Rate

Bab 64: Malam Yang Panjang

Mystery & Detective Completed 26471

Sejurus selepas serangan dilancarkan, Abigail tergamam. Tiada orang di situ. Matanya liar memerhatikan sekeliling ruang biliknya dengan waspada. Sunyi, bagai tidak pernah ada orang yang menjejaki bilik ini. Abigail segera memeriksa segenap ruang termasuk juga bilik air namun, keputusannya tetap sama. Tiada siapa di situ melainkan hanya dia seorang sahaja. Sumpah, dia pasti telah melihat sesuatu atau seseorang walau pun hanya bayangan.

Dia menjadi buntu. Sungguh, dia amat yakin ada seseorang telah menjadi ‘tetamu’ sebentar tadi. Dia telah mendengar suara yang jelas dalam bahasa ibundanya, Ibrani. Dia juga telah melihat sebuah silhouette seorang lelaki. Ya, mana mungkin dia boleh mengabaikan input-input daripada pancainderanya.

Abigail duduk berteleku di bucu katil memikirkan kemungkinan yang berlaku. Sekilas, dia melihat ke arah komputer ribanya- isyarat peranti di dalam bilik Fateh kembali berfungsi! Abigail menjadi bingung kerana jelas, Fateh dan Catherine sedang nyenyak tidur. Apakah semua ini? Apa sebenarnya yang telah terjadi? Adakah hotel ini berhantu? Ah, mana mungkin hantu!

Abigail rebah di atas katil empuknya. Dia tak dapat menjelaskan apakah sebenarnya yang telah terjadi. Makin difikirkan, makin tiada penjelasan rasional dapat diberikan olehnya. Semakin dihujahkan, semakin persoalan hantu itu mendominasi akal fikirannya. Ya, tiada akal yang logik dapat memikirkan bagaimana semua perantinya dalam bilik Fateh terputus signalnya, ketukan di muka pintu, bayangan lelaki yang berkata sesuatu kepadanya. Ini gila!

Kekacauan dalam fikiran Abigail tidak mudah untuk dihilangkan. Hatinya menjadi tidak tenteram. Dia ingin tidur tetapi, matanya masih meliar mengawasi keadaan sekelilingnya. Dia takut andai kata dia terlelap, bayangan tadi muncul semula. Sesekali dia akan melihat skrin komputer ribanya untuk memeriksa sesuatu, kemudian dia kembali mengamati seluruh ruang biliknya- yang mana boleh dicapai oleh penglihatan. Begitulah keadaan Abigail sepanjang malam dan dia tidak sedar, entah bila dan bagaimana- dia tertidur di hujung katil sehingga matahari sudah mulai rembang.

*******************

“Abigail!” Sergah Isaac Yatom apabila melihat Abigail begitu nyenyak tidur sehingga tak sedar akan kehadirannya. Sebagai agent yang ditugaskan untuk mengintip dalam operasi, tidur tak sedar diri sebegini amat memalukan dan dikira sebagai gagal melaksanakan tugas.

Abigail membuka matanya perlahan-lahan. Fikirannya masih mamai dan kebuntuan. Apakah itu Isaac? Alamak!

“Tuan!” Bagaikan terkena renjatan elektrik, Abigail bingkas bangun dan memberi hormat kepada Isaac.

Isaac hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat keadaan Abigail yang tidak terurus namun, matanya tertancap pada lurah dada Abigail yang jelas terserlah. Abigail yang perasan akan hal ini, segera membetulkan bathrobenya dengan kemas. Isaac hanya tersenyum nakal melihat reaksi Abigail.

“Laporan?” Isaac kembali serius. Memang dia bengang kerana panggilannya tidak diangkat oleh Abigail sebentar tadi. Menjangkakan ada yang buruk terjadi, dia segera bergegas ke hotel di mana Abigail menginap. Alangkah geramnya melihat Abigail tidur mati tak sedar diri.

“Er, saya sedang mengawasi subjek-”

“Sedang?!” Bentak Isaac. Abigail termangu-mangu dan Isaac segera menyelak tabir tingkap bilik tersebut- matahari sedang panas merembang. Cahaya matahari yang sedang membahang menyilaukan pandangan Abigail. Dia sedar akan sesuatu. Dia dalam masalah yang besar!

“Er, Tuan.. sa, saya-”

“Kau kata semalam, peranti-peranti kita rosak- budak kita dah periksa, semuanya OK. Apa sebenarnya kau cuba lakukan, Abigail?” Abigail hanya tertunduk, tanpa bantahan. Mana mungkin dapat dia jelaskan pada Isaac apa yang berlaku malam tadi.

“Er, maaf Tuan. Memang benar malam tadi peranti-peranti kita tidak berfungsi.”

“Merepek. Sekarang ni kau tahu di mana subjek berada?” Abigail menggeleng-gelengkan kepalanya, mana mungkin dia yang baru saja bangun tidur mengetahui apa yang ditanyakan.

Isaac terdiam sejenak. Dia memang mengharapkan Abigail dapat menjalankan tugasannya dengan baik. Selama ini, Abigail adalah perisik kesayangannya dan tidak pernah gagal mendapatkan maklumat-maklumat yang baik untuk kegunaan Mossad tapi kali ini, nyata Abigail sangat cuai dan menghampakan. Mengapakah kali ini Abigail lalai?

Isaac kemudian berpaling dari Abigail, menuju ke kerusi dan duduk di situ, lalu menyalakan sebatang rokok dan menyedutnya dalam-dalam. Benar dia sedang marah. Dia perlu mendapatkan kembali ‘ketenangan’ yang diperlukannya untuk menangani masalah ini.

“Subjek sekarang menuju ke Jerussalem. Tentunya dia mahu ke Al-Aqsa.” Pendek saja jawapan atas persoalan yang ditanya dan di jawab sendiri oleh Isaac. Abigail hanya memandang ketuanya itu tanpa berkata apa-apa.

“Apakah kau bosan dengan tugasan ini, Abigail? Nampaknya, kau enggan lagi mendengar arahanku.”

“Tidak, Tuan. Saya sentiasa patuh pada arahan Tuan tapi-”

“Tapi?”

“Er, saya sukar nak jelaskan pada Tuan tentang kejadian semalam. Ianya begitu aneh.”

“Maksudmu?” Isaac mengerutkan keningnya. Apakah perkara yang aneh yang sukar Abigail katakan sehingga gadis itu kelihatan teragak-agak untuk bercerita.

Abigail mula menceritakan segala kronologi kejadian dan apa yang berlaku terhadap dirinya. Isaac hanya mendengar dengan tekun dan berkira-kira sendiri di dalam benaknya- bukan sahaja berkenaan penceritaan Abigail tetapi juga riak wajah, nada suara dan bahasa badan yang ditunjukkan oleh gadis itu. Sebagai seorang pakar dalam mengenalpasti penipuan, dia tahu sama ada Abigail berkata benar atau tidak. Sungguh, walau pun Abigail turut mempelajari ilmu ini, dia mungkin dapat mengaburi beberapa perkara untuk menyembunyikan kebenaran tetapi, pasti ada perincian halus dalam bahasa badannya yang tidak dapat dikawal sekiranya dia menipu kerana respon ini berlaku secara automatis menerusi reaksi kimia dan saraf dalam tubuh seseorang.

“Apakah kau terlalu letih Abigail sehingga kau berhalusinasi sedemikian?” Isaac hanya boleh mengandaikan keadaan Abigail pada ketika itu kerana dia mendapati Abigail benar-benar jujur dalam penceritaannya tetapi, cerita seperti itu tidak mungkin terjadi.

“Tidak, Tuan. Saya yakin itu berlaku.” Abigail hanya tunduk dan hampa kerana jelas Isaac telah menolak penjelasannya.

“Sudah. Aku sudah tugaskan seseorang di Jerussalem mengawasi pemuda itu dan pasangannya. Tunggu panggilan aku untuk tugasan lain.” Tanpa berbasa-basi, Isaac segera beredar dari bilik Abigail, meninggalkan gadis itu yang masih termanggu-manggu.

Agak lama Abigail berdiri dan membatukan dirinya. Dia berasa sangat tidak puas hati apabila dikatakan berhalusinasi. Dia tahu apa yang dia alami. Dia yakin perkara itu berlaku. Ya, dia sendiri tahu hakikatnya kejadian semalam.

Cuma, logik akalnya masih belum dapat memberikan jawapan. Dia juga tahu, halusinasi yang dikatakan oleh Isaac itulah, jawapan paling tepat pada akalnya juga. Dia mengeluh perlahan. Setelah pergolakan perasaannya reda, dia segera mengemas peralatan dan pakaiannya untuk beredar.

Pertama kali sepanjang menjalankan tugas intipan- Abigail gagal!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience