Faridah menyalakan lampu picitnya untuk menerangi ruang dalaman gua yang suram. Fateh tidak menyangka di dalam gua tersebut mempunyai laluan yang panjang dan semakin jauh mereka berjalan, semakin gelap keadaan di dalam gua tersebut sehingga akhirnya mereka terpaksa benar-benar bergantung kepada lampu picit yang dibawa oleh Faridah.
Sepanjang kegelapan itu, Fateh tidak berkata apa-apa. Ada masanya dia tersepak tulang temulang yang berselerakan di lantai gua. Fateh tak peduli apa jenisnya, sama ada tulang haiwan atau manusia, dia hanya fokus kepada Faridah yang ‘mengetuai’ perjalanan mereka berdua sahaja. Walau pun sedemikian, perjalanan itu tidaklah mudah untuk manusia biasa kerana jalan dilalui itu penuh dengan binatang berbisa yang melata. Hanya kerana Fateh menghamburkan aura pelindung mengelilingi mereka berdua, haiwan-haiwan berupa ular, kala dan serangga-serangga berbisa tersebut tidak mampu untuk melindungi benteng aura. Jika ada yang semberono, nasib haiwan tersebut bagai mengharungi api yang marak- hangus semuanya terbakar.
“Abang, kita dah hampir sampai.” Faridah memecahkan kesunyian. Fateh cuba mengamati keadaan- yang hanya kedengaran adalah bunyi titisan air dari kejauhan.
“Apakah yang kau maksudkan checkpoint pertama untuk array Tahan itu?” Fateh berbasa basi. Sudah tentu Fateh tahu tujuan mereka ‘menjelajahi’ laluan gua ini tetapi, dia tak mahu suasana antara mereka sunyi begitu sahaja.
“Hmmm... tetapi bukan sekadar itu.” Faridah menoleh ke arah Fateh dan tersenyum.
“Apa lagi?” Berkerut kening Fateh mendengarkan jawapan Faridah tersebut.
“Tu... cuba abang lihat di hadapan kita.” Fateh segera melihat ke arah cahaya yang diacukan oleh Faridah. Fateh kaget seketika. Di hadapan mereka terbentang 3 terowong untuk mereka lalui tetapi, yang mana satu untuk dipilih?
“Firasat tak mampu melihat apa yang ada di hadapan terowong itu.” Faridah menegur Fateh yang kelihatan mula merenung untuk mendapatkan jawapan atas persoalannya sendiri.
“Jadi, bagaimana? Bukankah kau tahu jawapannya?” Faridah hanya mengangguk.
“Sebenarnya, abang pun tahu jawapannya.” Faridah acuh tak acuh.
“Mana mungkin?” Fateh membantah kata-kata Faridah. Tentu saja dia tahu apa yang tidak diketahuinya. Hal ini- memang jelas dia tidak tahu. Jadi, apa yang Faridah cuba buktikan kepadanya?
“Abang rasa tak mungkin?” Fateh bungkam. Dia malas hendak berbalah dengan Faridah. Kalau dilanjutkan, ianya takkan berkesudahan.
Sedar tak sedar, mereka berdua telah pun berada di hadapan 3 terowong di dalam gua tersebut. Fateh memandang Faridah seperti menunggu ‘arahan’ seterusnya. Dia tahu Faridah pasti ada jawapan untuk memilih laluan yang mana harus mereka lalui kelak.
“Di hadapan setiap laluan itu ada ‘papan tanda’ di atas gerbang masuknya, bang. Apakah abang dapat membacanya?” Faridah menyuluh ke arah gerbang setiap terowong dan kemudian fokus kepada terowong yang pertama.
Berbekalkan cahaya suluhan Faridah itu, Fateh cuba mengamati apa yang tertulis pada gerbang terowong yang pertama. Tulisan yang terdapat di atas gerbang terowong itu membuatkan Fateh terpana.
“*Cuneiform?” Fateh seperti bertanya kepada diri sendiri. Faridah hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya.
Nota *: Cuneiform merupakan tulisan tertua di dunia, lebih lama dari tulisan hieroglif Mesir Kuno, sekitar 5000 SM. Tulisan cuneiform ini berbentuk seperti pepaku berasal daripada orang-orang Sumeria (Tamadun Mesopotamia yang berada di antara lembah Sungai Tigris & Sungai Eufarat, kini di wilayah Iraq) dan diwarisi orang-orang Akkadia, Ebra, Elam, Hittites dan lain-lain, termasuk juga orang-orang Assyiria (Parsi Kuno).
“Menarik kan, bang? Belum pernah diketahui bahawa tulisan pepaku ini wujud di dunia Melayu.” Faridah mula berceloteh bak ‘mutawwif’ dalam kembara mereka berdua.
“Apakah?” Fateh mula meneka. Selama dalam pengetahuannya, tulisan pepaku ini mewakili sebutan dalam bahasa bangsa-bangsa kuno seperti orang-orang Sumeria, Akkadia dan seangkatan dengan mereka sahaja. Adakah mungkin-
“Ya, bang. Bahasa yang digunakan dalam tulisan ini adalah bahasa Melayu lama.” Bulat mata Fateh mendengar penjelasan Faridah. Ini benar-benar kejutan kepada diri Fateh sendiri. Jika ini benar maka, tulisan lama orang-orang Melayu yang dinamakan tulisan Rencong itu mungkin bukan tulisan pertama yang pernah digunakan.
Faridah menghampiri Fateh perlahan-lahan. Tatkala berhadapan, Faridah segera memeluk Fateh dan merangkul kepala Fateh, seperti ingin mengatakan sesuatu yang sulit. Didekatkan bibirnya benar-benar hampir di cuping telinga Fateh sehingga hembusan nafas Faridah itu sendiri amat jelas di pendengarannya. Faridah membisikkan suatu kalimat dan Fateh seolah-olah faham maksudnya tetapi, perkataan-perkataan itu bagai menderu masuk bertalu-talu di dalam fikiran Fateh tanpa dapat dikawal. Dunia Fateh berbalam-balam, pelbagai peristiwa, ingatan, gambaran dan segala macam kejadian silih berganti, bertalu-talu dan membingitkan. Semakin lama, ianya semakin bingit dan memekakkan sehingga Fateh tidak mampu untuk bertahan lama.
Dum!
Tubuh Fateh terkulai lemah tidak berdaya. Faridah meribai suaminya itu dan mengusap rambut Fateh dengan lembut dan penuh kasih sayang. Kelihatan ada cahaya terang di ubun-ubun lelaki itu.
*******************
Semasa Fateh tidak sedarkan diri itu, apa yang dilaluinya bagaikan suatu kembara panjang. Berpusu-pusu segala ingatan menerpa memasuki ke setiap ruang fikirannya. Dia bagaikan melihat, mengalami dan merasai setiap peristiwa itu dengan sebenar-benarnya. Jiwa dan minda Fateh menjadi keliru tetapi, perlahan-lahan segala yang meresap masuk ke dalam dirinya itu menjadi semakin jelas. Dia mulai faham apa sebenarnya yang berlaku.
Dia melihat Khaleeda. Anehnya, dia melihat dirinya sendiri seperti seorang anak kecil pada suatu masa yang sepatutnya dia telah dewasa. Dia melihat Faridah dan dirinya dari suatu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dia melihat dirinya ditikam oleh Raja Muhammad ketika bermain sepak raga dan tidak mati. Dia juga melihat peralihan zaman itu bagai berputar-putar melingkari perjalanan hidupnya.
Dia melihat jelas akan pilihan laluan terowong yang dilaluinya. Seputar itu, dia mengerti hakikat laluan itu dan kini dia kembali lagi. Kembali lagi bersama Faridah. Ini bermakna, kembaranya bersama Faridah bukanlah kali pertama ianya berlaku. Tetapi, Fateh masih belum jelas siapakah Faridah itu disisinya selama ini. Apakah dahulu Faridah juga isterinya seperti sekarang? Mengapakah rasa cinta dan kerinduan kepada Faridah itu menjadi semakin kuat dan dalam?
Perlahan-lahan Fateh membuka matanya. Matanya mula bergenang kerana terlalu banyak peristiwa yang benar-benar menjerut perasaannya bagaikan baru semalam ianya berlaku. Auranya mula berubah. Fateh sedar ada sesuatu dalam dirinya, miliknya- sesuatu yang ‘hilang’ telah kembali semula.
"Wanang Sari?" Fateh mulai sedar sepenuhnya.
“Alhamdulillah. Selamat kembali, kanda.” Faridah tersenyum manis. Fateh segera merangkul leher isterinya itu lalu mengucup dahi Faridah atau Wanang Sari (Walinong Sari) dengan linangan air mata. Air mata Faridah turut menitik membasahi pipinya. Dia tahu Fateh telah ‘kembali’ lagi.
Dah tahu identiti Faridah?
Share this novel