Rate

BAB 61: Gadis 'Arab' Berbahasa Ibrani

Mystery & Detective Completed 26471

Bumi Syam adalah di antara bumi yang dilimpahkan dengan penuh keberkatan sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam *Surah Al-Isra’ ayat 1. Syam pada masa itu meliputi seluruh daerah Palestin, Jordan dan Syria pada masa kini.

Nota *: “Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Sejarah Syam khususnya Jordan ini dikatakan telah bermula seawal 9500 SM dan telah melalui pelbagai zaman pemerintahan semenjak zaman ketamadunan Mesopotamia, Babylon, Parsi, empayar Rom Timur (Byzantine), zaman-zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin, zaman Khilafah Islamiyyah (terakhirnya Khilafah Uthmaniyyah dari Turki) sehinggalah wujudnya kerajaan moden Jordan yang ada pada zaman ini.

Jordan yang terletak dalam lokasi strategik antara Afrika, Asia dan Eropah telah menjadi saksi peradaban dan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah keagamaan dan kisah-kisah kenabian terutamanya agama Yahudi, Kristian dan Islam.

“Jom, kita solat dahulu.” Catherine hanya akur ajakan Fateh. Di hadapan mereka terbentang sebuah masjid berkubah seperti warna gangsa gelap dan mempunyai empat menara yang terletak dipinggir kota Amman. Dari kejauhan, masjid ini kelihatan seperti kubu kota yang tersergam megah.

“Sayang, apa nama masjid ni?” Catherine bertanya, ingin tahu. Kelihatannya masjid ini seperti tempat-tempat lain di Jordan yang kaya dengan sejarah seperti di Jabal Qala’a yang baru saja mereka lawati tak beberapa lama sebelum tiba di masjid ini, kira-kira hanya 15-17km saja jarak antara ke dua tempat ini.

Di Jabal Qala’a tadi, Catherine dapat menyaksikan tinggalan atau sisa-sisa kubu Raja Hercules, istana pemerintahan dinasti Umaiyyah, Kuil Hercules, Gereja Byzantine sebelum bertolak ke Roman Theatre yang dibina pada sekitar 138-161M untuk melihat lokasi bersejarah sebuah ‘auditorium’ purba yang memiliki 6000 tempat duduk ‘penonton’ di teater tersebut. Walau pun Roman Theatre ini telah dipulihara oleh Kerajaan Jordan pada tahun 1957 tanpa menggunakan bahan binaan asal namun, ‘kepurbaan’ Roman Theatre ini masih dapat diterjemahkan dengan baik kepada pengunjung.

“Oh, ini masjid Raja Hussein. Masjid ini baru saja dibina pada tahun 2005 tetapi, tapak masjid ini yang istimewa.” Fateh hanya tersenyum kepada Catherine, menimbulkan persoalan lain.

“Istimewa bagaimana tu, sayang?” Jelas perasaan ingin tahu Catherine tidak dapat dibendung lagi.

“Masjid ini asalnya masjid yang didirikan oleh Khalifah Saidina Umar Al-Khattab RA pada tahun 640M sebelum dibina semula oleh Raja Abdullah pada tahun 1924 dan kemudian dinaik taraf lagi pada tahun 2005 oleh Raja Jordan yang awak jumpa pagi tadi. Sekarang ni, masjid ini adalah masjid terbesar di Jordan.” Bulat mata Catherine mendengarkan penjelasan Fateh. Apakah pagi tadi dia menjadi tetamu Raja Jordan? Catherine sendiri bingung kerana dia sangkakan Fateh hanya bergurau apabila menyatakan sahabat lama kerabat Raja Jordan- malah, bukan sekadar kerabat tetapi Raja Jordan sendiri!

“Er, pagi tadi tu benar-benar Raja Jordan?” Catherine seperti curiga. Tentu saja gaya Baginda yang santai itu tidak seperti yang disangkakan oleh Catherine, walau pun ada aura-aura ‘kebangsawanan’ itu pada diri Baginda.

“Eh, bukankah tadi awak ada bersembang dengan Pemaisuri Jordan?” Fateh berasa geli hati melihat reaksi wajah Catherine yang panik itu.

“Rania tu, Pemaisuri Jordan? Kenapa awak tak beritahu awal-awal?” Tinggi sikit suara Catherine kerana menahan geram kepada suaminya yang kelihatan selamba saja riak wajahnya sehinggakan, pertemuan dengan orang-orang penting sebegitu seperti berjumpa dengan orang-orang biasa sahaja.

“Kenapa? Raja ke, pemaisuri ke- mereka pun macam kita juga,” balas Fateh tanpa mengendahkan kegusaran Catherine. Catherine hanya mendengus kecil dengan sikap Fateh. Tentu saja dia gusar andai perlakuannya tadi boleh menyinggung perasaan keluarga diraja Jordan- mungkin selama dia bermusafir di negara ini, boleh menyebabkan perjalanan mereka terganggu.

“Hmmm... jangan lah muncung macam tu, kita solat dulu, ya. Nanti kita pulang ke hotel. Banyak lagi tempat yang kita nak ziarah lagi esok.” Fateh segera mengenggam tangan Catherine menuju ke arah masjid tersebut. Catherine hanya merelakan walau pun bibit-bibit kegeraman itu masih lagi beriak pada wajahnya.

*******************

Sekembalinya Fateh dan Catherine ke hotel penginapan mereka di Intercontinental Hotel yang terletak di Al Kulliyah Al Elmiyah Al Eslamiyah Street, mereka berdua bersiap-siap untuk menikmati makan malam romantis yang telah ditempah awal di Restoran Bourj Al-Hamam-yang hanya berada dalam kawasan yang sama dengan hotel tersebut.

Restoran ini menyajikan sebilangan pilihan dari rangkaian masakan ala Lubnan sehingga menu-menu barat termasuk juga makanan laut yang menyelerakan. Fateh memilih untuk duduk di kawasan luar restoran yang sedikit terpencil- bagi mendapatkan sedikit privasi untuk mereka berdua. Hanya berbumbungkan kanopi berwarna beige, suasana malam di Amman dapat dinikmati dengan tenteram.

“Good evening, sir, madam. What would you like to have for dinner tonight?” Seorang pelayan perempuan menyapa mereka dengan ramah dan kemudian memberikan menu untuk dipilih.

“Any recommendation?” Catherine bertanya kepada pelayan tersebut selepas melihat-lihat menu yang asing pada pandangannya.

“Of course, ma’am. Our specialties are on lamb & beef menu, for example Meshwi Ghanam Fillet is lamb fillet mignon, Bourj Al-Hamam Fillet is beef fillet with our special garlic sauce. We also have skewers like Masbaha Dehabieh or Moutarbale Fillet grilled on charcoal. If you don’t like meat then, may be you can try our seafood like Kraydess, the big jumbo shrimp, fish menu-” pelayan tersebut terus sahaja merekomendasi pelbagai jenis menu kepada Fateh dan Catherine.

“Macam mana, sayang?” Catherine melihat Fateh dengan muka keliru. Sungguh dia tak pasti akan pilihannya untuk makan malam hari ini. Beza sungguh makanan Arab di Menara Prestige yang diketahuinya berbanding makanan Arab di Amman ini.


“Baiklah, biar saja saya buat pesanan,” Catherine hanya tersenyum manis mendengarkan balasan Fateh. Tentu saja Fateh lebih berpengalaman soal kembara di bumi Jordan- sepanjang mereka berada di bumi Arab ini, suaminya itu ibarat tourist guide yang sangat mahir tentang selok belok perjalanan, tempat-tempat menarik untuk dilawati beserta perincian (malah untuk perkara-perkara yang tidak ‘diwartakan’), sejarah dan lain-lain lagi perkara seperti lagaknya penduduk tempatan.

Fateh segera memesan sebilangan makan malam yang diinginkan kepada pelayan perempuan tersebut berupa hidangan daging kambing, lembu, salad sayuran dan buah, selain dari minuman dan manisan. Pelayan tersebut dengan tekun mengambil pesanan termasuk pesanan-pesanan khas bagaimana masakan itu hendak disediakan kepada chef yang akan menyediakannya nanti.
Segala pesanan itu dicatat dengan pantas dan ianya amat mudah kerana Fateh mengungkapkannya dalam bahasa Arab.

“It’s like you have stayed in Jordan for a while?” Tanya Catherine kepada Fateh sejurus pelayan itu berlalu.

“Ya, buat beberapa ketika.” Fateh hanya tersenyum.

“When?”

“Waktu tu awak belum lahir lagi.” Catherine hanya ketawa mendengar kata-kata Fateh yang dianggapnya ‘gurauan luar biasa’. Masakan Fateh yang lebih tua beberapa tahun daripadanya boleh tinggal di tanah Arab pada masa kecil dan begitu betah pula dengan tempat ini. Itu memang mustahil.

Fateh hanya tersenyum melihat tawa manis Catherine. Dia tahu, pastinya Catherine menganggap dia hanya bercanda semata-mata walau pun apa yang dikatakannya itu adalah benar. Terkadang Fateh terfikir, apakah reaksi Catherine sekiranya dia tahu, suaminya ini adalah manusia dari ‘masa lampau’? Mahukah Catherine menerima ‘orang tua’ sepertinya?

*******************

Abigail Margolis hanya melihat pasangan dua sejoli itu begitu mesra bergurau senda sambil menikmati hidangan di perkarangan Restoran Bourj Al-Hamam dengan teliti dan penuh hati-hati agar pengawasannya terhadap pasangan itu tidak disedari oleh mereka berdua.

Abigail telah mula menjejaki dan mengekori pasangan ini semenjak mereka beredar dari Istana Zahran lagi. Tentunya pergerakan tetamu keluarga diraja Jordan tak kira siapa jua, akan dipantau oleh agensi perisikan *Mossad kerana tentunya mereka yang menjadi tetamu keluarga diraja ini, bukanlah sebarangan orang. Operasi pemantauan seperti ini telah lama dilakukan atas dasar ‘pencegahan’ terhadap ancaman luar kepada Israel.

Nota *: Mossad merupakan singkatan kepada HaMossad leModi'in uleTafkidim Meyuhadim atau Institute for Intelligence and Special Operations- sebuah agensi perisikan Israel.

“Ada apa-apa yang mencurigakan?” Terdengar satu suara lelaki yang berbahasa Ibrani berkata menerusi telefon bimbit yang dipegang kemas oleh Abigail.

“Tak ada, Tuan. Nampaknya mereka hanya pasangan biasa saja. Maklumat yang saya terima, mereka datang ke Jordan selepas menunaikan ibadah umrah.” Balas Abigail seperti berbisik. Dia tidak mahu percakapannya dalam bahasa Ibrani menarik perhatian orang sekelilingnya. Tentu saja penampilannya seperti wanita Arab moden di Jordan tidak cocok dengan bahasa Ibrani- yakni bahasa yang dipertuturkan oleh orang-orang Yahudi.

“Masakan orang biasa boleh menjadi tetamu Raja Abdullah II?” Soal suara itu lagi.

“Pastinya orang yang menjadi tetamu Raja bukan orang sebarangan tetapi, saya sendiri tidak pasti apabila melihat mereka berdua. Mereka berdua sepertinya terlalu muda untuk menjadi sahabat Raja. Kalau ikutkan dalam sistem, mereka datang dari Malaysia, tidak mempunyai sebarang rekod yang mencurigakan cuma, di kantor imigresen Jordan saja ada tag istimewa sebagai tetamu diraja.”

“Siapa? Lelaki atau perempuan?”

“Yang lelaki.”

“Apa namanya?”

“Fateh.”

Suara lelaki itu terdiam sejenak- sepertinya pemilik suara itu sedang berfikir tentang sesuatu.

“Tuan?” Abigail segera ‘memeriksa’ balasan lelaki tersebut. Apakah talian masih bersambung atau telah terputus tetapi, Abigail pasti bukan faktor rangkaian talian telefonnya kerana talian istimewa tidak bernombor itu adalah milik Mossad dan tidak pernah putus sepanjang penglibatannya dalam agensi tersebut.

“Oh, ya.. nama itu amat masyhur tetapi, saya rasa itu tak mungkin. Tak apalah, teruskan pemerhatianmu wahai **Puteri Mutiara.” Seloroh lelaki itu.

Nota **: Nama keluarga Abigail adalah Margolis, bererti mutiara dalam bahasa Ibrani.

“Baik Tuan. Saya turut menginap di hotel tempat mereka menginap. Jadi, segala pergerakan mereka tidak akan terlepas.”

“Bagus.”

Talian dimatikan. Abigail segera memasukkan telefon bimbitnya ke dalam tas dan berpura-pura kembali menyambung menikmati makan malamnya. Dalam keadaan bersahaja, pengawasan terhadap Fateh dan Catherine seperti tidak pernah terlepas dari lirikan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience