Bab 46: Catatan Baron Von Mikluho-Maclay

Mystery & Detective Completed 26960

Panglima Kakap Husin, hidup sekitar tahun 1838 sehingga 1916, merupakan seorang penghulu yang mentadbir kawasan Hulu Tembeling dan berusia kira-kira 37 tahun sewaktu penjelajah dan ahli biologi Russia bernama Baron Von Mikluho-Maclay ‘menyedari’ kewujudan Gunung Tahan (melalui pemerhatiannya di Kampung Penghulu Gedong, Kelantan).

Tidak dapat dipastikan bagaimana Maclay berjumpa dengan Penghulu Kakap Husin tetapi, melalui catatan penjelajahannya yang masih terpelihara (ada catatan Maclay yang sudah rosak di makan zaman, atau hilang sebilangannya), Maclay telah cuba melakukan eksplorasi di kawasan berhampiran Gunung Tahan dan nama Husin telah disebutkan sebagai anak Penghulu Manan (bapa kepada Penghulu Kakap Husin- Penghulu Manan merupakan Penghulu Hulu Tembeling pada masa itu), yang membantunya menjelajah ke kawasan Gunung Tahan. Selain mereka berdua, ada lagi pemuda-pemuda kampung yang turut sama menyertai mereka dalam ekspedisi tersebut.

Dalam catatan yang sama, Maclay menjelaskan pencariannya hanya sekadar meninjau kehidupan flora dan fauna namun, mereka tidak dapat lanjut menjelajah atau mendaki puncak kerana telah ‘tersesat’ ke satu kawasan yang digambarkan sebagai ‘dunia asing’ yang tidak pernah dilihat.

~Aku tidak pasti bagaimana kami yang berada di belantara yang tebal, tiba-tiba sahaja memasuki satu ruang penuh cahaya di suatu kawasan yang rata. Ada di antara kami yang jatuh sakit mendadak, tidak berdaya untuk berdiri. Aku sendiri muntah-muntah. Hanya Husin sahaja yang masih tegak berdiri- dibacanya sesuatu ke dalam bekas air yang dibawanya, direndamkan cincinnya ke dalam bekas air tersebut dan dilumurkannya air itu ke muka kami. Itu sahaja yang aku ingat, kerana ketika aku tersedar, kami semua telah kembali semula ke tempat sebelum itu. Semuanya seperti mimpi~ Maclay (1876)

Maclay juga menerangkan bahawa, sepanjang perjalanan itu- Husin bertindak sebagai ‘kepala’ jalan dan sering melencongkan perjalanan mereka kerana mengesan adanya bahaya.

~Husin adalah penjejak bahaya yang hebat. Ada saja amarannya sepanjang perjalanan kami. Matanya liar melihat sekeliling dan telinganya bagai dapat mendengar ‘suara’ bahaya. Kami pernah ingkar dengan arahannya tetapi, selepas beberapa langkah, kami terpaksa berundur semula kerana dunia kami bagaikan berpusing-pusing di kawasan yang telah ‘ditandakan’ bahaya oleh Husin~ Maclay (1876)

Menurut Maclay lagi, sebelum ‘membenarkan’ pasukannya masuk ke sesuatu kawasan, Husin terlebih dahulu meneroka ke kawasan tersebut. Apa yang pelik, Husin terlebih dahulu memasuki kawasan yang dikatakannya bahaya tetapi tidak pula mengalami apa-apa.

~Apa yang menghairan, Husin masuk ke dalam kawasan bahaya tanpa ada apa-apa yang mudarat pada dirinya. Kami mengesyaki dia menyembunyikan sesuatu tetapi, dia tidak membawa apa-apa yang cuba disembunyikan. Orangnya jujur tetapi, penuh misteri~ Maclay (1876).

Maclay turut menggambarkan perawakan Husin dalam catatannya, sebagai seorang yang baik tetapi serius. Suka mengenakan topi besar, berpakaian sederhana dan longgar dan memakai cincin yang berbatu hitam.

~Husin hanya akan tersenyum sahaja ketika kami semua ketawa. Dia tidak berlebih-lebihan mesra walau pun, dengan pemuda-pemuda yang sebangsa dengannya. Topinya yang besar seperti menghalang kami melihat reaksi wajahnya. Pakaiannya yang longgar dan senteng, memudahkan untuk bergerak. Ada golok dan pisau disisipkan di pinggang, cincin berbatu hitamnya seperti pelengkap. Dia tidak banyak berkata-kata tapi, aku tahu dia pembantu yang baik~ Maclay (1876).

*******************

Fateh memandang Faridah yang berada di hadapannya. Faridah hanya tersenyum membalas renungan Fateh. Khaleeda kemudian menghidangkan minuman untuk mereka berdua. Suasana villa Khaleeda menjadi hening seketika, hanya sesekali terdengar murai berkicauan.

Fateh minum perlahan-lahan dan matanya masih belum lepas memandang Faridah. Faridah hanya buat acuh tak acuh, kerana pandangan Fateh itu tidak memberikan ‘ancaman’ dan membuatkannya kurang selesa,

Khaleeda pun turut memandang Faridah sambil tersenyum. Suasana itu walau pun hening tetapi tetap mendamaikan. Suasana villa Khaleeda ini memang menyenangkan.

“Doktor Faridah,” Khaleeda memulakan kata-katanya.

“Oh, panggil saja saya Faridah.” Faridah segera menyampuk.

“Baik. Faridah tahu apa tujuannya kami jemput Faridah ke mari?” Tanya Khaleeda.

“Tak tahu. DYMM Seri Paduka Baginda hanya menitahkan supaya bekerjasama dengan Tuan dan Puan berdua.” Agak gementar saja suara Faridah membalas. Tentunya, mereka berdua ini merupakan orang yang penting dengan Baginda Tuanku, kalau tidak, masakan orang-orang istana cuba menjejakinya untuk beberapa lama.

“Oh, kalau begitu panggil saya Khaleeda dan ini abang saya, Fateh.” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepala, tanda setuju.

“Tujuan kami menjemput Faridah ke mari adalah untuk mengajak Faridah menyertai pasukan kami kerana kami perlukan pakar tentang array EMF.” Terang Khaleeda tanpa berselindung lagi.

“Oh, itu tidak jadi masalah kerana kajian saya sebelum ini pun berkaitan array EMF.” Faridah hanya tersenyum mendengarkan ajakan Khaleeda kepadanya.

Fateh dan Khaleeda saling berpandangan dan tersenyum mendengarkan kata-kata Faridah. Sebenarnya, tujuan mereka bukan sekadar itu. Mereka ingin mencari-cari klu yang penting daripada keturunan Panglima Kakap Husin berdasarkan catatan yang ditulis oleh Maclay.

Catatan penjelajahan Maclay yang ditemui oleh Banit Svetlana juga telah mereka baca berulang kali dan ada beberapa butiran menarik yang perlu mereka singkap untuk mendapatkan gambaran yang jelas sebelum membuat konklusi. Sesungguhnya, penemuan Banit itu besar ertinya pada mereka berdua. Jelas dalam cacatan Maclay itu, terdapat suatu tempat istimewa di sebalik EMF array yang ‘menutupi’ satu kawasan di lembah Gunung Tahan. Paling penting, Panglima Kakap Husin adalah satu-satunya- sepanjang pengetahuan mereka- telah memasuki daerah tersebut dan mengetahui apa yang ada disebalik ‘tirai’ array itu.

Aura yang terdapat pada Faridah juga menimbulkan rasa ingin tahu kepada mereka berdua. Apabila Fateh berhadapan dengan Faridah, dia dapat merasakan dengan lebih jelas lagi kehadiran aura unik yang ada pada gadis itu. Sebab itu, Fateh tidak lepas pandangannya pada Faridah sebentar tadi kerana cuba untuk mengesan di mana lokasi aura tersebut.

“Adakah batu hitam ni warisan Panglima Kakap Husin?” Tanya Fateh pada Faridah, apabila melihat gelang tangan Faridah mempunyai sebiji batu hitam, sebagai loketnya. Khaleeda hanya mengangguk-angguk, setuju dengan soalan Fateh.

“Benar, asalnya dari cincin moyang saya, diwariskan turun temurun. Apabila tiba giliran saya, saya tukarkan menjadi loket.” Jelas Faridah, masih tersenyum menawan.

“Asalnya cincin?” Bulat mata Fateh mendengarkan kata-kata Faridah. Mungkinkah ianya cincin berbatu hitam yang dipakai oleh Panglima Kakap Husin sebagaimana yang dicatatkan oleh Maclay?

“Apa yang menarik pada batu ini sehingga diwariskan turun-temurun?” Khaleeda pula menyampuk.

“Sebelum ini, saya sendiri tidak peduli. Tetapi apabila saya melakukan kajian EMF dan cara untuk kurangkan risiko kepada pendedahan radiasi ini, saya telah mengkaji bahan-bahan yang berpotensi untuk mengurangkan atau menghapuskan radiasi ini kepada manusia, contohnya seperti carbon nano-structure (CNS). Mulanya, saya hanya mencuba-cuba saja sama ada, batu hitam ini memiliki unsur carbon seperti CNS dan hasilnya ia memang memiliki elemen yang sama!” Kata Faridah, teruja. Dipegangnya loket berbatu hitam itu di pergelangan tangannya, seperti bermain-main dengan loket tersebut.

“Hmmm.. bolehkah batu hitam ini, selain menjadi penghalang kepada radiasi EMF, punya elemen-elemen lain untuk menyembuhkan orang yang terdedah kepada radiasi tersebut?” Tanya Fateh, ingin tahu- untuk mengesahkan lagi catatan Maclay.

“Oh, ada kajian tentang ini! Pada tahun 2017, dalam jurnal US National Institute of Health mengatakan, CNS boleh menghapuskan patogen-patogen berbahaya, seperti bakteria dan virus.
Selain dari itu, CNS juga mempunyai elemen antioksida, mengurangkan keradangan manakala air yang telah diinfuse dengan CNS ini juga digunakan secara tradisional di negara barat untuk mengurangkan alergi, masalah hati, asma, gastrik, buah pinggang, keletihan yang melampau dan lain-lain lagi. Jadi ada kemungkinan, simptom-simptom terkena radiasi boleh disembuhkan atau dikurangkan kesannya oleh CNS.” Betah sekali Faridah berbicara dan tahu apa yang bicarakan. Fateh dan Khaleeda hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mata mereka berdua bersinar-sinar mendengarkan pencerahan Faridah dan ini membuatkan mereka bertambah yakin dengan catatan Maclay.

“Adakah semua batu yang mempunyai CNS ini, dapat membuat perkara yang serupa? Penghalang radiasi dan punya nilai perubatan?” Tanya Fateh lagi.

“Secara teorinya, ya. Tetapi bergantung juga kepada ‘kekuatan’ nilai CNS dan struktur atom-atomnya. Ini, saya pun tak pernah buat kajian lanjut tetapi, saya pasti- saya punya loket- seperti ada sesuatu yang lebih istimewa berbanding CNS biasa.” Faridah tersenyum bangga.

Fateh dan Khaleeda tersenyum melihat reaksi Faridah. Suasana menjadi hening seketika dan mereka bertiga kemudiannya hanya berbual-bual kosong, membincangkan hal-hal yang ringan berkenaan kolaborasi yang bakal mereka laksanakan kelak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience