Rate

Bab 31: Ribut Yang Tenang

Mystery & Detective Completed 26471

Setiap pagi, merupakan permulaan hari baru yang sentiasa indah buat Catherine. Tak kira sama ada hari bekerja atau hari cuti. Setiap pagi dia akan sentiasa dapat bersama dengan Fateh. Dia dapat bermesra dan bermanja. Fateh akan setia menemaninya- ke tempat kerja, beriadah, bersarapan dan apa jua aktiviti yang mungkin berlaku pada setiap paginya.

Petang sewaktu pulang dari kerja, Fateh akan menjemputnya. Mereka akan berjalan kaki dari Menara Prestige hingga ke stesen LRT KLCC, atau singgah dahulu menikmati makan malam sebelum pulang ke rumah. Jika Catherine sibuk, sehingga perlu stay back di ofis- Fateh setia menanti.

Malam hari pula, kalau tidak keletihan kerana tugas seharian, mereka berdua akan menonton TV bersama. Itu pun kalau Alis ada. Kalau tak ada, Catherine akan mencari peluang untuk bertemu dengan Fateh. Kalau tak jumpa malam itu, tak lena tidurnya nanti.

Kalau ada masa untuk bersendirian atau ruang waktu untuk ‘tidak bersama’ mungkin, hanyalah pada waktu kerja Catherine sahaja. Begitulah rutin baru hidup Catherine. Namun, dia seakan-akan tidak jemu. Kebahagiaan memang tidak menjemukan. Apatah lagi, ibu bapanya tidak menghalang hubungan Catherine dengan Fateh. Jadi, dia tidak perlu risaukan hal ini.

Cuma pagi ini, ada sedikit kepelikan dengan perlakuan Fateh. Biasanya, Fateh hanya akan menemaninya sampai ke lobi Menara Prestige tetapi, hari ini dia turut serta masuk ke lif bersama.

“Sayang, takkan sampai depan pintu ofis awak nak hantar saya?” Catherine memandang Fateh dengan rasa ingin tahu. Lengan Fateh masih dirangkulnya erat.

“Oh, saya ada appointment dengan Tan Sri pagi ini,” balas Fateh sambil tersenyum.

“Seriously? Kenapa saya yang jadi sekretarinya tak tahu?” Catherine hanya tersenyum kerana menyangkakan Fateh hanya berolok-olok sahaja. Mungkin ini salah satu gurauan senda Fateh untuk menceriakan paginya.

“Bila appointment Tan Sri yang pertama pagi ini?” Soal Fateh.

“Pukul 10.30 pagi. Sekarang ni masih awal lagi dan appointment pertamanya semestinya bukan dengan awak, sayang.” Catherine hanya ketawa kecil.

“Itu appointment rasmi, yang tak rasmi pukul 9 pagi ini dengan saya.” Catherine hanya ketawa kecil dengan ‘keangkuhan’ Fateh, meyakinkannya. Memang melucukan pada Catherine kerana paling awal Tan Sri tiba di ofis pun selalunya hampir pukul 10 pagi. Dia sangat arif dengan jadual Tan Sri Azman.

Setibanya mereka di tingkat 25, Catherine masih lagi terpinga-pinga dengan sikap Fateh yang turut sama mengekorinya menuju ke pejabat.

“Good morning, Cat.” Catherine segera menoleh dan kelihatan pemandu Tan Sri Azman telah pun tiba lebih awal daripadanya. Catherine tergamam seketika- ini luar dari kebiasaan.

“Morning, Harun. Eh, Tan Sri dah sampai?” Tanya Catherine, meminta kepastian. Selaku sekretari, antara perkara paling asas adalah maklum dengan pergerakan bossnya itu.

“Dah, Tan Sri kata nak jumpa ‘kawannya’ pada pukul 9 pagi ni. Sebab tu kami datang awal.” Balas Harun. Catherine tercengang-cengang dan segera menoleh ke arah Fateh yang sedang duduk di ruangan menunggu di kawasan receiptionist. Fateh hanya memandang Catherine sambil tersenyum.

Catherine segera bergegas ke dalam pejabat dan didapatinya bilik Tan Sri Azman memang sudah terang benderang- bermakna, Tan Sri memang benar datang awal ke pejabat! Tanpa berlengah, dia segera mengetuk pintu, menunggu maklum balas keizinan bossnya itu sebelum masuk ke ruang pejabat Tan Sri Azman.

“Coming!” Terdengar suara Tan Sri Azman memberi respon. Catherine segera masuk ke bilik Tan Sri Azman dengan hormat.

“Morning Tan Sri, you are so early today. Is there any special occation that you may need my arrangement?”

“Oh, have you seen my guest? I suppose to meet him at 9 o’clock.” Tan Sri hanya tersenyum melihat Catherine.

“In your schedule, there is no appointment until 10.30, are sure Tan Sri?” Catherine menyelak helaian planner booknya, dan itulah maklumat yang telah dicatatkan oleh Catherine untuk jadual aktiviti Tan Sri Azman pada hari ini. Mana mungkin dia miss maklumat sepenting ini.

“No, no, no. This is special case. Just inform me if the guest has arrived.”

“OK, Tan Sri... but, may I know your guest’s name?”

“Fateh.”

“Fateh?” Catherine terkesima. Apakah betul pendengarannya pada pagi ini?

“Ya, Fateh. What’s wrong?” Tan Sri Azman pelik melihat reaksi Catherine.

“Oh, no, nothing Tan Sri.. er, I think your guest is already here at receiptionist-”

“Really? Alamak, kenapa tak beritahu awal-awal!” Belum sempat Catherine menghabiskan kata, Tan Sri Azman segera bingkas bangun dengan tergesa-gesa, menuju ke ruang menunggu di hadapan pejabatnya.

Catherine hanya mengekori Tan Sri Azman, tertanya-tanya dalam hati. Tak pernah lagi dia melihat bossnya itu begitu ‘energetik’ bersulam panik sebegitu. Tan Sri Azman biasanya sangat tenang dan suka berseloroh. Tak banyak perkara yang boleh membuatkan emosi Tan Sri Azman ‘bergelodak’ sebegini. Apatah lagi, kalau setakat ada tetamu ingin berjumpa.

“Assalamualaikum, ayahan- er, Tuan Fateh!” Hampir saja Tan Sri Azman membongkok hormat tetapi, segera dia teringat peringatan Nizam supaya berkelakuan ‘biasa-biasa’ saja apabila dia bertemu dengan Fateh pada pagi ini.

“Wa’alaikumussalam, Tan Sri. Apa pula bertuan-tuan dengan saya. Panggil saja saya, Fateh,” balas Fateh seperti memerli kelakuan Tan Sri Azman yang kelihatan canggung bertemu dengannya.

“Er, ya.. oh, er Fateh... jemput ke bilik saya. Cat, minta tea lady siapkan minuman untuk tetamu kita. Teh kan ayah- eh, Fateh?” Tergagap-gagap Tan Sri Azman berkata-kata. Catherine berasa hairan dengan keadaan Tan Sri Azman, ibaratnya dia seperti sedang berbicara dengan cikgu displin sekolah saja. Panik dan gementar. Fateh hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala, ‘merestui’ jemputan Tan Sri Azman.

*******************

Fateh duduk santai di atas sofa empuk di ruang tetamu di dalam bilik Tan Sri Azman. Tan Sri Azman masih tegak berdiri dan pandangannya hanya tertunduk ke lantai. Memang dia gentar dan gementar berhadapan dengan lelaki itu. Fateh itu bukan sekadar mahagurunya dalam dunia perniagaan tetapi juga kerana status lelaki itu adalah luar jangkauannya. Dia adalah Tun Besar, seorang lelaki yang mempunyai kedudukan istimewa di samping DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong. Lelaki yang mempunyai susur galur keturunan yang bukan sebarangan.

“Apa yang kau tercegat tu, Man. Duduklah.” Tan Sri Azman hanya menurut. Memang dia gementar apabila pembantu Tun Telani, Nizam- yang juga rakan seperguruannya- memberitahu Tun Besar akan ‘melawatnya’ pagi ini. Tak lena tidur dia malam tadi. Pelbagai persoalan bermain di benak fikirannya. Apakah ada kesalahan yang telah dilakukannya sehingga Tun Besar datang ke sini? Itu yang menyebabkan Tan Sri Azman kaku kelakuannya. Seriau dia dengan penampar Tun Besar- Tan Sri Hassan yang tersohor dan ‘lebih darjat’ daripadanya pun tak terlepas!

Fateh masih diam membisu. Dihirupnya teh panas yang dihidangkan dengan perlahan-lahan. Gaya dan aksi Fateh yang diam sebegini makin menambahkan debar di dada Tan Sri Azman. Ini ibaratnya kata-kata orang putih- the calm before the storm. Entah ‘ribut’ mana yang bakal melandanya nanti.

Kekhuatiran Tan Sri Azman bukan tiada asasnya, kemunculan Tun Besar pada majlis keraian di villa Tan Sri Hassan masih lagi terbayang-bayang diruang mata. Apatah lagi, beberapa minggu lepas anak Tan Sri Hassan, Hairi dan anak Dato’ Seri Jaafar, Johnny terpaksa bermalam di hospital kerana selain perlu menjalani rawatan kerana pergelangan tangan yang patah, post-traumatic stress disorder juga terpaksa dilakukan kerana mereka dikatakan mengalami kesakitan luar biasa dan menjejaskan kesihatan mental mereka berdua. Tan Sri Hassan, Dato’ Seri Jaafar dan Tan Sri Azman sendiri tahu, hanya Tun Besar sahaja yang mempunyai jurus seksaan seperti ini. Apabila perkara ini melibatkan ‘pekerjaan’ Tun Besar, mereka hanya boleh pasrah. Semestinya Tun Besar tidak akan menghukum pada mereka yang tak bersalah.

“Man...” Fateh mula bersuara, menghulurkan secawan teh pada Tan Sri Azman- mengisyaratkan Tan Sri Azman turut sama menemaninya minum. Tan Sri Azman tidak berlengah dan segera mencapai cawan yang dihulurkan. Dia segera menghirup teh tersebut perlahan-lahan.

“Aku kerja di sini, boleh?” Hampir tersembur air teh yang sedang dihirup oleh Tan Sri Azman. Ini memang perkara ‘gila’ pernah dipinta oleh Tun Besar. Biar betul?

“Satu lagi, motor kau yang jadi bahan pameran kat rumah tu, bagi aku satu.” Tersedak lagi Tan Sri Azman mendengar kata-kata Fateh. Pedih hidungnya dimasuki air teh.

Fateh hanya ketawa geli hati melihat keadaan Tan Sri Azman. Merah padam mukanya kerana tersedak teh panas. Tan Sri Azman turut ketawa- bergenang air matanya, entah sama ada dia benar-benar lega kerana ‘tiada hukuman’ yang dikenakan atau kerana kebodohan aksi yang ditunjukkannya pada pagi ini di hadapan Tun Besar. Nasib baik pertemuan ini hanya mereka berdua sahaja. Kalau tidak, mungkin dia akan turut kena menjalani rawatan post-traumatic stress disorder akibat malu yang teramat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience