Rate

Bab 70: Satu Hari Yang Hilang

Mystery & Detective Completed 26471

Abigail keliru. Sebagai seorang pegawai polis Jordan yang mempunyai hubungan rapat dengan Pemaisuri Rania, tentu saja melihatkan pasukan gerak khas polis Jordan mengepung kediamannya sesuatu yang aneh. Apakah penyamarannya sebagai agent Mossad telah terbongkar? Siapa pula yang membongkarkannya?

Dia duduk bersandar di ruang tamu, menekan-nekan nombor Isaac untuk memaklumkan situasi terkini. Talian tidak bersambung. Tiada jawapan. Dia berkira-kira sendiri, sama ada mahu melarikan diri atau hanya menyerah begitu saja. Segala peluang diperkirakan dengan teliti. Dia tahu, kalau hendak melarikan diri, tipis sekali dia hendak meloloskan diri kerana, pasukan yang mengepungnya hari ini pastinya tidak akan melepaskan apa jua yang melintas hatta, seekor tikus pun!

Tok! Tok! Tok! Ketukan di pintu rumahnya begitu keras dan berat. Peluh dingin mula mengalir di dahi Abigail namun, dia segera mengawal perasaannya.

“Masuklah, pintu tidak berkunci.” Laung Abigail seperti tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan. Ya, belum tentu mereka mengetahui dia adalah agent Mossad. Mungkin dia hanya berspekulasi sendiri.

Beberapa orang lelaki mula ‘membanjiri’ ruang tamu tersebut. Langkah dan gerak mereka penuh waspada dan beberapa lagi memeriksa setiap inci ruang rumah itu, untuk memastikan tidak ada apa yang mencurigakan berada di situ. Pasukan khas ini begitu kritis tentang perkara seperti ini supaya kelancaran operasi mereka tidak terganggu gugat oleh elemen-elemen yang boleh merencatkan perencanaan mereka.

“Apa kena dengan kamu semua ini? Aku ni pegawai polis Jordan?!” Bentak Abigail melihatkan ‘tetamu-tetamu’ yang tak diundang ini. Dia marah. Apakah rumahnya ini dapat digeledah sesuka hati?

“Pegawai polis? Dan juga agent musuh?!” Seorang lelaki bertopeng segera menampar Abigail tanpa belas kasihan. Abigail terduduk menahan tamparan yang begitu berat itu. Mulutnya terasa masin. Perlahan-lahan darah mengalir dicelah-celah bibirnya.

“Gari tangannya.” Salah seorang anggota pasukan khas tersebut dengan pantas menyilang dan menggari tangan Abigail setelah diarahkan oleh lelaki tadi. Abigail hanya mampu untuk meronta-ronta tetapi, hampa belaka kerana kekuatan gadis itu tidak setanding dengan anggota pasukan khas yang menggari tangannya.

Tak sampai 5 minit, rumah Abigail kembali tenang dan lengang. Semua kembali seperti asal seolah-olah tiada apa yang berlaku. Apa yang tertinggal hanyalah titik-titik darah yang mula mengering di atas karpet berwarna merah.

*******************

Dari kejauhan Isaac dapat melihat kawalan di pos sempadan Jordan bagai dibanjiri oleh anggota-anggota pasukan khas polis Jordan. Isaac yang masih berada di wilayah Israel, tertanya-tanya sendiri melihatkan keadaan aneh sebegini. Ini bukan sesuatu yang biasa dia lihat sejak sekian lama.

Kring! Kring! Kring! Isaac segera mencapai telefon bimbitnya. Panggilan tidak bernombor itu pastinya datang dari Mossad. Dia tahu pastinya ada berita penting.

“Celaka kau, Isaac! Di mana kau?!” Jerkah seorang lelaki yang amat-amat dikenali oleh Isaac.

“Kenapa, Tuan? Saya masih berada di sempadan.” Isaac menjawab dengan tenang. Dia tahu, ketuanya itu amat panas baran orangnya. Dia perlu berhati-hati ketika berbicara supaya ‘angin’ ketuanya itu tidak bertukar menjadi ‘taufan’.

“Sempadan? Kau balik ke HQ segera!”

“Saya tak faham? Kenapa tiba-tiba saja?” Isaac mulai musykil atas arahan itu. Selama ini, sangat jarang sekali ketuanya itu mencampuri urusannya di Jordan.

“Bodoh! Pasukan risik kita dan ditahan di Jordan!” Isaac terkejut besar. Bagaimana hal yang sesulit ini boleh terbongkar? Bukan setahun dua Isaac dan pasukannya telah menyerap masuk ke Jordan dan ini dilakukan hampir 20-30 tahun lalu.

Tanpa membuang masa, Isaac segera berpatah balik dari sempadan Israel-Jordan dan menuju ke Tel Aviv. Fikirannya mulai ligat berputar. Dia segera terkenangkan Abigail dan pasukan risik (dalam satu pasukan dengan Abigail) yang kini dalam tahanan Jordan. Bagaimana anggota keselamatan Jordan dapat mengetahui perihal Abigail dan pasukannya itu? Bukan senang untuk Mossad menyelinap dalam kalangan keluarga diraja Jordan terutamanya, selepas peristiwa Sarah Amram yang berlaku puluhan tahun lampau. Jadi, Mossad begitu menghargai Abigail kerana dia adalah ‘pelaburan’ strategik Israel di masa akan datang.

Isaac mengeluh panjang. Sial sungguh dia hari ini. Setelah terkena ‘getah’ The Ghost yang menyebabkannya hilang satu hari dalam hidup, dia kini kehilangan satu pasukan risik yang amat strategik di Jordan.

‘Apakah?’ Isaac tiba-tiba tersedar akan sesuatu. Dia memaki-maki dirinya yang alpa. Dia pasti satu hari yang hilang itu menjadi satu hari yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh The Ghost untuk melumpuhkan pasukan risik Mossad dalam lingkungan keluarga diraja Jordan. Siapa lagi yang dapat berbuat sedemikian? Celaka!

Ketika Isaac sedang menyumpah seranah itulah- Fateh dan Catherine telah selamat menjejaki kaki mereka di KLIA seperti tiada apa-apa yang berlaku- meninggalkan pergolakan yang melanda dunia perisikan Israel dan gerakan pasukan khas polis Jordan yang sedang giat menggeledah bukti-bukti dan maklumat-maklumat penting daripada agent-agent Mossad yang telah ditahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience