Rate

Bab 27: Demi Catherine

Mystery & Detective Completed 26471

“Er, kamu berdua berbuallah.. uncle dan aunty nak balik ke hotel berehat. Esok nak pulang ke Ipoh,” Stephen memulakan bicara setelah sekian lama. Dia memandang Fateh dan kemudian kepada Catherine. Carol hanya mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum.

“Baiklah. Terima kasih, uncle,” balas Fateh pendek, faham akan maksud Stephen yang memberi peluang kepada mereka untuk berdua-duaan.

“Enjoy yourself but, don’t be late, ya?” Carol pula menyampuk. Catherine hanya ketawa kecil.

Tanpa berbasa basi lagi, Stephen dan Carol segera beredar dari cafe Pinang dan menuju ke arah hotel. Buat seketika, tiada bicara antara mereka berdua. Masing-masing seperti melayan perasaan sendiri.

“Abang, apa pendapat abang tentang tentang teman lelaki Catherine?” Tanya Carol lalu merebahkan badannya ke atas katil.

“Hmmm... itulah, abang sendiri pun tak tahu nak kata apa,” balas Stephen perlahan, sambil menukar pakaian kepada pakaian tidurnya.

“Robert Lee pun seperti sangat hormat padanya. Siapa agaknya dia ya, bang?” Berkerut-kerut kening Carol, curiga.

“Awak lihat sendiri kan? Keluarga John sendiri ketakutan, melutut dan menangis. Robert sendiri nampak seperti budak suruhan saja, ini memang pelik. Nanti sayang cuba bertanya kepada Catherine.”

“Saya takut juga bang, kalau-kalau Fateh tu budak jahat.”

“Hmmm... abang rasa, tidak. Er, harapnya tidaklah.” Stephen menghela nafasnya yang berat terhadap kemungkinan yang difikirkannya.

“Tapi, saya nampak Catherine sangat bahagia. Berbeza sekali sebelum ini, takkan abang tak perasan?”

“Kalau sebab budak itu membuatkan anak kita bahagia, abang tak kisah apa jua bangsa dan agamanya. Asalkan dia dapat jaga anak kita dengan baik, abang bersyukur.”

“Begitu? Saya pun hanya nak lihat anak gadis kita baik-baik sahaja. Saya ikut saja kata abang.” Carol memandang Stephen dengan senyuman manis.

Catherine. Ya, demi anak tunggal mereka nan seorang itu- mereka sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaannya. Mereka sentiasa berharap dengan perjumpaan keluarga besar Lee yang diadakan saban tahun, mereka dapat memperkenalkan Catherine, meluaskan kenalan dan mungkin memberi sinar kehidupan baru kepada anaknya tetapi, saban tahun juga keluarga Stephen sering dipandang sepi malah, diremehkan seperti mana yang dilakukan oleh keluarga John. Cuma, tahun ini muncul keajaiban. Bulan sudah jatuh betul-betul ke atas riba mereka!

*******************

“Sayang...,” Catherine mula berbicara. Merah mukanya menyebut perkataan itu. Jelas riak wajah Catherine disinari bulan purnama malam itu.

Fateh memandang Catherine yang erat merangkul lengannya. Catherine masih lagi menunduk, seperti menyesal dengan ‘kelancangan’ kata-katanya tadi. Sungguh, berdebar-debar pula dadanya secara tiba-tiba. Semangatnya bagai melayang-layang dihembus bayu di tepi pantai ini.

“Saya minta maaf kerana tak dapat berjumpa awak selama berminggu-minggu,” kata Fateh seperti berbisik.

Catherine mendongak memandang wajah Fateh, tenang saja wajah itu tanpa ada riak yang menunjukkan emosinya. Begitulah wajah Fateh. Ada kalanya, mukanya yang selamba terutamanya ketika dia menikmati makanan di bawah pokok yang rendang, seperti kebudak-budakan sahaja. Tiada wajah yang boleh menimbulkan pesona. Namun, di sisi lain, apa bila lelaki ini serius- wajah yang tenang dan serius ini sama ada boleh mendamaikan dan juga boleh mengecutkan perut orang yang melihat. Catherine melihat wajah ini dalam sisi yang mendamaikan.

“Awak marahkan saya?” Bergetar suara Catherine menyebutkan kata-kata itu. Ingatannya segera kembali kepada peristiwa dia ‘dihalau’ bersama Alis dari rumah Fateh.

“Hmmm,” Fateh hanya menghela nafas kecil. Sebenarnya, dia tak marah pun cuma, bergurau ‘kasar’. Lagi pun, ada beberapa urusan ‘kecil’ yang perlu diselesaikan dalam tempoh waktu dia ‘menghilang.’

“Tapi... tapi, saya sayang awak!” Air mata Catherine mula mengalir deras. Nafasnya turun naik dan badannya bergetar menahan gelodak perasaannya. Mukanya disembabkan ke dada Fateh.

Fateh hanya membiarkan Catherine melayan perasaannya. Diusapnya belakang Catherine perlahan-lahan bagi meredakan perasaan gadis itu. Dia faham ada suatu beban perasaan yang sarat yang ditanggung, yang perlu dilepaskan.

“Saya akan balik. Awak jangan risau.” Pendek saja kata-kata Fateh.

Fateh segera meleraikan rangkulan Catherine dari tubuhnya. Wajah Catherine yang sugul segera ditatapnya dengan pandangan penuh kasih sayang. Dipegangnya wajah gadis itu dan air mata Catherine diusap dengan jejarinya perlahan-lahan. Catherine mula mengukir senyuman walau pun masih ada berbaki daki-daki kesedihan.

“Marilah, saya hantar awak pulang ke hotel.” Catherine mengangguk kecil. Lengan Fateh segera dirangkul erat seperti tidak mahu dia melepaskannya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience