Rate

Bab 18: Syaitan Kematian

Mystery & Detective Completed 26471

Vadim Bakatin merupakan bekas Pengerusi KGB sebelum organisasi itu dimansuhkan pada tahun 1991 dan kemudian diganti oleh FSK (Federal Counter-Intelligence Service) dan kemudiannya distruktur semula menjadi FSB (Federal Security Service) pada 1995, sewaktu pemerintahan Presiden Boris Yeltsin. Bersamanya, Nikolai Petrushev merupakan bekas general tentera Russia, pernah menjadi Pengarah FSB pada tahun 1999 hingga 2008. Nikolai kini merupakan Sekretari Keselamatan Russia semenjak 2008 lagi merupakan orang kepercayaan Presiden Russia kini, Vladimir Putin, yang juga bekas elit KGB.

Mereka sedang asyik membelek foto-foto dan video-video kecederaan pengawal-pengawal peribadi Kumarin yang mati dibunuh tempohari oleh seorang penceroboh yang tidak dikenali. Foto dan video ini diserahkan oleh Kumarin sendiri kepada mereka untuk merisik ‘musuh’ yang menjadi misteri ini. Walau pun, Kumarin dalam tempoh ‘buangan’ tetapi segelintir individu yang berkuasa terutamanya Nikolai masih mengetahui situasi sebenar ‘hukuman’ yang diterima oleh Kumarin. Tambahan pula, Kumarin pada suatu sisi, dikenali sebagai seorang usahawan yang begitu rapat dengan ahli-ahli politik dan pihak authoriti seperti mereka. Jadi sedikit sebanyak, mereka masih mempunyai hubungan yang baik terutamanya Vadim yang banyak memberi rekomendasi mantan-mantan elit KGB (yang tidak diserap sebagai anggota FSB selepas dibubarkan) sebagai pengawal-pengawal peribadi kepada Kumarin.

Oleh sebab itu, Kumarin menggunakan hubungan yang ada untuk mendapatkan maklumat-maklumat tertentu yang diperlukannya. Hubungan ini pastinya dilakukan secara sulit dan rahsia. Tentu saja Kumarin tidak akan hanya berpeluk tubuh dan menurut saja permintaan Fateh secara membuta tuli walau pun jelas seperti dia akur sahaja. Dia ada egonya. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah diperlakukan sebegitu, ditampar, diherdik sedemikian rupa. Ini amat memalukan.

“Apa pendapat kau?” Tanya Vadim kepada Nikolai yang masih kelihatan asyik dan teruja melihat foto dan video pada skrin telefonnya. Sesekali Nikolai berkerut-kerut dahinya seperti memikirkan dan mengingati sesuatu.

“Hmmm.. cuba kau buat panggilan video dengan Kumarin, aku ada beberapa soalan ingin ditanya.” Vadim hanya akur dengan kehendak Nikolai. Dia segera menekan skrin telefonnya untuk menghubungi Kumarin.

“Selamat petang Tuan Vadim dan Tuan Nikolai,” ucap Kumarin sebaik sahaja talian panggilan video disambungkan.

“Aku lihat luka-luka kecederaan pada yang terbunuh ini, amat pelik. Peluru apa yang digunakan?” Tanya Nikolai tanpa berlengah.

“Er, Tuan... ini pun memusykilkan saya. Penceroboh tidak menggunakan senjata api.”

“Habis tu?”

“Er.. kami, kami dapati.. hanyalah ketulan batu-batu kecil.” Jawab Kumarin seperti ragu-ragu.

“Batu?!” Nikolai tersentak. Jelas wajahnya seperti ketakutan. Vadim dan Kumarin hanya terdiam dan terpinga-pinga melihat reaksi Nikolai- seperti dia mengetahui sesuatu yang mengerikan.

“Kenapa Tuan?” Tanya Kumarin, ingin tahu.

“Kalau benar yang kau katakan, kau kena turuti apa saja kehendak lelaki itu, Kumarin. Itu lebih baik untuk diri kau sendiri.” Jelas Nikolai, perlahan-lahan. Suaranya begitu serius sekali.

“Maksud, Tuan? Kenapa?” Tanya Kumarin lagi, meminta kepastian.

“Ya, Nikolai... aku pun ingin tahu.” Vadim menambah.

“Hmmm...perkara ini kalau hendak diceritakan, kamu semua kena tahu perihal perang kedua antara Chechen dan Russia pada tahun awal sekitar 1999 ke 2000. Waktu itu aku baru saja dilantik menjadi Pengarah FSB.” Nikolai memulakan bicaranya.

“Pada tahun 2000 itulah, pihak pejuang pemisah Chechen telah menukar taktik serangan secara gerila- menyebabkan kekalahan demi kekalahan kepada tentera Russia dan FSB. Antara sebab adalah kerana wujudnya satu figura yang menggunakan bebola besi kecil dan batu-batu kerikil sebagai senjata. Dia juga dikatakan telah membawa pasukannya, kontraktniki (askar upahan) untuk membantu dan melatih pejuang Chechen dalam menentang tentera Russia.” Nikolai diam seketika. Dahinya masih berkerut-kerut mengenangkan sejarah perang yang telah berlaku.

“Dalam satu peristiwa, figura ini telah muncul di kawasan sempadan Dagestan, dan memusnah satu batalion infantry semalaman. Kau tahu berapa banyak tentera untuk satu batalion yang berkawal pada masa itu? Hampir 700 orang!” Nikolai mengeluh kecil dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa yang lebih membingungkan dan mengejutkan- menurut maklumat risikan, serangan ini dilakukan hanya oleh seorang lelaki dan di tempat kejadian, mayat-mayat tentera ini ditemui batu-batu kerikil dan bebola besi kecil menembusi jantung dan kepala mereka, seperti mana hal pengawal-pengawal kau, Kumarin!” Serius sekali suara Nikolai. Vadim dan Kumarin turut terkejut mendengarkan kisah ini.

“Di kalangan tentera Russia pada masa itu, mereka menggelarkan figura ini sebagai Syaitan Kematian. Maklumat dari sebelah pejuang Chechen dia digelar Fateh- The Conqueror. Nasib baik figura ini hanya muncul pada tahun itu. Selepas itu, dia seperti hilang dari ‘radar’ kami. Cerita pasal Syaitan Kematian ini kemudian lenyap begitu sahaja. Kalau dia ada sepanjang tempoh peperangan selama 10 tahun tersebut, aku pasti Russia takkan dapat tertanggung akibatnya.” Nikolai hanya tunduk lesu.

“Siapa nama gelarannya tadi, Tuan?” Kumarin cuba meminta kepastian.

“Syaitan-”

“Bukan, satu lagi.”

“Fateh-”

“Ya, Fateh!”

“Apakah-” Nikolai terteguk air liurnya sendiri.

“Er... ya, Tuan. Dia kata namanya Fateh.” Kumarin sendiri berasa gentar.

Vadim dan Nikolai berpandangan sesama sendiri. Kumarin hanya kaku memerhatikan mereka berdua pada layar skrin telefonnya. Nampaknya ada sesuatu perkara yang sama telah berlaku dan menyentap semangat mereka- lelaki yang digelar Syaitan Kematian oleh tentera-tentera Russia kini telah muncul seperti bertanya- apakah kamu sudah bosan dengan hidup?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience