Rate

Bab 88: Peristiwa Di Waktu Subuh

Mystery & Detective Completed 26471

Tatkala melihat kelibat Fateh menampakkan dirinya, Faridah tak lagi dapat mengawal diri- lantas menerpa ke arah suaminya itu. Si Garang dan teman-temannya mula beredar kerana sedar, ‘perintah kurungan’ terhadap Faridah sudah ‘ditamatkan’ sebagaimana kehendak Fateh sendiri. Kawanan harimau tersebut kemudian lenyap ditelan belantara yang masih gelap dan kian meriah dengan suara unggas liar.

Faridah memeluk Fateh dengan erat, esakan dan tangisannya tidak dapat dibendung lagi sehingga ‘banjir’ perasaan menahan rasa terharu. Fateh hanya mengusap-usap belakang Faridah dengan lembut bagi mendamaikan gelora perasaan Faridah. Tiada apa yang perlu isterinya itu gusarkan.

Tiba-tiba sahaja, pelukan Faridah menjadi lemah- Fateh tanpa berlengah terus merangkul tubuh Faridah daripada terjelepuk ke tanah. Perlahan-lahan, Fateh mengendong dan meletakkan isterinya itu ke dalam khemah.

“Faridah..” Fateh mengusap lembut wajah Faridah dengan air yang telah dijampikannya. Ada rasa bimbang dan pelik terbit dari hati Fateh. Keadaan Faridah itu bukanlah seperti pitam biasa tetapi, isterinya itu seperti dalam keadaan bersawai. Mulutnya terkumat kamit dan hanya mata putihnya saja yang kelihatan seperti orang kerasukan.

Faridah masih tidak menjawab panggilan Fateh. Keadaannya yang pelik itu membuatkan Fateh menjadi kebingungan kerana dia sangat pasti, Faridah tidak kerasukan. Jika bukan, apakah yang sedang berlaku?

Fateh terus mengawasi keadaan isterinya itu dengan penuh rasa bimbang. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia berhadapan dengan situasi yang amat pelik sebegini apatah lagi, apabila melihat ada kerdipan cahaya pada ubun-ubun Faridah. Cahaya putih itu kemudiannya menjadi malap dan hilang begitu saja.

“Abang?” Faridah mulai sedar dari ‘kerasukannya’ sebentar tadi. Riak wajahnya nampak berubah dan kelihatan begitu ceria sekali. Faridah segera memeluk kembali Fateh dengan erat- seperti tidak mahu dilepaskannya lagi.

“Kau tak apa-apa? Apa yang telah berlaku?” Fateh masih kebingungan.

“Saya rindukan abang. Lama saya menunggu..”

“Lama? Bukankah abang hanya tinggalkan kau sekejap saja?” Fateh berasa pelik dengan jawapan yang Faridah berikan.

Faridah kemudian melepaskan pelukannya dan menatap wajah Fateh. Diusap-usapkan wajah suaminya itu dengan penuh kasih sayang dan rindu yang amat mendalam. Tentu saja perlakuan atau gesture yang ditunjukkan oleh Faridah itu bukan sekadar main-main semata. Fateh amat yakin begitu tetapi, apa yang ditunjukkan oleh Faridah itu ‘tidak sepatutnya’ berlaku. Gaya Faridah itu sepertinya mereka telah berpisah selama puluhan tahun!

*******************

Seusai solat subuh dan bersarapan, Fateh dan Faridah mula mengemaskan tempat perkhemahan mereka. Faridah sepertinya tidak boleh berenggang dengan Fateh. Acapkali, Faridah akan mencuri pandang kepada Fateh dan tersenyum sendirian. Tentu saja hal yang tersebut disedari oleh Fateh tetapi, dia hanya acuh tak acuh. Rasa pelik masih menebal di dalam hati Fateh. Apakah Faridah telah tersampuk? Masakan begitu kerana Fateh tidak dapat mengesan unsur-unsur lain di dalam tubuh Faridah melainkan sikapnya sahaja yang kelihatan agak janggal.

“Kenapa?” Fateh mula rasa tidak puas hati.

“Apanya, bang?” Faridah kelihatan manis tersenyum.

“Kenapa sikap kau begitu lain sekali?”

“Apa yang lain?” Giliran Faridah pula seperti acuh tak acuh dengan pertanyaan Fateh.

“Lain dari yang biasa.” Fateh memandang wajah Faridah dalam-dalam. Dia pasti ada ‘sesuatu’ yang berlaku tetapi, Fateh tak tahu apa sebenarnya. Firasat Fateh menyedari akan hal ini. Faridah masih tetap Faridah tetapi, ada kelainannya. Wajah Faridah kelihatan lebih anggun, auranya menjadi semakin terserlah dan kuat. Perawakannya pula lebih ayu dan lembut. Apakah ini?

“Yang biasa seperti apa, bang?” Faridah bertanya lagi sambil tersenyum.

“Hurmm.” Fateh bungkam. Tiada kata-kata yang dapat dihuraikan dengan perkataan ketika ini.

“Abang dah bertemu dengan mawas hitam penjaga gua perak?” Fateh tersentak. Kalau Faridah maksudkan big foot semalam, bagaimana isterinya itu tahu?

“Bagaimana kau tahu... er, gua perak?”

“Ya, mawas itu penjaga gua perak, abang tak pernah baca berkenaan mawas besar yang menjaga kendi emas dan perak di Gunung Tahan?” Fateh cuba mengingati sesuatu. Memang benar terdapat cerita dari kalangan masyarakat orang asli di sini berkenaan hal sedemikian tetapi, tidak pula dia tahu berkenaan gua perak atau apakah mungkin dia akan berjumpa pula gua emas?

“Apakah ini termasuk dalam pengetahuan keturunanmu?” Faridah hanya mengangguk-angukkan kepalanya sambil tersenyum.

“Hmmm... nampaknya mawas hitam itu masih hidup lagi, kan?” Sekali lagi Faridah membuatkan Fateh terpana. Jelas, ini bukan sekadar pengetahuan yang diwariskan secara turun temurun. Perkara yang baru berlaku seperti ini mana mungkin Faridah sekadar meneka semata-mata!

Fateh hanya memandang ke arah Faridah dengan penuh tanda tanya. ‘Siapakah’ isterinya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience