Rate

Bab 87: Big Foot Hutan Pahang

Mystery & Detective Completed 26471

Pada tahun 1960an, telah berlaku gangguan makhluk misteri (terutamanya kepada anak-anak gadis) di Kampung Raja, Cameron Highland. Makhluk ini telah membuat onar di sebuah perkampungan orang asli di situ dan kemudiannya dihalau dari kampung berkenaan oleh Tok Batin, Bah Lanjut dengan bantuan seorang lelaki yang bernama Kulup Muhamad Diah bersama cucunya berumur lingkungan 20an bernama Ahmad Mahmud. Lanjutan dari peristiwa itu, penemuan makhluk misteri ini (tapak kaki mereka) kemudiannya telah dikesan sehingga di Kampung Teris, Lanchang- Pahang.

Ketika itu, Fateh berada di rumahnya sahabatnya, Dukun Nong yang terletak di Jerantut setelah menjalankan misinya di Gunung Tahan dan kehadiran dua beranak ini (Kulup Muhamad dan cucunya itu) ke rumah Dukun Nong tidaklah diambil serius oleh Fateh kerana begitulah adatnya dukun yang masyhur di Pahang, rumahnya sentiasa dikunjungi oleh orang. Ketika Fateh hendak berangkat pergi, kedua orang tetamu Dukun Nong itu telah dijemput oleh pihak berkuasa untuk menjejaki seorang saudagar sutera dari Thailand yang berbangsa Amerika yang hilang di Cameron Highland.

Menurut firasat Dukun Nong, sememangnya makhluk misteri tersebut yang menculik saudagar yang hilang itu dan makhluk misteri itu masih berkeliaran di dalam hutan Pahang terutamanya tempat yang dingin seperti di Cameron Highland kerana sememangnya asal mereka di kawasan tinggi dan dingin seperti Banjaran Himalaya. Punca ‘migrasi’ makhluk ini adalah kerana tersesat dan terpecah dari kumpulan akibat ribut salji yang berlaku di tempat mereka.Firasat Dukun Nong itu tidaklah bercanggah dengan apa yang Fateh renungkan tetapi, memandangkan ianya bukan hal untuknya masuk campur, Fateh tidak turut serta dalam menyelesaikan permasalahan tersebut.

Nota: Kisah ini kemudiannya diceritakan oleh cucu Allahyarham Kulup Muhamad Diah@ Long Mat Piah bernama Allahyarham Ahmad Mahmud@ Mohd Radzi Mahmud@ Tamar Jalis dalam siri ke-20: Memburu Raja Pukau dalam novel Siri Bercakap Dengan Jin.

Pada tahun 2005, seorang pemuda orang asli dari Kampung Punjut telah terserempak dengan makhluk ini di sebuah sungai yang terletak di dalam hutan berhampiran Endau-Rompin. Pada tahun yang sama juga berlaku kehilangan seorang kanak-kanak orang asli selama 6 hari di Hutan Simpan Lenggor yang berhampiran dengan kawasan makhluk ini ditemui. Tempoh antara dua kejadian ini hanyalah selang sebulan Kejadian-kejadian ini menyebabkan sebuah pasukan khas ditubuhkan pada Januari 2006 oleh Kerajaan Johor bagi menjalankan misi memburu ‘Hantu Jarang Gigi’ atau ‘Orang Mawas’ (gelaran-gelaran yang diberikan oleh suku orang asli) sehingga pakar-pakar antarabangsa turut turun padang untuk membantu menyelesaikan misteri tersebut.

*******************

Fateh ketawa terbahak-bahak apabila mengenangkan ‘kebetulan’ ini dalam merungkai misteri Pintu Dunia. Apakah mungkin makhluk-makhluk tersebut telah melalui pintu tersebut sehingga ‘berpindah’ dari Banjaran Himalaya ke hutan Pahang? ‘Migrasi’ seperti ini bukan mudah hendak ditempuhi oleh makhluk-makhluk seperti mereka. Ini bukan sekadar merentas negara yang berjiran- takkan mudah hendak melalui pelbagai negara tanpa ada yang perasan? Ya, badan mereka yang besar dan agam, tinggi dalam anggaran 4 meter, bermuka seperti gorila- mustahil mereka dapat bersembunyi dan menyorok semasa mereka ‘berhijrah’ ke sini!

Makhluk itu merenung Fateh dengan tajam. Dicelah-celah bibirnya mengalir darah merah yang kehitam-hitaman. Dia masih tidak berpuas hati dengan Fateh walau pun jelas, pertarungan tadi tidak berpihak kepadanya. Dia sudah tidak berdaya. Segala kudrat dan auranya makin lemah dan malap, sebagaimana keadaan dirinya kini yang terjelapak di atas tanah.

“Kau tahu, selama 200 tahun ini- kau telah menjadi masyhur di seluruh dunia.” Fateh seperti berseloroh, memandang wajah makhluk misteri itu. Makhluk tersebut hanya terkebil-kebil memandang Fateh, tidak mengerti.

“Ah, sayang sungguh aku tak bawa kamera, tentu jadi berita hangat- penemuan Big Foot di Pahang.” Fateh hanya mengomel sendirian. Fateh seakan berfikir- ya, setakat ini hanya tapak kaki atau kelibat saja yang berjaya dirakamkan tentang Big Foot di seluruh dunia, kalau bukti sejelas ini boleh ‘dibawa’ pulang, tentu saja Fateh akan tercatat sebagai manusia pertama yang dapat membuktikan kewujudan makhluk misteri ini.

“Tolong... tolong aku..” Fateh melihat ke arah makhluk tersebut. Kelihatan makhluk itu semakin parah dan tidak lagi sebengis tadi. Keadaannya seperti pelita yang kehabisan minyak. Tentu saja aura pemutus urat yang dikenakan ke atasnya tadi semakin liar 'membaham' anggota dalaman makhluk itu.

“Tolong? Apakah aku punca perkelahian tadi?” Fateh memerli. Muka makhluk itu berubah hampa. Sungguh dia sendiri tidak percaya, dia ditewaskan. Selama ini dia percaya, tiada suatu pun makhluk di hutan ini yang setanding dengan kekuatannya.

“Tolonglah... aku mahu pulang.” Makhluk itu terus merayu.

“Bagaimana kau datang?” Makhluk itu menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda dia pun tidak tahu.

“Aku tak tahu, semasa ribut salji di tempatku, aku dan beberapa orang teman telah berlindung di celah gua kecil di sebuah gunung. Apabila ribut reda, kami dapati kami telah berada di tempat asing ini.” Jelas makhluk tersebut. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Mana mereka yang lain?”

“Tak tahu, mereka telah lama keluar mencari jalan pulang. Hanya aku saja di sini, di tempat ini lah kali pertama kami keluar selepas kejadian ribut itu.”

Fateh melangkah perlahan-lahan ke arah makhluk tersebut. Ada riak gentar pada wajah makhluk itu tetapi, kemudiannya riak itu berubah dengan perlahan-lahan. Wajah itu tidak lagi tegang dan bengis malah, penuh kelegaan kerana disisipkan aura penyembuh oleh Fateh.

Fateh kemudian berkata sesuatu dan makhluk itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda akur dan setuju.

“Ingat, kalau kau engkar- aku tak teragak-agak untuk hapuskan kau. Simpan kata-kata aku ini baik-baik!” Kelihatan gementar sekali makhluk tersebut mendengar amaran keras Fateh. Tanpa teragak-agak, dia bersujud kepada Fateh bagai hamba yang hina.

‘Bodoh, bersujud pula- dasar binatang kepalang!’ Bentak hati Fateh tatkala melihat perlakuan makhluk itu. Pada Fateh, sujud itu hanya khas kepada Al-Malik bukan kepada hamba sepertinya. Dia tak layak sama sekali. Tanpa berlengah, dia segera beredar- tatkala itu, fajar sidiq telah mula melihatkan cahayanya.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Ahmad Mahmud @ Mohd Radzi Mahmud aka Tamar Jalis di atas karyanya yang tiada galang ganti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience