Rate

Bab 53: Hati Seorang Perempuan

Mystery & Detective Completed 26472

“Benarkah apa yang saya dengarkan ni, bang?” Khaleeda memandang Fateh dengan rasa pelik.

Fateh yang membelakangi Khaleeda masih asyik memandang keluar jendela villa milik ‘adiknya’ ini seperti ada sesuatu yang menarik minatnya ke halaman di luar. Dalam kesibukan Khaleeda menguruskan perkara-perkara berkaitan, gadis itu masih mempunyai masa untuk berkebun bunga. Begitulah sifatnya Tun Telani, tidak dapat dipisahkan dengan haruman dan bunga-bungaan.

“Kenapa?” Fateh bertanya, pendek. Fokusnya masih ke halaman.

“Er, tentunya saya perlukan kepastian.”

“Tentunya kalau aku sendiri yang berkata, kepastian apa lagi yang kau mahu?” Lembut tetapi tegas sekali suara Fateh.

Khaleeda terdiam seketika. Ya, apa yang diberitakan oleh Fateh itu jelas pada pendengarannya tetapi, dia seperti tidak percaya. Selama mengenali Fateh, belum pernah lagi lelaki ini membuat permintaan sebegitu. Sekurang-kurangnya, tidak- untuk beberapa abad lamanya.

Khaleeda menghampiri Fateh dan memeluk lelaki itu dari belakang. Diciumnya belakang lelaki itu berkali-kali bagai ingin melepas rindu. Fateh hanya membiarkan Khaleeda tanpa bereaksi apa-apa. Dia masih ‘asyik’ dengan bunga-bungaan yang mekar di luar.

“Apakah hati abang ini sudah dapat menerima cinta seorang gadis? Dapatkah dia terima abang ini yang bukan seperti orang biasa?” Kata Khaleeda sambil menyandarkan pipinya di belakang Fateh.

Fateh hanya terdiam dengan pertanyaan Khaleeda. Dia tahu apa yang Khaleeda khuatirkan dan apa yang Catherine tahu pasal dirinya hanyalah perkara luar yang senipis kulit bawang.

“Entahlah. Tetapi, kau tentu faham akan maksudku?” Fateh segera meregangkan pelukan Khaleeda dan menatapi gadis itu.

“Ya, saya gembira kerana abang sudah ingin menunaikan hasrat saya selama ini.” Kata Khaleeda dengan penuh sebak. Air matanya mulai panas mengalir.

Fateh memegang wajah Khaleeda dengan penuh kasih sayang dan mengusap air mata Khaleeda dengan perlahan-lahan. Fateh tahu, dalam kegembiraan yang ditunjukkan oleh Khaleeda itu, tentu saja terselit perasaan sedih sebagai seorang perempuan. Sebab itu, Fateh tidak pernah memikirkan soal kahwin seperti yang dipinta oleh Khaleeda untuk sekian lamanya.

“Bila abang nak menikah?” Khaleeda berkata sambil tersenyum- memang mudah gadis ini bertukar ‘karakternya’. Dia bukan seorang yang mudah larut dalam perasaannya tetapi, Fateh tahu ‘kepura-puraan’ itu tidak dapat disembunyikan dari pandangan batinnya.

“Kau pilihlah hari yang baik. Kau orang perempuan pasti lebih arif tentang hal ini. Moga sepeninggalan aku, ada waris yang dapat menyambung perjuangan kita kelak. Insya Allah.” Lembut saja kata-kata Fateh, untuk mendamaikan jiwa Khaleeda. Khaleeda hanya tersenyum, mengangguk.

Sebelum beredar, Fateh memberikan kucupan hangat ke dahi Khaleeda. Khaleeda hanya tersenyum manis. Dia tahu- Fateh akan sentiasa sayang padanya.

******************

Majlis perkahwinan antara Fateh dan Catherine telah disambut meriah di The Banjaran Hotsprings Retreat yang hanya kira-kira 10km dari bandaraya Ipoh, merupakan rangkaian hotel milik Sunway Group. Konsep pembinaannya yang berlatarbelakangkan keindahan alam semulajadi seperti kolam air panas, gua batu kapur, tasik dan kehijauan belantara sememangnya mendamaikan dan indah dipandang.

Stephen dan Carol sibuk melayani tetamu-tetamu yang hadir. Walau pun tetamu dari sebelah keluarga Stephen dan Carol hanya untuk keluarga terdekat tetapi, kehadiran jemputan dari sebelah Fateh kadang-kadang membuatkan Stephen dan Carol menjadi bingung dan terkesima. Mereka tidak hairan jika Tan Sri Azman datang meraikan kerana mereka tahu, Tan Sri Azman adalah boss Catherine tetapi, kehadiran tokoh-tokoh korporat masyhur seperti Tan Sri Hassan, Datuk Jaafar dan elit-elit Melayu yang lain amat mengujakan mereka malah, DYMM Yang Di-pertuan Agong turut tiba untuk mencemar duli!

Selain daripada itu, Robert Lee, Banit Svetlana, Dr Suryadi, Nizam pun tidak ketinggalan pada hari bersejarah ini. Lagaknya, seperti Fateh ingin memberitahu kepada semua- Catherine ini isterinya. Mereka perlu ‘jaga’ isterinya dengan baik dan penuh santun kelak.

Khaleeda telah tiba sehari lebih awal bersama dengan Faridah. Apabila diberitakan bahawa Fateh akan berkahwin, Faridah segera menawarkan diri untuk mengikut Khaleeda. Khaleeda banyak menguruskan segala perjalanan majlis supaya sempurna dan teratur dan Faridah hanya membantunya jika perlu. Pada hari ini, mereka berbusana Melayu yang cukup anggun- Khaleeda dengan kebaya Melayu asli manakala, Faridah dengan kebaya Melayu bercekak musang. Kedua-duanya tidak kalah jika hendak berlawan dengan seri pengantin yang ada pada Catherine.

Namun, Khaleeda telah merasai suatu keanehan pada reaksi Faridah walau pun gadis itu kelihatan selamba dan tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang jelas. Sebagai seorang perempuan, dia yakin dengan apa yang sedang dirasai oleh Faridah itu. Ya, Faridah sedang cemburu melihat Catherine yang sedang bersanding di atas pelamin bersama Fateh. Firasat Khaleeda telah lama mengesyaki hal sedemikian, semenjak kali pertama mereka bersua di Double Tree Hotel, lebih-lebih lagi pada pertemuan kedua di villa Khaleeda sendiri. Khaleeda hanya tersenyum- kelat di dalam hatinya. Nampaknya, Fateh tak dapat lari dari ‘permasalahan’ yang baru ini.

“Khaleeda, bilakah agaknya misi kita ke Tahan akan dilaksanakan?” Tanya Faridah pada Khaleeda yang masih tidak lepas pandangannya kepada Fateh yang berada di atas pelamin.

“Hmmm.. kira-kira sebulan, selepas pengantin baru berbulan madu.” Khaleeda cuba memancing reaksi Faridah. Ada sedikit perubahan pada wajah gadis itu- hanya Khaleeda yang dapat perasan perubahan itu. Sungguh bijak Faridah mengawal perasaannya.

“Adakah abang Fateh akan membawa Catherine sekali ke sana?”

“Tidak. Hanya kamu berdua sahaja akan ke sana.” Faridah hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Khaleeda itu. Semua perubahan reaksi Faridah tidak terlepas dari pandangan dan firasat Khaleeda. Ini membuatkan Khaleeda berasa sedikit gusar.

“Oh, ya... rakan kami dari Russia, cik Banit ada membawa ini untuk awak kaji. Saya rasakan kita perlukan ini masa misi tersebut.”

Mata Faridah bersinar-sinar apabila melihat batu-batu hitam seperti loketnya tersusun cantik di dalam sebuah kotak kayu kecil.

“Adakah batu ini shungite dari Shun’ga?”

“Ya, dari Shun’ga, Republik Karelia.” Pendek saja kata-kata Khaleeda. Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Perhatian Faridah seolah-olah seperti sudah beralih dari fokusnya kepada pasangan pengantin kepada batu-batu shungite di dalam kotak kayu kecil itu. Untuk beberapa ketika, dia membelek-belek batu-batu hitam itu penuh asyik dan kemudian segera dimasukkan ke dalam tas tangannya. Hatinya penuh keterujaan seperti tidak sabar untuk membawa batu-batu itu ke makmal segera mungkin.

'Memang dasar saintis sejati, Dr. Faridah ni.' Bisik hati Khaleeda melihatkan kelakuan Faridah itu. Dia hanya tersenyum sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience