Rate

Bab 1: Rockers Si Tukang Kebun

Mystery & Detective Completed 26471

Catherine Lee bergegas masuk ke dalam LRT, sedikit bergasak dengan kerumunan ramai manusia pada pagi ini. Walau pun stesen Sri Rampai ini merupakan stesen ke-4 dari stesen Gombak menuju ke KLCC, jarang sekali ianya lengang terutamanya waktu-waktu puncak sebegini. Semuanya ingin segera ke tempat kerja, tak terkecuali Catherine sendiri. Adakalanya, gadis manis berbangsa Cina ini akan membuat detour dari stesen Sri Rampai ke Gombak dan berpatah semula dari Gombak ke KLCC.

Catherine telah lama menetap di Kuala Lumpur semenjak dia belajar di TAR College lagi. Asal dari Ipoh, dia betah hidup di sini dan amat selesa dengan persekitaran sekitar kawasan Wangsa Maju ini. Atas alasan itu, dia kini menetap di kondomium Desa Putra yang berhampiran stesen LRT Sri Rampai- memudahkan lagi pergerakan Catherine yang rutinnya hanya pergi kerja dan balik kerja.

“Maaf, tumpang lalu,” terdengar suara seorang lelaki kepada sebilangan penumpang-penumpang di dalam koc LRT. Mereka memberi laluan, dan kelihatan lelaki itu mencari ruang kosong untuk dia berdiri. Pagi-pagi ini, memang confirm takkan ada bangku yang kosong, berdiri pun agak berhimpit-himpit.

“Sorry,” lelaki itu seperti berbisik ke telinga Catherine kerana berlaku sedikit perlanggaran kecil antara mereka sebab berlaku sedikit hiccup pada pergerakan koc LRT.

“It’s OK.” Pendek saja balasan Catherine, acuh tak acuh. Memang perkara ini acapkali terjadi dan seolah-olah sudah menjadi rutin biasa. Jadi, tak perlu diperbesar-besarkan insiden yang remeh seperti ini.

Lelaki itu, berbangsa Melayu, berambut panjang melepasi bahu, berseluar jeans lusuh dan membawa beg galas- mengambil tempatnya di hadapan Catherine. Catherine hanya mengerling pada lelaki itu dan kemudian mengalihkan perhatian pada handphone yang dipegangnya, melayani fikiran sendiri sebagaimana ramai lagi penumpang-penumpang LRT yang lain. Ada yang tersenyum-senyum sendirian, ada yang asyik menekan skrin telefon, ada yang serius membaca sesuatu dan pelbagai ragam lagi. Mereka yang mendapat tempat duduk pula, ramai yang tidur-tidur ayam. Suasana menjadi hening dan hanya bunyi geseran rel yang kedengaran atau sesekali suara speaker rakaman gadis pemberitahu nama stesen akan berkumandang. Adakalanya, ada bunyi orang bercakap seperti berbisik-yang entah apa butir percakapan mereka tidak pula diketahui. Masing-masing melayani dunia perasaan sendiri.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki Cina yang kemas penampilannya dan tegap tubuh badannya turut sama menyertai mereka dan lantas menghimpit Catherine dan berkata-kata sesuatu kepada Catherine seperti berbisik dalam bahasa Kantonis. Muka Catherine merah padam dan sesungguhnya dia berasa tertekan dan tidak selesa.

Pang! Tamparan yang kuat jelas kedengaran. Lelaki Cina tadi tersungkur ke lantai sambil memegang pipinya yang jelas berwarna merah. Dihujung bibirnya jelas mengalir darah. Kuat tamparan itu sehingga dia sendiri seperti terpinga-pinga. Catherine sendiri masih terkejut kerana perkara ini berlaku terlalu pantas.

“You duduk belakang I,” kata lelaki Melayu berambut panjang itu. Catherine hanya menurut bodoh, masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga. Penumpang-penumpang yang berada berhampiran tidak tahu apa yang berlaku.

“Celaka, you-” Pang! Hinggap lagi sedas. Berguling lelaki Cina itu mengaduh kesakitan. Rasanya ada giginya yang tertanggal kerana tamparan itu. Catherine kaget. Barulah dia sedar, tamparan pertama tadi dilakukan oleh lelaki Melayu berambut panjang ini tadi. Kali kedua ini lebih ‘crispy’ lagi bunyinya.

Bagaikan diatur-atur, LRT berhenti di stesen Ampang Park dan segera lelaki Melayu tadi mengheret lelaki Cina itu keluar dari koc. Perkara ini berlaku begitu pantas dan apa yang ditangkap oleh pendengaran Catherine sebelum pintu koc LRT ditutup-

“Bodoh, aku dah lambat pergi kerja ni!” marah lelaki Melayu berambut panjang tadi sambil menendang punggung lelaki Cina itu.

********************

“Minggu ni dah berapa kali kau lambat, Fateh? Aduhhh,” lelaki gempal bernama Pak Amran, selaku mandur di taman KLCC itu mengeleng-geleng kepala.

“Sorry boss. LRT tadi ada hal,” balas lelaki Melayu berambut panjang yang bernama Fateh tersebut. Segera dia menukarkan t-shirt Iron Maidennya kepada uniform pekerja lanskap.

“Motor kau mana?”

“Motor? Er...dah jual.” Fateh menjawab ringkas. Selama ini memang dia naik motosikal ke tempat kerja tetapi, dia akan parking motor tersebut jauh-jauh supaya tidak diketahui oleh rakan-rakan sekerjanya terutama sekali, Pak Amran. Mana mungkin tukang kebun pakai Triumph Bonneville, yang limited edition pulak tu! Pak Amran pun naik EX-5 buruk saja.

“Ah, sudah. Ada motor pergi jual. Kan senang ada motor tak perlu berebut naik LRT. Sudah, pergi sembur air pada pokok, kang hari dah tinggi, jahanam pokok-pokok kat taman tu.” Fateh hanya akur. Segera dia menaiki lori kecil yang digunakan oleh syarikat penyelengaraan taman tersebut yang sedang menanti di bahu jalan.

Pak Amran hanya mengeleng-geleng kepala melihat tingkah laku Fateh. Kalau ada sepuluh budak bawahannya macam ni, ada harapan Pak Amran pula yang kena siram pokok bunga kelak. Bertuah punya budak!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience