Rate

Bab 58: Ahlul Bait

Mystery & Detective Completed 26471

Queen Alia International Airport merupakan lapangan terbang paling utama di Jordan dan terletak kira-kira 30km dari bandar Amman. Penerbangan dari Jeddah ke Jordan itu hanya memakan masa kira-kira 2 jam setengah dan ketika Fateh bersama Catherine tiba di lapangan terbang ini, hari masih lagi pagi- sekitar jam 9 pagi.

Seperti penumpang-penumpang lain, mereka mengikuti rutin pemeriksaan di lapangan terbang sebagai pelancong asing. Urusannya tidaklah rumit, tambahan pula banyak lugagge barang-barang yang dibeli oleh Fateh telah diposkan semasa di Jeddah. Jadi, mereka berdua hanya membawa beg pakaian yang kecil sahaja.

Ketika ini, pegawai imigresen Jordan sedang memeriksa pasport milik Fateh. Pada mulanya dia kelihatan tenang namun, setelah memeriksa rekod pada pasport Fateh, dia kelihatan terkejut seperti tidak percaya. Tergopoh-gopoh dia mencapai gagang telefon dan bercakap sesuatu dalam bahasa Arab. Fateh hanya tersenyum kerana dia tahu setiap butir perkataan yang disebutkan oleh pegawai itu.


“Kenapa, sayang?” Catherine pelik melihat suasana di kaunter imigresen kelihatan sedikit kelam kabut. Apatah lagi ada pegawai imigresen segera mengarahkan kesemua penumpang lain ke kaunter sebelah. Hanya tinggal mereka berdua di situ seperti pesalah.

“Oh, tak ada apa-apa. Mungkin ada orang yang ingin berjumpa.” Balas Fateh, pendek sambil tersenyum.

“Sorry, sir. Are you really Muhammad Al-Fateh from Malaysia?” Kelihatan seorang pegawai lain yang berpangkat tinggi mula menyapa Fateh dengan mesra.

“Yes, I am. Do I do anything wrong?”

“No, sir. There is nothing wrong. By the way, I would like to invite you to the guest room if, you’re OK with it?” Balas pegawai itu ramah. Fateh hanya mengangguk mesra. Segera di capainya tangan Catherine dan mula membontoti pegawai tersebut ke suatu bilik di dalam pejabat imigresen tersebut.

Fateh dan Catherine dipelawa duduk di suatu ruangan mewah, sepertinya dikhaskan kepada golongan VIP dari luar negara. Catherine hanya terpinga-pinga melihat layanan yang mesra ini di Jordan. Apakah ‘kerja kerajaan’ seperti suaminya ini begitu berprestij sehingga pegawai-pegawai dari Jordan ini begitu hormat padanya.

“Sorry, sir. My name is Mansoor- in charge of this facility. If you need anything, you can ask me. Please do not hesitate.” Pegawai tadi masih lagi ramah, memperkenalkan dirinya.

“Tak apa, Mansoor. Berapa lama lagi kami harus menunggu di sini?” Balas Fateh dalam bahasa Arab. Mansoor terkejut mendengarkan kata-kata Fateh kerana tidak menyangka pemuda itu begitu fasih berbahasa Arab.

“Oh, Tuan sangat fasih berbahasa Arab!”

“Ya, mungkin saya telah berbahasa Arab sebelum kamu dilahirkan lagi.” Kata Fateh sambil tersenyum.

“Tuan pandai bergurau. Masakan Tuan yang muda ini telah lama berbahasa Arab berbanding saya.”

“Berapa umurmu, Mansoor?”

“40 tahun.”

“Ya, mungkin saya silap. Tak mungkin saya yang muda ini boleh berbicara dalam bahasa Arab terlebih dahulu daripada kamu.” Fateh hanya ketawa memandang Mansoor yang begitu ramah itu. Mansoor hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Catherine yang duduk disamping Fateh hanya tersenyum tidak mengerti. Suaminya ini benar-benar membuatkannya bingung. Dahulu, dia hanya menganggap Fateh hanya tahu berbahasa Melayu dan kurang fasih dengan bahasa Inggeris kerana hampir tidak pernah Fateh berbahasa Inggeris dengannya. Itu meleset kerana suaminya itu apabila mengucapkan kalimat-kalimat dalam bahasa Inggeris, bunyinya begitu menawan sekali, ibarat mendengar kata-kata seorang bangsawan Inggeris berbicara- atau setidak-tidaknya seperti menonton filem James Bond yang berbicara dengan loghat Inggeris yang mempersonakan.

Kemudian, Fateh berbicara pula dalam bahasa Mandarin dan Kantonis- pun ibarat penutur asli bahasa tersebut dari China. Apabila tiba di Mekah dan Madinah, Fateh kerap pula berbahasa Arab di sana. Jadi, Catherine seperti sudah immuned dengan kejutan-kejutan penguasaan bahasa Fateh. Mungkin suatu hari nanti, dia akan mendengar pula Fateh berbicara dalam bahasa yang lain pula.

Tiba-tiba, walkie talkie milik Mansoor berbunyi. Mansoor segera menekan butang yang terdapat pada butang walkie talkie tersebut dan berbicara seketika. Kemudian, dia memandang muka Fateh dan Fateh hanya mengangguk-angguk, tanda faham.

“Jom, Cat.” Fateh segera menghulurkan tangannya kepada Catherine yang masih ‘terbenam’ di atas sofa. Seronok rasanya duduk di sofa yang begitu mewah dan empuk itu.

“Ke mana sayang?” Catherine segera menyambut tangan Fateh.

“Surprise!” Catherine mencubit lembut pinggang Fateh kerana geram dengan jawapan suaminya yang seperti acuh tak acuh. Fateh hanya mengaduh kecil.

*******************

Limosin yang membawa Fateh dan Catherine tiba di perkarangan Istana Zahran, salah sebuah istana dari sejumlah istana-istana milik keluarga Diraja Jordan. Istana ini telah dibina pada tahun 1957 yang terletak di Jabal Amman adalah milik Allahyarhamah Permaisuri Zein al-Sharaf iaitu nenda kepada Raja Abdullah II yang kini memerintah Jordan semenjak tahun 1999. Istana ini juga pernah digunakan sebagai tempat berlangsungnya pernikahan Raja Abdullah II pada tahun 1993.

“Welcome to Zahran Palace, sir... madam,” sapa seorang lelaki Arab yang bertindak seperti butler di hadapan pintu Istana Zahran.

“Terima kasih.” Balas Fateh, pendek. Butler itu hanya tersenyum mendengarkan balasan Fateh dalam bahasa Arab itu.

Mereka dibawa ke ruangan tamu yang serba mewah. Pelayan-pelayan sedia menanti di ruangan tersebut dan terdapat hidangan ringan telah pun disediakan. Butler istana segera mengarahkan pelayan-pelayan yang lain segera menuangkan teh istimewa Jordan yang berupa sejenis teh hitam yang dicampurkan dengan herba. Ruangan tamu itu juga berbau wangi dengan aroma gaharu yang dibakar, membuatkan perasaan Fateh dan Catherine berasa selesa dan tenteram.

“Siapa yang kita tunggu ni, sayang?” Tanya Catherine seperti berbisik.

“Kawan lama.”

“Awak ada kawan dengan kerabat Raja Jordan?” Ucap Catherine seperti tidak percaya.

“Ya.” Pendek saja balasan Fateh. Kalau diberitahu yang dia pernah berkawan dengan semenjak *Sharif Hussein iaitu pengasas keluarga Diraja Jordan, yang ketika itu masih bergelar Sharif of Mecca atau Raja Hijaz yang memerintah Mekah, tentunya akan menimbulkan cerita yang panjang pula.

Nota *: Sharif Husein Bin Ali Al-Hashimi yang hidup pada 1854-1931 merupakan pemimpin dunia Arab di bawah pemerintahan terakhir Khalifah Uthmaniyyah, Turki iaitu Sultan Abdul Hamid II. Beliau juga merupakan Raja Hijaz yang memerintah Mekah pada 1908 sehingga 1924, dilantik sendiri oleh Sultan Abdul Hamid II. Peranan ini diteruskan oleh anak sulungnya, Raja Ali Bin Hussein sebelum digulingkan oleh keluarga Ibn Saud (setelah itu membentuk dinasti keluarga DiRaja Arab Saudi) pada tahun 1925 manakala, anak-anak lelakinya yang lain seperti Raja Abdullah I menjadi raja TransJordan (Palestin, Syria dan Jordan dari tahun 1921-1951) dan Raja Faisal I pula menjadi raja Iraq (dari tahun 1921-1933).

Catherine hanya diam dan menikmati hidangan yang disediakan. Perkara seperti ini terlalu asing kepada dirinya tetapi, persoalan itu tidak memerlukan dia berfikir panjang. Mungkin ini urusan ‘kerja-kerja kerajaan’. Semua itu tidak penting padanya. Yang paling penting, Fateh ada di sisinya ketika ini.

“Assalamualaikum.” Sapa suatu suara di ruang tamu. Pelayan-pelayan yang tadi sibuk melayan Fateh dan Catherine segera berdiri tegak dan menundukkan kepala mereka termasuk juga butler istana tersebut. Nyata suara lelaki itu datangnya dari seorang pemilik yang bukan orang sebarangan.

“Waalaikumussalam warohmatullah.” Balas Fateh dan Catherine serentak dan menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki Arab yang berkulit putih kemerah-merahan sedang memandang mereka berdua dengan senyuman manis. Kelihatan disamping lelaki itu seorang wanita cantik dan ahli-ahli keluarga mereka yang lain.

“Alhamdulillah, wajah ahlul bait memang tidak menjemukan untuk dipandang.” Fateh segera berdiri melihat lelaki Arab itu, seperti sangat menghormatinya. Catherine yang tidak tahu apa-apa turut bangkit dari tempat duduknya.

“Sungguh bertuah sekali aku dapat melihat sahabat dari jauh.” Balas lelaki itu.

“Fateh?” Seorang lelaki Arab yang lebih separuh umur itu kemudian menyapanya. Berbola mata lelaki itu kelihatan berkaca-kaca. Fateh tidak terkejut melihat lelaki tua itu, dia hanya tersenyum memandangnya.

“Ya, Faisal... lama tidak bertemu.” Lelaki bernama Faisal itu kelihatan tersentak dan kemudian segera meluru ke arah Fateh. Dipeluk dan diciumnya pipi Fateh berkali-kali. Isterinya yang melihat turut sama mengalirkan air mata.

“Ayah?” Wanita cantik itu terpinga-pinga melihat reaksi ibu dan bapanya. Siapa pemuda ini yang menyebabkan orang tuanya kelihatan begitu terharu. Selama 50 tahun dia hidup, belum pernah lagi dia berjumpa dengan pemuda yang mungkin jauh lebih muda daripada dirinya sendiri. Apakah hubungan mereka?

“Oh, Fateh- ini anakku Rania yang lahir di Kuwait. Kau hanya pernah melihat Dina, kakaknya Rania kan?” Dr. Faisal Sedki Al-Yassin, doktor ‘muda’ pada masa Perang Ke-3 Arab-Israel itu kemudian memperkenalkan sanak saudaranya.

“Ya, benar. Dina di mana?”

“Dina masih di Kuwait.”

“Kau sihat Yasmin?” Ilham Yasmin hanya mengangguk-angguk kepalanya, juraian air matanya mengalir deras dan tak dapat dibendung lagi. Sungguh, kenangan lalu yang penuh dengan pahit getir semasa perang, masih berbekas di hatinya.

Raja Abdullah II yang dipanggil sebagai ahlul bait itu hanya tersenyum memandang situasi ini. Isterinya Pemaisuri Rania, antara permaisuri tercantik di dunia ini dan Catherine hanya memerhati keadaan ini dengan rasa bingung. Banyak persoalan bermain di fikiran mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience