Rate

Bab 4: Extra Income

Mystery & Detective Completed 26471

Tan Sri Hassan merenung ke luar jendela dari bilik pejabatnya. Melalui jendela ini, dia dapat melihat hampir keseluruhan Jalan Ampang dan bangunan-bangunan sekelilingnya. Manusia yang berlegar-legar di bawah hanya seperti semut-semut hitam mengerumuni gula. Lagaknya, pemandangan seperti ini seperti pandangan dewa dewi dari kayangan. Selaku Pengerusi dan CEO syarikat terkaya di Malaysia, kehidupan Tan Sri Hassan serba serbinya eksklusif dan tidak terbayang dek akal rakyat kelas bawahan.

“Bagaimana?” Tanya Tan Sri Hassan kepada pembantu peribadinya.

“Sukar Tan Sri, saya fikir Tan Sri kena berhubung dengan DYMM Yang Di-Pertuan Agong sendiri.” pembantu peribadinya hanya menunduk.

“Kita kena cepat, Kamal. Phoenix di Rusia tu sudah demand macam-macam. Tergendala urusan carigali kita.”

“Faham, Tan Sri. Saya dah berhubung dengan Dato’ Pengelola Bijaya Setia, mohon Tuanku perkenan untuk mengadap. Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan mendapat jawapan.” Tan Sri Hassan mengangguk-angguk kecil, berasa sedikit lega dengan tindakan Kamal, walau pun jelas kegusarannya terhadap apa yang berlaku.

Urusan carigali ini pada peringkat perjanjian antara negara sudah termeterai pada dasarnya namun, terdapat juga unsur-unsur ‘belakang tabir’oleh pihak-pihak tertentu yang menjadi penghalang pada kelancaran perlaksanaan projek. Semenjak Soviet Union berpecah, terdapat sekelompok bahagian di negara tersebut yang ditadbir oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang membentuk kuasa autonomi dan berkuasa di wilayah yang dikuasai. Kumpulan-kumpulan ini mempunyai keupayaan militer dan boleh mengancam kerajaan rasmi di Rusia sekiranya permintaan mereka tidak dituruti. Pada dasarnya, mereka tidak mencampuri urusan kerajaan tetapi sebarang bentuk keputusan yang melibatkan kepentingan mereka, ianya dilayan tanpa kompromi.

Mereka ini adalah kumpulan-kumpulan mafia di Rusia dan kebetulan syarikat carigali Malaysia dengan kerjasama kerajaan Rusia berjaya menemui sumber minyak dan gas asli di suatu kawasan dibawah pengaruh sebuah kumpulan mafia di sana. Kumpulan ini menubuhkan syarikat sendiri bernama Global Phoenix, bertujuan memastikan ‘legality’ terhadap transaksi bisnes mengikut norma bisnes antarabangsa. Seolah-olahnya, segala fi dan transaksi berkaitan urusan carigali minyak dalam ‘buku akaun’ syarikat Malaysia kelak, dikira sah mengikut undang-undang dan audit walau pun sebenarnya, ianya wang ‘pau’ dari kumpulan mafia tersebut.

Perkara ini adalah perkara biasa yang dihadapi oleh syarikat di Malaysia terutamanya. jika berurusan dengan negara-negara yang ‘bergolak’ seperti sebilangan negara-negara Amerika Latin, Afrika dan seperti di Rusia. Malaysia boleh ‘main’ jalan selamat dengan melakukan eksplorasi carigali minyak di negara-negara yang lebih stabil politiknya tetapi, piece of pie sangat kecil kerana kebanyakannya telah di ‘charter’ oleh syarikat-syarikat minyak asing terutamanya dari US dan Eropah. Oleh kerana dunia carigali minyak ini begitu kompetitif, syarikat carigali Malaysia terpaksa menerokai peluang di tempat-tempat yang lebih mencabar untuk kekal berdaya saing.

“Mudah-mudahan Baginda dapat memperkenankan permintaan kita. Ini pun berkaitan urusan negara. Sekiranya Tun Besar turut serta, mudahlah kita untuk berurusan dengan pihak Phoenix kelak,” bisik hati Tan Sri Hassan.

********************

“Mana budak Fateh tu, Pak Amran?” Keras sekali suara lelaki itu mengajukan pertanyaan pada Pak Amran.

“Oh, Encik Roslan, tadi dia ada di kawasan Masjid As-Syakirin, trim pokok-pokok di sana.” Jawab Pak Amran tenang. Dia kenal sangat dengan pengurus syarikat penyelenggaran taman KLCC ni. Tak boleh diturut sangat angin kepala si Roslan ni. Kalau diturutkan, boleh terbakar hatinya nanti.

Sejurus mendapat jawapan, Roslan segera beredar. Di belakang Roslan ada sebilangan pemuda-pemuda bermuka bengis dan liar mengikutinya. Pak Amran rasa tak sedap hati.

“Eh, neng Suriati, ke mari kamu.” Panggil Pak Amran apabila terlihat seorang pekerja perempuan Indonesia yang dikenalinya. Perempuan itu menghampiri Pak Amran dengan penuh tanda tanya.

“Apa kamu tahu ngak, ngapain Encik Roslan nampak marah banget sama Fateh?” Terkial-kial Pak Amran berbahasa Indonesia.

“Ngak pasti, pak. Er, barangkali juga kerna kasus tempohari?”

“Kasus apa, neng?” Pak Amran berasa musykil. Dia sebagai mandur pun tak tahu apa yang telah terjadi terhadap anak-anak buahnya.

“Tidak pak, tempohari saya dengar cerita, Wirda yang baru bekerja itu diganggu oleh Pak Roslan di kantornya. Dipanggilnya Wirda untuk selingkuh, juga diugutnya Wirda itu, pak. Fateh yang kebetulan masuk ke kantor, lalu mereka berkelahi.” Lancar saja neng Suriati itu berbicara seolah-olah dia berada di tempat kejadian.

“Kamu pasti, neng?” Kaget Pak Amran mendengarnya. Celaka Si Roslan ni, mentang-mentang budak perempuan bernama Wirda tu baru masuk kerja dan masih polos, mudah sangat dia mengambil kesempatan. Mungkin sebab itu juga, banyak pekerja-pekerja asing di syarikat ini terutamanya yang perempuan (yang memiliki paras yang agak menarik) tak lama ingin bekerja di sini.

“Iya, pak. Erni temannya Wirda bilang gitu.”

“Kamu panggil, Herman dan laki-laki lain- minta mereka ikut saya, cepat!” Pak Amran gusar. Kalau sudah Si Roslan membawa geng, pasti nahas Fateh dikerjakan.

********************

Roslan liar memerhati kawasan Masjid As-Syakirin. Tak ada! Dia kemudian berlegar-legar ke arah taman bunga mencari-cari sosok yang dibencikannya, Fateh. Dia berasa amat geram sekali, masih lagi terasa pedih pipinya ditampar oleh Fateh kelmarin. Dia pitam akibat tamparan itu. Hari ini dia akan membuat perhitungan, Fateh akan menerima beratus-ratus kali azab daripada apa yang diterimanya semalam. Segerombolan kaki-kaki pukul dibawanya ini pasti akan mengabulkan apa yang dia inginkan.

Fateh sedang berbaringan di bawah pokok rendang yang menjadi port tetapnya setiap kali selesai tugasan. Topi jerami yang besar ditutupi wajahnya dan tuala Good Morning digunakan untuk mengalas kepala. Berbaringan di atas rumput tebal, redup dan ditiup pula angin-angin sepoi bahasa, memang sungguh mendamaikan.

“Hoi, budak celaka!” Fateh masih lagi tidak bereaksi. Dia kenal suara itu dan walau pun mukanya ditutupi topi jerami, dia dapat menganggarkan Roslan tidak datang berseorangnya. Sekurang-kurangnya, 5 orang ‘kutu’ ada bersamanya. Dari hembusan nafas mereka, nyata semuanya samseng tahi kucing.

“Kurang ajar, mampus kau kali ini! Ringgo, kau hentak sikit.” Arah Roslan, panas hati dengan sikap Fateh yang masih tidak mengendahkannya. Celaka, dah nak mampus pun masih kurang ajar.

Ringgo yang berbadan sasa, bertatu di kiri kana lengannya lantas, segera menghampiri Fateh yang masih berbaring. Hampir saja posisinya dengan Fateh, suatu tendangan kuat diberikan ke arah kepala Fateh.

"Argggh!” Ringgo menjerit. Tulang betisnya terkulai dan bunyi tulang itu patah seiringan dengan jeritan Ringgo. Ringgo mengengsotkan dirinya jauh dari kedudukan Fateh. Dia masih berkeluh, mengaduh kerana kecederaannya.

Roslan dan kuncu-kuncunya kelihatan, kaget. Semuanya berlaku terlalu pantas. Apa yang mereka yang lihat, Fateh yang sedang berbaring itu hanya bereaksi mengacungkan tangannya seperti mengeliat sahaja, reaksi itu serentak dengan tendangan Ringgo.

Fateh mengalihkan topi jerami dari mukanya dan mulai duduk, menguap dan mengeliat. Matanya dikesat-kesat bak orang baru bangun dari lena. Kemudian, dia bingkas bangun dan perlahan-lahan menyarungkan topi jerami di kepalanya. Bibir Fateh mengukir senyuman.

“Oh, Encik Roslan... nak menjemput kenduri ke, ramai-ramai ni?” Tanya Fateh, seperti orang bodoh. Dia berjalan ke arah Roslan.

“Kenduri kepala hotak kau! Korang semua- lanyak!” Arah Roslan kepada samseng-samseng upahannya. Mereka tanpa banyak soal menyerbu ke arah Fateh.

Krak! Arghhh! Krak! Arghhh! Aduh! Krak! Silih berganti bunyi tulang patah dan teriakan samseng-samseng itu. Roslan kaget. Tak sampai seminit samseng-samseng upahannya tersungkur tak berupaya melawan. Setiap pergerakan Fateh menuju ke arahnya, bagai tidak ada halangan. Fateh seperti mengibas-gibas tangannya dan jari-jemarinya seperti memicit-micit anggota-anggota badan yang digunakan oleh samseng-samseng tersebut untuk menyerang Fateh. Kalau kaki, kakilah yang akan terkulai, kalau tangan, tangan yang akan cedera.

“Lauk-pauk kenduri Encik Roslan ni, kurang asam garamnya, tak sedap!” Roslan mulai mengigil melihat senyuman sinis Fateh. Roslan mulai berundur menghindari Fateh yang menhampirinya.

“Kau nak buat apa? Aku akan-”

Pang! Rangup sekali penampar yang hinggap di pipi Roslan. Roslan terlentang ke tanah. Dia mengaduh kepedihan sambil tangan dilekapkan di pipinya. Terasa darah mengalir dicelah bibirnya, mungkin juga ada sebatang dua giginya yang tanggal pada hari ini.

“Saya lapar lagi ni...er, Encik Roslan belanja, ya?” Fateh segera membalikkan tubuh Roslan ke belakang dan menyeluk poket seluar belakang lelaki itu untuk mengeluarkan dompetnya. Roslan hanya membiarkan, seperti tidak berdaya. Terasa kelangkangnya mulai panas dan basah. Dia benar-benar terkejut dan takut.

Fateh membelek-belek dompet Roslan, meneliti dari satu ruang ke satu ruang dan kemudian mengeluarkan beberapa not Ringgit Malaysia.

“RM300 aje? Mana cukup? Ni upah untuk seorang pun tak lepas. Saya settlekan tadi 5 orang. Berat kerja tu.” Fateh kemudian memasukkan not-not tersebut ke dalam sakunya. Roslan masih mengigil ketakutan melihat bola mata Fateh yang tajam merenungnya.

“Oklah, saya caj murah-murah aje. Seorang, seribu. Esok jangan lupa, bayar lagi RM4300- kalau tidak, saya cabut gigi Encik Roslan sebatang-sebatang.” Kata Fateh sambil tersenyum riang. Roslan jadi kaget. Dalam usahanya untuk bangun, dia kembali tersungkur.

Sayup-sayup kelihatan Pak Amran dan pekerja-pekerja bawahannya bergegas menghampiri mereka berdua. Melihat Fateh yang bermuka manis dan Roslan yang keruh, Pak Amran menjadi kehairanan. Apatah lagi, sekumpulan samseng yang disangkakan akan bermaharajalela, masih terdampar tak berdaya. Apakah yang sedang berlaku? Eh, apa yang berbau hancing ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience