Rate

Bab 17: 'Gadis' Dari Moscow

Mystery & Detective Completed 26471

Banit Svetlana sedang sibuk meneliti bait-bait puisi Melayu klasik yang bakal digunakan sebagai bahan pengajarannya pada masa akan datang. Pilihan puisi yang menarik dan mendalam maksudnya tentu sahaja akan menambahkan minat pelajar-pelajarnya yang mengikuti pengajian di Fakulti Pengajian Asia dan Afrika di St. Petersburg State University khususnya, pelajar-pelajar yang mengambil subjek Kesusasteran Klasik Melayu dan Indonesia di universiti ini.

“Sibuk nampaknya, Banit.” Banit tersentak dengan lafaz kata-kata dalam bahasa Melayu yang tiba-tiba saja menegurnya. Lafaz ini penuh fasih dan tentunya pelajar-pelajar Banit tidak sefasih itu tatkala melafazkan kalimat-kalimat dalam bahasa Melayu. Dia segera menoleh-

“Eh, pakcik Fateh? Saya tak bermimpi kan?” Banit hampir melonjak kegirangan.

“Kalau kau sedang bermimpi, segeralah jaga dari tidurmu.” Tersenyum Fateh melihat Banit Svetlana yang seperti anak-anak kecil yang riang.

Banit segera mendapatkan Fateh dan memeluknya dengan erat. Dia sungguh ceria dan titis-titis air matanya mula menitik, tidak dapat bertahan lagi. Dia tersedu sedan. Mujur, sebagai pensyarah kanan, dia punya bilik sendiri- jadi, perlakuannya itu tidaklah menjadi tontonan kepada umum.

Fateh perlahan-lahan meregangkan pelukan Banit dan kemudian mengesat air mata Banit dengan lembut dan penuh kasih sayang. Diusapkan kepala Banit perlahan-lahan, cuba untuk meredakan gelodak perasaan Banit ketika itu.

“Usahlah menangis, kau pun bukan muda lagi, Banit. Sudah 50 lebih kan?” Fateh mengusik. Banit ketawa kecil tetapi air matanya masih lagi tidak berhenti mengalir. Dia masih tersedu sedan.

“Kalau melihatkan pakcik, saya masih terasa yang saya ini masih seperti belasan tahun.” Banit membalas sambil tersenyum.

Banit memegang wajah Fateh, diusapnya wajah lelaki itu perlahan-lahan. Benar, wajah inilah yang dia temui pada tahun 80an ketika dia masih berumur belasan tahun di Moscow. Wajah inilah yang menyelamatkannya dari cengkaman kesejukan dijalanan sebagai budak gelandangan. Selepas itu, dia dibawa oleh Fateh dan diserahkan kepada keluarga angkatnya di St. Petersburg sehinggalah dia mampu berdikari- dan wajah ini tidak pernah berubah semenjak kali pertama dia melihatnya!

Semenjak diserahkan oleh keluarga angkatnya, Banit tidak pernah lagi melihat Fateh. Lelaki itu hilang begitu saja. Oleh kerana dia begitu ingin tahu mengenai lelaki ini, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran dan mengkhususkan kepada pengajian kesusateraan bahasa Melayu dan Indonesia di universiti ini pada tahun 1986 sehingga 1991 dan seterusnya mengabdikan dirinya di universiti yang sama sehingga menjadi pensyarah kanan di sini.

“Bagaimana rupa pakcik tidak berubah? Saya sendiri dah berkedut-kedut.” Fateh hanya tertawa. Ini masalahnya jika berjumpa teman lama. Sebab itu Fateh lebih suka ‘hilang’ daripada muncul di hadapan mereka.

“Kau anggap saja, pakcikmu ini terjumpa Fountain of Youth!”

“Itu kan dongeng semata-mata? Pakcik memang suka mempermainkan saya.” Berkerut-kerut dahi Banit apabila mengingatkan kisah dongeng berkenaan air abadi tersebut. Kisah ini bukan saja masyhur dalam pelbagai hikayat tetapi turut diselitkan dalam filem Hollywood dalam sekuel Pirates of The Carribean.

