Rate

Bab 52: Seruan

Mystery & Detective Completed 26472

Ah Meng menurunkan Fateh beberapa rantai dari rumah Stephen sebelum beredar pergi. Memang sengaja Fateh meminta sedemikian untuk mengelakkan salah faham jika keluarga Catherine melihat dia berjumpa ‘kawan’ seperti Ah Meng yang amat jelas seperti seorang samseng.

Setibanya di perkarangan rumah, kelihatan Stephen sedang duduk berseorangan di set kerusi taman yang berada di halaman rumahnya. Fateh tahu, Stephen pasti sedang menunggunya untuk membicarakan sesuatu. Dia hanya tersenyum memandang Stephen dan bapa Catherine itu membalas dengan senyuman juga.

“Belum tidur lagi, uncle?” Sapa Fateh dengan mesra.

“Belum. Mereka semua pun belum tidur lagi. Marilah, kita berbual-bual di luar ini.” Fateh hanya akur dengan permintaan Stephen dan duduk berhadapan dengan lelaki itu.

“Eh, kau nak minum? Nanti uncle minta Cat buatkan.” Pelawa Stephen.

“Oh, tak mengapa. Saya sudah minum dengan ‘kawan’ tadi.” Fateh menolak lembut. Stephen mengangguk-anggukkan kepalanya. Suasana menjadi hening seketika. Stephen seperti sedang berkira-kira untuk menyusun kata-katanya.

“Hmmm.. uncle nak tanya sikit. Kau tahu kan, Catherine tu satu-satunya anak perempuan uncle?” Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Harapan uncle dan aunty pada Catherine cuma satu saja. Asalkan dia bahagia. Jadi, kami tidak kisah siapa yang dia suka dan pilih, asalkan dia gembira, itu sudah cukup buat kami.”

“Saya faham, uncle.”

“Cuma itulah, bila kau nak rasmikan hubungan ini? Uncle dan aunty kalau boleh, lagi cepat, lagi bagus. Hati kami pun tak risau kalau ada orang yang menjaganya.” Muka Stephen kelihatan serius.

“Kalau begitu keinginan uncle dan aunty, tentu saja saya tidak akan menolak. Begitulah hasrat hati saya tetapi, ada sesuatu yang hendak saya bincangkan dari hati ke hati.” Fateh memandang wajah Stephen dalam-dalam. Dia inginkan pandangan Stephen kerana hal ini melibatkan keluarga Stephen juga.

“Adakah sesuatu yang menghalang?” Berkerut-kerut dahi Stephen memikirkan.

“Bukan begitu. Bukanlah halangan besar untuk kami berkahwin.... beginilah, biar saya berterus terang dengan uncle,” Fateh bernafas dalam. Dia perlu menyusun kata-katanya agar perkara yang menjadi ‘halangan’ hubungan mereka ini dapat diselesaikan di antara kedua-dua pihak. Dia mahu semuanya jelas dan nyata supaya apa yang bakal dia sampaikan dapat difahami dengan baik.

“Bagus. Kau ceritalah, moga-moga kita dapat selesaikan semuanya.” Stephen hanya mengangguk-angguk. Dia dapat merasakan keikhlasan Fateh dan dia mahu menolong sebanyak mungkin apa yang menganggu fikiran pemuda itu.

“Pekerjaan saya, uncle. Saya tidak bekerja seperti orang biasa. Pekerjaan saya sentiasa menuntut saya supaya sentiasa berahsia kepada sesiapa jua dan ada kalanya, saya tidak pulang atau dapat dihubungi selama bertahun-tahun. Jadi, saya bimbangkan Catherine jika berkahwin kelak, apakah dia akan serasi dengan kehidupan saya seperti ini?” Stephen terpaku mendengar kata-kata Fateh. Pekerjaan apa yang dibuat oleh pemuda ini, menjadi satu persoalan besar dalam benaknya.

“Uncle jangan risau tentang kerja saya, pekerjaan itu bukanlah pekerjaan yang jahat. Saya ni berkhidmat dengan kerajaan.” Muka Stephen kembali ‘cerah’ dengan penjelasan Fateh. Pemuda ini seperti dapat membaca apa yang bersarang di dalam fikirannya.

Stephen dapat menganggak walau pun, dia sendiri kurang jelas tentang kerja yang Fateh lakukan. Mungkin tentera khas, perisik- apa saja yang ‘sulit dan rahsia’ yang boleh difikirkannya. Sebagai kakitangan kerajaan, sedikit sebanyak dia faham bagaimana perjawatan seperti itu wujud walau pun tidak ‘diiklankan’ secara terus dalam organisasi-organisasi kerajaan.

“Adakah Cat tahu tentang hal ini?” Stephen menyoal Fateh, ingin tahu kedudukan sebenar.

“Ya. Dia tahu cuma, saya bimbangkan dia kalau terpaksa tinggal berseorangan dalam tempoh masa yang lama. Saya akan melaksanakan pekerjaan saya tak berapa lama lagi dan segala-gala persiapan telah dilakukan dan saya tak dapat janji bila akan kembali lagi. Semuanya bergantung kepada keadaan.”

“Begitu serius?” Stephen menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Begitulah.” Fateh hanya tunduk. Pada Fateh, hal ini tidak sukar kerana kejituan hatinya telah dilatih sekian lama tetapi, apabila melibatkan keluarga dan perasaan orang lain, dia tidak boleh hanya mementingkan dirinya semata-mata. Ada hati dan harapan orang yang perlu dia jaga.

Stephen termenung panjang. Banyak perkara difikirkannya. Dia tahu akan kemahuan anaknya yang tidak boleh berkompromi jika membabitkan perasaan. Perasaan anaknya ini hanya pada Fateh. Catherine sangat reserved dalam perkara membabitkan kasih sayangnya. Semenjak remaja sehingga kini, hanya pemuda ini saja yang pernah dibawa pulang berjumpa dengannya. Belum pernah ada lelaki yang boleh menyebabkan anaknya ini jatuh cinta. Fatehlah satu-satunya dan Stephen tak mahu anaknya patah hati kerana soal ini apatah lagi, dalam usia yang ‘mekar’ untuk sebuah perkahwinan. Dalam usia sebegini, ramai anak gadis yang putus cintanya akan melarat tidak berkahwin sehingga sampai ‘waktu senjanya’.

“Uncle pun tak tahu nak kata apa. Kalau Cat menerima keadaan itu, uncle akan menerima apa saja keputusan dia. Soal kau tak berada di samping dia, uncle akan pastikan dia tak akan kesunyian. Jadi, kau buatlah kerja itu dengan senang hati demi negara. Kalau ada ruang untuk berhubung, jangan lupa contact dia selalu.” Stephen meluahkan apa yang terbuku dalam fikirannya.

“Terima kasih uncle, sebab memahami.” Fateh tersenyum lega mendengarkan kata-kata Stephen.

“Hmmm.. uncle beri restu untuk kamu berdua. Jaga anak uncle elok-elok.” Stephen membalas senyuman Fateh dengan senyuman juga. Sungguh, dia sudah berkenan dengan keperibadian Fateh yang jujur dan berterus terang itu. Jelas, pemuda ini tidak hanya sekadar mahu bermain cinta dengan anak gadisnya tetapi, amat bertanggungjawab.

*******************

“Sayang, apa yang awak bualkan dengan papa?” Catherine merangkul lengan Fateh dan membawa Fateh menuju ke bilik yang dikhaskan untuk tetamu.

“Hmmm... rahsia orang lelaki.” Fateh mengusik Catherine.

“Oh, begitu...tak mahu kawanlah!” Rajuk Catherine, ‘trademark’ muncung rajuknya itu membuatkan Fateh ketawa kecil. Comel.

“Pasal kitalah, apa lagi.”

“Betul? Apa yang papa cakap?” Muka Catherine berubah menjadi ceria.

“Pasal kahwin.” Balas Fateh pendek.

Catherine segera melepaskan rangkulannya pada lengan Fateh lalu, melabuhkan punggungnya ke atas tilam di bilik tetamu itu. Fateh hanya berdiri dan memerhatikan saja perlakuan Catherine tanpa berkata apa-apa. Catherine pula melihat Fateh sambil tersenyum manja.

“You know that I love you so much?” Fateh hanya mengangguk kecil sambil tersenyum. Apa lagi akal gadis ini agaknya.

Catherine kemudian menghulurkan kedua-dua tangannya, meminta Fateh menyambutnya. Fateh secara spontan memegang tangan Catherine dan gadis itu segera bangkit dengan bantuan tangan Fateh dan terus memeluk Fateh dengan erat.

“I’m ready for you. Saya nak kahwin cepat-cepat.” Bisik Catherine, manja. Bergetar hati Fateh dengan kata-kata Catherine yang seperti merayu itu. Adakah gadis ini sudah sampai ‘serunya’?

Sebelum beredar, Catherine sempat mengucup pipi Fateh sebagai tanda selamat malam. Fateh hanya tegak berdiri dan terpana. Apakah dia sendiri sudah sampai ‘seru’ juga?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience