Alhamdulillah, akhirnya novel The Big Boss untuk vol 1 telah berjaya diselesaikan. Sebagai seorang penulis baru, tentu saja cabaran untuk menulis novel seperti ini memerlukan effort yang bukan sedikit dengan pelbagai kekangan dari segi masa, mental, teknikal (dengan laptop buruk yang buat hal) dll. Dapat menyiapkan naskhah ini, tidak lain tidak bukan adalah kerana keizinanNya serta doa-doa pembaca-pembaca sekelian.
Novel yang ini mempunyai penceritaan yang panjang, sama ada dari zaman yang berbeza dan beralih, watak-watak yang agak ramai, plot-plot yang twisted, gaya bahasa yang berbeza, geografi & lokasi, fakta dan peristiwa- tentu saja sebagai penulis, perincian-perincian terhadap setiap elemen tersebut perlu jelas supaya 'rencah-rencah' ini tak dikatakan orang sebagai malas dan tak masak untuk sajian semua. Tentu saja ini suatu 'jenayah' intelektual kepada pembaca-pembaca yang inginkan bacaan yang dapat memberikan santapan minda yang membina. Oleh itu, setiap plot dan jalan cerita, saya telah mencuba sebaik mungkin (pada ketika dan saat ianya ditulis) supaya ianya tidak membosankan, klise, predictable dan menjelakkan pembaca- itu kadang kala membuatkan saya termenung berhari-hari kerana walau pun ceritanya bermain-main di kepala tetapi, untuk menggarapkan plot-plot supaya tersedia cantik dalam penulisan, bukan sesuatu yang mudah.
Oleh itu, apabila menerima balasan-balasan (feedback) dari pembaca-pembaca sekelian, ianya banyak membantu terutamanya dari segi semangat saya untuk terus menyajikan bacaan yang bermutu kepada semua lebih-lebih lagi ada yang sudi menderma (kepada penulis kepalang ini), ibaratnya menerima booster paling ampuh dalam dunia! :P
Kehadiran penulis-penulis lain yang turut menjengah pada novel ini turut sama memberikan suntikan semangat. Terima kasih kepada MissSepet, Biri-Biri Putih, Stellanelson , dll lebih-lebih lagi kepada Ah Clans yang memperkenalkan platform ini untuk saya mula berkarya . Tanpa Ah Clans, mungkin cerita ini tak wujud dalam Novel+ dan mungkin saya hanya menghabiskan masa lapang menonton cerita tamil, korea dan video-video di youtube sahaja. Anda semua jangan lupa support penulis-penulis berbakat ini semua.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pembaca-pembaca setia saya yang kerap sudi memeriahkan ruangan komen. Kalau tiada komen ini, dunia penulisan saya menjadi sunyi dan sepi ibarat posting di FB tanpa ada yang like. Faham kan?
Akhir kata, saya mohon kemaafan sekiranya adalah terkurang bahasanya, tersalah adab dan tingkah laku, segalanya itu adalah kelemahan saya sebagai insan yang lemah. Semoga kalian sentiasa dalam lingkungan rahmatNya, diberikan kemudahan dalam setiap urusan, dunia dan akhirat.
Salam sayang buat semua.
Hans Hashim
11/01/2022 12.59AM
Kuala Lumpur
Share this novel