“Kalau itu kau katakan dongeng jadi, apa dia yang benar?”

“Plastic surgery?” Mereka berdua ketawa besar.

********************

“Masuklah, pakcik.” Banit mempelawa Fateh masuk ke apartmentnya di jalan Ya Liniya Vo, tidak jauh dari universiti tempat Banit bekerja. Apartment ini sederhana luasnya, berhampiran dengan jambatan Tuchkov yang menghubungkan dua tanah ‘berpulau’ yang dipisahkan oleh sungai Malaya Neva.

St. Petersburg memang mempunyai ciri geografi yang menarik. Banyak bandar-bandarnya menjadi seperti pulau, dikelilingi oleh sungai dan dihubungkan melalui jambatan-jambatan seperti jambatan Betankura, jambatan Birzhevoy dan jambatan Tuchkov yang dipisahkan oleh sungai Malaya Neva, jambatan Istana (Palace Bridge), jambatan Blagoveshchenskiy yang dipisahkan oleh sungai Bol’shaya Neva dan lain-lain lagi.

Fateh segera duduk di atas sofa di ruang tamu apartment milik Banit ini sementara Banit segera ke dapur untuk menyediakan minuman.

“Pakcik menginap di mana malam ini?” Tanya Banit sambil menghulurkan teh panas kepada Fateh. Fateh menyambut teh tersebut dan menghirupnya perlahan-lahan.

“Belum tahu lagi, mungkin sekitar kawasan universiti, tempat kamu bekerja.”

“Eh, menginaplah di sini. Sudah berpuluh tahun kita tak bertemu, entah sampai bila lagi kita akan dapat bersama begini.” Kata Banit lalu duduk bersebelahan dengan Fateh. Dia segera merebahkan kepalanya ke bahu Fateh dan merangkul lengan lelaki itu. Kelakuan Banit ini tidak lebih seperti seorang anak yang merindukan bapanya yang telah lama tidak bersua.

“Aku cuma nak berjumpa seseorang di sini. Ada sedikit hal yang perlu diselesaikan.”

“Siapa?” Tanya Banit sedikit musykil.

“Suamimu.” Pendek saja Fateh membalas. Banit tidak berkata apa-apa, dia hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Fateh. Dia kira, tentu Fateh ingin berkenalan mesra dengan suaminya saja. Seperti itulah.

********************

Yuri Popov, pengawal peribadi Vladimir Kumarin benar-benar terkejut melihat sosok tubuh Fateh sedang duduk santai di ruang tamu rumahnya. Berkali-kali dia menggosok-gosokkan matanya untuk memastikan penglihatannya benar-benar berfungsi.

“Er, kau!”

“Eh, sayang. Awak kenal dengan pakcik saya?” Tanya Banit keliru.

“Pakcik?” Yuri pula menjadi keliru. Pakcik yang mana? Bukankah Banit ini yatim piatu? Pakcik dari keluarga angkatnya ke?

“Kan saya selalu ceritakan pada sayang tentang pakcik yang menyelamatkan saya di Moscow?”

“Pakcik kamu, yang ini?” Yuri menjadi semakin keliru. Masakan pakcik yang ditemui oleh Banit berpuluh-puluh tahun lalu adalah pemuda ini. Dia kira, dalam tempoh masa sebegitu, pastinya lelaki itu sudah tua kerepot.

“Sayang, duduklah berbual-bual dengan pakcik saya. Saya mahu menyiapkan hidangan untuk kita.” Kata Banit sambil tersenyum dan sukar untuk menjelaskan pada Yuri. Banit kemudian segera menuju ke dapur, membiarkan Yuri yang masih tercacak bagai lembing tergadai.

Suasana di ruang tamu menjadi hening. Fateh mengisyaratkan Yuri supaya duduk di hadapannya. Lantas, Yuri perlahan-lahan menuju ke arah sofa yang ditunjukkan itu, duduk berhadapan dengan Fateh. Dia masih curiga dengan identiti lelaki ini dan kejadian beberapa jam lepas masih lagi terbayang-bayang di ruang matanya. Badannya masih sakit-sakit dan fikirannya masih lagi penuh dengan kekeliruan.

“Aku tahu banyak yang nak kau tanyakan.” Fateh memandang tepat pada muka Yuri, aura pandangan Fateh menyebabkan Yuri menjadi gelisah dan dia hanya mampu mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa berkata sepatah pun. Bekas elit KGB ini seperti kerbau dicucuk hidung, hanya bodoh menurut.

“Selagi kau baik dan sayang pada Banit, tentu saja aku tidak apa-apakan kau.” Fateh hanya tersenyum melihat Yuri yang gagah berani itu hanya menikus di hadapannya.

“Er, bagaimana kau.. tahu hubunganku dengan Banit?” Yuri memberanikan diri untuk bertanya.

“Hmmm... kau kan bekas intellegence, takkan hal ini sulit untuk didapati?” Yuri hanya terdiam. Apa yang Yuri tidak tahu, segala maklumat dalam fail yang diserahkan oleh Berik kepada Fateh, turut sama mengandungi maklumat pengawal-pengawal peribadi Kumarin secara terperinci.

Oleh sebab itu, apabila melihat profil Yuri yang mempunyai isteri bernama Banit Svetlana, Fateh sendiri agak terkejut. Tentu saja dia kenal dengan Banit, seorang anak gadis gelandangan yang pernah diselamatkannya di Moscow dahulu. Sebelum ‘menerjah’ ke rumah Kumarin tempoh hari, Fateh telah pun menyelinap secara rahsia ke St. Petersburg State University ini untuk mengesahkan adakah Banit dalam profil Yuri ini adalah Banit, si gadis yang dia kenali. Banit sendiri tidak mengetahui akan hal ini. Dia tidak tahu lelaki yang dirinduinya selama ini, telah pun ‘berjumpa’ dengannya 2 hari yang lalu.

Kalau bukan sebab Banit, tentu nyawa Yuri telah melayang sebagaimana dengan 7 orang pengawal peribadi Kumarin yang lain. Fateh membunuh 7 orang tersebut kerana jelas mereka ini banyak melakukan pelbagai jenayah kemanusiaan.

Fateh tahu, Yuri terpaksa bekerja dengan Kumarin atas desakan hidup selepas bersara dari KGB dan Alexis dan Victor terkecuali daripada dibunuh oleh Fateh kerana dua orang ini pernah menyelamatkan orang-orang Chechen dari dibom di sebuah perkampungan di Dagestan pada masa perang antara Chechnya dan Russia (perang kedua pada tahun 1999) semasa mereka sedang berkhidmat dalam tentera Russia. Tentu saja budi baik mereka terhadap nyawa umat Islam ini tidak dapat dipandang kecil oleh Fateh.

“Beginilah, aku tahu Banit tentunya tidak mengetahui yang engkau bekerja untuk Kumarin, kan?” Yuri hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Tentu saja dia tidak mahu Banit tahu bahawa suaminya ini bersekongkol dengan godfather St. Petersburg. Secara rasminya Vladimir Kumarin sepatutnya sedang dipenjarakan. Berita seperti inilah yang diketahui oleh orang awam. Tentu havoc sekiranya realiti sebenar ‘keterpenjaraan’ Kumarin ini hanya sekadar ‘wayang’ semata-mata.

“Kau pastikan Kumarin tidak mungkir janji dan menganggu syarikat carigali dari Malaysia. Aku tak mahu datang ke sini untuk perkara yang sama.” Fateh diam seketika. Dia melihat reaksi Yuri yang seperti ‘khusyuk’ mendengar ‘amanatnya’.

“Kalau ini kau tak boleh buat. Kau, Kumarin dan Tambovnya akan aku lenyapkan dari muka bumi!” Kata Fateh keras. Yuri hanya terkesima. Tanpa sedar, tubuhnya mula mengigil.

Sungai Malaya Neva (Reka Malaya Neva) tak ada kena mengena dengan Malaya atau Melayu. Malaya dalam bahasa Russia bermaksud Kecil. Maknanya sungai ini kalau dalam bahasa Melayu bernama Sungai Neva Kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience