Rate

Bab 29: Pemutus Zuriat

Mystery & Detective Completed 26471

Setelah menghantar pulang ibu bapa Catherine di Ipoh, Fateh pulang berdua bersama gadis itu ke Kuala Lumpur dan perjalanan itu hanya mengambil masa sekitar 2 jam setengah melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya DUKE ke susur keluar Wangsa Maju. Dalam perjalanan itu pelbagai topik dibualkan oleh mereka berdua dan penuh dengan senda gurauan.

“Cat, nanti turunkan saya di tepi jalan berhadapan dengan Wangsa Walk,” pinta Fateh, dia telah mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan perjalanan ini tetapi, sengaja dia tidak memberitahu Catherine supaya tidak menyebabkan Catherine menjadi panik.

“Hmmm... OK. Awak nak ke mana? Tak mahu saya temankan?”

“Saya nak berjumpa kawan sekejap. Tak apa, lain kali kita keluar berdua.” Fateh berdalih.

“Lelaki ke perempuan?”

“Tentulah lelaki. Awak cemburu?” Fateh hanya tersengih, mengusik Catherine.

“Tak kuasa nak cemburu!” Catherine mencebik, menimbulkan rasa geli hati kepada Fateh. Mereka ketawa besar.

“Hah, saya drop awak di sini, OK? Pergilah bermesra dengan ‘teman lelaki’ awak tu,” usik Catherine.

“Ish, ke situ pula. OK, sini pun OK dah.” Balas Fateh, bersetuju dengan cadangan Catherine.

Kereta pun diberhentikan dan Fateh bergegas keluar. Setelah mengucapkan selamat kepada Catherine, Fateh pun beredar menyusuri laluan pejalan kaki berhampiran dengan kondominium Wangsa 9 Residency, seolah-olah seperti menuju ke Wangsa Walk.

Fateh sedar ada sebuah Toyota Alphard berwarna hitam mengekorinya semenjak dari tol Jalan Duta lagi. Tujuan dia meminta Catherine menurunkannya di tepi jalan adalah untuk memastikan lagi telahan firasatnya itu. Memang benar, mpv itu kemudian perlahan-lahan menghampirinya.

“Abang, boleh tumpang tanya?” Tiba-tiba saja Fateh terdengar satu suara dari dalam mpv tersebut yang kini berada betul-betul di sampingnya. Fateh memberhentikan langkah dan menoleh. Kelihatan seorang penumpang hadapan, lelaki India sedang tersengih-sengih memandangnya.

“Boleh. Nak tanya apa?” Tanya Fateh sambil tersenyum. Pertanyaan Fateh dijawab lambat oleh lelaki itu, dia sibuk bertanya pada pemandu di sebelahnya dalam bahasa Tamil. Mereka tidak tahu apa yang mereka bualkan itu difahami dengan jelas oleh Fateh tetapi, Fateh berpura-pura tidak faham apa yang mereka lafazkan.

“Er, abang... macam mana mahu pergi, ini tempat?” Tanya lelaki itu berpura-pura bertanya jalan.

“Oh, ini senang saja. Nanti simpang depan, awak pusing ke kiri dan jalan terus. Sampai jumpa simpang tiga, pusing kiri lagi dan jalan terus sampai awak nampak signboard AEON, baru pusing kanan. Sanalah Wangsa Maju Seksyen 1.” Fateh hanya melayani ‘permainan’ mereka ini.

“Oh, banyak terima kasih abang. Abang apa nama?” Respon lelaki India itu seperti teruja. Jelas keterujaan itu hanya dibuat-buat sahaja.

“Saya, Fateh.” Fateh hanya tersenyum melihat gelagat lelaki itu.

Tidak semena-mena, pintu belakang mpv tersebut terkuak, dan dengan pantas sarung guni segera diserkup menutupi kepala Fateh beserta tembakan ubat penenang dilepaskan. Tindakan mereka ini begitu pantas, Fateh yang cuba bereaksi menjadi lemah tidak bermaya dan dia segera disumbatkan ke dalam mpv tersebut serta merta. Toyota Alphard tersebut segera memecut meninggalkan Wangsa Maju dan menuju ke Damansara di Petaling Jaya.

Sorakan gembira berkumandang di dalam mpv tersebut kerana misi mereka menculik lelaki Melayu bernama Fateh ini berjaya dan pastinya, imbuhan yang bakal diterima oleh ketua mereka, Malik- pasti lumayan!

*******************

Setelah menerima panggilan Malik, Johnny segera menghubungi Hairi dan mereka berdua kemudiannya segera menuju ke rumah Malik untuk melaksanakan agenda yang telah dirancangkan. Dendam mesti dibalas.

“Mana si bangsat itu?” Tanya Hairi apabila melihat saja muka Malik. Malik hanya menjuihkan bibirnya, memberi isyarat ke arah Fateh. Hairi segera melirik ke arah yang ‘ditunjukkan’ oleh Malik.

Fateh, masih lagi tidak sedarkan diri. Tubuhnya didudukkan di atas kerusi, terikat kemas dan kepalanya masih bersarung guni. Terkulai kepala Fateh tidak bergerak dan hanya nafasnya sahaja yang kelihatan turun naik perlahan-lahan. Hairi hanya tersenyum, dengan angkuh dan rasa ‘berkuasa’ melihat keadaan Fateh yang tidak sedarkan diri ini.

“Buka sarung kepalanya, aku mahu tengok rupa si bangsat ini!” Mendengarkan kata-kata Hairi, Malik segera mengarahkan anak buahnya menuruti kemahuan pelanggannya itu.

“Ha ha ha... terbaik, Malik. So, aku boleh buat apa yang aku nak sekarang?” Tanya Hairi sebaik saja melihat wajah Fateh yang ‘lena’ di atas kerusi itu.

“Suka hati kau cuma, jangan kotorkan rumah aku.” Balas Malik ringkas.

“Baik, sebelum dia sedar- aku nak balas dulu tamparan si bangsat ni, aku nak tarik telinga dia kuat-kuat sampai putus!” Kata Hairi penuh keterujaan.

Johnny hanya tersengih mendengarkan ‘cadangan’ Hairi. Dia juga ingin turut serta. Kepedihan yang mereka rasai tempoh hari bagaikan masih terasa di pipi. Inilah masanya mereka dapat membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh Fateh. Malah, memberi akan ‘membayarnya’ sekali dengan ‘bunga’!

Hairi mula menghampiri ke arah Fateh yang masih tidak sedarkan diri. Dia mengacung-acungkan tangan dan diregangkan telapak tangannya lebar-lebar. Dia cuba menghayunkan tangannya beberapa kali dan membetulkan posisinya ibarat hendak memukul bola golf. Dia mahu mendapatkan tamparan yang maksima, biar Fateh yang terlena ini terus terjaga dan meraung kerana tamparannya. Dia yakin, tamparannya ini pasti padu.

Setelah mencuba beberapa kali, dia mula menghayunkan penamparnya dengan sederas mungkin-

Krak! Arghhhhhhh!!!!

Johnny, Malik dan beberapa orang suruhan Malik terpinga-pinga. Mereka hairan melihat Hairi terjelepuk ke atas lantai sambil meraung kesakitan dan memegang tangannya yang seperti terkulai. Pergelangan tangan kanan Hairi patah. Mereka kemudian menoleh ke arah Fateh. Fateh masih berada di situ dan tentu belum hilang ‘mabuknya’ terkena ubat penenang. Malik yakin Fateh tidak akan bangun sekurang-kurangnya lagi 4-5 jam. Bukan sehari dua dia menggunakan suntikan penenang untuk tujuan penculikan. Tak terkira lagi.

“Bro, what happen to you?” Tanya Johnny tidak mengerti. Dia yang ‘berpengalaman’ tahu akan kepantasan Fateh tetapi, itu kalau lelaki itu sedar. Ini, Fateh masih tidak sedar- mana mungkin Fateh boleh bertindak balas. Mustahil.

“I don’t know. It’s like someone hold my wrist and break it!” Hairi masih meronta kesakitan.

“Ridiculous! Are you really this weak?” Getus Johnny. Dia bergerak menuju ke arah Fateh. Dia mahu ‘tunjukkan’ cara tamparan yang betul kepada Hairi.

Krak! Arghhhhhhh!!!!

Kali ini giliran Johnny pula berguling dan meraung kesakitan. Pergelangan tangannya turut terkulai patah seperti Hairi. Malik berasa pelik melihat mereka berdua berkelakuan begitu. Tentunya Malik menganggap ‘pelanggannya’ dua orang ini tak berguna. Lemah. Menampar orang yang tak sedarkan diri saja tak reti. Segera dipalingkan pandangannya ke arah Fateh dan- hilang!!!

Belum sempat Malik bereaksi, satu tamparan hinggap ke muka Malik. Malik hanya ingat dia seperti terapung-apung di udara dan semasa mendarat ke lantai, pandangannya terus gelap. Dia terus tidak sedarkan diri.

Melihat ketua mereka tewas, seramai 5 orang anak buah Malik segera mengepung Fateh. Masing-masing mengeluarkan pisau tusuk yang boleh dilipat, mengacu-acukannya ke arah Fateh. Fateh hanya tersenyum melihat ahli-ahli kongsi gelap ini beraksi ibarat melihat monyet-monyet sarkis membuat pertunjukan.

“Lain kali kalau nak culik orang, jangan banyak bersembang,” tutur Fateh, fasih dalam bahasa Tamil. Kuncu-kuncu Malik terkejut. Mereka tidak menyangka bahawa Fateh sudah faham rancangan mereka semasa mereka bercakap di dalam mpv tadi.

“Cakap banyak tak guna, seranggggg!” Kata salah seorang daripada mereka dalam bahasa Tamil dan yang lain-lain hanya akur dan terus menyerbu.

Tup! Arghhh!! Krak! Arghhh! Tup! Arghhhh!!!

Pantas gerakan Fateh seperti angin berlalu. Tanpa bersusah payah. Bergelimpangan kuncu-kuncu Malik memegang paha, kaki, lengan mereka yang ditusuk oleh pisau mereka sendiri. Selain daripada itu, ada juga kecederaan-kecederaan lain seperti patah dan terkehel. Mereka hanya boleh mengerang kesakitan yang amat sangat kerana ada saraf kesakitan dan saraf lumpuh telah dikenakan oleh Fateh dalam waktu yang sama. Derita mereka ibarat hidup dalam neraka dunia. Sesiapa yang terkena tusukan saraf kesakitan ini, lebih rela membunuh diri daripada menanggung kesakitan yang amat sangat. Malangnya, mereka tak mampu pun untuk membunuh diri mereka sendiri kerana telah dilumpuhkan oleh Fateh. Ada dikalangan mereka sudah mula basah kelangkangnya kerana menahan kesakitan.

Johnny dan Hairi juga dikenakan tusukan pada saraf kesakitan ini. Selain itu, Fateh juga memasukan aura pembelah ke dalam tubuh mereka berdua. Aura ini terus masuk dan memutuskan saraf dan urat-urat dalaman untuk kelakian mereka berdua. Secara rasminya pada hari ini, mereka berdua takkan berupaya memiliki zuriat lagi!

“Sepatutnya, hal tempoh hari sudah kamu jadikan pelajaran supaya tidak bersikap sembarangan. Nyatanya, kamu berdua bukan sahaja bodoh tetapi angkuh. Elok benar kalau kamu berdua tak mewariskan sifat-sifat begini kepada anak-anak kamu kelak.” Fateh mula beredar meninggalkan perkarangan rumah Malik.

“Khaleeda, tolong uruskan.” Pendek saja bicara Fateh menerusi telefon bimbitnya.

Suara tangisan, ratapan dan kesakitan masih kedengaran jelas semasa Fateh beredar. Fateh tahu, itu hanya sementara kerana tusukan ke saraf kesakitan yang dikenakan, telah ‘disetkan’ oleh Fateh selama 2 jam sahaja. Biar mereka merasa apa itu rasa ketidakupayaan kerana selama ini, mereka hanya membuli dan menimbulkan masalah kepada masyarakat awam yang lemah. Kini mereka selamanya akan tahu apa perasaannya menjadi lemah. Lemah dan dalam kesakitan.

Esoknya, PDRM mengadakan sidang media mengenai keberhasilan mereka menumpaskan Geng 36 Selayang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience