Rate

Bab 80: Kebaya Putih VS Kurung Cekak Musang

Mystery & Detective Completed 26472

Khaleeda meletakkan telefon satelit miliknya di atas meja dan melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk di dalam pejabatnya. GPS tracker pada aplikasi telefon bimbitnya juga menunjukkan pergerakan Fateh yang telah memulakan perjalanan menyusuri Sungai Tahan juga aktif di skrinnya. Ini adalah antara tools yang dibekalkan kepada Fateh supaya jejak lelaki itu dapat diikuti sepanjang masa, tanpa bimbang terputusnya komunikasi antara mereka.

Kalau difikirkan kemahuannya, tentu saja Khaleeda ingin turut menyertai kembara Fateh tersebut tetapi, dia sedar keberadaannya di Kuala Lumpur adalah lebih mendesak dengan tugasan-tugasan membabitkan kepimpinan Melayu, tambahan pula Catherine kini sedang mengandung waris Tun Besar. Tentu saja dia tidak bebas untuk melakukan apa yang dia mahu. Salah seorang daripada mereka perlu berkompromi seiring antara amanat keluarga dan tanggungjawab mereka kepada agama, bangsa dan tanahair.

Maka, sebagai lelaki- Fateh memilih untuk ‘bergelumang’ dengan perkara yang membabitkan konflik, pengembaraan dan ‘aktiviti-aktiviti’ fizikal yang nyata memerlukan kudrat seorang lelaki. Khaleeda pula mengambil peranan sesuai dengan sifat kewanitaannya yang penuh elegan, diplomasi dan pentadbiran. Walau pun mereka tidak pernah mengucapkan kata sepakat tentang pilihan ini secara zahirnya tetapi, inilah yang telah mereka lakukan bersama-sama selama berdekad lamanya. Mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lainnya tanpa perlu banyak bicara.

Khaleeda merenung ke luar jendela- seperti mencari sesuatu dari kejauhan. Berita yang dimaklumkan oleh Fateh sebentar tadi, tidaklah menjadi perkara yang menganggu fikirannya tetapi, ianya tetap membuatkan fikiran Khaleeda mula mencongak dan menganalisa tentang keberadaan Fateh dan Faridah- terutamanya identiti Faridah itu sendiri. Tidak menjadi soal andai Faridah itu dari keturunan Bendahara Inderapura tetapi, ada sesuatu persoalan berkaitan Faridah itu sendiri yang membuatkan Khaleeda tertanya-tanya.

Secara jujurnya, Khaleeda sendiri pernah mendengar malah, bertemu dengan salah seorang pewaris Bendahara Inderapura dan tahu berkenaan dengan ‘pemburuan’ jodoh waris-waris perempuan Bendahara Inderapura dengan lelaki yang memakai gelaran Tun Besar dari keturunan Bendahara Tun Perak. Pada ketika itu, Khaleeda tidak mengambil kisah berkenaan ‘pemburuan’ jodoh mereka kerana waris perempuan Bendahara Inderapura yang ditemuinya itu sudah berusia lanjut dan mendakwa dialah waris perempuan terakhir dari susur galur keturunan mereka yang memilih untuk hidup seperti orang biasa. Pada pendapat Khaleeda, tentu saja perempuan tua itu bukan saingannya lagi. Tetapi, jika benar perempuan itu waris terakhir, siapa pula Faridah? Apakah dia telah ‘dimainkan’ oleh perempuan tua itu? Atau, benarkah perempuan tua itu waris dari keturunan Bendahara Inderapura?

Sekiranya apa yang diceritakan oleh Faridah kepada Fateh itu benar maka, tentu saja identiti Faridah sebagai waris Bendahara Inderapura itu menjadi semakin menarik untuk diteliti. Faridah bukan saja kemas menyimpan rahsia sehingga Khaleeda sendiri tidak dapat membaca apakah perancangan Faridah sebenarnya. Menariknya, Faridah ‘bermain’ selari dengan perancangan Khaleeda sendiri!

Khaleeda mengeluh kecil. Buat pertama kali, dia rasa ada pesaing yang benar-benar dapat mencabar keberadaannya di sisi Fateh- sama ada dari segi pesona, kecantikan dan daya intelektualnya. Pertama kali juga, dia rasa amat cemburu.

Ironinya, dia sendiri yang mengundang ‘pesaingnya’ itu dalam ‘rumah’ yang dibinanya!

*******************

“Welcome home, Khaleeda! Any news about Fateh?” Catherine menyambut girang ketibaan Khaleeda di muka pintu.

“Tentulah.” Khaleeda hanya tersenyum melihat Catherine yang teruja melihat kehadirannya itu. Tentu saja Catherine begitu ternanti-nanti berita dari suaminya itu.

“Apa dia, cepat la beritahu Cat, Khaleeda.” Makin galak Catherine mendesak. Khaleeda masih tersenyum melihat keletah Catherine yang keanak-anakan itu.

“Eh, sabarlah. Takkan nak saya ceritakan depan pintu rumah.”

“Ops, sorry Khaleeda. I’m too excited... OK, OK. I buatkan air untuk you. Any request?”

“Jasmine tea without sugar. Boleh?” Khaleeda menduga. Catherine hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa membantah dan segera beredar menuju ke dapur.

“Hey, Cat... pick the fresh flower outside!” Laung Khaleeda. Sayup-sayup Catherine membalasnya, mengiakan kemahuan Khaleeda.

Khaleeda segera duduk santai di ruang tamu, menantikan Catherine yang masih di dapur membawa minuman yang dipesan. Di luar jendela dapat diperhatikan Carol dan Stephen sedang bergurau senda dan melakukan senaman tai-chi di halaman villanya, sambil menikmati keindahan bunga-bungaan yang ditanam oleh Khaleeda sendiri. Mereka berdua kelihatan amat bahagia sekali. Melihatkan ini, terbit pula rasa iri terhadap hubungan Stephen dan Carol.

Walau pun sedemikian, Khaleeda dapat merasakan kebahagian itu turut menyebar ke dalam hatinya. Villa ini tidak lagi sunyi seperti sebelumnya. Kemeriahan dan keceriaan keluarga Stephen yang tinggal bersamanya banyak membangkit mood villa ini dengan gurau senda dan kasih sayang mereka. Dia tidak lagi merasakan kesunyian seperti mana keadaannya sebelum kehadiran mereka anak beranak. Sungguh, sudah lama dia tidak mengecapi kehidupan seperti ini.

Tanpa sedar, bibirnya menguntum senyuman manis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience