran. Panggil saja Pak Amran. Pakcik kerja di taman ni. Oh, ya... tempat ni dulu anak buah pakcik suka melepak di sini. Kalau nak mencari dia, mesti jumpa di sini.” Kata Pak Amran ramah walau pun tidak di tanya.

“Pakcik kenal, Fateh?” Gadis itu seperti teruja mendengarkan kata-kata Pak Amran. Ada garis kegembiraan terlukis pada wajahnya.

“Eh, tentu saja kenal. Dialah anak buah pakcik yang pakcik ceritakan tadi.”

“Dia ada pakcik?” Gadis itu mula berharapan.

“Itulah, sudah hampir seminggu lebih dia tak datang kerja. Ikut kata manager pakcik, dia dah berhenti- tapi itulah, pakcik pun dia tak beritahu. Bertuah punya budak!” Keluh Pak Amran. Gadis yang bersamanya kembali sugul.

“Er, cik nampaknya mencari dia?” Gadis itu hanya mengangguk-anggukkan kepala. Pak Amran mati bicara.

“Cik duduklah di sini, ya. Pakcik ada kerja nak buat- kalau ada apa-apa, cari saja pakcik di sana,” kata Pak Amran menunjukkan ke arah sebuah binaan kecil yang menjadi pejabat pengurusan taman itu. Gadis itu hanya tersenyum dan mengangguk kecil. Pak Amran membalas senyuman itu lalu berlalu pergi.

Catherine menghela nafasnya yang kian sebak. Nampaknya, harapannya menunggu Fateh yang mungkin muncul di sini hanya sia-sia sahaja. Namun, dia seperti setia tidak berganjak bagai terpaku punggungnya di atas hamparan rumput ini. Pandangannya jauh menerobosi ke segenap taman tetapi kosong sahaja dirasakannya. Hatinya menangis lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience