Rate

Bab 37: Berdansa Di Hadapan Concorde

Mystery & Detective Completed 26471

Deretan kereta mewah membanjiri perkarangan Concorde Jalan Sultan Ismail, menurunkan ketua-ketua pertubuhan Melayu serata Malaysia. Hari ini telah dijadualkan satu majlis perjumpaan di antara mereka bagi membincangkan hala tuju gagasan pertubuhan mereka terhadap masyarakat Melayu se-Malaysia termasuk juga beberapa jemputan dari seluruh kepulauan Nusantara.

Ketua-ketua pertubuhan Melayu ini digelar Ayahanda atau ada juga yang menggunakan gelaran Mahaguru, khususnya dari pertubuhan seni bela diri. Masing-masing memiliki ketumbukan atau keanggotaan ahli yang ramai.

Fateh tiba dengan menaiki Vespa ‘pinjam’ diperkarangan Concorde dan segera diparkirkan berhampiran pintu masuk hotel.

“Excuse me, sir. You cannot park here. It’s reserved.” Staf yang menjaga parkir segera menegur Fateh.

“You can park you bike at motorcycles parking in basement.” Tambah staf tersebut. Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepala, tanda faham.

Tak semena-mena, sebuah kereta mewah jenis Maybach membunyikan hon yang panjang kepada Fateh, sepertinya marah. Pemandu Maybach itu segera memandu ke samping Fateh secara menderu dan kemudian, membuka cermin gelap keretanya.

“Woi, budak- cepat blah! Aku nak parking sini!” Jerkah pemandu Maybach itu kepada Fateh. Fateh hanya tersenyum dan segera melorongkan Vespanya keluar dari parkir tersebut.

“Kenapa, Bakri?” Tanya satu suara dari arah penumpang kepada pemandu Maybach tersebut, Bakri.

“Tak ada apa-apa, Datuk Mahaguru- ada budak skuter ni parking di tempat parkir kereta.” Jelas Bakri. Penumpang yang digelar Datuk Mahaguru itu hanya mendiamkan dirinya, tidak membantah.

“Sir, sorry. May I know who are you, sir?” Tanya staf penjaga parkir itu kepada Bakri.

“Oh, saya Bakri. Saya bawa Datuk Mahaguru Megat Mustofa dari Pertubuhan Seni Silat Hulubalang Malaysia,” jelas Bakri dengan bangga.

“Maaf encik, parkir di hadapan pintu ni dah direservekan untuk orang yang bernama Fateh.”

“Fateh? Siapa Fateh? Ini boss saya Datuk Mahaguru, takkan you tak kenal?!” Bentak Bakri.

“Saya betul-betul minta maaf, encik. Saya cuma ikut arahan penganjur saja.” Serba salah staf tersebut kerana dijerkah sebegitu. Selaku penjaga parkir, keadaan seperti ini kerap terjadi.

“Oh, kalau begitu- betullah saya parking di sini. Saya Fateh.” Fateh segera melorongkan kembali Vespanya masuk ke dalam kotak parkir.

“Er, encik ada kad reserve parkir ni, sebagai tanda pengenalan?” Tanya staf itu, ragu-ragu. Ini kerana majlis hari ini dianjurkan oleh Istana Negara walau pun, tanpa kehadiran DYMM Seri Paduka Baginda, wakil dari Istana Negara telah ditugaskan untuk tujuan ini. Justeru, jemputan-jemputan pada hari ini bukan calang-calang orang. Semuanya adalah tokoh-tokoh masyarakat Melayu yang elit dalam gagasan *Bendera Merah.

Nota *: Terdapat 3 gagasan utama pertubuhan Melayu yang diwakilkan kepada perlambangan warna bendera iaitu Hijau (Agama), Kuning (Raja dan Bangsa) dan Merah (Negara dan Jihad).

“Oh, kad ini?” Fateh segera mengeluarkan kad dari saku bajunya. Staf itu membelek-belek kad tersebut dan muka kelihatan terkejut.

“Maafkan saya Tuan Fateh. Tuan boleh parkir di sini.” Staf tersebut segera mempelawa Fateh setelah memulangkan semula kad tadi.

“Kenapa tak parking lagi ni, Bakri?” Datuk Mahaguru Megat Mustofa mula bertanya.

“Sekejap Datuk Mahaguru, saya settlekan hal ni kejap.” Bakri segera keluar dari kereta dan bergegas ke arah Fateh dan staf penjaga parkir tersebut. Dia berasa ‘bahang’ badannya dah mula membara. Selaku murid paling kanan dalam Pertubuhan Seni Silat Hulubalang Malaysia, sungguh sedikit sekali orang yang mampu menentangnya, apatah lagi ‘budak-budak hingusan’ yang berada di hadapannya kini. Pantang sungguh dia kalau dilayan seperti sekarang ini. Tambahan pula, dia kini mengiringi Datuk Mahaguru Megat Mustofa yang dianggap sebagai elders dalam gagasan Bendera Merah.

“Budak, kalau tak mahu mampus- kau blah sekarang bawak skuter cabuk kau dari sini. Aku nak parking, sekarang!” Bentak Bakri dengan menunjukkan penumbuknya, memberi amaran.

Fateh dan staf parkir tersebut serentak memandang Bakri. Penampilan Bakri yang bermuka bengis, berbadan sasa dan berotot pejal itu, memang menggerunkan hati. Staf parkir itu mula berganjak setelah Fateh mengarahkannya pergi segera. Dia tidak mahu ‘kerbau seekor’ ini ‘menyondol’ tak tentu pasal dan melibatkan orang yang tak bersalah menjadi mangsa.

Kini hanya Fateh dan Bakri saling bertentangan. Kalau diperhatikan, memang banyak beza antara fizikal Fateh dan Bakri. Kelihatan Bakri yang tinggi lebih 6 kaki dan berbadan sasa itu seperti rasaksa yang bisa menelan Fateh hidup-hidup. Ini menyebabkan staf parkir yang memerhatikan, berdoa dalam hati supaya konfrontasi ini tidak berlanjutan sehingga menyebabkan pergaduhan di situ.

“Siapa nama kau, kerbau?” Kata Fateh sinis.

“Kurang ajar!” Serentak dengan itu, sekepal penumbuk dilepaskan oleh Bakri bersama ‘isi’ buah silatnya.

“Hmmm, tumbukan Hulubalang Bersaudara. Menarik.” Balas Fateh, lalu mengelak pantas setelah penumbuk Bakri hampir-hampir mengenai mukanya. Pergerakan Fateh adalah begitu minima sekali seolah-olahnya seperti tidak bergerak.

Bakri yang menganggap penumbuknya mengenai sasaran, berasa terkejut. Segera dihamburkan lagi serang kedua dengan kepantasan yang benar-benar menakjubkan. Sejurus selepas itu, bertubi-tubi serangan balas dilakukan dengan sepenuh hati dan disisipkan ‘isi batin’ dalam setiap jurus yang dilakukan. Setiap jurus, adalah jelas untuk membunuh. Sangat ketara, Bakri ingin menundukkan Fateh dengan secepat mungkin.

Walau pun begitu, pergerakan Fateh seperti tidak berganjak. Fateh tidak pula melakukan serangan balas dan hanya memberi komen dan mengomel setiap kali jurus-jurus maut dihamburkan oleh Bakri, ibaratnya Fateh seperti hakim atau juri nyanyian yang sedang mengkritik pedas 'pitching nyanyian' Bakri yang sumbang. Ini sangat menjengkelkan hati Bakri dan semakin banyak lagi serangan dilancarkan untuk ‘mendiamkan’ Fateh yang semakin rancak mengkritik.

“Sial. Kau memang nak mampus!” Teriak Bakri, nafasnya mula tercungap-cungap. Serangan demi serangan yang dilakukan seperti tidak memberikan kesan kepada Fateh malah, tidak langsung berganjak dari tempatnya berdiri- sedangkan, setiap serangan yang disisipkan isi batin semakin lama semakin memakan tenaga fizikal dan dalaman Bakri sendiri.

“Dasar kerbau, esok lusa pasti disembelih orang.” Fateh membidas pedas. Merah telinga Bakri mendengarnya. Apa pun hari ini, dia mesti pecahkan pemuda bermulut lancang itu!

“Bakri, sudah!” Bakri yang bersedia hendak menghamburkan lagi siri-siri serangannya, segera terhenti. Dia segera menoleh.

“Datuk Mahaguru, er... saya janji kali ini-”

“Sudah!” Bentak Datuk Mahaguru Megat Mustofa. Jelas di riak wajahnya kelihatan merah padam kerana marah dengan sikap Bakri. Malu pun ada kerana insiden ini mula mendapat perhatian orang-orang sekeliling yang melihat Bakri seperti orang berdansa lagaknya. Ada dikalangan ‘audien’ merupakan orang-orang Bendera Merah yang sedang menyaksikan ianya berlaku. Mereka bukan sahaja sekadar ‘melihat-lihat’ tetapi, secara tak langsung dapat menilai kekuatan pertubuhan masing-masing kerana walau pun disatukan oleh gagasan yang sama, mereka juga saling bersaing.

Persaingan antara pertubuhan Melayu ini juga bakal menentukan ‘suara’ siapa yang bakal didengari. Pertubuhan yang kuat bakal menjadi ‘raja’ dalam setiap keputusan yang bakal diambil. Ini ada prestij yang bukan sebarangan. Dihormati dan digeruni kawan atau lawan.

“Bagi pihak anak murid-” belum sempat Datuk Mahaguru Megat Mustofa hendak berbicara (lalu menoleh ke arah Fateh), bayang Fateh tidak lagi kelihatan di situ. Dia tertoleh-tertoleh mencari kelibat pemuda yang berseteru dengan Bakri dan matanya tertancap kepada kelibat pemuda itu yang sedang masuk ke pintu lobi Concorde.

‘Bila masa dia pergi?’ Bisik hati Datuk Mahaguru Megat Mustofa. Sebagai seorang digelar mahaguru dalam dunia silat, belum pernah lagi gerak-geri seseorang itu dapat lepas dari jangkauan pancaindera dan gerak firasatnya tetapi, ‘kehilangan’ Fateh secara tiba-tiba itu menimbulkan seribu pertanyaan dibenaknya. Datuk Mahaguru Megat Mustofa sedar, betapa bahayanya seseorang pendekar itu kalau tiba-tiba hilang jejak lawannya- dan kalau lawannya itu berkebolehan sebegitu, jelas orang seperti itu jangan sesekali dibuat lawan!

Peluh dingin mula mengalir di dahi Datuk Mahaguru Megat Mustofa.

Alhamdulillah, tiada kesan serius divaksin tempohari. Terima kasih kepada pembaca yg mendoakan. Hanya lenguh2 di lengan dan paling ketara rasa ngantuk dan sakit-sakit belakang. Ini menyebabkan nak mengarang jadi tertangguh. Asyik nak baring dan tidur aje rasanya. Sumpah author tak malas. Ni vaksin punya pasal. Harap alasan ini, boleh digunapakai. kekeke.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience