Rate

Bab 23: Perjumpaan Keluarga Besar Lee

Mystery & Detective Completed 26471

Perjumpaan keluarga Lee di Shangri-La Rasa Sayang Penang merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh waris-waris keluarga Lee untuk saling berkenalan rapat dan bekerjasama antara satu dengan yang lain terutamanya yang berkaitan dengan bidang perniagaan. Rata-rata mereka memang ahli perniagaan berjaya dan ada di antaranya merupakan bilionaire di Malaysia.

Catherine dan keluarganya hadir dalam acara ini saban tahun bagi menghormati leluhur keluarganya yang mengasaskan foundation keluarga Lee di Malaysia semenjak zaman kolonial British lagi. Namun, di dalam hatinya, Catherine berasa amat berat sekali kerana walau pun tujuan asal acara ini baik untuk merapatkan hubungan sesama kerabat tetapi, acapkali menjadi medan mereka untuk saling menunjuk-nunjuk dan memperlekehkan pencapaian mereka yang ‘kurang bernasib baik’. Keluarga Catherine adalah antara yang mempunyai ‘hierarki’ tercorot kerana bapanya, Stephen Lee hanyalah seorang Pengetua di sebuah sekolah kerajaan di Ipoh.

“Hi uncle Stephen, aunty Carol, Catherine!” Sapa seorang gadis bernama Lily, sepupu Catherine yang amat dikenali sebagai sebagai gadis paling suka menunjuk-nunjuk di muka bumi ini.

Sapaan Lily ni bukan kerana dia peramah, tentu saja ada niat terselindung. Lihat saja, ada seorang pemuda tampan di sebelahnya. Tentu sekali lelaki itu bakal digunakan sebagai modal untuk dia berlagak di majlis ini.

“Oh, ya kenalkan, ini Thomas Khoo dari Singapore- dia jutawan muda paling berjaya di sana.” Lily sudah memainkan agendanya. Thomas mengangguk-anggukkan kepalanya dan tersenyum kepada Carol dan Stephen. Tak semena-mena, matanya seperti terpaku apabila melihat kejelitaan Catherine.

Lily perasan akan hal ini, segera dia menyiku Thomas dan lantas Thomas seperti tersedar dari kepanaannya terhadap kejelitaan Catherine. Memang benar Lily pun jelita dan ramai lagi anak-anak gadis dari keluarga Lee yang jelita. Thomas yang mata keranjang sedar akan hal ini tetapi, antara mereka semua, Catherine yang paling cantik walau pun busananya hari ini kelihatan biasa-biasa saja.

“Tom ini jutawan internet, menjadi idola ramai pemuda Singapore. Ramai yang berebut untuk jadikan Tom ini bakal suami mereka. Well, best woman wins!” Petah sekali Lily berkata-kata sambil merangkul erat Thomas, menayangkan kemesraan mereka terutamanya kepada Catherine.

“Eh, Catherine tak bawa teman lelaki ke? Carol, mana calon menantu awak?” Tiba-tiba sahaja ibu Lily, Marisa Lee menyampuk. Ibu dan anak pun sama perangainya, saling tak tumpah.

“Betul kata Marisa tu, Stephen. You almost retire, pencen tu cukup ke untuk sara hidup nanti?” Entah dari mana, bapa Lily, John tumpang sekali.

Stephen dan Carol hanya mendiamkan diri. Beginilah, berlakunya tiap-tiap tahu. Keluarga John tiga beranak akan mengambil peluang untuk memperlekehkan mereka sekeluarga. Kalau ikutkan hati, memang Stephen tawar hati untuk ke mari tetapi, kalau mereka sekeluarga tidak hadir tanpa sebab yang kukuh, kerabat keluarga Lee pasti akan meminta penjelasan yang sukar untuk dijawab oleh mereka nanti.

“Eh, Cat... kalau you mahu, I boleh kenalkan dengan kawan-kawan Tom. Don’t mention, kita kan sepupu.” Tersengih saja Lily, galak untuk memanaskan keadaan.

“Takkanlah, kawan-kawan Tom mahu, mereka ada class, ada network... kalau mereka berkawan dengan Catherine, apa yang mereka dapat? Dia hanya sekretari biasa saja. Not worth it.” Tambah Marisa. Lily dan John hanya ketawa.

“Oh, sorry Cat. Susah juga nak recommend teman lelaki untuk you. Kalau dengan gadis-gadis biasa macam you, susah bisnes mereka nak expand. Tengok macam I, my father John is well known developer, my mother ada kilang di Kulim and I pun ada my own business. Macam ni baru one happy family!” Tambah Lily. Mereka tiga beranak hanya ketawa, mengejek. Thomas pun turut sama tertawa, seperti berjangkit dengan penyakit angkuh keluarga John.

“Bagus, tiga orang campur seorang bakal menantu- lengkaplah one stupid family!” John, Thomas, Marisa dan Lily tersentak. Ketawa mereka terhenti tiba-tiba mendengarkan kata-kata seorang lelaki Melayu, hanya berseluar jeans dan t-shirt hitam, berbahasa Kantonis pula dengan mereka. Siapa dia ni?

Catherine turut tersentak. Dia kenal suara itu, spontan dia segera menoleh dan-

“Fateh!” Air mata Catherine mula bercucuran keluar, dengan pantas dia mendapatkan lelaki itu dan memeluknya dengan erat. Fateh hanya mengusap-usap belakang Catherine untuk meredakan perasaan Catherine yang hiba itu. Stephen dan Carol saling berpandangan tidak mengerti.

“Eloklah, Cina miskin dengan Melayu miskin, memang secocok!” Lily memandang Fateh dan Catherine dengan pandangan menghinakan. Jelek.

Fateh memandang Lily dengan tajam. Renungan mata Fateh yang seperti mengandungi aura membunuh membuatkan Lily tiba-tiba berasa seram sejuk. Dia secara automatik berundur beberapa langkah dan segera berlindung di belakang Thomas.

“Hey, si miskin- apa yang kau cuba nak buat? Mahu matikah?!” Jerkah Thomas pada Fateh.

“Miskin? Kau nak rasa macam mana jadi miskin?”

“Jangan nak mengarut, kami takkan jadi miskin! Kau tu yang miskin. Pakaian pun pakaian orang miskin.” Tambah John, berang dengan kata-kata Fateh. Apa mungkin, pemuda yang sembarangan ini mengugut dengan kemiskinan terhadap mereka. Mana logik akal si gila ini.

Snap! Gambar mereka berempat dirakam oleh telefon bimbit Fateh.

“Ya, gambar yang aku hantar. Pastikan dalam masa sejam, mereka ingin benar merasa jadi miskin.” Pendek saja kata-kata Fateh melalui telefonnya.

John, Thomas, Marisa dan Lily hanya ketawa geli hati melihat aksi yang ditunjukkan oleh Fateh. Ini aksi gila. Miskin dan gila. Memang kombinasi terbaik. Belum pernah lagi mereka menyaksikan perihal seperti ini seumur hidup mereka. Semakin mereka fikirkan, semakin galak mereka ketawa.

Fateh segera mengajak Catherine dan ibu bapanya beredar dari dewan itu menuju ke arah kawasan cafe Pinang yang berhampiran dengan pantai. Meninggalkan keluarga John yang angkuh itu. Catherine pula masih lagi tidak mahu melepaskan pelukannya. Ini membuatkan Stephen dan Carol jadi semakin hairan dengan telatah anak gadis mereka ini. Sungguh, daripada mula Fateh muncul, ‘menyelamatkan’ mereka dari penghinaan keluarga John dan reaksi Catherine yang agak 'luar biasa' kepada pemuda ini. Catherine biasanya sangat reserved dan pemalu. Semua ini membuatkan Stephen dan Carol terasa ‘gila’ sekali!

“Siapa kamu?” Tanya Stephen apabila mereka berempat duduk di cafe tersebut.

“Maaf sebab tak kenalkan diri saya tadi. Saya Fateh.” Balas Fateh lembut. Carol hanya mengangguk-anggukkan kepala. Bermacam persoalan mula bermain di fikirannya.

“Hmmm... apa hubungan kamu dengan anak gadis saya?” Tambah Stephen. Fateh hanya terdiam tidak berkata apa. Dia memandang Catherine, menepuk lembut bahu Catherine yang masih menyandarkan kepalanya di bahu Fateh. Tentu ini menimbulkan rasa tidak senang hati Stephen.

Catherine seperti tersedar dari gelodak emosinya. Selama berminggu dia tidak melihat dan mendengar suara Fateh, pasti dia ‘mabuk’ dengan perasaan-tanpa disedari, ibu bapanya sendiri sedang memerhati tingkah lakunya yang pelik itu. Merah padam muka Catherine menahan malu apabila terkenangkan perbuatannya yang semberono itu.

“Patutlah selama pulang ke Ipoh, dalam beberapa hari ni kau muram saja. Rupa-rupanya sebab pemuda ini?” Carol hanya tersenyum apabila melihat Catherine seperti sudah pulih dari kesugulannya tempoh hari. Carol sedar, ada sesuatu yang menganggu emosi dan fikiran anaknya itu. Dia juga perasan perubahan emosi Catherine juga berlaku pada malam ini. Ada raut-raut kegembiraan di situ walau pun disulam dengan air mata.

Stephen hanya termenung sejenak. Pelbagai perkara melayang dibenaknya. Adakah pemuda ini pilihan Catherine? Bakal menantunya? Pemuda Melayu berambut panjang ini? Kenapa Catherine tidak pilih lelaki yang lebih ‘normal’? Dia pengetua sekolah. Kenapa Catherine pilih pemuda persis budak-budak nakal di sekolahnya? Stephen berasa pening.

Catherine segera faham perasan dan keadaan bapanya. Dia tahu bapanya pasti runsing tentang perhubungannya dengan Fateh. Justeru, Catherine mula bercerita tentang pertemuannya dengan Fateh dan segala-gala peristiwa yang telah berlaku ke atas dirinya. Stephen dan Carol hanya diam membisu mendengarkan kisah-kisah yang berlaku ke atas Catherine dan berkerut-kerut dahi mereka apabila Catherine menceritakan perkara-perkara menakutkan yang pernah terjadi.

Fateh hanya tersenyum sahaja. Dia hanya membiarkan ibu bapa Catherine dalam dunia penceritaan anak gadis mereka. Dia tak mahu masuk campur. Dia sendiri tak kuasa nak menjelaskan- sebab dia tak pernah peduli tanggapan orang terhadap dirinya. Dia peduli apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience