Rate

Bab 54: Bahtera Mawaddah

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh masuk ke dalam honeymoon suite yang ditempah khas oleh Khaleeda di The Banjaran Hotsprings Retreat yang amat mewah ini. Suite ini dilengkapi dengan ruang tamu untuk bersantai, katil king size, jacuzi dan kolam air panas peribadi, selain keperluan-keperluan yang lain malah, hidangan sebanyak 3 kali akan turut dihantar terus ke bilik, di bahagian beranda pintu hadapan tanpa perlu menganggu tetamu yang sedang berbulan madu.

Ruangan luas suite ini amat mempersonakan, membangkitkan suasana romantis dan aroma yang harum bagai bertebaran di setiap penjuru. Kelihatan Catherine sedang duduk dan menunggu Fateh di hujung katil. Dadanya berdebar-debar menantikan kehadiran Fateh terutamanya pada malam yang istimewa ini. Hari ini dia bakal menterjemahkan cinta sucinya kepada Fateh dalam erti kata sebenar. Dia akan serahkan seluruh jiwa raganya hanya kepada lelaki itu.

Setelah memberi salam, Fateh melabuhkan punggungnya di samping Catherine, lalu dipegangnya tangan Catherine yang sejuk-sejuk suam lantaran kerana gementarnya gadis itu pada malam ini. Catherine menoleh memandang wajah Fateh yang hanya tersenyum. Suaminya itu kelihatan sangat kacak pada malam ini. Rambutnya hitam dan tebal telah dipotong kemas separas bahu dan bersih rupanya. Mata Fateh kelihatan tajam tetapi mendamaikan. Alis matanya melentik dan keningnya tebal namun, mempunyai bentuk seperti berukir dan cantik. Kulit Fateh yang bersawo matang itu, kelihatan halus dan tidak kasar. Bibirnya berwarna merah pucat sangat mempersonakan ketika dia senyum- dihiasi pula dengan barisan gigi-giginya yang teratur dan putih. Entah mengapa, baru hari ini Catherine perasan kekasih hatinya ini ternyata seorang yang benar-benar kacak. Apakah sebab gaya rocker Fateh selama ini membuatkannya kelihatan seperti lelaki kebanyakan di luar sana?

Catherine tertunduk malu kerana tidak terlawan dengan pesona Fateh malam ini namun, jejari Fateh memegang lembut dagunya dan pandangan mereka kembali bertaut. Fateh segera mengucup ubun-ubun Catherine dan membacakan sesuatu. Kemudian kucupan itu beralih ke dua-dua kening Catherine dan ke bibirnya yang merah. Catherine khayal dengan kucupan itu seperti membawanya terbang ke dunia yang lain. Hilang segala debarannya diganti dengan perasaan cinta yang sangat mengasyikkan.

Segala-gala yang berlaku pada malam ini secara semulajadi seperti fitrah mereka yang suci. Mereka berdua menikmati setiap luahan percintaan dengan penuh rasa kasih dan sayang sepertinya malam ini tidak berpenghujung. Suasana indah ini penuh dengan rayuan, keluh kesah dan cumbuan mesra. Catherine telah lama hilang dan hanyut dalam dunianya yang dipenuhi rasa cinta. Tiada lagi rasa debar dan gementarnya untuk menghadapi ‘dunia’ yang baru dikenalinya. Rangkulannya makin erat ke tubuh Fateh. Segala kecintaannya diserahkan kepada lelaki ini.

Fateh mengerti hasrat Cathrine, dia terus membawa gadis ini melayari dunia yang penuh keasyikkan ini dengan penuh tertib, lembut dan kasih sayang. Semakin lama, mereka berdua semakin maju dalam pelayaran perasaan ini. Dari badai lembut sehingga ke puncak ombak yang menggunung mereka tempuhi bersama. Genggaman tangan mereka erat bertaut, jiwa mereka bersatu bersama sehingga mereka bertemu dengan perlabuhan damai yang mententeramkan. Perasaan tenang mula menyelimuti hati mereka berdua.

Catherine memandang wajah Fateh yang sedang berbaring di sebelahnya. Lantas segera dirapatkan wajahnya itu dan mengucup pipi Fateh. Dia kemudian berbaring semula berbantalkan lengan suaminya itu.

“Bukankah dengan jalan yang betul ini lebih baik?” Bisik Fateh kepada Catherine. Catherine hanya akur dengan kata-kata Fateh. Dia berasa syukur kerana dikurniakan seorang lelaki yang sentiasa menjadi kesucian dirinya. Dia berasa amat bahagia menjadi wanita yang terhormat buat suaminya kini.

Pelukan Catherine semakin erat.

*******************

“Assalamualaikum, morning sayang!” Fateh yang sedang santai membaca surat khabar menoleh ke arah Catherine yang berseri-seri wajahnya. Seri pengantin baru.

“Waalaikumussalam. Dah siap?” Catherine hanya mengangguk-anggukkan kepalanya lantas duduk disamping Fateh. Kepalanya dilentukkan ke bahu suaminya itu. Dia ingin bermanja-manjaan.

“Nak kemana-mana?” Catherine hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak mahu, saya nak santai begini dengan suami saya. Penatlah.” Fateh hanya ketawa kecil mendengar keluhan Catherine.

“Kenapa? Menyesal?” Fateh mengusik.

“Seronok!” Catherine ketawa nakal. Fateh menarik hidung Catherine dengan lemah lembut bagai ‘mendenda’ kenakalan isterinya itu. Catherine segera meleraikan tangan Fateh lalu dikucup dan diletakkan tangan itu ke pipinya. Fateh lalu mengelus dan mengusap lembut pipi Catherine. Senyuman tidak lekang dari wajahnya.

“Sayang?” Tanya Catherine.

“Sangatttt.” Balas Fateh.

“Oh, ya.. ke mana kita hendak pergi honeymoon, sayang?” Tanya Catherine.

“Awak nak ke mana?”

“Tak tahu.”

“Mungkinnnn...”

“Ya?”

“Kita buat umrah nak tak, sayang?”

“Serius? Awak dah tahu macam mana nak buat?”

“Sayang kan ada sebagai imam saya?” Fateh hanya tersenyum mendengar balasan kata-kata Catherine.

“Baik, kalau begitu buat ziarah sekali.”

“Ziarah?”

“Ya kita ke 3 buah kota suci dan kawasan-kawasan sekitarnya.”

“Mana tu?” Tanya Catherine dengan penuh keterujaan.

“Kota Mekah, Madinah, Baitulmuqaddis, dan kalau ada peluang kita akan ke negara-negara sekitarnya.” Jelas Fateh dengan penuh bersemangat.

“Sayang pernah ke sana?” Tanya Catherine lagi seperti ingin tahu.

“Tentulah, banyak kali dah.” Fateh tersenyum bangga.

“Pergi haji?”

“Sudah. Pun banyak kali.”

“Serius?” Catherine seperti tidak percaya. Nak dapat kuota haji bukannya senang.

“Ya, kenapa?”

“Jadi, suami saya ni, abang haji lah?” Mengekek Catherine ketawa.

“Betullah tu. Kenapa awak ketawa?” Fateh musykil. Reaksi Fateh ini menambahkan rasa geli hati pada Catherine.

“Saya belum pernah jumpa abang haji yang selalu pakai baju Iron Maiden!” Makin galak ketawa Catherine. Fateh hanya tersenyum kelat. Nampaknya, selain Khaleeda, Catherine juga sudah berani mempersendakan ‘fesyen’ pakaian Fateh.

“Sudah berani nak ‘derhaka’ pada suami, ya? Sebab baju tu la awak dapat cari saya, tau.” Fateh menarik lagi hidung Catherine dengan lembut tetapi sedikit keras. Hidung Catherine yang putih melepak itu menjadi merah kerana dipicit sebegitu. Catherine hanya mengaduh kecil dan memegang tangan Fateh untuk melepaskan hidungnya.

Catherine segera melarikan diri dari Fateh. Fateh segera mendapatkan Catherine dan adegan kejar mengejar di honeymoon suite itu menjadi riuh dengan gelak tawa mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience