Rate

Bab 26: Patriarch Keluarga Besar Lee

Mystery & Detective Completed 26471

Keluarga Robert Lee bermula apabila mendiang datuknya yang berasal dari Hong Kong datang bercuti ke Malaya pada tahun 1924. Mendiang datuk Robert, Henry Lee merupakan anak yang paling tua dari sebuah keluarga yang kaya dan aktif dalam perniagaan kain sutera, kewangan dan perlombongan. Mendiang kemudiannya tinggal di Malaya selepas membeli dan memiliki tapak untuk perlombongan bijih timah di Kepong, seterusnya beberapa lagi lombong bijih timah di Selangor dan Perak.

Ketokohan mendiang Henry Lee ini dibuktikan dengan penglibatan beliau dalam persatuan kebangsaan untuk orang-orang Cina, dewan-dewan perniagaan, pendidikan dan lain-lain seperti Chinese Mining Association, Chinese Chamber Association, Federation of Malaya Red Cross Association dan banyak lagi.

Selepas Perang Dunia Ke-2, mendiang Henry Lee telah dilantik oleh pihak British sebagai committee member untuk membangunkan ekonomi Malaya yang terjejas akibat pendudukan Jepun dan semasa era kebangkitan pengaruh komunis, beliau juga telah dilantik sebagai ahli lembaga penasihat untuk Malayan Union. Oleh kerana aktifnya beliau menentang pengaruh komunis, beliau pernah digelar sebagai ‘anjing British’dan 60 ribu Malayan Dollars pernah ditawarkan oleh komunis dalam wanted list mereka- suatu jumlah yang amat besar pada waktu itu.

Mendiang juga antara pengasas kepada Malayan Chinese Association (MCA) pada tahun 1949, turut sama dalam rombongan menuntut kemerdekaan dibawah pimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj dan pernah dilantik juga sebagai Menteri Kewangan yang pertama Persekutuan Tanah Melayu. Oleh itu, keluarga Robert Lee ini bukan sebarangan keluarga. Mereka mempunyai susur galur yang menarik dan sumbangan keluarga ini pada negara Malaysia tak boleh dipandang enteng.

Namun, bukan semua ahli keluarga Lee bernasib baik dan dapat menumpang tuah mendiang Henry Lee. Antara yang kurang beruntung adalah Robert Lee ini sendiri semasa dia masih muda. Dia hanya bekerja sebagai pekerja bawahan sebagai pelombong bijih timah walau pun dia juga dari keluarga Lee. Ini kerana perniagaan ini dikuasai oleh keluarga pakciknya yang mahu mengawal perniagaan keluarga Lee dan layanan yang diterima oleh Robert sememangnya tiada beza malah, kadang kala lebih buruk daripada pekerja biasa yang lain.

Pada akhir tahun 60an, sebelum gagasan ekonomi baru diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2, dia telah dihalau dari syarikat perlombongan kerana berlaku perkelahian antara Robert dan sepupunya, yang bertindak sebagai pengurus lombong. Soal remeh saja, berkaitan agihan syif yang diterimanya tidak seperti pekerja-pekerja lain yang lebih adil. Bermula dengan pertengkaran dan akhirnya aksi tumbuk menumbuk berlaku.

Oleh kerana dihalau sehelai sepinggang, Robert Lee yang ketika itu berumur awal 20an, bergelut dengan kehidupan di pekan Ipoh sebagai budak pencuci pinggan di sebuah kopi tiam. Mempunyai pewatakan yang baik, jujur dan cerdas, dia ‘ditemui’ oleh seorang lelaki Melayu yang kemudian membawanya ke Pulau Pinang.

Lelaki ini kemudian menubuhkan sebuah syarikat pembinaan atas nama Robert Lee sendiri dan bermula dari situ, mereka melibatkan diri sebagai kontraktor binaan dan perniagaan mereka menjadi sangat maju pada tahun 70an ketika Pulau Pinang rancak dan pesat pembangunannya. Ini turut dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru yang bermula pada tahun 1971, sebuah rancangan penyusunan semula sosioekonomi antara kaum- syarikat Robert dijadikan pilot company kepada bumiputera untuk belajar dan melaksanakan pengurusan projek kecil dan sederhana dalam industri pembinaan.

Ketika industri perlombongan bijih timah dunia merudum, mengakibatkan banyak lombong-lombong bijih timah terpaksa ditutup dan syarikat perlombongan ‘milik’ pakciknya turut terjejas teruk dan terpaksa gulung tikar, syarikat Robert semakin maju dan turut terlibat dalam projek binaan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1982. Ahli-ahli keluarga Lee yang lain ‘terpaksa rela’menukar naungan daripada pakciknya kepada Robert. Bermula dari situ, keluarga besar Lee mula mengiktiraf Robert Lee sebagai patriarch mereka. Kini, keluarga Lee bukan sahaja tersohor dalam industri pembinaan tetapi juga dalam industri-industri besar lain sama ada sebagai pemilik syarikat, lembaga pengarah atau pemegang saham syarikat-syarikat besar di Malaysia dan sebilangan syarikat-syarikat dari luar negara.

Apa yang mereka tidak tahu, di sebalik kejayaan Robert membina empayar perniagaan, Robert banyak belajar dan berguru dengan seorang lelaki berketurunan Melayu yang mula-mula membawanya ke Pulau Pinang untuk menceburi dunia perniagaan. Dia- kini berada di hadapannya. Lelaki yang ‘hilang’ jejaknya semenjak tahun 80an. Lelaki ini ibarat bapa kedua serta guru paling dihormatinya. Kalau bukan kerana lelaki ini, Robert mungkin sekadar pekerja restoran sahaja hingga tua. Hutang budinya pada lelaki itu memang tak dapat dia bayar walau pun nyawa dipertaruhkan. Pada Robert, lelaki itulah yang ‘memberikan’ dia ‘nyawa’.

“Tuan...” Bergenangan air mata Robert melihat wajah Fateh. Segala kenangan lalu bagai menerobosi kembali ruangan ingatannya.

“Bangunlah Robert, apa guna kau melutut seperti orang salah,” Fateh segera memapah Robert dan meletakkan Robert duduk di kerusi yang berhampiran.

“Sungguh saya gembira bertemu Tuan. Segala janji saya pada Tuan, untuk memberi peluang dan membantu orang-orang Melayu membina perniagaan telah saya tunaikan. Saya harap Tuan berpuas hati.” Suara Robert masih sayu.

“Aku tahu, Robert. Tapi, hanya segelintir sahaja yang benar-benar dapat berniaga bersama kau. Lain-lain masih leka setelah sekian lama berniaga. Aku harap, kau perlu lebih selektif.”

“Benar, Tuan. Hasrat Tuan memang telah saya cuba tunaikan tetapi, sering kali sebab politik, saya terpaksa akur dengan perencanaan mereka. Kalaulah Tuan sentiasa ada bersama saya...” Robert mengeluh panjang.

“Nampaknya kau masih bodoh walau pun sudah tua sebegini, kau memang perlu dirotan lagi!” Getus Fateh.

Muka Robert berubah. Benar, sewaktu mula perniagaan Robert dibina, Fateh sentiasa membawa sebilah rotan semasa mengajarnya membuat kira-kira. Sekiranya ada yang salah pada catatan akaun syarikat, Fateh akan melibas betis Robert dengan rotan itu. ‘Berjoget’ sakan Robert pada waktu itu. Memang pedih terkena libasan rotan nipis itu. Apakah dengan kudrat tuanya kini, dia dapat menahan libasan rotan Fateh?

“Nasib baik aku tak bawa rotan, Robert. Kau memang bertuah hari ni,” kata Fateh sambil tersenyum melihat reaksi Robert yang cuak dengan gurauan ‘seriusnya’. Robert hanya tersenyum kelat.

“Hmmm... aku cuma minta tolong satu perkara lagi.” Kata Fateh lalu menoleh pandangannya ke arah keluarga Stephen yang telah diminta terlebih dahulu berundur oleh Robert supaya berada jauh dari perbualan mereka sebentar tadi.

“Ya, Tuan... apa saja yang Tuan perintahkan.”

“Kau rahsiakan hubungan kita dari keluarga Stephen tetapi, mulai hari ini layanlah mereka dengan baik-baik.”

“Baiklah.” Robert hanya akur.

Fateh hanya menguntum senyum dan setelah meminta izin, Robert segera berlalu- sambil menyapa dan bersalaman dengan Stephen- sebelum beredar dari cafe Pinang tersebut. Sikap Robert yang begitu mesra kepada Stephen, membuatkan Stephen berasa terkejut dan gembira sekaligus. Tentu sahaja dia yang berada di ‘kasta’ terbawah keluarga besar Lee akan berasa berbesar hati mendapat layanan yang mesra daripada Robert sendiri. Ini perkara rare!

Fateh segera menyambung makan dan minumnya yang tergendala. Keluarga Stephen mula kembali menghampiri meja di mana mereka berempat berada sebentar tadi, bersama dengan Fateh- kelihatan sedikit ragu-ragu- turut mengikuti perlakuan Fateh.

Suasana menjadi hening seketika. Catherine tidak lepas memandang muka Fateh. Senyuman manisnya tidak lekang semenjak munculnya lelaki ini di dalam dewan tadi. Lelaki yang benar-benar dirindukannya ketika ini, walau pun wajah ini berada di hadapan matanya tetapi, entah mengapa kerinduan itu makin tebal dan mendalam.

Stephen dan Carol sesekali menjeling ke arah anak gadis mereka dan kemudian memandang pula ke wajah Fateh. Mereka seperti hilang modal bicara. Banyak perkara pelik terjadi pada malam ini dan mereka gagal menemukan kata-kata yang sesuai untuk memulakan perbualan. Andai silap bahasa- adakah mereka akan senasib seperti keluarga John? Ini menggusarkan Stephen, tidak seperti mula-mula tadi, lagaknya seperti pengetua (sememangnya dia seorang pengetua!) menyoal murid, kini dia hanya mampu membisu. Mereka berdua ‘terpaksa’ redha dalam keadaan yang agak canggung sebegini.

Cerita fakta-fiksyen macam ni kadang kala perlu sedikit masa untuk update. Jadi, kena selalu bersabarudin dan bersabariah untuk mengikuti update sirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience