Bab 81: Menyingkap Misteri Array Pintu Dunia

Mystery & Detective Completed 26817

Setelah kira-kira 8km menyusuri Sungai Tahan, Faridah meminta Fateh berhenti dan Fateh mula mematikan enjin bot dan perlahan-lahan mendayung ke tepi tebing sungai. Fateh kemudian segera turun dari bot kecil tersebut dan menolaknya ke tebing sungai yang lebih cetek, sementara Faridah masih lagi berada di atasnya.

Sesampainya di kawasan air yang cetek, Faridah segera menghulurkan tangannya supaya disambut oleh Fateh. Bot kecil itu sedikit beroleng ketika Faridah menuruninya. Fateh kemudian mengeluarkan sauh , menambat bot tersebut di pangkal perdu pokok yang berada berhampiran tebing sungai tersebut.

“Abang dah boleh memunggah barang-barang kita sekali.” Fateh hanya akur tanpa banyak bicara. Fateh kemudian menghulurkan beg galas milik Faridah kepada tuan empunya.

“Tempat ni Lata Bekoh. Jeram di sini deras, airnya jernih dan sejuk.” Kata Faridah seperti berkata-kata pada dirinya sendiri kerana Fateh masih sibuk memunggah barang dan bekalan yang dibawa oleh mereka.

“Abang tahu bahawa sungai-sungai di kawasan pergunungan berada di bawah titik terendah dari banjaran gunung sekelilingnya?” Fateh hanya mengangguk kepala sebagai respon atas pertanyaan Faridah.

“Abang tahu kan, isyarat satelit itu bukan sahaja mempunyai pemancar dari bumi tetapi dihantar dari satelit kepada penerima di bumi yang jauh sekali jaraknya?” Fateh memandang muka Faridah, cuba menangkap apakah maksud yang cuba disampaikan oleh isterinya itu. Faridah hanya tertawa kecil melihat muka Fateh yang begitu serius mendengar ‘bebelannya’ itu.

“Apa yang cuba kau sampaikan, Faridah?” Fateh tidak mahu membuang masa ‘bermain-main dengan Faridah. Dia mahu jawapan yang pantas. Dia bukan kanak-kanak yang baru hendak belajar tentang sains dan geografi.

“Abang ni, kurang sabar. Saya bimbang abang kurang faham nanti.” Faridah memuncungkan mulutnya, seperti merajuk. Dia cuba memancing reaksi Fateh.

“Apakah kau kira- abang baru lahir semalam?” Fateh masih serius. Nampaknya Fateh tidak terkesan dengan kelakuan Faridah itu. Dia tahu Faridah hanya sekadar mencuba untuk mengumpan reaksinya sahaja. Setelah beberapa hari ini, dia sedar Faridah itu penuh dengan ‘permainannya’. Faridah tidak seperti Catherine yang lebih ‘ikhlas’. Kalau Catherine mencebik dan memuncungkan mulutnya, begitu jugalah apa yang dirasakan dalam hatinya ketika itu. Apa yang berada di dalam hati Catherine, begitulah refleksi perbuatannya. Macam cermin antara zahir dan batinnya Catherine itu. Faridah tidak seperti itu. Faridah banyak 'propagandanya'.

“Apakah saya tak boleh bergurau senda dengan abang?” Faridah masih lagi ketawa kecil. Dia sedar, Fateh tidak boleh dibohongi dengan lakonan dan gerak tubuh. Lelaki itu pakar dalam membaca bahasa badan seseorang.

“Bukankah semalam abang dah ‘terlebih’ bergurau senda dengan kau?” Fateh tersenyum nakal memandang liar ke tubuh Faridah. Seperti yang dijangkakan, Faridah tersipu-sipu mendengar kata-kata Fateh dan faham apa yang dimaksudkan. Fateh ketawa dalam hati. Biar senakal mana Faridah itu, dia masih seorang perempuan biasa.

“Er, abang ni... ke situ pula,” Faridah cuba mengawal situasi. Benar, sejauh mana ‘kenakalannya’, peristiwa malam tadi bukanlah sesuatu yang pernah dia alami. Pengalaman itu amat ‘aneh’ kepada dirinya walau pun begitu mengasyikkan.

“OK, OK... beginilah. Saya cuma hendak beritahu kepada abang- sifat array yang memagari di kawasan lembah Gunung Tahan itu sifatnya seperti satelit.” Faridah mengubah topik perbualan.

“Maksud kau?”

“Gunung Tahan itulah puncak ‘satelit’nya. Saya pernah ke Ledang, ada juga ciri-ciri yang serupa. Jadi setiap gunung di Tanah Melayu dan mungkin juga di seluruh Nusantara dan dunia ini mempunyai ‘satelit’ masing-masing. Maka, di setiap stesen ‘satelit’ itu mempunyai sender dan receiver di kawasan yang lebih rendah dari puncak ‘satelit tersebut’. Jadi, hubungan point-point antara stesen ‘satelit’, sender dan receiver itulah yang membentu jaringan array tersebut.”

“Apakah array yang memagari lembah Tahan itu jaringan komunikasi?”

“Berdasarkan pengetahuan keturunan kami, ianya bukan sekadar itu.”

“Jadi?” Fateh makin teruja dan ingin tahu.

“Ianya bertindak seperti benteng kepada laluan penziarah-penziarah yang menguasai Ilmu Lipat Masa yang masuk melalui Pintu Dunia.”

“Ilmu Lipat Masa? Bukankah ilmu itu Nabi Khidir AS?”

“Mungkin asal-usulnya daripada Nabi Khidir AS tetapi, dalam penelitian saya- ianya lebih kepada teknologi purba yang masih misteri sebagaimana misterinya ilmu salah seorang manusia pengikut Nabi Sulaiman yang boleh memindahkan singgahsana Ratu Balqis lebih pantas daripada Ifrit.”

“Hmmm... kalau begitu, seperti apa rupanya laluan itu?”

“Dikatakan laluan itu seperti terowong yang penuh cahaya berkelip-kelipan. Pada pendapat saya, terowong ini seperti sahaja wormhole.”

“Jadi bagaiman array ini boleh membawa kita ke Pintu Dunia?”

“Untuk sampai ke Pintu Dunia itu, kita perlu ada access ke dalam benteng array inilah. Jadi setiap point pada array ini perlu dicari dan diberi tanda pengenalan supaya tidak menghalang kita ke Pintu Dunia. Sekiranya ada orang yang memasuki kawasan array ini tanpa access ke point-point array, gelombang EMF itu akan ‘menyerang’ mereka. Sebab itu dalam catatan Maclay, dia terkena ‘serangan misteri’ ini sehingga tidak sedarkan diri.”

Fateh terdiam mendengar penjelasan Faridah. Faridah bukan saja mahir dalam pengetahuan yang diturunkan oleh keturunannya berkaitan Pintu Dunia tetapi juga turut meneliti dari sudut ilmiah sebagai seorang saintis, termasuk juga mengambil tahu perkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku melalui Khaleeda.

“Abang nampak tak bukit-bukit di situ?” Faridah menuding jari ke arah hutan. Fateh hanya mengangguk.

“Berhampiran Lata Bekoh ini, ada 5 bukit yang bersebelahan seperti tulang ikan. Kami menggelarkannya sebagai Bukit Tulang Ikan. Bukit yang membentuk ‘tulang belakang’ kepada 5 bukit ini tingginya kira-kira 700m. Kita akan menyelusuri sungai ini hingga bukit ke 4, di celah bukit ke 4 inilah ada sebuah gua- di situlah bermulanya point array yang pertama.” Kata Faridah penuh semangat.

Fateh hanya akur. Dia tahu, tentunya Faridah jelas dalam setiap tindakan yang ingin dia lakukan, ibaratnya dunia di lembah Tahan ini adalah kawasan permainannya saja. Apa yang boleh dipersoalkan oleh Fateh sebagai ‘budak baru’ dalam kawasan permainan Faridah? Tentu saja apa saja ‘undang-undang’ Faridah akan dituruti saja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience