Rate

Bab 39: Sayembara 5 Minit

Mystery & Detective Completed 26471

Gagasan Bendera Merah pada malam ini telah mencapai kata sepakat dalam tindakan mereka untuk bertindak balas secara keras apa saja ancaman berkaitan agama Islam, hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-raja Melayu, terutamanya agenda-agenda yang dirancangkan oleh Jesuits di Malaysia. Tiada lagi budi bicara dan kompromi.

Ini selari dengan hasrat Fateh, sebagaimana yang telah disampaikannya kepada Nizam dan Khaleeda. Sudah sekian lama mereka hanya mendiamkan diri kini, mereka akan mula bertindak mengikut ‘cara dan gaya’ Bendera Merah sendiri. Apatah lagi kini, kepimpinan politik Melayu begitu lemah dan mulai hilang jati diri.

Fateh yakin dengan kemampuan gagasan Bendera Merah ini melaksanakan misi agung mereka dengan adanya Nizam sebagai penaung. Justeru, Fateh boleh fokus kepada agendanya yang lain.

Dalam majlis ini, Fateh hanya mendiamkan diri sahaja walau pun dia dijemput sebagai undangan khas. Tapi orang lain tidak tahu pun dia adalah tetamu khas majlis ini. Hanya Khaleeda dan Nizam saja yang tahu. Fateh hanya ingin ‘melihat-lihat’ suasana dan perjalanan perjumpaan gagasan ini sahaja. Dia bukan ‘siapa-siapa’ di sini, jadi molek kalau dia hanya diam menurut. Sebab itu, Fateh tidak mahu menimbulkan ‘scene’ di majlis ini walau pun telah berkali-kali diprovokasi. Lagi pula, mereka ini semua berada di landasan dan perjuangan yang sama. Jadi, pada Fateh, perkara yang kecil ini tak perlu diambil serius- mereka ada agenda yang lebih besar yang memerlukan mereka semua bersatu padu.

“Abang tak mahu perkenalkan diri?” Khaleeda senyum mengusik. Fateh hanya tersenyum kelat dan menggeleng kepalanya.

“Janganlah bonda mengusik ayahanda sebegitu, ramai orang dah mulai curiga,” bisik Nizam pada Khaleeda. Khaleeda tertawa kecil.

Reaksi dan kemesraan Khaleeda kepada Fateh secara langsung atau tak langsung memang mula mencuri tumpuan hadirin. Fateh, pemuda yang tidak dikenali itu bukan sahaja duduk di tempat yang dikhaskan untuk Adiguru Putra, Bonda Srikandi dan ahli-ahli kehormat Bendera Merah tetapi, diberi pula tumpuan khusus oleh Bonda Srikandi. Ini tentunya menimbulkan spekulasi. Ada mahaguru-mahaguru, ayahanda-ayahanda yang sudah mula rasa cemburu.

Di suatu ruangan khas di dalam dewan tersebut, disediakan sebuah gelanggang untuk ahli-ahli gagasan berpencak menguji ilmu seni bela diri masing-masing. Tujuan diadakan gelanggang ini, selain bertukar-tukar fikiran mengenai ilmu seni bela diri, di gelanggang ini juga, segala perselisihan antara pertubuhan akan dimuktamadkan secara adil dan saksama melalui pertandingan. Ini memberi ruang dan peluang kepada setiap ahli gagasan untuk menyelesaikan perseteruan secara dalaman tanpa melibatkan masyarakat luar. Sekiranya masih lagi bersengketa diluar, tindakan Bendera Merah kepada ahli-ahli gagasan yang engkar adalah amat berat.

“Maaf Bonda Srikandi, saya lihat pemuda di sebelah bonda ini bukan calang-calang orangnya. Jadi, saya berkenan untuk menerima sedikit sebanyak ‘teguran’ dalam gelanggang,” suatu suara menyapa Khaleeda.

“Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai, saya minta dibatalkan saja hasrat itu. Pemuda ini hanya datang melihat-lihat saja, bukan datang untuk berkongsi ilmu,” Nizam segera menolak permintaan lelaki separuh umur tersebut. Nizam tahu, bukan sekadar kebetulan Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai datang menyapa, sebagai peminat nombor satu Khaleeda, tentu saja dia tidak tahan melihat Khaleeda bermesra dengan lelaki lain.

“Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai janganlah terburu-buru, dengan orang muda pun Datuk nak mencuba, kan elok dipertandingkan bersama baya dengan anak murid saya, Pendekar Muda Cakar Garuda- tentu lebih molek,” tambah seorang lagi mahaguru yang tiba-tiba muncul.

“Kamu berdua sungguh tak adil, mana mungkin pemuda ini mampu nak bertahan dengan pakar-pakar seni silat seperti kamu semua, biar saja kita adukan kekuatan dengan cara arms wrestling. Tentu anak buah saya, Si Badak boleh tolong,” sampuk seorang ayahanda.

“Arms wrestling? Apa sangat ilmunya yang boleh dikongsi kalau setakat arms wrestling, Ayahanda Ngah Jusoh- molek lagi kalau bertanding lawan gaya bebas dengan Tiger Long.” Seorang lagi mula menyampuk.

Kemudian, masing-masing mengerumuni meja menyuarakan ‘idea’ mereka untuk dipertandingkan bersama pemuda asing yang duduk bersebelahan Khaleeda itu. Khaleeda hanya tersenyum memandang Nizam, mengisyaratkan Nizam agar tidak bertindak apa-apa terhadap cabaran yang dilakukan kepada Fateh. Memang sengaja Khaleeda berbuat sedemikian untuk ‘mengusik’ reaksi Fateh terhadap provokasi ini. Bukan senang dia hendak melihat Fateh beraksi- dan ini adalah peluangnya untuk melihat lagenda Tun Besar bertindak.

Fateh hanya ketawa kecil melihat Khaleeda bertukar-tukar pandangan bersama Nizam. Apabila Fateh merenung tajam kepada Nizam, penaung gagasan Bendera Merah itu segera menikus. Dalam ‘permainan’ antara Tun Telani dan Tun Besar, apalah daya Nizam untuk menolak salah satu daripada mereka. Dia serba salah dan berasa tersepit di celah-celah.

Fateh bangun perlahan-lahan dan memandang mereka yang mengerumuninya. Masing-masing terdiam seketika bagai menanti amanat penting.

“Baiklah, kalau kamu semua nak bermain. Ayuh!” Kata Fateh ringkas tanpa berbasa basi lagi. Fateh berjalan perlahan-lahan menuju ke gelanggang dan yang lain-lain hanya mengekorinya dari belakang.

Keadaan dewan menjadi gamat melihat adegan ini. Datuk Mahaguru Megat Mustofa, Bakri, Abang Long Adli dan rakan-rakannya turut tertarik untuk menyaksikan ‘pertunjukan’ yang bakal berlangsung. Mereka ada tanda tanya di dalam hati mereka dan mereka ingin mendapatkan jawapan atas pertanyaan itu.

*******************

“Siapa yang hendak mula dahulu?” Tanya Fateh, ringkas. Matanya memandang ke arah hadirin yang mencabarnya tadi.

Terjadi sedikit perbalahan untuk menjadi orang pertama untuk bertanding dengan Fateh. Masing-masing merasakan, menewaskan Fateh ini adalah begitu mudah. Tentunya menewaskan Fateh, perhatian Bonda Srikandi akan tertumpu kepada diri mereka nanti. Alangkah indah sekiranya ini terjadi.

Setelah beberapa ketika, setiap pertubuhan memutuskan untuk menghantar wira-wira muda mereka untuk bertanding terlebih dahulu. Seorang pemuda bernama Tiger Long, seorang yang mahir dalam perlawanan jalanan mula menampilkan diri. Orangnya berbadan sasa dan nampak rugged.

“Aku Tiger Long budak Keramat. Selama bergaduh di jalanan, aku tak pernah kalah dalam seribu pertarungan.” Tiger Long memperkenalkan diri. Fateh hanya ketawa kecil melihat keseriusan Tiger Long.

Adegan ini membuatkan Abang Long Adli meneguk air liur. Berani pemuda misteri itu ketawa sebegitu kepada Tiger Long. Abang Long Adli pun tidak berani ambil mudah jika berhadapan dengan Tiger Long, kerana dalam dunia gelap pertubuhan Melayu, Tiger Long adalah rajanya. Memang pemuda itu saja mencari nahas.

Tiger Long mula naik angin melihat reaksi Fateh. Selama ini, tiada yang pernah bersikap semberono di hadapannya. Ramai yang akan terkencing dalam seluar kalau mendengar Tiger Long sendiri yang beraksi.

“Oh, maaf. Aku Fateh. Selama ini belum pernah lagi bertemu harimau yang boleh bercakap,” Fateh hanya senyum memerli. Jelas, walau pun Fateh tengah berhadapan dengan Tiger Long tetapi, matanya tertumpu kepada Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai yang sedang memandangnya keras.

Sindiran itu memang sampai kepada mahaguru tersebut. Mengertap gigi gerahamnya mendengar kata-kata Fateh itu. Kalau sampai peluangnya, nahas dikerjakan budak itu. Celaka!

“Kurang ajar!” Balas Tiger Long, meluru ke arah Fateh dan melancarkan tendangan tinggi ke arah kepala Fateh.

Sekilas, Fateh bergerak ke arah Tiger Long yang masih belum sempat menghabiskan tendangannya yang pertama tadi- Fateh telah berada betul-betul di hadapan mukanya- serentak, menjentik dahi Tiger Long dan- dum!

Tubuh Tiger Long seperti layang-layang tidak bertali, melayang ke udara dan jatuh ke tengah gelanggang tidak sedarkan diri. Hadirin terpegun. Semuanya berlaku terlalu pantas sehingga mereka tidak pasti apa yang berlaku. Ya, mereka hanya sempat melihat Tiger Long melancarkan tendangan dan tiba-tiba sahaja, badan Tiger Long yang melayang.

“Oh, dia tak ada apa-apa kecederaan. Dia tidur saja, mungkin mengantuk agaknya.” Kata Fateh kepada petugas perubatan Bendera Merah yang sentiasa siap siaga di tepi gelanggang. Mereka mula melakukan pemeriksaan dan kemudian mengangguk-angguk kepala kepada Fateh, mengiakan apa yang dikatakan oleh pemuda itu.

Wira-wira muda yang sedang ‘menunggu giliran’ berpandangan sesama mereka. Mereka sendiri pun terpinga-pinga kerana kurang jelas melihat apa yang telah dilakukan oleh Fateh. Mereka mula ragu-ragu.

“Aku Pendekar Muda Cakar Garuda, selama bersayembara dalam seni bela diri- tidak pernah menjadi nombor dua!” Seorang pemuda, lengkap berpakaian silat mula memperkenalkan diri dengan penuh bangga.

“Aku belum pernah merasai cakar garuda, selalu hanya dapat sup cakar ayam saja,” balas Fateh.

Seperti mana keadaannya membalas salam perkenalan Tiger Long, seperti itu juga Fateh lakukan dengan merenung kepada mahaguru kepada Pendekar Muda Cakar Garuda ini, iaitu Mahaguru Silat Garuda yang berada di kalangan hadirin yang menyaksikan. Pastinya, Mahaguru Silat Garuda itu mengerti apa yang dimaksudkan oleh Fateh. Kegeramannya atas sindiran Fateh itu tak tergambar lagi.

“Nampaknya, kau ini memang dasarnya kurang ajar!” Bentak pendekar muda itu.

“Pernah makan sup lidah? Sedap juga tu, lebih-lebih lagi kalau sup lidah kambing. Mengembek saja bunyinya,” pedas sekali sindiran Fateh kepada pendekar muda itu. Apa yang Fateh maksudkan, kalau setakat bertikam lidah- bising saja lebih, apa gunanya?

Tanpa membuang masa, dengan penuh kegeraman yang amat, Pendekar Muda Cakar Garuda terus melancarkan jurus mautnya ke arah dada Fateh yang terdedah. Nescaya, sekiranya sesiapa yang terkena jurus ini, pasti robek dadanya kena cakar dan boleh mematahkan tulang rusuk hingga ke jantung. Memang tujuan jurus ini adalah untuk mencapai matlamat membunuh dengan efektif.

Serentak dengan itu, seperti mana keadaannya Tiger Long melakukan serangan sebentar tadi, Fateh turut meluru ke arah pendekar muda tersebut serapat mungkin dan sebelum cakar itu mengenai dada Fateh, dia segera menjentik ke arah ubun-ubun lawannya itu dan-dum!

Tubuh dan kepala pendekar muda itu tersungkur dan tersembam ke atas lantai gelanggang. Pendekar Muda Cakar Garuda yang belum sempat menamatkan serangan pertamanya, sudah ‘padam’! Hadirin menjadi terpaku melihat kejadian ini. Mulut masing-masing ternganga kerana tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi sedangkan mereka telah benar-benar fokus kepada sayembara antara Fateh dan Pendekar Muda Cakar Garuda tadi. Mereka amat maklum tentang kegagahan wira muda dari Pertubuhan Seni Silat Garuda itu, namanya masyhur dan merupakan antara anak muda yang paling menonjol keperwiraannya dalam gagasan Bendera Merah.

Tetapi, di hadapan pemuda yang bernama Fateh ini, belum habis satu jurus serangan pun Pendekar Muda Cakar Garuda tak dapat laksanakan dengan lengkap. Begitu juga keadaannya pakar lawan jalanan Tiger Long. Bakri yang menyaksikan mulai terasa seram sejuk. Kalau hendak dibandingkan kekuatannya dan Pendekar Muda Cakar Garuda yang tertewas tadi, dia adalah jauh terkebelakang. Dia tak dapat membayangkan sekiranya Fateh bertindak seperti ini ketika mereka berada di luar hotel tadi- pastinya sudah beribu kali dia tewas!

“Ada sesiapa lagi?” Tanya Fateh kepada wira-wira muda yang saling berpandangan sesama mereka. Kegerunan jelas terbayang di muka mereka semua. Ini adalah luar kemampuan, hanya mencari nahas sahaja.

Kring! Tiba-tiba telefon bimbit Fateh, berdering memecahkan kebuntuan. Tanpa berlengah, dia segera mengeluarkan telefonnya itu yang terselit di celah-celah poket seluar jeansnya.

“Sayang, where are you going? Kata nak temankan I tengok midnight movie di Wangsa Walk?” Kedengaran suara Catherine sayup-sayup melalui speaker telefon bimbit Fateh. Alamak, ter’loud speaker’ pula! Mungkin ketika Fateh mengeluarkan telefonnya tadi, dia tertekan butang loud speaker. Fateh tergopoh gapah menekan butang normal mode kembali dan tersengih kesipuan. Situasi ini menimbulkan rasa geli hati kepada hadirin yang berada berhampiran. Memang situasi ini tidak dijangkakan- dalam suasana yang penuh keseriusan, muncul kejadian ‘pelik’ yang ‘mengendurkan’ ketegangan.

Khaleeda yang berada berhampiran, hanya mengeleng-gelengkan kepalanya melihat ‘telatah’ Fateh yang tiba-tiba menjadi cemerkap.

“OK, OK... wayang dalam pukul 10.30, sekarang baru pukul 10, nanti 5 minit saya bertolak ke sana.”

“Ya, ya... saya dari Concorde. Sekejap saja sampailah.” Sambung Fateh lagi. Sejurus selepas itu, Fateh segera menyimpan semula telefon bimbit ke dalam kocek seluarnya semula.

“OK, saya nak minta diri dulu. Ada hal penting....” Fateh segera fokus semula ke gelanggang. Hadirin yang berada berhampiran (dapat mendengar jelas perbualan telefon Fateh) hanya tersengih geli hati. Apa hal yang penting sangat kalau nak menonton wayang tayangan tengah malam bersama teman wanita. Adakah Fateh beralasan untuk melarikan diri?

“Saya ada masa 5 minit saja. Sesiapa yang berhajat, silakan ke hadapan. Kalau boleh ramai-ramai sekali pun tak apa. Saya nak cepat ni!” Tegas Fateh seperti mengejar waktu. Kata-kata ini membuatkan hadiri sekali lagi terkejut. Apakah pemuda itu sudah gila? Kalau tadi yang berhadapan dengannya adalah wira-wira muda kini, ada kemungkinan level-level mahaguru yang bakal beradu dengannya kelak. Bukan satu- diajaknya beramai-ramai ke dalam satu gelanggang!

“Angkuh sungguh kau ni. Ubun-ubun pun masih lembik, ada hati mencabar kami!” Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai dan Mahaguru Silat Garuda yang sudah lama terbuku di hati dengan sikap Fateh, menampilkan diri di tengah gelanggang. Serentak dengan itu, seramai 4 orang lagi mahaguru seni bela diri turut serta kerana merasakan sikap Fateh yang semberono itu, seperti memperkecilkan kekuatan gagasan Bendera Merah. Perkara ini amat memalukan mereka. Kalau tidak diselesaikan pada hari ini, mana maruah gagasan Bendera Merah ini hendak dicampak?

“Mana lagi seorang? Bukankah ada 7 mahaguru dalam Bendera Merah?” Tanya Fateh setelah melihat ‘barisan’ mahaguru-mahaguru yang tampil. Jelas, Datuk Mahaguru Megat Mustofa dari Pertubuhan Seni Silat Hulubalang Malaysia tidak turut serta.

“Celaka budak ini, belum tentu seorang daripada kami, kau mampu tewaskan, ada hati nak-” Belum sempat Datuk Mahaguru Silat Harimau Berantai menghabiskan kata-katanya, sekilas ‘berlalu’ suatu gerak yang sepantas kilat.

Pang! Arghh! Pang! Pang! Arghhh!

Enam orang mahaguru Bendera Merah tersungkur dan tersembam. Mereka berenam jatuh dan pitam. Jelas di muka mereka merah seperti udang terbakar ditampar. Hadirin menjadi tergamam! Ini bukan orang-orang sebarangan- ini mahaguru-mahaguru tersohor gagasan Bendera Merah yang gagah perkasa. Apakah kekuatan Bendera Merah ini hanya setakat ini sahaja?

Datuk Mahaguru Megat Mustofa hanya ternganga melihat kejadian ini. Mereka ini semua adalah rakan-rakan karibnya, tentu dia lebih arif tentang kekuatan mereka berenam itu. Ada di antara mereka lebih gagah dari dirinya sendiri. Dia tidak dapat bayangkan kalau dia sendiri berada bersama mereka tatkala ini- tentu dia sendiri terjelepuk bagai peminum todi yang mabuk di tepi jalan. Peluh dinginnya tak henti-henti mengalir.

Bakri, Abang Long Adli, Kala dan rakan-rakan mereka tidak terkata apa. Tak boleh nak membayangkan apa yang bakal berlaku kepada mereka kelak kerana telah memprovokasi pemuda bernama Fateh itu tadi. Kelangkang mereka mulai basah.

Dalam suasana kebingungan, keterpegunan dan penuh tanda tanya itu- Khaleeda hanya tersenyum dan mengisyaratkan sesuatu kepada Nizam. Nizam hanya mengangguk-anggukkan kepala, tanda faham.

Semuanya, dalam perkiraan dan percaturan Tun Telani!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience