Rate

Bab 50: Cuaca Angkasa Di Villa Leong

Mystery & Detective Completed 26471

Fateh memang menyedari sesuatu. Sekilas dia perasan ada perubahan pada sekelilingnya. Nampaknya, ada yang ingin mencari geruh dengannya pada malam ini.

“Uncle, nanti kalau nak balik, uncle dan famili balik dulu, ya?” Catherine tercengang dengan permintaan Fateh. Dia pandang muka Fateh dalam-dalam bagai meminta penjelasan.

“Kenapa, kan baik kita balik sekali?” Stephen juga tertanya-tanya.

“Oh, tidak. Ada ‘kawan’ nak berjumpa malam ni. Sekejap saja. Nanti saya balik naik teksi.” Fateh hanya tersenyum menjelaskan situasinya. Dia tak mahu keluarga Catherine terlibat dalam keadaan yang ‘kurang menyenangkan’ yang bakal terjadi.

“Eh, sayang- saya tak tahu awak ada plan sebegini, perempuan ke?” Catherine tersenyum memandang Fateh, mengusik kekasih hatinya itu.

“Masakan begitu?” Fateh hanya tertawa kecil. Stephen dan Carol turut ketawa melihat pasangan sejoli ini bergurau senda.

Setelah beberapa ketika, keluarga Stephen beredar dari restoran tersebut dan Fateh masih lagi berada di situ untuk beberapa ketika sehingga keluarga Stephen hilang dari pandangannya. Dia kemudian melangkah keluar dengan tenang dan sebagaimana firasatnya memberitakan, sudah ada sekumpulan pemuda sedang mengawasi pergerakannya.

Sekumpulan pemuda ini masih belum bertindak. Mereka kelihatan seperti acuh tak acuh tetapi, jelas memerhatikan gerak-geri Fateh dengan penuh minat. Fateh kira, mereka masih menanti peluang untuk bersemuka dengannya sekiranya tempat dan situasi tepat kerana sekitar di restoran ini masih meriah dengan ramainya orang. Tentu mereka tidak mahu perkara ini menjadi kecoh di tempat awam.

“Kau, ke mari!” Keras sikit suara Fateh ke arah sekumpulan pemuda tadi- kepada seseorang yang Fateh dapat rasakan sebagai ketua di kalangan mereka. Pandangan Fateh tepat ke arah pemuda Cina yang berambut perang, bersubang dan lengannya penuh dengan tatoo.

Teriakan Fateh itu, walau pun jelas pada pendengaran mereka tetapi, tidak dihiraukan oleh orang ramai yang berada di kawasan sekitar, seolah-olah suara itu hanya tertumpu kepada kumpulan mereka sahaja. Mereka berpandangan sesama sendiri, bagaimana pemuda Melayu itu sepertinya bagai mengetahui bahawa dia dalam pemerhatian mereka. Tentunya pemuda berambut perang bernama Ah Meng itu lebih terkejut kerana Fateh memanggil dia secara terus- adakah statusnya sebagai dalang utama telah diketahui?

“Ya, kau... tunggu apa lagi?” Kali ini suara Fateh hanya dapat didengari oleh Ah Meng sahaja dan ahli-ahli kumpulannya yang lain tidak mendengar apa-apa pun.

Ah Meng seolah-olah bagai dipukau dan hanya menurut saja langkah kakinya menuju ke arah Fateh. Kumpulan pemuda Ah Meng hanya terpinga-pinga melihat kelakuan Ah Meng. Mereka berteriak memanggil Ah Meng tetapi suara mereka seolah-olah tidak didengari oleh Ah Meng malah, suara mereka juga tidak didengari oleh orang ramai yang berpusu-pusu di kawasan tersebut- seperti bunyi suara mereka ‘ditahan’ dan 'bergema' dalam tenggorakan mereka sahaja. Ah Meng seperti zombie yang hanya menurut. Keadaan ini membuatkan sekumpulan pemuda tadi berasa ‘lain macam’. Tiba-tiba saja kegerunan yang luar biasa menguasai diri mereka.

Apa yang Fateh praktikkan adalah suatu ilmu kuno yang dipanggil Penyeru Semangat, seperti juga teknik hipnosis yang boleh menyebabkan perlakuan seseorang itu berada di bawah sedar dan hanya menuruti apa saja arahan orang yang mengenakan hipnosis ke atas diri 'mangsa'. Melalui aura suaranya dan telepati (komunikasi minda), Fateh mengenakan hipnosis ke atas Ah Meng tanpa Ah Meng sedar. Selain daripada itu, teriakan pertama Fateh tadi turut diselitkannya aura penggerun kepada ahli-ahli kumpulan Ah Meng yang lain dan sebab itu mereka tidak dapat bertindak kerana di dalam hati mereka sudah terkena ‘badi’ penggerun.

Pada pandangan orang awam, Fateh seperti sedang berbual-bual dengan Ah Meng, dan Ah Meng pula seperti sedang membicarakan sesuatu. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Setelah itu, Fateh masuk ke dalam kereta Ah Meng dan sekumpulan pemuda lain turut menuruti kereta itu- sekitar 6 buah biji kereta, semuanya menuju ke suatu lokasi di bandar Ipoh.

*******************

Donald Leong adalah patriarch keluarga Leong dan merupakan bapa kepada George dan datuk kepada James. Bukan saja sebagai ketua atau pemimpin keluarga Leong, dia juga merupakan pakar feng shui yang terkenal dalam masyarakat Cina di Malaysia terutamanya di kalangan pengamal-pengamal feng shui. Banyak perkara berkaitan dengan keluarga Leong- dari urusan perniagaan sehinggalah kekeluargaan, semuanya melalui kiraan feng shui yang dibuat oleh Donald Leong. Kiranya, feng shui merupakan ‘doa’ keluarga Leong sebelum melakukan sesuatu yang penting dalam urusan kehidupan mereka.

Feng shui adalah suatu ilmu pseudosaintifik tradisonal masyarakat Cina yang telah dipraktikkan sejak ribuan tahun (dikatakan semenjak ribuan tahun sebelum masihi), yang melibatkan pemerhatian terhadap alam semesta (astronomi dan bumi), manusia dan ‘tenaga tersembunyi’ yang menghubungkan ketiga-tiga elemen ini yang dipanggil sebagai ‘qi’. Masyarakat Cina yang obses pada ‘percaturan’ dan ‘perkiraan’ feng shui ini percaya, sebarang perubahan terhadap elemen-elemen tersebut mempunyai cause and effect terhadap kehidupan seseorang. Konsep feng shui ini turut ada dalam masyarakat India melalui Vastu Sashtra termasuk juga masyarakat Melayu dengan Tajul Muluknya.

Melalui pengamatan moden, pada tahun 1951, seorang profesor dari Jerman bernama Max Knoll berpendapat, ‘qi’ yang dimaksudkan dalam feng shui adalah suatu bentuk sinaran suria (berbeza dengan seni bela diri yang mengatakan ‘qi’ adalah kuasa dalaman). Menurutnya lagi, kompas merupakan geomagnetik kawasan setempat yang merangkumi arus teraruh geomagnetik yang disebabkan oleh cuaca angkasa. Seperti mana kepercayaan zaman dahulu kala (termasuk feng shui) yang menegaskan kehidupan di bumi dipengaruhi oleh angkasa, sememangnya melalui pemerhatian saintifik moden menyatakan cuaca angkasa itu terbukti wujud dan memberi kesan kepada teknologi seperti GPS, power grid, saluran paip, sistem komunikasi, pelayaran dan pemantauan. Malah ada kajian berkaitan kes bunuh diri di Kirovsk, Russia- naik turunnya mengikut medan geomagnetik dan juga pendapat dari saintis atmosfera yang mengatakan perubahan cuaca angkasa turut mempengaruhi turun naiknya pasaran saham.

Tidak kira atas dasar kepercayaan tradisional atau pun saintifik moden, Donald merupakan pengamal feng shui yang mahir. Kemahiran ini sedikit sebanyak diwarisi oleh George, bakal patriarch keluarga Leong pada masa hadapan. Sebab itu, melalui penelitian George, dia amat yakin elemen manusia (Catherine) jika dihimpunkan bersama keluarga Leong, dapat memberikan ‘kesan’ bertuah kepada keluarga mereka.

Tetapi pada hari ini, ada sesuatu yang menganggu fikiran Donald. Lelaki tua berumur hampir 90an ini segera mengerakkan jari jemarinya seperti mengira sesuatu. Kemudian, dia segera melihat kalendar lunar masyarakat Cina dan kembali mengira dengan jari-jemarinya. Sekejap dibengkokkan dan dengan pantas diluruskan jari-jarinya semula. Dia masih tak berpuas hati. Hatinya berasa gelisah. Dia menuju ke arah beranda villanya untuk melihat tanda-tanda di langit. Dia khusyuk melihat dan kembali larut dengan kiraan feng shuinya. Sesekali dia tersenyum dan sesekali mukanya berkerut dan peluh dingin mulai mengalir di dahinya.

Tanpa berlengah, dengan susah payah dia segera menuruni ke tingkat bawah dengan lif yang dibina di dalam villa ini. Kerusi roda elektriknya meluncur laju. Dia ingin segera bertemu dengan anaknya, George. Ada sesuatu yang amat penting untuk diberitakannya. Ini soal hidup dan mati keluarga Leong!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience