Rate

Bab 85: Misteri Dari Tibet

Mystery & Detective Completed 26472

Fateh lincah menyelusuri hutan tebal dalam kegelapan malam. Pandangan yang tajam, dibantu dengan sinaran cahaya rembulan yang terbias dari celahan kanopi hutan turut membantunya untuk terus melangkah jauh di dalam belantara. Sesekali dia berlari, melompat dan menyelinap mengikuti rentak dan corak halangan serta keadaan muka bumi seumpama melakukan aksi parkour. Tujuannya hanya satu- untuk segera ke gua yang terletak dilereng ‘gunung kecil’ yang terdapat di Bukit Tulang Ikan ini.

Aura yang asing dapat dirasakan oleh Fateh, semakin dia menghampiri gua yang dimaksudkan, semakin kuat aura itu ‘menarik’ perhatiannya. Fateh belum pernah menemui aura seperti ini, penuh dengan sisipan maut dan ancaman di dalamnya. Dia perlu (sekurang-kurangnya) mengetahui apakah atau siapakah pemilik aura sebegini kejam sehingga boleh menggerunkan penghuni-penghuni rimba untuk menghampiri kawasan gua tersebut. Andai manusia biasa, aura ini boleh menyebabkan orang yang terkena menjadi seperti jasad tanpa roh dan hanya boleh disembuhkan dengan mengembalikan semangat oleh mereka yang memiliki aura penyembuh yang kuat seperti Fateh.

Nafas Fateh semakin berat tatkala semakin hampir ke gua tersebut. Jelas sekali, aura maut yang terhambur dari dalam gua itu bukan kepalang hebatnya. Hampir saja dia tercungap-cungap kerana ‘bebanan’ aura itu bagai menghimpit dadanya namun, segera diaktifkan aura penyembuh miliknya untuk meredakan tekanan dan menghalang aura maut itu dari terus menekan dirinya.

Fateh menarik nafas dalam-dalam. Penafasannya kembali lancar dan aura maut tersebut dapat disingkirkan daripada mempengaruhi semangatnya. Pandangan Fateh tepat ke arah gua di hadapannya- mengawasi sebarang pergerakan yang mungkin berlaku. Dia kena sentiasa berwaspada selagi tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya makhluk yang bakal dihadapinya kelak. Firasatnya memberitahu ada ‘sesuatu’ di situ. Sesuatu yang asing dan penuh misteri.

Perlahan-lahan, Fateh menjejaki langkahnya ke arah gua tersebut. Pancainderanya disiap siagakan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Tiada sebarang petanda wujudnya sebarang pergerakan di dalam gua tersebut tetapi, keheningan keadaan sekelilingg amat jelas dirasai bagaikan kawasan sekeliling Fateh berada di dunia yang telah mati.

Dum! Dum! Dum!

Sebaik sahaja Fateh tiba di pintu gua, ada ‘sesuatu’ yang laju dan padu menghala ke arahnya. Sekilas, Fateh mengelak pantas. Berderai bucu pintu gua itu terkena ‘benda’ yang sangat keras sehingga menghasilkan dentuman yang kuat seperti terkena hentaman benda yang tumpul dan berat.

Fateh pantas mengawasi ke arah serangan- masih tiada apa-apa yang bergerak. Jelas sekali, serangan tadi adalah serangan aura dan bukan serangan fizikal yang biasa. Alangkah gerunnya sekiranya serangan fizikal bersama sisipan aura sebegitu dihamburkan. Pasti, kesan serangan itu bertambah beberapa kali ganda lagi.

“Apa yang kau mahu?” Fateh tersentak dengan suara yang parau yang tiba-tiba bersuara dalam kegelapan gua tersebut. Bahasanya agak aneh membuatkan Fateh sedikit terpana. Fateh segera mengamati apa yang dipertuturkan oleh suara tersebut. Dia seperti pernah mendengarkan bahasa ini tetapi, mungkinkah? Apa yang membingungkan Fateh adalah bahasa yang dipertuturkan adalah seperti bahasa lama daerah di sebuah perkampungan yang terletak di Tibet- bersempadan dengan Nepal dan berhampiran dengan Banjaran Himalaya! Apakah mungkin dapat ditemui pertuturan sebegini di tengah-tengah hutan belantara di Pahang?

“Apakah kau ini manusia?” Tergagap-gagap Fateh mengucapkan kalimat itu, bukan kerana dia gentar tetapi kerana dia cuba menyusun kata-kata bahasa ini yang sudah terlalu lama dia tidak pertuturkan. Bahasa yang sangat langka ini bukanlah bahasa biasa orang-orang Tibet malah, orang-orang Tibet sendiri belum tentu memahami bahasa ini melainkan orang-orang perkampungan di daerah terpencil tersebut saja yang dapat memahaminya.

Deraian ketawa memecahkan segenap ruang di dalam gua tersebut. Fateh semakin pelik dengan sikap ‘benda’ tersebut. Jelas sekali ketawa itu bukanlah kerana ‘benda’ tersebut berasa gembira tetapi, berbaur dengan penuh perasaan- geram, kecewa, marah dan kesedihan.

“Kau rasa?” Suara parau itu kembali berkata-kata. Sejurus selepas itu, kedengaran tapak kaki yang berat melangkah ke arah Fateh- berdentum dentam langkah itu berbunyi. Jelas sekali, langkah ini bukanlah langkah manusia!

Perlahan-lahan, dari bayangan disebabkan refleksi sinar cahaya bulan- membentuk suatu imej legam dan sinar cahaya merah yang terang kedua dari kedua belah mata makhluk tersebut. Semakin imej itu menghampiri Fateh, semakin kuat tekanan aura maut yang dihamburkannya. Suasana menjadi hening dan tegang.

Fateh hanya menanti dengan waspada. Dia tahu, apa yang bakal dihadapinya kelak sukar dijangka- firasatnya bagai disekat oleh aura maut tersebut. Melalui reaksi awal yang ditunjukkan oleh makhluk tersebut, Fateh mengerti- konflik ini tak mungkin diselesaikan dengan kata-kata!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience