Rate

Bab 86: Penderhakaan Si Garang

Mystery & Detective Completed 26471

Faridah tersentak dari lena tidurnya. Bunyi dentuman demi dentuman dari kejauhan amat jelas di pendengarannya. Dia segera meraba-raba mencari susuk tubuh badan Fateh di sebelahnya- nyata tiada!

Faridah segera bangkit dari pembaringan dan duduk sambil menggosok-gosok kedua kelopak mata- dia ingin meyakinkan diri bahawa Fateh benar-benar tiada. Terkebil-kebil, dia segera yakin memang Fateh tiada di dalam khemah.

“Bang?” Faridah memanggil Fateh kerana dia segera teringat yang suaminya itu mungkin masih berada di luar khemah untuk berkawal. Namun, tiada sahutan dari luar khemah. Dia tergesa-gesa melangkah keluar. Apa yang didapatinya hanya kegelapan malam dan cahaya yang suram dari unggun api yang masih berbara.

Dum! Dum! Dum!

Sekali lagi, Faridah mendengar dentuman yang kuat dari suatu arah dalam hutan tersebut. Faridah berasa gusar. Dia tahu, di situ adalah arah gua Bukit Tulang Ikan- checkpoint pertama array yang ‘memagari’ Gunung Tahan. Dia mesti segera menyusul.

Tatkala, Faridah mahu memulakan langkahnya, dia dapat menangkap pergerakan sesuatu sedang menghampiri- sehingga sekeliling pokok-pokok renek bergerak-gerak kerana dirempuh oleh ‘benda’ tersebut. Perasaan Faridah yang telah sedia kalut menjadi semakin resah.

“Tuan Puteri...” suatu suara menyapa. Faridah segera menoleh ke arah suara tersebut. Ada sinar cahaya yang terang terpancar dari bebola mata ‘entiti’ yang sedang menghampiri dekat padanya. Faridah mula waspada.

“Tuan Puteri jangan takut, ini aku- Garang.” Faridah melepaskan nafas lega apabila si Garang memunculkan dirinya. Sekonyong-konyong, Belang, Kuntum, Wira dan Merah turut menampakan diri mereka. Harimau-harimau tersebut menghampiri Faridah seperti mengawasi sesuatu. Sesekali, mereka menoleh ke arah gua Bukit Tulang Hitam, mengamati sesuatu yang sedang berlaku di situ.

“Mengapa kamu semua berada di sini? Di mana Fateh?” Faridah berasa pelik dengan kehadiran mereka. Faridah sudah pun mengarahkan mereka supaya tidak usah risau dengan keselamatannya di dalam hutan ini kerana Fateh ada menemaninya.

“Er, Fateh yang menyeru kami ke mari.” Belang mulai bersuara.

“Dia minta kami menjaga keselamatan Tuan Puteri.” Wira pula bertingkah.

“Keselamatan? Apakah?” Faridah mulai resah, pandangannya tertumpu ke arah gua Bukit Tulang Ikan yang masih berdentum seperti ada suatu pergolakan yang amat dashyat berlaku di situ.

Faridah tanpa berbasi-basi segera bergegas ke arah gua Bukit Tulang Ikan. Hatinya dipenuhi rasa cemas dan keresahan. Dia takut andai ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Fateh. Mengenangkan hal sedemikan, hati makin berdebar dengan pantas.

“Apa yang kau cuba lakukan, Garang? Ke tepi!” Faridah mula memberontak kerana secara tiba-tiba saja, si Garang menghalangi langkahnya. Harimau-harimau yang lain turut mengepung Faridah seperti mahu ‘memerangkap’ Faridah keluar dari kawasan perkhemahan tersebut.

“Tuan Puteri, demi keselamatan Tuan Puteri- aku tak dapat benarkan Tuan Puteri meninggalkan kawasan ini.” Garang berkata dengan lembut bagai memujuk Faridah yang jelas amat marah dengan perlakuannya.

“Tidak! Fateh itu suamiku. Aku mesti bersama dengannya. Apakah kalian cuba menderhaka?!” Jerkah Faridah kepada harimau-harimau tersebut. Mereka hanya berpaling memandang sesama sendiri. Selama beratus tahun, belum pernah lagi mereka menderhaka kepada waris keturunan Bendahara Inderapura. Apakah demi menjaga keselamatan Faridah, mereka telah menderhaka? Ini menimbulkan situasi yang kurang senang kepada Wira, Belang, Kuntum dan Merah tetapi, tidak kepada si Garang. Garang masih tegas dan tidak terpengaruh dengan kata-kata Faridah.

“Kalau sebab menjaga keselamatan Tuan Puteri dikatakan derhaka- aku rela menderhaka!” Ngauman Garang mengegarkan kawasan itu. Faridah terkesima dengan tindakan Garang. Teman-teman Garang kembali naik semangat. Ya, keselamatan waris Bendahara Inderapura itu lebih besar keutamaannya.

Faridah terduduk mendengar kata-kata Garang. Dia tahu tidak ada apa yang boleh dikatakan lagi untuk dia mengubah pendirian Garang dan rakan-rakannya. Mereka telah nekad mempertahankan keselamatan Faridah walau apa jua yang berlaku.

Air mata Faridah mulai menitik dan bertali arus membasahi kedua-dua belah pipinya. Perasan gundah, gusar, sedih dan pilu mula silih berganti membanjiri di dalam lubuk hatinya. Dia belum pernah merasai betapa seksa melawan perasaan sendiri. Sebagai seorang yang tinggi rasionalnya, dia tidak pernah beremosi sebegini tetapi, hari ini emosinya jelas telah ‘membaham’ rasionalnya dengan rakus.

“Tuan Puteri...” Kuntum menghampiri Faridah dengan perlahan. Harimau betina segera mendekatkan kepalanya ke muka Faridah dan mencium-cium Faridah. Lidahnya yang kasar mula menjilat muka tuannya itu. Kuntum dapat merasakan emosi Faridah masih bergolak hebat dan dia cuba memujuk Faridah dari terus berasa sedih dan murka dengan tindakan mereka bersaudara.

Faridah masih tidak bereaksi. Mukanya sugul. Air mata dan tangisannya masih tidak putus-putus mengalir. Dari kejauhan, dentuman demi dentuman masih lagi kedengaran membelah kesunyian malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience