Rate

Bab 76: Misteri Faridah

Mystery & Detective Completed 26471

Mutiara Taman Negara merupakan penginapan yang berkonsepkan hotel resort yang hanya mempunyai dereten bilik penginapan berupa chalet dan banglo, dikelilingi latar permandangan rimba belantara dan Sungai Tembeling. Selain daripada penginapan, pengurusan hotel resort ini juga menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik kepada pengunjung yang menginap seperti jungle trekking, canopy walk, memancing dan aktiviti-aktiviti berdasarkan alam semulajadi. Selain daripada itu, mereka juga menyediakan fasiliti bilik mesyuarat dan lain-lain yang berkaitan team building, brainstorming dan aktiviti-aktiviti yang diperlukan oleh syarikat-syarikat korporat.

Banglo yang menjadi tempat penginapan Fateh dan Khaleeda di hotel resort ini merupakan bangunan setinggi dua tingkat yang dibina dengan kayu hanya seluas 162 meter persegi, dilengkapi dengan 2 bilik tidur berasingan, ruang tamu, dapur kecil, ruang makan, bilik air, balkoni dan penuh dengan kelengkapan asas termasuk penghawa dingin, TV Satelit dan lain-lain lagi. Ianya cukup selesa untuk diinap oleh 4 orang tetamu dan pemandangannya yang menghadap Sungai Tembeling amat mempersonakan buat pengunjung yang menginap di situ.

Setelah diletakkan bagasi dan kelengkapan yang dibawa ke bilik masing-masing (Faridah memilih bilik master bedroom dan Fateh hanya akur untuk ke bilik biasa), Fateh hanya duduk bersantai di ruang tamu, menonton TV Satelit yang berada di ruangan itu. Faridah pula membersihkan diri dan kemudiannya, menyertai Fateh dan duduk disamping suaminya itu.

Perlahan-lahan, Faridah merapati tubuhnya ke tubuh Fateh. Kehangatan tubuh Faridah dapat dirasai oleh Fateh tetapi, dia hanya buat tidak endah seperti tidak ada apa-apa yang pelik dengan perlakuan Faridah itu. Fateh tahu, sekiranya dilarang- ianya pasti akan mengguris perasaan Faridah. Dia berasa perlunya untuk menjaga perasaan Faridah itu kerana dia akan bersama dengan gadis itu dalam jangkamasa yang mungkin lama. Tentu susah pekerjaannya nanti sekiranya Faridah berkecil hati kerana pentingnya gadis itu untuk merungkai EMF array di lembah Gunung Tahan, tambahan pula- Faridah itu dari segi syaraknya, isteri Fateh juga.

“Bang...” Fateh menoleh kepada Faridah. Faridah segera menghulurkan kotak kecil kepada Fateh.

Fateh menyambut pemberian Faridah dan membuka kotak tersebut dengan cermat. Di dalam kotak itu tersimpan sebentuk cincin berbatu hitam. Fateh membelek-belek cincin tersebut dan dapat mengagak kegunaan cincin tersebut.

“Batu shungite?” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum.

“Faridah punya mana?” Faridah menyelak rambutnya yang menutupi dada, menyerlahkan batu shungite yang dijadikan loket pada rantainya- dan juga turut menyerlahkan sebahagian dadanya yang mekar kerana kedudukan loket itu benar-benar terletak di bahagian lurah dada gadis tersebut.

Fateh segera mengalihkan pandangannya secara spontan dan berpura-pura seperti tidak melihat apa-apa. Faridah hanya tersenyum melihat Fateh yang kelihatan tersipu-sipu. Dia yang hanya memakai bathrobe memang sengaja berbuat sedemikian bertujuan untuk ‘mengusik’ suaminya itu. Kesempatan untuk berdua-duaan dengan Fateh dirasakan oleh Faridah perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Bang...”

“Hmmm,” Fateh acuh tidak acuh. Pandangannya hanya tertancap kepada siaran TV yang dia sendiri tak pasti apa yang disiarkan. Fikirannya tidak tertumpu pun pada apa yang dilihatnya. Dia hanya berkira-kira apa lagi yang perlu dihadapinya bersama gadis di sebelahnya kelak.

“Abang pakailah cincin tu, cuba beritahu saya apa perbezaannya.”

“Maksudmu?” Fateh memandang Faridah yang hanya tersenyum memandangnya. Mendengarkan tiada jawapan yang diberikan oleh Faridah, Fateh yang berasa ingin tahu- perlahan-lahan menyarungkan cincin itu dijari manisnya.

Seusai cincin itu disarungkan, Fateh dapat merasakan perubahan aura yang mengalir masuk ke ruangan saraf-sarafnya, mirip dengan aura penyembuh milik Fateh tetapi lebih melimpah ruah ibarat gelombang laut yang ganas. Peluh dingin mula membasahi dahi Fateh dan dia segera duduk bertapa (seperti bersila) untuk mengatur semula jaluran tenaga di ke seluruh urat sarafnya secara perlahan-lahan ke bahagian ari-arinya sebagai ‘bank’ simpanan aura tersebut.

Setelah hampir 2 jam bertungkus lumus sehingga tubuh Fateh lencun bermandi peluhnya sendiri, Fateh berjaya mengumpulkan aura-aura dari cincin bertatahkan batu shungite itu ke bahagian ari-arinya. Aura ini juga perlu disepadukan dengan aura penyembuh yang sedia ada dalam tubuh Fateh supaya kedua-dua aura ini tidak menentang antara satu dengan yang lain. Jika Fateh gagal ‘menggaulkannya’ dengan sebati, ‘peperangan’ aura ini akan berlaku dalam tubuh Fateh dan ini boleh menyebabkan tubuh Fateh mengalami kesakitan yang teramat malah, boleh menyebabkan kelumpuhan pada seluruh tubuh badannya.

“Pelik.” Fateh membuka matanya perlahan-lahan dan memandang Faridah yang setia menanti di hadapannya.

“Pelik?” Faridah seperti acuh tak acuh. Senyumannya pada Fateh masih terukir manis dan menggoda.

“Ya. Abang dapat rasakan urat-urat abang bukan saja berisi aura penyembuh yang penuh tetapi tindak balasnya juga lebih cepat, seperti ‘booster’ pada aura abang yang sedia ada. Aura ini seperti aura yang kau miliki dan batu shungite ini pula berubah kepada aura yang lain pula.” Fateh seperti teringat akan aura istimewa yang dimiliki oleh Faridah. Sudah lama dia dapat mengesannya tetapi dia ragu-ragu dan menganggap aura itu datang dari batu shungite yang dipakai sebagai loket oleh gadis itu.

“Itulah sari aura pada batu shungite. Berbeza dengan aura pada batunya, sarinya mempunyai aura yang berbeza.” Jelas Faridah sambil mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda setuju dengan kata-kata Fateh.

“Apa tujuan kau berikan cincin ini pada abang?” Fateh memandang tepat kepada Faridah dan mencuba menghamburkan aura penggerunnya untuk mencuba gadis itu. Tiada perubahan pada riak wajah Faridah dan senyumannya masih tidak lekang menentang pandangan Fateh itu seperti mana gadis itu tetap tenang ketika Khaleeda mendesaknya dengan beberapa soalan tempohari. Apakah mungkin aura unik yang dimiliki oleh Faridah tidak dapat dijejaskan oleh aura penggerun yang dihamburkan oleh Fateh. Ini tidak pernah berlaku selama ini!

“Kalau saya katakan ianya sebagai cincin perkahwinan, abang tentu tak percaya?” Fateh segera menggeleng-gelengkan kepalanya. Mana mungkin alasannya semudah itu.

“Apakah abang anggap saya ini musuh abang? Sampai hati abang ‘menyerang’ saya dengan aura penggerun abang itu.” Faridah mencebik seperti merajuk.

Fateh tersentak kerana Faridah sedar kewujudan ‘serangan’ yang dilakukannya. Dia segera menarik kembali aura tersebut yang dihamburkan kepada Faridah. Faridah kembali mengukir senyuman memandang Fateh yang kelihatan serius ketika ini.

“Siapakah kau sebenarnya, Faridah?” Berkerut-kerut dahi Fateh memikirkan identiti sebenar gadis di hadapannya itu.

“Isteri abanglah.” Faridah masih berteka-teki dan hanya ketawa kecil melihat reaksi Fateh yang masih serius memandangnya dengan penuh tanda tanya.

Fateh buntu dengan sikap Faridah yang cuba ‘bermain-main’ dengannya. Fateh bingkas bangun untuk beredar dari ruang tamu tersebut kerana berasa bosan dengan permainan ‘teka-teki’ yang dijangkakan akan berlarutan lama. Fateh tak punya masa untuk itu.

Belum sempat Fateh melangkah, dia terhenti. Tangan dipaut oleh Faridah dari belakang. Fateh enggan untuk menoleh kepada Faridah kerana pasti gadis itu akan tersenyum kepadanya- senyuman yang dirasakan oleh Fateh sebagai ‘menyindir’ dirinya sendiri.

“Abang... ” Fateh tidak menyahut. Dia hanya bungkam tanpa sepatah kata. Faridah perlahan-lahan menghadap Fateh tanpa melepaskan tangan Fateh yang dipegangnya tadi. Pandangan mereka bertaut namun, wajah Fateh tidak menunjukkan apa-apa reaksi ketika memandang Faridah. Faridah hanya tersenyum kelat.

“Sungguh Tun Besar ini gagah orangnya tetapi, mudah pula berkecil hati- dengan isteri sendiri pun dia boleh berasa jauh hatinya.” Fateh sekali lagi tersentak dengan kata-kata Faridah. Bagaimana Faridah yang baru sahaja diketemuinya beberapa bulan yang lepas tahu benar tentang identiti Fateh yang sebenar? Selama ‘direkrut’ oleh Khaleeda untuk membantu mereka merungkai EMF array, Fateh amat pasti tidak ada satu detik pun Khaleeda akan membongkarkan identiti mereka kepada orang lain melainkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.

“Kenapa kau boleh tahu banyak tentang abang, apakah kau ini benar-benar waris dari keturunan Panglima Kakap Husin?”

“Sebenarnya, saya telah lama tahu perihal abang yang mencari Pintu Dunia itu. Saya tahu abang mencari saya dan saya sendiri selama ini pun mencari abang.” Jelas Faridah, matanya mula berkaca-kaca memandang Fateh, seperti melihat kekasih yang telah lama tidak ditemui.

“Jadi, kau bukan dari keturunan Panglima Kakap Husin?” Fateh tertanya-tanya.

“Tidak, saya hanya mewarisi apa yang diketahui oleh Panglima Kakap Husin.”

“Bagaimana?”

“Segala pengetahuan itu datangnya dari nenek moyang saya juga. Jadi, tidaklah menghairankan apa yang diketahui oleh Panglima Kakap Husin, diketahui oleh saya yang mewarisi pengetahuan tersebut.”

“Siapa nenek moyang kau, Faridah?” Faridah sedikit teragak-agak dengan pertanyaan Fateh.

“Nama saya yang sebenarnya Tengku Faridah tetapi, keluarga kami tidak memakai gelaran itu kepada masyarakat umum. Keturunan kami telah lama tinggalkan istana semenjak Pahang itu dikenali sebagai Inderapura lagi.”

“Apakah kau ini-” Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya seperti mengiakan apa yang bakal Fateh katakan kepadanya. Fateh terpana dengan pengakuan itu. Ini benar-benar sesuatu yang mengejutkan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience