Rate

Bab 92: Roulette Masa

Mystery & Detective Completed 26472

Fateh dan Faridah masih berdiri mengadap ketiga-tiga terowong di dalam gua di dalam Bukit Tulang Ikan tersebut. Tangan Fateh tidak lepas memegang erat tangan Faridah, menguliti jari jemari Faridah yang mulus. Faridah hanya tersenyum manis tanpa sebarang bicara kerana dia tahu, pastinya Fateh sangat merinduinya.

“Ah, kekok sekali..” keluh Fateh, kecil seperti mengomel kepada diri sendiri.

“Kenapa, kanda?” Faridah memandang Fateh kehairanan. Fateh hanya menggeleng-gelengkan kepalanya, sukar untuk meluahkan apa yang terpendam.

“Kalau bukan apa-apa, kenapa kanda nampak serba salah?” Faridah cuba mengusik. Diusap-usapkannya bahu Fateh seperti ingin memberi semangat untuk Fateh meluahkan apa yang tersimpan dilubuk hati. Dia sedar, ada konflik yang mulai bersarang di dalam diri lelaki itu.

“Bukan begitu, setelah berlaku bermacam peristiwa, zaman berubah- apakah kita masih berlagak seperti orang yang sama seperti dahulu?” Fateh hanya menunduk, ada garis-garis kesedihan pada riak wajahnya.

“Mungkin kanda tidak tahu yang adinda menyintai kekanda. Itu adinda pasti sekali setelah sekian lama adinda memikirkannya. Bukankah ini yang kanda mahu? Siapa yang tergila-gilakan adinda dahulu?” Faridah mencapai tangan Fateh, dikucup tangan itu dan kemudian diletakkan ke pipinya.

Fateh hanya melihat Faridah, walau pun senyumnya terukir kerana usikan Faridah terhadap tingkah lakunya pada masa dahulu namun, cahaya mata Fateh itu masih sayu dan pilu. Betapa lamanya mereka terpisah sehingga dia sendiri tidak dapat membayangkan apakah perjalanan yang telah ditempuhi oleh Faridah sehingga detik pertemuan mereka semula.

“Berapa lama dinda cuba menjejaki kanda selama ini?” Fateh membelai rambut Faridah yang mengurai itu dengan mesra.

“Hmmm...” Faridah cuba mengingati sesuatu. Pertama kali mereka terpisah melalui terowong pertama yang tertulis (dalam tulisan pepaku) sebagai Laluan Masa itu adalah pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477) lagi yakni, pada zaman ayahandanya, Bendahara Inderapura masih memerintah.

Sebab itulah, harimau-harimau tapa milik Bendahara Inderapura amat mengenalinya dan memanggil Faridah sebagai Tuan Puteri. Sememangnya dia adalah satu-satunya puteri kepada Bendahara Inderapura yang bernama Wanang Sari atau Walinong Sari yang amat terkenal dalam cerita hikayat Inderapura itu.

“Sekurang-kurangnya melalui beberapa kali, ada beberapa zaman namun, jejak kanda tidak dapat dinda dapati.” Fateh hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Fateh tahu, apabila mereka sudah ‘mendapatkan’ kembali ingatan mereka yang lepas, susunan peristiwa itu bertaburan bak kepingan-kepingan puzzle yang perlu disusunatur semula.

“Mengapa dinda menuruti jejak kekanda? Bukankah kanda sudah berpesan, tunggu kanda kembali semula?” Fateh mula teringatkan sesuatu.

“Tidak, adinda telah menanti kanda di pintu ini selama berpuluh tahun, sebelum adinda engkar pesanan kanda.” Bebola mata Faridah mula bergenang apabila mengingatkan kisah yang silam.

Fateh mula kesal dengan soalannya tadi. Segera dipeluknya Faridah yang mula tersedu sedan menahan gelora perasaannya. Fikirannya mulai berputar-putar, cuba menyusun semula cerita kehidupannya yang berbolak balik dari zaman ke zaman.

Laluan Masa yang terdapat pada terowong pertama itu bukanlah seperti mesin masa yang boleh disetkan ‘jadual waktu’ yang dingini oleh manusia. Laluan itu ibarat roda roulette yang berputar dan hanya nasib menentukan suatu titik masa tatkala roda itu berhenti berputar.

Laluan Masa ini sememangnya sejenis wormhole yang sering diperdebatkan oleh ahli-ahli kuantum fizik. Antara saintis yang masyhur adalah Albert Einstein, Boris Podolsky, Nathan Rosen, Stephen Hawking dan lain-lain lagi sehingga menimbulkan perdebatan panjang mengenainya dalam dunia sains moden.

Berdasarkan teori kuantum fizik ini, waktu atau masa akan berjalan lebih lambat jika berada di dekat medan gravitasi kerana gravitasi memiliki lengkung-lengkung waktu. Namun, apabila sesuatu objek melaju dengan cepat pada beberapa kecepatan yang berbeza, maka akan berlaku beberapa ‘pengembangan’ (time-dilation effect) waktu yang berbeza. 

Ini bermaksud, sekiranya objek tersebut melaju dengan suatu kecepatan, sebenarnya objek itu telah berada pada suatu lengkung waktu (masa, zaman) dari medan gravitasi. Maknanya, pengembaraan masa itu tidak mustahil (berdasarkan teori)!

“Jadi permulaan kita adalah hampir 600 tahun yang lepas?”Fateh cuba memastikan hal ini bersama Faridah.

“Benar, kanda.” Pendek saja jawapan Faridah, cuba mengukir senyum. Dia tidak mahu terlalu beremosi lama-lama. Cukuplah selama ini dia menanggung kerinduan yang panjang terhadap suaminya ini. Pengembaraan ini masih jauh dan tidak terduga, mungkin pertemuan ini bisa tamat sekelip mata. Mungkin saja pada terowong kedua, mereka kembali terpisah untuk suatu tempoh masa yang lain.

Fikiran Fateh mula membawanya semula menerokai suatu titik masa di saat mereka bermula. Kepingan-kepingan puzzle dalam ingatannya perlu segera dimulakan pada suatu titik sebelum cantuman-cantuman itu menjadi satu ‘gambaran’ memori yang sempurna.

*******************

“Tidak, Wanang Sari- biar kanda periksa dahulu apa yang ada di dalam terowong itu. Usahlah khuatir, kanda pasti kembali membawa khabar.” Tun Besar segera menegah Wanang Sari dari menuruti langkahnya menuju ke terowong pertama yang berada di hadapan mereka.

“Kanda? Hai, Tun Besar- kalau diketahui Tun Putih Cahaya Pualam, anakandanya Dato’ Temenggung akan kelakuan tuan hamba pada bakal tunangnya, sudah pasti luluh punggung tuan hamba dipalu dengan rotan semambu.” Wanang Sari tersengih mendengarkan kata-kata Tun Besar yang berlagak dewasa itu. Sungguh tak malu sekali Tun Besar yang hanya berumur sekitar 12 belas tahun itu, cuba-cuba memikat hatinya. Apakah budak kecil ini tahu akan perihal hati gadis dewasa sepertinya?

“Ah, Tun Putih tidak setanding kanda, anakanda Dato’ Bendahara Negeri Melaka.” Tun Besar menepuk-nepuk dadanya, cuba menunjukkan ‘keperkasaannya’ di hadapan Wanang Sari. Wanang Sari makin geli hati melihat kelakuan Tun Besar.

“Memang dasar anak kecil tak tahu malu.” Ejek Wanang Sari kepada Tun Besar.

“Ah, usia dinda pun baru saja 18 belas tahun tetapi, hakikatnya kita ini sebaya saja.” Bantah Tun Besar atas ejekan Wanang Sari.

“Sebaya? Mana mungkin!” Wanang Sari mencebik, menambahkan provokasinya kepada Tun Besar yang masih degil untuk beralah.

“Kalau dinda engkar dengan kata-kata kanda, bererti dinda juga engkar dengan Baginda Rasul.” Giliran Tun Besar pula mencebik, mengejek Wanang Sari. Berubah wajah Wanang Sari dengan kata-kata Tun Besar. Apa pula akalnya budak ini?

“Apa maksudmu, Tun Besar? Jangan tuan hamba cuba mempermainkan hamba dalam soal agama.” Serius sekali muka Wanang Sari merenung Tun Besar- bagai memberi amaran keras kepada budak lelaki itu.

“Sungguh manis rupa adinda apabila marah begitu. Takkan kanda tergamak mempermainkan dinda. Bukankah Baginda Rasul ada mengatakan, ahli-ahli syurga itu sebaya saja umurnya. Apakah dinda tidak mahu menuruti kanda ke syurga?” Merah muka Wanang Sari (tersipu-sipu) mendengarkan kata-kata Tun Besar yang penuh usikan cinta.

Selama ini, belum pernah ada lelaki yang berani bermain kata dengannya. Siapa berani terlebih kata dengan Tuan Puteri Inderapura yang terkenal pandai bersilat gayong dan bermain senjata? Nyatanya, Tun Besar tidak sekali pun gentar akan hal itu. Kebijaksanaan Tun Besar itu sering sahaja membuatkan Wanang Sari mati tingkah dan kata-kata.

“Usahlah tuan hamba merepek lagi. Makin lama tuan hamba di sini, makin tambah kebencian hamba pada tuan hamba.” Tegas sekali Wanang Sari berkata kepada Tun Besar, menyembunyikan rasa hatinya yang berbunga-bunga sebentar tadi.

“Baiklah, kalau sudah begitu hajat adinda. Kanda mohon diri dulu- sebelum jatuh rindu di hati dinda, kanda akan segera kembali!” Tun Besar bersorak sambil memasuki terowong pertama, tertoleh-toleh kepada Wanang Sari yang memalingkan wajahnya daripada melihat wajah Tun Besar.

“Ingat dinda, jangan dibenci pada kanda. Benci boleh jadi sayang!” Sayup-sayup suara Tun Besar kedengaran di dalam terowong itu. Tidak lama kemudian, suasana menjadi sunyi dan sepi.

Wanang Sari mula mengira detik.

Novel The Big Boss sudah hampir ke penghujungnya. Akan menyusul pula The Big Boss II untuk kesinambungan kisah seterusnya. Terima kasih buat semua pembaca. Teruskan sokongan anda kerana setiap sokongan itu amatlah dihargai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience