Rate

Bab 90: Ingatan Yang Tersembunyi

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh memerhatikan gerak langkah Faridah yang semakin lincah menyelusuri dan mendaki denai-denai hutan untuk ke Gua Bukit Tulang. Kelincahan Faridah termasuk pernafasannya lebih dari seganda baiknya berbanding hari yang telah lepas. Langkah Meniti Angin Faridah lebih ‘lembut’ dan ‘bersahaja’. Memandangkan Faridah berjalan di hadapan Fateh, peluang untuk Fateh mengamati perubahan yang berlaku kepada isterinya itu diperhatikan dengan teliti sekali.

Faridah sesekali menoleh kepada Fateh dengan senyuman. Manis sekali senyuman itu, penuh aura yang mendamaikan dan mempersonakan. Fateh turut terpana- terbit pula rasa gementar dengan senyuman seperti itu bak kata orang cerdik pandai, setiap yang cantik itu punya ‘racun’ berbisa. Kalau itu benar, sungguh dia telah diracuni. Diracuni dengan keanggunan Faridah pada pagi ini.

“Keluar!” Jerkah Faridah kepada ‘sesuatu’ setibanya mereka berada di hadapan gua tersebut. Fateh hanya memerhatikan sekeliling dan tertanya-tanya dalam hatinya, mungkinkah Faridah memanggil mawas semalam?

Suasana sunyi dan hening seketika. Tiada apa-apa yang berubah, melainkan bunyi desiran angin meniup menggerak-gerakkan pohon-pohon kecil di sekeliling mereka. Faridah termenung seketika melihat situasi yang agak canggung ini. Dia kemudian memejamkan matanya dan sesekali kelihatan berkerut dahinya seperti menghadapi suatu permasalahan yang rumit untuk diselesaikan. Faridah berada dalam keadaan sebegitu selama beberapa minit sebelum dia menguntum senyum dan menoleh ke arah Fateh.

“Abang, kenapa ditakutkan si Hitam itu sampai dia enggan bertemu saya?” Giliran Fateh pula berkerut. Apa pula dengan si Hitam? Harimau peliharaan Bendahara Inderapura lagikah?

“Si Hitam?”

“Mawas semalam?” Fateh ketawa berdekah-dekah mendengar jawapan Faridah kerana walau pun dia telah menjangkakan kemungkinan itu tetapi, tidak disangkanya binatang buas seperti itu turut diberi nama layaknya binatang peliharaan.

“Apakah binatang itu milikmu, Faridah?” Fateh hanya mengusik.

“Hmmm.. boleh dikatakan begitu. Si Hitam dan Putih itu hamba tawanan saya, bang. Mereka ditugaskan menjaga checkpoint array daripada dicerobohi orang atau apa saja yang mungkin cuba memasukinya.” Jelas Faridah sambil tersenyum manja.

“Hamba tawanan?” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Fateh seperti termanggu sejenak. Dia masih tidak dapat mencakna jawapan Faridah itu dengan logik akalnya. Banyak persoalan berbangkit yang menderu melalui mindanya ketika itu. Bagaimana Faridah menjinakkan binatang tersebut, dari mana dia ketemui mereka dan mengapa pula tiba-tiba begitu arif sekali dengan tempat ini. Sebelum ini, Faridah hanya sekadar ‘menggambarkan tentang pengetahuan keturunannya’ berkenaan lokasi checkpoint array Pintu Dunia tetapi, lagaknya kini seperti ‘tourist guide’ yang biasa berkunjung ke daerah rahsia ini.

“Boleh abang ‘pujuk’ si Hitam keluar?” Pinta Faridah dengan lembut sekali. Fateh segera tersedar dari dunia batinnya yang penuh teka-teki.

Fateh segera akur dengan permintaan Faridah tanpa bertangguh. Fateh segera melaung, memanggil mawas besar bernama si Hitam. Tak berapa lama kemudian, keluarlah si Hitam dalam keadaan takut-takut menghadapi Fateh dan Faridah. Ternyata ‘ketakutan’ si Hitam itu lebih terarah kepada Faridah seperti melihat rasaksa yang boleh mematahkan segenap tulang temulangnya. Fateh dapat melihat ke dalam mata si Hitam, kengerian yang ada di dalam lubuk hati mawas besar itu bukan sekadar main-main. Entah apa yang telah berlaku sehingga binatang buas seperti menjadi seperti tikus rumah melihat kucing liar.

Tak semena-mena, Fateh terlihat parut-parut lama di bidang dada mawas tersebut yang telah lama berbekas di situ seperti torehan belati yang dalam. Malam tadi Fateh tidak perasan akan hal ini. Parut ini juga kelihatan di bahagian tubuh si Hitam hampir di seluruh badan sehingga tiada bulu yang dapat tumbuh di kawasan tersebut. Sesungguhnya, ini kesan trauma yang dahsyat sekali.

“Jom, bang... kita masuk ke dalam gua perak. Kita akan masuk melalui gua ini untuk ke checkpoint seterusnya.” Faridah segera merangkul lengan Fateh dengan mesra. Kepalanya sengaja dilentukkan ke bahu Fateh dengan manja.

“Er, si Hitam tadi-”

“Saya dah suruh dia berkawal di pintu gua.” Fateh mengangguk. Dia tahu cara komunikasi Faridah kepada si Hitam adalah seperti komunikasinya dengan harimau-harimau tapa peliharaannya- melalui telepati. Fateh juga mahir kaedah ini tetapi, memandangkan si Hitam boleh berbicara dalam bahasa kuno dan langka Tibet, Fateh lebih selesa berkomunikasi secara biasa.

“Kenapa dia tak masuk sekali?”

“Rahsia checkpoint ini tak boleh diketahui oleh binatang itu. Kalau tidak, binasa pula belantara Pahang.”

“Nampaknya ada banyak rahsia yang kau simpan, Faridah.” Fateh mula menyerah daripada terus berspekulasi. Dia tahu, lambat laun- dia akan tahu juga perkara sebenar.

“Nanti abang akan tahu juga. Cuma abang masih belum ingat apa yang berlaku.” Fateh makin keliru dengan jawapan Faridah walau pun dia telah cuba ‘berlapang dada’ dan menerima apa jua keanehan yang bakal ditempuhinya kini. Apa mungkin ada sesuatu yang dia terlupa dalam ingatannya? Bukankah ini sesuatu yang baru yang belum pernah dia alami? Mana mungkin dia akan ingat sesuatu yang belum dia hadapi!

Faridah di sisinya makin erat memegang lengan Fateh. Senyumannya makin manis dan manja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience